01 Oktober 2013

LETAKKAN KEPERCAYAAN KEPADA MOYES


Ada pihak yang sudah mula menyebut bahawa Manchester United sedang dilanda krisis berikutan dua kekalahan berturut-turut yang dialami mereka dalam saingan liga, manakala penyokong-penyokong The Red Devils pula meragui kemampuan kelab memberikan saingan serius kepada pencabar-pencabar mereka di pentas domestik dan Eropah musim ini. Melihat kepada persembahan anak-anak buahnya selepas tewas kepada West Bromwich kelmarin, Moyes secara terbuka mengakui bahawa pasukannya tidak mampu pergi jauh dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini bersandarkan pemain yang dimilikinya sekarang. Jika dua atau tiga bulan yang lalu Moyes begitu yakin dengan skuad juara yang diwarisinya dari Sir Alex Ferguson walaupun kelab gagal menandatangani nama-nama besar (kecuali Marouane Fellaini), kini nada pengendali itu jelas berbeza. Menurut Moyes, United memerlukan sekurang-kurangnya lima atau enam pemain kelas dunia jika mereka mahu menjulang trofi Liga Juara-Juara dengan menjadikan Bayern Munich, Barcelona dan Real Madrid sebagai perbandingan. Tiga kekalahan yang dialami dalam enam perlawanan awal liga bukanlah sesuatu yang bagus manakala tujuh mata yang diperolehi setakat ini merupakan jumlah terendah dalam sejarah kelab sejak Liga Perdana diperkenalkan pada musim 1992/93. Sebelum liga bermula Moyes yakin dengan aset yang dimilikinya tetapi selepas melihat kedudukan kelab dalam carta liga ketika ini di samping prestasi mengecewakan yang ditunjukkan beberapa pemain regular (Anderson dan Ashley Young terutamanya), saya yakin beliau tidak sabar menanti bulan Januari untuk berbelanja. Imbas kembali ketika Sir Alex menamakan Moyes sebagai penggantinya, tidak ramai pihak termasuk penyokong-penyokong United sendiri yakin dengan kemampuan bekas penggendali Everton itu menguruskan kelab besar seperti United. Sebelum bersetuju menerima tawaran untuk menggantikan Sir Alex, sudah tentu Moyes tahu apa yang bakal menantinya di Old Trafford kerana cabaran dan tekanan di sini jauh lebih besar berbanding apa yang dilaluinya selama 11 tahun di Goodison Park.

Hanya individu yang memiliki kekuatan dan keberanian saja sanggup menggalas tugas sebagai pengganti Sir Alex, dan atas sebab itulah saya percaya Moyes memiliki segala aspek yang diperlukan dan pilihan tepat mengisi kerusi panas di Old Trafford. Tujuh mata dari enam perlawanan liga setakat ini bukanlah kayu ukur yang tepat untuk Moyes diadili, kerana saya masih berpegang kepada kata-kata saya sebelum ini bahawa sasaran paling realistik yang perlu beliau capai pada musim pertamanya di Old Trafford ialah membawa kelab di kelompok empat teratas sekaligus layak ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan. Memang diakui di peringkat awal ini segalanya tidak memihak kepada Moyes, bermula dari kegagalannya mendapatkan pemain-pemain yang disasarkan ketika pasaran perpindahan pemain musim panas dibuka, kesilapannya memilih pemain dalam kesebelasan utama dan taktik permainan yang digunakannya pula sering dikritik penyokong dan penganalisis bolasepak. Kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di dalam pasukan, tetapi khabar yang mengatakan bahawa kelab sedang dilanda krisis hanya disebabkan dua kekalahan liga (berturut-turut) saya anggap tidak lebih dari sekadar spekulasi. Selain mewarisi skuad juara dari Sir Alex, kita perlu mengakui bahawa dalam masa yang sama Moyes juga sebenarnya mewarisi bintang-bintang yang kini berada diambang penghujung karier mereka (seperti Rio Ferdinand, Ryan Giggs, Nemanja Vidic dan Patrice Evra), manakala Antonio Valencia, Anderson dan Ashley Young pula sejak musim lalu lagi bergelut dengan prestasi sendiri. Saya tidak mengatakan bahawa Sir Alex meninggalkan skuad yang 'tempang' untuk diwarisi Moyes, tetapi apa yang saya sebutkan di atas sudah tentu bukanlah satu permulaan yang baik buat kerjaya Moyes bersama kelab. Moyes memiliki tempoh lebih tiga bulan untuk mengenalpasti apa yang kurang dan perlu diperbaiki dalam skuadnya sebelum musim baru bermula, tetapi malangnya sepanjang tempoh itu juga hanya Fellaini satu-satunya nama besar yang berjaya beliau tandatangani, itupun ketika jendela perpindahan pemain hampir ditutup.

Usah kesali apa yang sudah berlaku kerana apa yang perlu dilakukan Moyes sekarang ialah mengenalpasti pemain terbaik yang ada dalam pasukan untuk diketengahkan. Selepas melihat prestasi Anderson dan Ashley Young terus merudum manakala benteng pertahanan pula dipersalahkan atas kekalahan yang dialami pada dua perlawanan terakhir liga, apakah akan ada perubahan besar pada senarai kesebelasan utama dan taktikal yang bakal digunakan Moyes dalam perlawanan-perlawanan selepas ini? Moyes mengatakan bahawa Shinji Kagawa tetap berada dalam perancangannya, jadi saya berharap selepas ini beliau lebih berani menggunakan pemain itu selain bakat-bakat muda yang ada seperti Adnan Januzaj dan Wilfried Zaha yang memang dahagakan peluang bermain di peringkat tertinggi seperti Liga Perdana. Di benteng pertahanan terutamanya di bahagian tengah (centre back), sudah tiba masanya untuk Jonny Evans dan Chris Smalling diberikan peluang tampil lebih kerap kerana pada usia 34 tahun sudah tentu Rio Ferdinand tidak lagi mampu bermain setiap minggu. Tanpa pelaburan besar yang dilakukan sepanjang musim panas ini, Moyes perlu bijak menggunakan sumber yang ada kerana kelab sebenarnya memiliki bakat-bakat yang mencukupi untuk diketengahkan. Penyokong-penyokong tidak menuntut agar Moyes membawa pulang trofi Liga Juara-Juara atau sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian Sir Alex dengan menghadiahkan trofi Liga Perdana, tetapi cukuplah sekadar menagih keberaniannya melakukan beberapa perubahan dalam pasukan selepas anak-anak buahnya tewas dua perlawanan liga berturut-turut. Sir Alex di awal kariernya sebagai pengurus United memerlukan tempoh empat tahun sebelum menghadiahkan trofi pertamanya kepada kelab, jadi saya boleh menerima hakikat jika musim ini United di bawah kendalian Moyes tidak memenangi apa-apa piala. Seperti diramalkan banyak pihak sebelum ini, United akan bergelut di bawah kendalian Moyes, sesuatu yang saya anggap sebagai lumrah apabila 'rejim' pemerintahan bertukar tangan dan itulah yang berlaku ke atas kelab sekarang.


Selama 26 tahun kelab ditangani Sir Alex, manakala sebahagian besar pemain yang ada dalam skuad sekarang pula sudah biasa dengan percaturan taktikal dan corak permainan yang diterapkan lagenda itu, jadi sudah tentulah bukan satu tugas mudah buat Moyes membina semula pasukan mengikut acuannya sendiri. Jika mahu menyuntik tenaga baru dalam skuadnya, Moyes perlu menunggu hingga Januari nanti untuk melakukannya, dan sementara itu berikan sahaja beliau masa dan peluang merencanakan halatuju pasukan dan strategi yang ingin digunakannya. Memang benar, zaman sudah berubah di mana kesabaran di kalangan pemilik kelab dan penyokong-penyokong ketika ini semakin kurang berbanding 10 atau 20 tahun yang lalu. Dalam era sekarang, melihat pengurus atau jurulatih dipecat selepas mengharungi lima atau enam perlawanan adalah satu perkara biasa namun kita tidak perlu terikut-ikut dengan kegilaan itu. Sudah tentu ada alasan kukuh mengapa Moyes dipilih Sir Alex untuk menggantikan tempatnya selepas beliau bersara, jadi berikan sahaja bos baru United itu masa, peluang  dan kepercayaan untuk menjalankan tanggungjawabnya selaku pengendali. Seperti yang saya sebutkan mula-mula tadi, ada beberapa kesilapan yang Moyes lakukan di peringkat awal terutamanya dalam hal memilih pemain dan taktikal di atas padang namun masih belum terlambat untuk diperbaiki. Siapa tahu mungkin juga apa yang beliau lakukan pada peringkat ini lebih kepada mahu bereksperimen dengan formasi dan taktikal permainannya berteraskan kepada pemain-pemain yang beliau miliki. Jadi pada pandangan saya, masa terbaik untuk menilai kemampuan Moyes ialah ketika saingan liga memasuki fasa kedua nanti, dan buat masa ini seboleh mungkin anda cubalah pekakkan telinga dengan segala berita-berita negatif yang dimainkan media tentang keupayaan dan kekuatan kelab di bawah kendalian beliau. Buat masa ini saya tidak mahu memandang terlalu jauh, kerana apa yang saya ingin lihat dalam waktu terdekat ialah barisan The Red Devils seboleh mungkin cuba mengelak dari tewas tiga perlawanan liga berturut-turut. Semoga kita tidak perlu terus berduka dan ada berita gembira menanti di Stadium of Light hujung minggu ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J 

29 September 2013

REVIEW: TANGGA KE-12, ITULAH REALITINYA


Dua kemenangan, sekali seri dan tiga kekalahan dari enam perlawanan setakat ini meletakkan Manchester United di tangga ke-12 liga. Bagi peminat-peminat yang menyokong United bermula di era 90an, mereka mungkin tidak pernah melihat kelab terperosok di kedudukan bawahan liga, tetapi itulah realiti yang berlaku sekarang. Kekalahan 0-1 kepada Liverpool memang melukakan, 1-4 kepada City cukup mengaibkan dan 1-2 kepada West Bromwich di gelanggang sendiri tidak keterlaluan jika saya anggap sebagai malapetaka. Moyes mengatakan anak-anak buahnya bermain buruk jadi The Baggies memang layak meraih kemenangan pertama mereka ke atas United dalam sejarah pertemuan kedua-dua kelab di Liga Perdana. Meletakkan kesalahan di bahu pemain-pemain adalah lumrah buat mana-mana pengendali setiap kali pasukan mereka mengalami kekalahan, tetapi sebagai penyokong kita berharap Moyes lebih peka dalam hal memilih pemain dan taktikal yang diterapkannya dalam perlawanan-perlawanan selepas ini. Sejak perlawanan pertama menentang Swansea City lagi pemilihan pemain yang dilakukan Moyes dikritik ramai pihak, tetapi mujurlah United menang di Stadium Liberty hingga menyebabkan suara-suara pengkritiknya tenggelam. Semalam ketika berdepan West Brom pemilihan kesebelasan utama yang dilakukan Moyes sekali lagi menjadi perhatian dan keputusannya meletakkan Shinji Kagawa di sebelah kiri menjadi tumpuan penganalisa bolasepak. Selepas tamat perlawanan, Moyes mengatakan bahawa posisi terbaik Kagawa ialah bermain di belakang penyerang dan bukannya di sebelah kiri, jadi timbul persoalan mengapa beliau masih lagi meletakkan Kagawa di 'tempat yang salah'?

Anderson gagal memainkan peranan dengan berkesan sebagai penjana di bahagian tengah hingga menyebabkan Wayne Rooney terpaksa turun jauh ke bawah bagi menggerakan permainan. Kegagalan Anderson memaksa Rooney bekerja keras hingga meletakkan dirinya bermain di hampir semua posisi. Dari tugas sebagai penyerang, perancang hinggalah kepada perampas bola (ball winner), Rooney sepanjang permainan berada di seluruh bahagian padang sekaligus menimbulkan persoalan apa fungsi yang dimainkan Anderson selama 67 minit aksinya semalam sebelum digantikan Marouane Fellaini. Stephane Sessegnon antara pemain lawan yang menyerlah dalam perlawanan ini, tetapi kelibat Morgan Amalfitano tidak kurang hebatnya terutama apabila melihat gol pertama perlawanan hasil gerakan solonya diminit ke-54. Pemain yang dipinjamkan dari Olympique Marseille itu mudah melepasi kawalan Rio Ferdinand, berlari ke arah David de Gea dan kemudiannya dengan tenang meletakkan bola ke gawang United. Meskipun Gol pendahuluan pelawat berjaya dipadamkan Rooney hanya tiga minit selepas itu menerusi satu sepakan percuma, nama pemain muda The Baggies, Saido Berahino pastinya akan diingati penyokong-penyokong United selepas ini apabila dia menjaringkan gol kemenangan pelawat diminit ke-67. Keputusan Moyes mengeluarkan Anderson dan memasukkan Fellaini tidak mampu mengubah keadaan biarpun beberapa peluang terbuka berjaya dihasilkan terutamanya di penghujung permainan. Sebelum perlawanan United dijangka tidak berdepan masalah untuk kembali mengutip tiga mata selepas kekalahan kepada Manchester City minggu lalu, tetapi West Brom memberikan Moyes dan anak-anak buahnya pengajaran yang cukup berguna sebaik wisel penamat ditiup pengadil perlawanan.

Kini timbul pertanyaan apakah rancangan yang akan dilakukan Moyes selepas ini terutamanya apabila melihat bahagian tengah United gagal berfungsi dengan baik dalam dua perlawanan terakhir (menentang City dan West Brom)? Adakah Moyes masih berharap Anderson mampu menjelmakan semula keajaiban yang pernah menjulang namanya ketika bersama FC Porto dulu, atau adakah beliau berani merombak formasi United dengan meletakkan Kagawa di posisi sepatutnya iaitu di belakang penyerang? Kita tidak tahu apa rancangan Moyes selepas ini tetapi kekalahan dua perlawanan liga berturut-turut bukanlah petanda bagus untuk kelab walaupun ada yang mengatakan bahawa masih terlalu awal untuk menilai kemampuan sebenar Moyes selaku pengendali. Satu-satunya perkara yang boleh mengubat sedikit kekecewaan saya semalam ialah apabila menyaksikan prestasi Adnan Januzaj selepas dia dibawa masuk di separuh masa kedua dan peranan yang dimainkan Nani sepanjang perlawanan. Januzaj memaksa bek berpengalaman pelawat, Liam Ridgewell bekerja keras ketika dia bertukar tempat ke sebelah kanan manakala Nani pula saya anggap  pemain terbaik United selepas Rooney. Gerakan-gerakan yang dihasilkan Nani dari sebelah kiri dan kanan serta hantaran-hantaran pendek dan tepatnya seringkali memberikan masalah kepada benteng lawan. Kekalahan semalam menyebabkan saya teruja menanti perlawanan seterusnya, kerana saya ingin melihat akan adakah perubahan yang bakal dilakukan Moyes dalam formasi dan taktikal permainannya terutama di benteng pertahanan dan tengah, atau beliau mahu kita percaya bahawa anak-anak buahnya hanya memerlukan sedikit masa lagi untuk menyesuaikan diri dengan corak dan gaya yang dibawanya. Tunggu dan lihat. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Statistik Perlawanan United-WBA:

Percubaan: 14-12
Percubaan Tepat: 6-4
Penguasaan Bola: 59%-41%
Kekasaran: 10-14
Sepakan Sudut: 5-8
Offside: 4-1
Kad Kuning: 3-2
Kad Merah: 0-0
Gol: 1-2

28 September 2013

PREVIEW: MANCHESTER UTD v WBA



Selepas terpaksa berdepan perlawanan-perlawanan getir di awal musim, kini tibalah masanya untuk Manchester United mula mengumpul sebanyak mata yang boleh di mana aksi menentang West Bromwich Albion di Old Trafford esok adalah waktu yang tepat untuk memulakannya. Kejayaan membenam Liverpool di pusingan ketiga Piala Liga (Capital One Cup), diharap menjadi tonik terbaik buat anak-anak buah David Moyes bangkit semula dalam saingan liga selepas aksi mengecewakan yang mereka pamerkan di Stadium Etihad minggu lalu. Berada di tangga kelapan liga ketika ini merupakan kedudukan terendah United dalam tempoh lima tahun, jadi kita berharap kesebelasan utama yang bakal diturunkan Moyes nanti tidak melepaskan peluang untuk merakamkan kemenangan ke-48 ke atas The Baggies sekaligus kembali memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga. Melihat kepada persembahan baik yang dipamerkan Shinji Kagawa dalam dua perlawanan lalu (menentang Bayer Leverkusen dan Liverpool), saya berharap agar Moyes mula menggunakan kreativiti yang ada pada bintang antarabangsa Jepun itu, tidak kiralah sama ada dia diletakkan di sebelah kiri ataupun di bahagian tengah. Jika penyokong-penyokong mengharapkan agar Kagawa kerap diberikan peluang beraksi oleh Moyes, Wayne Rooney pula adalah nama yang memang sepatutnya ada dalam kesebelasan utama United dalam setiap perlawanan. Rooney pemain terbaik United ketika ini, jadi tidak syak lagi bahawa dia akan mengetuai jentera serangan United dalam perlawanan ini ketika nama Robin van Persie besar kemungkinan akan sekali lagi diketepikan berikutan masalah kecederaan. Meskipun diberitakan sudah mula menjalani latihan, saya yakin Moyes tidak akan mengambil risiko mempertaruhkan kecergasan penyerang Belanda itu ketika melayani kunjungan The Baggies nanti. Bagi anak-anak buah Steve Clarke pula, mereka tentunya mahu segera melupakan kekecewaan disingkir Arsenal menerusi penentuan sepakan penalti pada saingan Piala Liga dengan cuba melakar kejutan di Old Trafford.  Berdepan juara bertahan di gelanggang lawan, Clarke amat mengharapkan agar Victor Anichebe dan Nicholas Anelka kembali cergas sepenuhnya untuk diturunkan manakala pemain tengahnya, Chris Brunt akan diketepikan buat kali ketiga berturut-turut kerana masalah kecederaan pangkal paha.

Mujur buat Clarke kerana ketiadaan Brunt diimbangi dengan kehadiran semula pemain tengah Argentina, Claudio Yacob yang disahkan sudah boleh kembali beraksi. Dua kunjungan terakhir mereka di Old Trafford berakhir dengan kekalahan 0-2, tetapi The Baggies melakukan kebangkitan hebat pada perlawanan terakhir liga musim lalu menentang United di gelanggang sendiri apabila bangkit dari ketinggalan 0-3 untuk mengikat juara bertahan itu 5-5. Kerapuhan benteng pertahanan United di Stadium Etihad mungkin boleh dijadikan sedikit panduan oleh Clarke dalam merangka strategi ketika menyerang, tetapi saya percya selepas melihat aksi terpuji yang dipamerkan Jonny Evans, Chris Smalling, Fabio da Silva dan Alexander Buttner ketika berdepan Liverpool kelmarin, akan ada sedikit rombakan di bahagian belakang United dalam perlawanan ini. Stephane Sessegnon sudah tentu antara nama yang perlu diawasi dalam aksi di Old Trafford nanti terutamanya selepas dia meledak gol sulung pada penampilan pertamanya untuk West Brom ketika berdepan Sunderland minggu lalu. Sessegnon antara pemain Sunderland paling menyerlah musim lalu dan saya sedikit hairan mengapa bekas pengurus mereka, Paolo Di Canio melepaskan antara pemain terbaiknya ke pasukan lain musim ini. Bersama West Brom, Sessegnon nampaknya tidak memerlukan tempoh yang lama untuk menyesuaikan di The Hawthorns dan kreativitinya sudah tentu akan digunakan Clarke bagi membuka ruang kepada Anichebe atau Anelka untuk menghasilkan gol. Jika perlawanan terakhir membabitkan kedua-dua kelab menyaksikan sepuluh gol dijaringkan, saya tidak nampak situasi itu akan berulang kali ini. Selepas lima perlawanan, barisan pertahanan The Baggies hanya melepaskan empat gol, jadi Rooney dan rakan gandingannya di bahagian hadapan nanti perlu bekerja keras untuk memecahkan benteng pertahanan lawan yang dijangka akan dibarisi Jonas Olsson, Gareth McAuley, Liam Ridgewell dan Billy Jones. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Fakta Perlawanan:

- West Brom tidak pernah menewaskan United dalam saingan Liga Perdana (seri tiga dan tewas sebelas perlawanan)

- United tidak tewas dalam 18 perlawanan liga mereka menentang West Brom. Kali terakhir United tewas di tangan West Brom ialah pada 31 Mac 1982 (di The Hawthorns) dengan jaringan 0-2.

- Tujuh mata (dalam lima perlawanan) yang dikutip United setakat ini merupakan catatan terendah sejak musim 1989-90.

- Jika meraih keputusan seri dalam perlawanan ini, United akan menyamai pencapaian musim 2002-03. Ketika itu, United mengutip lapan mata dari enam perlawanan awal tetapi kemudiannya muncul juara liga di akhir musim.

- Statistik musim ini menunjukkan Michael Carrick berjaya merampas bola dari penguasaan lawan sebanyak 26 kali, lapan kali lebih banyak berbanding pemain lain di Liga Perdana.

- Gol yang dihasilkan Stephane Sessegnon ketika berdepan Sunderland minggu lalu membolehkan dia muncul pemain ketiga menjaringkan gol ke gawang kelab lama pada penampilan pertama. Sebelum ini Ian Marshall melakukannya bersama Ipswich Town (berdepan Oldham pada 1993) dan Stern John bersama Sunderland (berdepan Birmingham City pada 2007).

- Tiga dari empat gol West Brom musim ini dijaringkan dalam tempoh 15 minit terakhir sebelum permainan sebenar tamat.

Barisan Kemungkinan United: David de Gea, Patrice Evra, Jonny Evans, Nemanja Vidic, Fabio da Silva, Michael Carrick, Marouane Fellaini, Nani, Antonio Valencia, Wayne Rooney & Javier Hernandez

Barisan Kemungkinan West Brom: Boaz Myhill, Liam Ridgewell, Jonas Olsson, Gareth McAuley, Billy Jones, Youssouf Malumbu, James Morrisson, Claudio Yacob, Morgan Amalfitano, Stephane Sessegnon & Nicholas Anelka

26 September 2013

REVIEW PIALA LIGA: TIKET PUSINGAN KEEMPAT MILIK UNITED


Gol tunggal jaringan Javier Hernandez sudah cukup memberikan Manchester United slot ke pusingan keempat Piala Liga (Capital One) selepas mereka mengetepikan Liverpool 1-0 di Old Trafford awal pagi tadi. Seperti yang dijangkakan, David Moyes melakukan rombakan besar ke atas skuadnya dalam perlawanan ini apabila menurunkan lapan nama baru berbanding skuad yang berkunjung ke Stadium Etihad Ahad lalu. Hernandez sepertimana biasa jarang mengecewakan bila diturunkan dan penyerang Mexico itu sekali lagi membuktikan ketajamannya awal pagi tadi. Melalui satu sepakan sudut di awal babak kedua, Hernandez bijak membebaskan dirinya dari kawalan Jose Enrique untuk mudah menolak masuk gol tunggal perlawanan sekaligus memastikan tiket ke pusingan keempat menjadi milik The Red Devils. Sudah tentu gol pertama Hernadez musim ini bakal meletakkan Moyes dalam dilema ketika memilih siapa yang patut diberikan hak menghuni slot selaku penggempur pasukannya dalam perlawanan-perlawanan selepas ini. Meskipun sering bermula dari bangku simpanan, tanpa ragu Hernandez sudah menjaringkan banyak gol-gol penting sepanjang karier tiga tahunnya di Old Trafford, dan awal pagi tadi 'Chicharito' seolah-olah memberikan amaran bahawa dia adalah pesaing terkuat untuk merebut slot selaku penggempur United musim ini. Setakat ini United hanya menjaringkan tujuh gol dalam lima perlawanan liga, walaupun mereka tampak garang di pentas Eropah apabila membenam Bayer Leverkusen 4-2. Bagaimanapun saya percaya, gol dan prestasi yang ditunjukkan Hernandez awal pagi tadi bakal membuatkan Wayne Rooney, Robin Van Persie dan Danny Welbeck lebih bermotivasi untuk menjaringkan lebih banyak gol selepas ini sekaligus mencetuskan persaingan sihat di bahagian hadapan. Selepas Moyes melakukan perubahan besar dalam kesebelasan utamanya awal pagi tadi, United tampil dengan corak menyerang yang lebih menyakinkan berbanding aksi-aksi mereka dalam saingan liga setakat ini (kecuali aksi menentang Swansea City).

Melihat kepada prestasi baik Liverpool di awal musim, keputusan Moyes menurunkan pemain-pemain yang sebelumnya sekadar memanaskan bangku simpanan seperti Alexander Buttner, Hernandez, Shinji Kagawa, Nani dan Jonny Evans sambil dibantu senior yang lebih berpengalaman seperti Ryan Giggs dan Rooney adalah satu perjudian yang berani. Paling menarik apabila melihat keputusan Moyes mempertaruhkan Buttner, Smalling dan Evans di benteng pertahanan walapun beliau sedar ancaman dari Luis Suarez yang akan memulakan aksi pertamanya musim ini selepas bebas dari penggantungan sepuluh perlawanan. Dalam preview perlawanan sebelum ini, saya ada mengatakan bahawa kelibat Luis Suarez perlu diawasi walaupun dia tidak beraksi hampir lima bulan, dan kebimbangan saya terbukti apabila Suarez hampir sahaja menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan percumanya di separuh masa kedua yang sekadar singgah di palang gol. Keputusan akhir perlawanan memang menggembirakan, tetapi kembalinya Rafael dalam kesebelasan utama selepas pulih dari kecederaan merupakan satu lagi berita yang bagus untuk kita. Selain prestasi cemerlang Hernandez dan gol yang dihasilkannya, tumpuan kita dalam perlawanan ini sudah tentu terarah kepada aksi yang dipamerkan Phil Jones, Nani dan Kagawa di bahagian tengah. Saya tidak tahu apakah sebenarnya rancangan yang ingin dilakukan Moyes terhadap Kagawa, tetapi melihat kepada prestasia yang ditunjukkannya awal pagi tadi memberikan kita harapan bahawa midfielder Jepun itu adalah jawapan kepada kurangnya kreativiti di bahagian tengah United ketika ini. Selepas tamat perlawanan, Moyes mengatakan kepada wartawan bahawa Kagawa masih berdepan masalah kecergasan yang tidak memungkinkannya untuk bermain selama 90 minit, tetapi beliau percaya pemain tengah itu secara perlahan-lahan sedang mendaki puncak prestasi.

Nani pula pada pandangan saya tidak mengecewakan terutamanya selepas melihat gerakan-gerakan yang dihasilkannya dari sebelah kiri dan kadangkala beralih ke sebelah kanan. Apa yang dipamerkannya awal pagi tadi sebenarnya jauh lebih bagus berbanding sumbangan yang diberikan Ashley Young sebelum ini, manakala Phil Jones juga tidak mengecewakan ketika memainkan peranannya sebagai pemain tengah bertahan meskipun baru pulih dari kecederaan. Kelibat Wilfried Zaha masih tidak kelihatan tetapi Adnan Januzaj sudah bermain buat kali kedua (dalam semua kejohanan) setakat ini, dan itu satu perkembangan baik untuk pemain muda sepertinya. Keputusan akhir perlawanan memang penting buat kedua-dua pasukan terutamanya selepas mereka tewas dalam aksi terakhir liga. Perlawanan ini bukan sekadar menawarkan tiket ke pusingan keempat, tetapi penyokong kedua-dua kelab juga ingin melihat bagaimana reaksi pemain-pemain mereka bangkit dari kekalahan liga hujung minggu lalu. Bagi saya tekanan sebenarnya lebih terarah kepada United kerana mereka bukan sahaja perlu bangkit dari kekalahan besar 1-4 kepada City, tetapi anak-anak buah Moyes juga perlu menebus semula kekalahan yang dialami mereka dalam derby North-West di Anfield 2 September lalu. Anda bayangkanlah bagaimana agaknya reaksi penyokong-penyokong dan pengkritik jika United tewas sekali lagi kepada Liverpool dalam perlawanan ini? Untuk menyarung jersi United, anda memerlukan kekuatan serta jiwa yang besar ketika berdepan tekanan dan kemudiannya bangkit dari kekecewaan dalam tempoh hanya beberapa hari. Meskipun teraju pengendali sudah bertukar tangan, saya percaya pemain-pemain sedar akan tanggungjawab mereka sebagai pemain United setiap kali diberikan tugas beraksi di tengah padang. Awal pagi tadi mereka sekali lagi membuktikannya apabila memilih waktu, tempat dan lawan yang tepat untuk bangkit kembali. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Statistik Perlawanan:

Percubaan: 18-17
Percubaan Tepat: 4-3
Penguasaan Bola: 47%-53%
Kekasaran: 12-9
Sepakan Sudut: 7-11
Offside: 1-1
Kad Kuning: 2-3
Kad Merah: 0-0
Gol: 1-0

25 September 2013

PREVIEW: MANCHESTER UTD v LIVERPOOL



Walaupun sekadar perlawanan pusingan ketiga Piala Liga (Capital One), pertembungan dua musuh tradisi antara Manchester United dan Liverpool awal pagi esok tetap penting, terutamanya selepas masing-masing tewas dalam perlawanan liga hujung minggu lalu. United tewas besar 1-4 ketika berdepan City manakala Liverpool pula dikejutkan dengan kekalahan pertama mereka musim ini kepada Southampton di Anfield. Jadi saya melihat perlawanan awal pagi esok di Old Trafford bukan sekadar merebut slot ke pusingan keempat tetapi lebih kepada usaha kedua-dua pasukan memulihkan semula maruah yang tercalar. Semasa United di bawah kendalian Sir Alex Ferguson, beliau menggunakan kejohanan ini sebagai medan terbaik untuknya menguji pemain-pemain muda selain memberikan peluang buat pemain-pemain seniornya yang sering memanaskan bangku simpanan disenaraikan sebagai starter. Jika pendekatan yang sama diteruskan David Moyes, kita berpeluang menyaksikan nama-nama seperti Wilfried Zaha, Adnan Januzaj, Alexander Buttner, Fabio da Silva, Jonny Evans, Anderson, Nani dan Shinji Kagawa berada dalam senarai. Selepas kekalahan mengaibkan di Stadium Etihad, saya jangkakan Moyes akan melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utamanya dengan beberapa pemain yang diketepikan sebelum ini bakal diletakkan dalam kesebelasan permulaan. Di bahagian belakang ada perubahan besar yang mungkin boleh kita saksikan di mana Jonny Evans, Fabio da Silva dan Alexander Buttner saya jangkakan akan mengisi posisi back four manakala Rio Ferdinand menjadi pemain paling senior bagi menggalas tugas memimpin benteng pertahanan.

Agak menarik untuk kita saksikan adakah Moyes memiliki keberanian dalam melakukan rombakan besar di bahagian tengah dengan meletakkan gandingan Tom Cleverley, Ryan Giggs atau Anderson serta menggunakan Kagawa, Januzaj atau Wilfried Zaha bagi mengisi posisi sayap kiri dan kanan. Dengan masalah prestasi tidak menentu yang ditunjukkan Ashley Young sejak musim lalu, saya berpendapat tibalah masanya untuk Moyes mengalihkan perhatian kepada pemain-pemain muda United seperti Zaha atau Januzaj, jadi perlawanan awal pagi esok menjadi permulaan terbaik untuk Moyes melakukannya. Zaha umpamanya masih belum diberikan peluang bermain  dalam lima perlawanan liga setakat ini sejak kali terakhir tampil dalam aksi merebut Perisai Komuniti Ogos lalu, manakala Januzaj pula diberikan peluang melakukan penampilan pertama liga ketika berdepan Crystal Palace 14 September lalu. Untuk rekod, kedua-dua kelab sudah bertemu sebanyak empat kali dalam saingan Piala Liga ini, di mana United hanya menang sekali dan tewas baki tiga perlawanan lagi dengan pertemuan terakhir membabitkan kedua-dua kelab di kejohanan ini berlaku pada 2003. Pertembungan awal pagi esok menjadi perhatian ramai bukan sahaja disebabkan sejarah perseteruan antara United-Liverpool, tetapi juga kerana kembalinya Luis Suarez dari penggantungan sepuluh perlawanan akibat tindakannya mengigit Branislav Ivanovic musim lalu.

Jika Robin Van Persie khabarnya tidak akan diturunkan dalam perlawanan ini, (mungkin disebabkan Moyes tidak mahu mengambil risiko memandangkan penggempur itu baru pulih dari kecederaan), lain pula halnya dengan Brendan Rodgers. Meskipun beliau dilihat cuba berteka teki tentang situasi Suarez, saya yakin Rodgers akan meletakkan penyerang kontroversi itu dalam kesebelasan utamanya berikutan aksi lesu yang ditunjukkan Daniel Sturridge dalam saingan liga hujung minggu lalu. Suarez kambali dari penggantungan tetapi Rodgers kehilangan khidmat Daniel Agger, Phillipe Coutinho, Aly Cissokho dan Sebastian Coates dalam perlawanan ini kerana masih dibelenggu kecederaan. Selain dua pemain muda United sama ada Zaha atau Januzaj (jika diturunkan), tumpuan peminat dalam perlawanan ini saya pasti turut terarah kepada kelibat Suarez. Jika Rodgers meletakkan Suarez dalam kesebelasan utamanya, sudah tentu pemain itu perlu diawasi benteng pertahanan United. Ketepikan dulu segala kontroversi yang menyelubungi kariernya di England kerana saya lebih suka melihat bahaya yang mampu dijelmakan bintang Uruguay ini dalam setiap perlawanan. Selain licik dengan tipu helahnya, Suarez juga memiliki aset dalam situasi bola mati menerusi sepakan percumanya. Saya berharap laungan Nemanja Vidic bahawa United akan bangkit dari kekalahan tempohari akan dijelmakan rakan-rakan sepasukannya di tengah padang dalam perlawanan ini. Lupakan dulu aib yang berlaku di Stadium Etihad kerana saya mahu berjaga awal pagi esok semata-mata untuk menikmati permainan barisan yang selama ini digelar The Red Devils. Menang, seri atau kalah…selamanya United. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Barisan Kemungkinan United: David de Gea, Fabio da Silva, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Alexander Buttner, Anderson, Tom Cleverley, Shinji Kagawa, Wilfried Zaha, Danny Welbeck & Wayne Rooney

Barisan Kemungkinan Liverpool: Simon Mignolet, Mamadou Sakho, Martin Skrtel, Kolo Toure, Jose Enrique, Steven Gerrard, Lucas Lieva, Victor Moses, Jordan Henderson, Luis Suarez & Daniel Sturridge

24 September 2013

SINDROM LAMBAT PANAS ATAU KESILAPAN DALAM MEMILIH PEMAIN?


Manchester United ketika di bawah kendalian Sir Alex Ferguson memang dikenali sebagai kelab yang 'lambat panas' di awal musim, tetapi selepas jawatan pengurus bertukar tangan, adakah United masih lagi dihantui sindrom tersebut? Dua kemenangan, sekali seri dan dua kekalahan yang diraih United setakat ini meletakkan kelab di tangga kelapan liga, jauh dari pencapaian yang dicatatkan musim lalu di peringkat yang sama (empat menang dan sekali kalah). Masih terlalu awal untuk mengatakan bahawa kelab di landa krisis selepas berakhirnya era 27 tahun Sir Alex yang penuh gemilang. Saya lebih suka menganggap bahawa di peringkat ini pemain-pemain sebenarnya masih dalam proses beradaptasi dengan gaya pengurusan, kejurulatihan dan taktikal yang digunakan David Moyes di padang latihan dan juga ketika permainan. United memulakan musim dengan aksi yang agak mengejutkan apabila mudah membenam Swansea City (di gelanggang lawan), kelab yang pada mulanya dijangka bakal memberikan masalah besar kepada anak-anak buah Moyes berikutan prestasi menakjubkan mereka musim lalu. Perlawanan kedua liga menentang Chelsea pula, United terpaksa berkongsi mata di gelanggang sendiri sebelum mengalami kekalahan pertama musim ini kepada Liverpool di Anfield pada perlawanan ketiga. Walaupun tidak beraksi dengan baik, United bangkit semula apabila menewaskan pendatang baru Liga Perdana, Crystal Palace 2-0 di Old Trafford, perlawanan yang pada pandangan saya sepatutnya dimenangi dengan jaringan lebih besar selepas Palace terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain selama hampir 50 minit. Manchester City memberikan tamparan hebat kepada barisan The Red Devils kelmarin apabila mereka menang bergaya 4-1 di gelanggang sendiri, sekaligus memaksa kita merenung kembali hakikat apakah barisan yang ada cukup kompetitif untuk mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi musim lalu atau Moyes melakukan kesilapan dalam memilih pemain ketika menentang City? Kekalahan kepada City menyebabkan kelab dihujani berbagai kritikan dari peminat serta penganalisis bolasepak, dan Moyes selaku pengendali sudah tentu menjadi sasaran utama mereka. Kini sudah ramai yang meragui kemampuan Moyes mengendalikan kelab terutamanya dalam meneruskan kecemerlangan yang pernah diraih Sir Alex sebelum ini. Kritikan paling lantang datangnya dari bekas lagenda kelab sendiri, Gordon McQueen yang menganggap persaraan Sir Alex menjadi penyebab prestasi United agak lesu terutamanya ketika berdepan kelab-kelab besar Liga Perdana.

Tanpa ragu-ragu, McQueen meminta agar Moyes mendapatkan sedikit nasihat dan tips dari Sir Alex terutamanya dalam berdepan detik-detik sukar ketika ini. “Meminta nasihat tidak bermakna anda lemah tetapi itu sebenarnya menunjukkan kekuatan anda. Pada peringkat awal karier Sir Alex di Old Trafford, Sir Matt Busby ada di sana untuk memberikan bantuan ketika beliau (Sir Alex) berdepan detik sukar. Selain dari itu, anda tidak boleh mengetepikan pengalaman luas yang dimilikinya”, kata McQueen. Saya tidak terkejut melihat reaksi dari individu seperti McQueen terutamanya selepas melihat aksi lesu yang dipamerkan barisan pimpinan Moyes di Stadium Etihad kelmarin. Memang benar, United di bawah Sir Alex pernah tewas dengan jaringan lebih besar (1-6) kepada City pada 23 Oktober 2011, tetapi faktor kekurangan seorang pemain selepas Jonny Evans dilayangkan kad merah juga patut diambilkira yang menyumbang kepada kekalahan besar itu. Meskipun tewas besar, saya melihat ada keberanian yang ditunjukkan barisan The Red Devils ketika itu untuk terus bermain secara terbuka dan memberikan tekanan kepada benteng City biarpun kekurangan seorang pemain berbanding aksi yang ditunjukkan anak-anak buah Moyes kelmarin. Secara jujurnya saya masih boleh menelan hakikat perit kekalahan 1-6 pada 2011 berbanding kekalahan kelmarin jika persembahan pemain-pemain dalam kedua-dua perlawanan itu mahu dijadikan perbandingan. Sebagai individu dan pengurus kelab besar seperti United, tentu Moyes memiliki ego sendiri dan tidak mahu membiarkan dirinya dijadikan sasaran kritikan. Pasca kekalahan besar terbaru United kepada City, Moyes menuding jari kepada jadual ketat awal musim yang terpaksa dilalui pasukannya. Saya akui, jadual di awal musim agak merugikan United kerana terpaksa berdepan empat perlawanan sukar (menentang Swansea City, Chelsea, Liverpool dan Manchester City) dalam keadaan kelab yang masih belum 'panas', tetapi dalam masa yang sama saya juga mahu melihat pada sudut lebih positif. Kita sepatutnya lega kerana kelab sudahpun melepasi detik-detik sukar walaupun hanya mampu mengutip satu mata dari tiga perlawanan besar menentang Chelsea, Liverpool dan City. Untuk itu, dalam perlawanan-perlawanan selepas ini menentang West Bromwich (gelanggang sendiri), Sunderland (gelanggang lawan), Southampton (gelanggang sendiri), Stoke City (gelanggang sendiri) dan Fulham (gelanggang lawan) sepatutnya dijadikan medan untuk meraih seberapa banyak mata sebelum kita berdepan satu lagi perlawanan besar menentang Arsenal di gelanggang sendiri pada 11 November nanti.

Moyes mengatakan jadual padat awal musim merugikan pasukannya, tetapi dalam masa yang sama beliau juga perlu mengakui bahawa prestasi yang ditunjukkan pemain-pemainnya di Stadium Etihad tidak menggambarkan langsung bahawa United adalah juara bertahan Liga Perdana. Pemilihan pemain yang dilakukannya untuk perlawanan itu juga sebenarnya dipertikaikan ramai pihak. Bekas pertahanan Arsenal, Martin Keown paling lantang dalam mempertikaikan keputusan pengendali itu untuk terus menggunakan khidmat Ashley Young di sebelah sayap kiri. Saya senada dengan Keown di mana sejak perlawanan menentang Crystal Palace lagi saya kurang 'berkenan' melihat kelibat pemain antarabangsa England itu dalam kesebelasan utama United. Sejak musim lalu lagi, prestasi Young tenggelam hingga menyebabkan dia diberikan amaran oleh Sir Alex supaya meningkatkan tahap permainannya atau berdepan kemungkinan dijual ke kelab lain. Selepas melihat kegagalan Young memainkan peranannya di sebelah kiri, saya kira tibalah masanya untuk Moyes bertindak berani dengan mengetengahkan bakat-bakat muda yang ada dalam pasukan seperti Adnan Januzaj dan Wilfried Zaha. Jika alasan kurangnya pengalaman menjadi penyebab utama Moyes masih keberatan menurunkan Januzaj atau Zaha dalam kesebelasan permulaannya, beliau masih memiliki Nani sebagai pilihan untuk diletakkan di sebelah kiri berbanding terus mengharapkan Young agar mampu menampilkan kembali aksi terbaiknya ketika bersama-sama Aston Villa dulu. Setakat ini Nani hanya digunakan sekali oleh Moyes ketika masuk sebagai pemain gantian ketika berdepan Liverpool 2 September lalu. Walaupun hanya bermain selama 27 minit di Anfield, permainan yang ditunjukkan Nani menerusi larian-lariannya, kawalan bola dan percubaan yang dilakukannya memberikan kita harapan bahawa bintang Portugal itu boleh diletakkan sandaran untuk memikul tugas di bahagian sayap kiri musim ini. Sepertimana yang saya sebutkan tadi, saingan masih di peringkat awal, dan tidak adil untuk kita menilai prestasi Moyes hanya disebabkan dua kekalahan yang dialami setakat ini. Moyes dan kapten pasukannya, Nemanja Vidic pantas melaungkan amaran bahawa kelab akan bangkit dari kekalahan kelmarin tetapi saya lebih cenderung untuk melihat perubahan senarai kesebelasan utama yang bakal digunakan Moyes dalam perlawanan-perlawanan selepas ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

23 September 2013

REVIEW: SUKA ATAU TIDAK, CITY MEMANG LEBIH BAGUS DARI UNITED


Satu lagi episod duka berlaku semalam dan saya pasti akan menjadi kudis untuk kita ingati buat tempoh yang panjang. Apa lagi yang boleh dikatakan tentang keputusan perlawanan semalam kecuali mengecewakan dan saya hampir tidak percaya melihat bahawa pemaim-pemain yang menyarung jersi merah di Stadium Etihad semalam adalah barisan yang digelar sebagai The Red Devils. Kekalahan kepada City dalam mana-mana perlawanan memang sentiasa memberikan kesan yang besar buat pemain dan penyokong, apatah lagi selepas tewas dengan jaringan yang besar seperti ini. Ini merupakan kekalahan kedua terbesar United  kepada City dalam tempoh dua tahun selepas kita dibelasah 1-6 di Old Trafford pada Oktober 2011. Tiada apa yang boleh difikirkan buat masa ini kecuali berharap pemain-pemain bangkit semula dan tidak terbawa-bawa dengan kekalahan memalukan semalam. Mengutip tujuh mata dari lima perlawanan dan berada di tangga kelapan liga merupakan pencapaian terburuk sejak kempen 2004-05, di mana ketika itu diperingkat yang sama United mengutip enam mata dan akhirnya menamatkan musim di tangga ketiga, 18 mata di belakang Chelsea selaku juara liga. David Moyes sendiri mengakui bahawa beliau tidak pernah mengalami kekalahan seteruk ini ketika bersama-sama Everton, dan sebagai pengendali berpengalaman saya harap beliau tahu bagaimana caranya untuk membangkitkan kembali moral barisan pemain-pemainnya yang sudah tentu berada pada tahap rendah ketika ini. Melihat kepada perlawanan semalam, kita perlu mengakui bahawa City jelas pasukan yang lebih bagus berbanding United. Mereka menguasai permainan dari segenap sudut, mengawal bola, sentiasa memberikan ancaman kepada gawang David de Gea dan mudah mematahkan segala gerakan-gerakan yang cuba diatur pemain-pemain United. Hasilnya mereka hanya memerlukan 16 minit untuk menjaringkan gol pertama perlawanan menerusi Sergio Aguero yang menyudahkan hantaran Alexander Kolarov dari sebelah kiri. Selepas ketinggalan 0-1, saya jangkakan pemain-pemain United akan bangkit dan tersedar dari lamunan namun perkara itu tidak berlaku apabila mereka terus membiarkan lawan menguasai permainan.

Melihat tiadanya perubahan kepada corak permainan United (selepas mereka ketinggalan), saya mula merasai bahawa harapan untuk melihat anak-anak buah Moyes bangkit mengejar dari belakang sangat tipis. Peluang United untuk melakukan sesuatu dalam perlawanan ini saya anggap sudah tertutup sebaik Yaya Toure menjaringkan gol kedua City di penghujung separuh masa pertama. Meskipun masih menyimpan sedikit harapan untuk melihat United sekurang-kurangnya bermain lebih baik berbanding aksi mereka di separuh masa pertama, gol kedua peribadi Aguero dalam perlawanan ini, hanya dua minit selepas babak kedua bersambung memusnahkan terus sisa-sisa harapan yang tinggal. Tiga minit selepas itu giliran Samir Nasri pula melengkapkan malam derita buat kita apabila dia menjaringkan gol keempat tuan rumah, menjadikan pesta penyokong-penyokong City semakin hangat. Mungkin satu-satunya 'bonus' buat kita ialah apabila menyaksikan Wayne Rooney menjaringkan gol kedua liganya setakat ini menerusi sepakan percuma cantik diminit ke-87. Sebaik sahaja Howard Webb meniupkan wisel penamat perlawanan, lengkaplah satu lagi episod duka buat kelab dalam sejarah pertemuan mereka menentang City. Apa yang boleh kita simpulkan di sini ialah, kekalahan 1-4 kepada City semalam disebabkan perbezaan kualiti yang besar di bahagian tengah membabitkan kedua-dua pasukan. Dalam artikel sebelum ini (di bawah tajuk Menilai Kekuatan Lima Pencabar Kejuaraan Selepas Jendela Perpindahan Pemain Ditutup), saya ada menyebut bahawa City adalah kelab yang harus diberikan perhatian utama meskipun mereka nampak rileks sepanjang jendela perpindahan musim panas dibuka. Mereka membelanjakan £100 juta untuk mendapatkan pemain-pemain berkualiti dan hasilnya anda lihatlah pada aksi mereka semalam. Meskipun dilihat agak goyah ketika berdepan Cardiff City, Hull City dan Stoke City sebelum ini, bintang-bintang kelas dunia City meledak pada perlawanan besar pertama mereka musim ini. Perlawanan derby tidak kira membabitkan kelab berjiran manapun sepatutnya berlangsung seimbang dan tidak berakhir dengan kelebihan tiga atau empat gol, namun situasi sebaliknya berlaku semalam.

Dalam keadaan normal, mana mungkin kita boleh terfikir bahawa kelab besar seperti United boleh tewas 1-4, tetapi semalam City sudah menunjukkan bahawa masih banyak kerja yang perlu dilakukan Moyes pada baki 33 perlawanan liga selepas ini. Saya sebolehnya tidak mahu menyentuh langsung pemilihan pemain yang dilakukan Moyes semalam, tetapi ada pemain yang sepatutnya tidak berada dalam senarai kesebelasan utama tetapi masih lagi diberikan peluang bermain selama 52 minit. Selepas mengalamai kekalahan teruk terbaru di tangan City, sudah ada suara-suara di kalangan penyokong-penyokong United yang mahukan agar Moyes di pecat, tetapi saya berpendapat itu bukanlah tindakan yang tepat dan bijak. Moyes baru sahaja mengharungi tujuh perlawanan kompetitifnya sebagai pengendali kelab setakat ini (1 perlawanan merebut Perisai Komuniti, 1 perlawanan Liga Juara-Juara dan 5 perlawanan Liga Perdana), jadi berikan masa dan ruang untuk beliau melakukan kerja-kerjanya di Old Trafford. Pada pendapat saya, prestasi United di bawah kendalian Moyes setakat ini masih lagi stabil walaupun kita tidak menang dalam tiga perlawanan besar (menentang Chelsea, Liverpool dan Manchester City). Jangan cepat panik hanya disebabkan prestasi buruk di Stadium Etihad semalam kerana Sir Alex Ferguson sendiri di peringkat awal kariernya sebagai pengendali United terpaksa berdepan detik-detik sukar dan hampir sahaja dipecat. Saya masih berpegang kepada kata-kata saya sebelum ini bahawa sasaran paling realistik pada musim pertama Moyes di Old Trafford ialah menduduki tangga keempat atau ketiga liga, tetapi jika beliau mampu membawa kelab menjulang trofi liga buat kali ke-21, itu satu bonus tambahan buat kita sebagai peminat. Selepas tamat perlawanan semalam, Moyes berjanji akan memperbaiki segala kelemahan yang ada supaya 'tragedi' yang berlaku di Stadium Etihad tidak berulang. Jadi sekali lagi saya berharap agar penyokong-penyokong memberikan Moyes sokongan, ruang dan waktu untuk beliau menjalankan tugasnya sebagai pengendali kelab. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Statistik Perlawanan City - United:

Percubaan: 17-13
Percubaan Tepat: 5-3
Penguasaan Bola: 58%-42%
Kekasaran: 8-11
Sepakan Sudut: 8-4
Offside: 1-4
Kad Kuning: 1-2
Kad Merah:0-0
Gol: 4-1