29 September 2013

REVIEW: TANGGA KE-12, ITULAH REALITINYA


Dua kemenangan, sekali seri dan tiga kekalahan dari enam perlawanan setakat ini meletakkan Manchester United di tangga ke-12 liga. Bagi peminat-peminat yang menyokong United bermula di era 90an, mereka mungkin tidak pernah melihat kelab terperosok di kedudukan bawahan liga, tetapi itulah realiti yang berlaku sekarang. Kekalahan 0-1 kepada Liverpool memang melukakan, 1-4 kepada City cukup mengaibkan dan 1-2 kepada West Bromwich di gelanggang sendiri tidak keterlaluan jika saya anggap sebagai malapetaka. Moyes mengatakan anak-anak buahnya bermain buruk jadi The Baggies memang layak meraih kemenangan pertama mereka ke atas United dalam sejarah pertemuan kedua-dua kelab di Liga Perdana. Meletakkan kesalahan di bahu pemain-pemain adalah lumrah buat mana-mana pengendali setiap kali pasukan mereka mengalami kekalahan, tetapi sebagai penyokong kita berharap Moyes lebih peka dalam hal memilih pemain dan taktikal yang diterapkannya dalam perlawanan-perlawanan selepas ini. Sejak perlawanan pertama menentang Swansea City lagi pemilihan pemain yang dilakukan Moyes dikritik ramai pihak, tetapi mujurlah United menang di Stadium Liberty hingga menyebabkan suara-suara pengkritiknya tenggelam. Semalam ketika berdepan West Brom pemilihan kesebelasan utama yang dilakukan Moyes sekali lagi menjadi perhatian dan keputusannya meletakkan Shinji Kagawa di sebelah kiri menjadi tumpuan penganalisa bolasepak. Selepas tamat perlawanan, Moyes mengatakan bahawa posisi terbaik Kagawa ialah bermain di belakang penyerang dan bukannya di sebelah kiri, jadi timbul persoalan mengapa beliau masih lagi meletakkan Kagawa di 'tempat yang salah'?

Anderson gagal memainkan peranan dengan berkesan sebagai penjana di bahagian tengah hingga menyebabkan Wayne Rooney terpaksa turun jauh ke bawah bagi menggerakan permainan. Kegagalan Anderson memaksa Rooney bekerja keras hingga meletakkan dirinya bermain di hampir semua posisi. Dari tugas sebagai penyerang, perancang hinggalah kepada perampas bola (ball winner), Rooney sepanjang permainan berada di seluruh bahagian padang sekaligus menimbulkan persoalan apa fungsi yang dimainkan Anderson selama 67 minit aksinya semalam sebelum digantikan Marouane Fellaini. Stephane Sessegnon antara pemain lawan yang menyerlah dalam perlawanan ini, tetapi kelibat Morgan Amalfitano tidak kurang hebatnya terutama apabila melihat gol pertama perlawanan hasil gerakan solonya diminit ke-54. Pemain yang dipinjamkan dari Olympique Marseille itu mudah melepasi kawalan Rio Ferdinand, berlari ke arah David de Gea dan kemudiannya dengan tenang meletakkan bola ke gawang United. Meskipun Gol pendahuluan pelawat berjaya dipadamkan Rooney hanya tiga minit selepas itu menerusi satu sepakan percuma, nama pemain muda The Baggies, Saido Berahino pastinya akan diingati penyokong-penyokong United selepas ini apabila dia menjaringkan gol kemenangan pelawat diminit ke-67. Keputusan Moyes mengeluarkan Anderson dan memasukkan Fellaini tidak mampu mengubah keadaan biarpun beberapa peluang terbuka berjaya dihasilkan terutamanya di penghujung permainan. Sebelum perlawanan United dijangka tidak berdepan masalah untuk kembali mengutip tiga mata selepas kekalahan kepada Manchester City minggu lalu, tetapi West Brom memberikan Moyes dan anak-anak buahnya pengajaran yang cukup berguna sebaik wisel penamat ditiup pengadil perlawanan.

Kini timbul pertanyaan apakah rancangan yang akan dilakukan Moyes selepas ini terutamanya apabila melihat bahagian tengah United gagal berfungsi dengan baik dalam dua perlawanan terakhir (menentang City dan West Brom)? Adakah Moyes masih berharap Anderson mampu menjelmakan semula keajaiban yang pernah menjulang namanya ketika bersama FC Porto dulu, atau adakah beliau berani merombak formasi United dengan meletakkan Kagawa di posisi sepatutnya iaitu di belakang penyerang? Kita tidak tahu apa rancangan Moyes selepas ini tetapi kekalahan dua perlawanan liga berturut-turut bukanlah petanda bagus untuk kelab walaupun ada yang mengatakan bahawa masih terlalu awal untuk menilai kemampuan sebenar Moyes selaku pengendali. Satu-satunya perkara yang boleh mengubat sedikit kekecewaan saya semalam ialah apabila menyaksikan prestasi Adnan Januzaj selepas dia dibawa masuk di separuh masa kedua dan peranan yang dimainkan Nani sepanjang perlawanan. Januzaj memaksa bek berpengalaman pelawat, Liam Ridgewell bekerja keras ketika dia bertukar tempat ke sebelah kanan manakala Nani pula saya anggap  pemain terbaik United selepas Rooney. Gerakan-gerakan yang dihasilkan Nani dari sebelah kiri dan kanan serta hantaran-hantaran pendek dan tepatnya seringkali memberikan masalah kepada benteng lawan. Kekalahan semalam menyebabkan saya teruja menanti perlawanan seterusnya, kerana saya ingin melihat akan adakah perubahan yang bakal dilakukan Moyes dalam formasi dan taktikal permainannya terutama di benteng pertahanan dan tengah, atau beliau mahu kita percaya bahawa anak-anak buahnya hanya memerlukan sedikit masa lagi untuk menyesuaikan diri dengan corak dan gaya yang dibawanya. Tunggu dan lihat. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Statistik Perlawanan United-WBA:

Percubaan: 14-12
Percubaan Tepat: 6-4
Penguasaan Bola: 59%-41%
Kekasaran: 10-14
Sepakan Sudut: 5-8
Offside: 4-1
Kad Kuning: 3-2
Kad Merah: 0-0
Gol: 1-2

Tiada ulasan:

Catat Ulasan