Walaupun sekadar perlawanan pusingan ketiga
Piala Liga (Capital One), pertembungan dua musuh tradisi antara Manchester
United dan Liverpool awal pagi esok tetap penting, terutamanya selepas
masing-masing tewas dalam perlawanan liga hujung minggu lalu. United tewas
besar 1-4 ketika berdepan City manakala Liverpool pula dikejutkan dengan
kekalahan pertama mereka musim ini kepada Southampton di Anfield. Jadi saya
melihat perlawanan awal pagi esok di Old Trafford bukan sekadar merebut slot ke
pusingan keempat tetapi lebih kepada usaha kedua-dua pasukan memulihkan semula
maruah yang tercalar. Semasa United di bawah kendalian Sir Alex Ferguson,
beliau menggunakan kejohanan ini sebagai medan terbaik untuknya menguji
pemain-pemain muda selain memberikan peluang buat pemain-pemain seniornya yang
sering memanaskan bangku simpanan disenaraikan sebagai starter. Jika pendekatan yang sama diteruskan David Moyes, kita
berpeluang menyaksikan nama-nama seperti Wilfried Zaha, Adnan Januzaj, Alexander
Buttner, Fabio da Silva, Jonny Evans, Anderson, Nani dan Shinji Kagawa berada
dalam senarai. Selepas kekalahan mengaibkan di Stadium Etihad, saya jangkakan
Moyes akan melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utamanya dengan
beberapa pemain yang diketepikan sebelum ini bakal diletakkan dalam kesebelasan
permulaan. Di bahagian belakang ada perubahan besar yang mungkin boleh kita
saksikan di mana Jonny Evans, Fabio da Silva dan Alexander Buttner saya
jangkakan akan mengisi posisi back four
manakala Rio Ferdinand menjadi pemain paling senior bagi menggalas tugas memimpin
benteng pertahanan.
Agak menarik untuk kita saksikan adakah Moyes
memiliki keberanian dalam melakukan rombakan besar di bahagian tengah dengan
meletakkan gandingan Tom Cleverley, Ryan Giggs atau Anderson serta menggunakan Kagawa, Januzaj atau Wilfried Zaha bagi mengisi
posisi sayap kiri dan kanan. Dengan masalah prestasi tidak menentu yang ditunjukkan
Ashley Young sejak musim lalu, saya berpendapat tibalah masanya untuk Moyes
mengalihkan perhatian kepada pemain-pemain muda United seperti Zaha atau Januzaj,
jadi perlawanan awal pagi esok menjadi permulaan terbaik untuk Moyes
melakukannya. Zaha umpamanya masih belum diberikan peluang bermain dalam lima perlawanan liga setakat ini sejak
kali terakhir tampil dalam aksi merebut Perisai Komuniti Ogos lalu, manakala Januzaj
pula diberikan peluang melakukan penampilan pertama liga ketika berdepan
Crystal Palace 14 September lalu. Untuk rekod, kedua-dua kelab sudah bertemu
sebanyak empat kali dalam saingan Piala Liga ini, di mana United hanya menang
sekali dan tewas baki tiga perlawanan lagi dengan pertemuan terakhir
membabitkan kedua-dua kelab di kejohanan ini berlaku pada 2003. Pertembungan
awal pagi esok menjadi perhatian ramai bukan sahaja disebabkan sejarah
perseteruan antara United-Liverpool, tetapi juga kerana kembalinya Luis Suarez
dari penggantungan sepuluh perlawanan akibat tindakannya mengigit Branislav
Ivanovic musim lalu.
Jika Robin Van Persie khabarnya tidak akan diturunkan
dalam perlawanan ini, (mungkin disebabkan Moyes tidak mahu mengambil risiko
memandangkan penggempur itu baru pulih dari kecederaan), lain pula halnya
dengan Brendan Rodgers. Meskipun beliau dilihat cuba berteka teki tentang
situasi Suarez, saya yakin Rodgers akan meletakkan penyerang kontroversi itu
dalam kesebelasan utamanya berikutan aksi lesu yang ditunjukkan Daniel
Sturridge dalam saingan liga hujung minggu lalu. Suarez kambali dari
penggantungan tetapi Rodgers kehilangan khidmat Daniel Agger, Phillipe
Coutinho, Aly Cissokho dan Sebastian Coates dalam perlawanan ini kerana masih
dibelenggu kecederaan. Selain dua pemain muda United sama ada Zaha atau Januzaj
(jika diturunkan), tumpuan peminat dalam perlawanan ini saya pasti turut
terarah kepada kelibat Suarez. Jika Rodgers meletakkan Suarez dalam kesebelasan
utamanya, sudah tentu pemain itu perlu diawasi benteng pertahanan United.
Ketepikan dulu segala kontroversi yang menyelubungi kariernya di England kerana
saya lebih suka melihat bahaya yang mampu dijelmakan bintang Uruguay ini dalam
setiap perlawanan. Selain licik dengan tipu helahnya, Suarez juga memiliki aset
dalam situasi bola mati menerusi sepakan percumanya. Saya berharap laungan
Nemanja Vidic bahawa United akan bangkit dari kekalahan tempohari akan
dijelmakan rakan-rakan sepasukannya di tengah padang dalam perlawanan ini.
Lupakan dulu aib yang berlaku di Stadium Etihad kerana saya mahu berjaga awal
pagi esok semata-mata untuk menikmati permainan barisan yang selama ini digelar
The Red Devils. Menang, seri atau
kalah…selamanya United. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Barisan Kemungkinan United: David de Gea,
Fabio da Silva, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Alexander Buttner, Anderson, Tom Cleverley, Shinji Kagawa, Wilfried Zaha, Danny Welbeck &
Wayne Rooney
Barisan Kemungkinan Liverpool: Simon
Mignolet, Mamadou Sakho, Martin Skrtel, Kolo Toure, Jose Enrique, Steven
Gerrard, Lucas Lieva, Victor Moses, Jordan Henderson, Luis Suarez & Daniel
Sturridge
Tiada ulasan:
Catat Ulasan