Gol tunggal jaringan Javier Hernandez sudah
cukup memberikan Manchester United slot ke pusingan keempat Piala Liga (Capital
One) selepas mereka mengetepikan Liverpool 1-0 di Old Trafford awal pagi tadi. Seperti
yang dijangkakan, David Moyes melakukan rombakan besar ke atas skuadnya dalam
perlawanan ini apabila menurunkan lapan nama baru berbanding skuad yang
berkunjung ke Stadium Etihad Ahad lalu. Hernandez sepertimana biasa jarang mengecewakan
bila diturunkan dan penyerang Mexico itu sekali lagi membuktikan ketajamannya
awal pagi tadi. Melalui satu sepakan sudut di awal babak kedua, Hernandez bijak
membebaskan dirinya dari kawalan Jose Enrique untuk mudah menolak masuk gol
tunggal perlawanan sekaligus memastikan tiket ke pusingan keempat menjadi milik
The Red Devils. Sudah tentu gol pertama
Hernadez musim ini bakal meletakkan Moyes dalam dilema ketika memilih siapa
yang patut diberikan hak menghuni slot selaku penggempur pasukannya dalam
perlawanan-perlawanan selepas ini. Meskipun sering bermula dari bangku
simpanan, tanpa ragu Hernandez sudah menjaringkan banyak gol-gol penting sepanjang
karier tiga tahunnya di Old Trafford, dan awal pagi tadi 'Chicharito'
seolah-olah memberikan amaran bahawa dia adalah pesaing terkuat untuk merebut
slot selaku penggempur United musim ini. Setakat ini United hanya menjaringkan
tujuh gol dalam lima perlawanan liga, walaupun mereka tampak garang di pentas
Eropah apabila membenam Bayer Leverkusen 4-2. Bagaimanapun saya percaya, gol dan
prestasi yang ditunjukkan Hernandez awal pagi tadi bakal membuatkan Wayne Rooney,
Robin Van Persie dan Danny Welbeck lebih bermotivasi untuk menjaringkan lebih
banyak gol selepas ini sekaligus mencetuskan persaingan sihat di bahagian
hadapan. Selepas Moyes melakukan perubahan besar dalam kesebelasan utamanya
awal pagi tadi, United tampil dengan corak menyerang yang lebih menyakinkan berbanding
aksi-aksi mereka dalam saingan liga setakat ini (kecuali aksi menentang Swansea
City).
Melihat kepada prestasi baik Liverpool di
awal musim, keputusan Moyes menurunkan pemain-pemain yang sebelumnya sekadar
memanaskan bangku simpanan seperti Alexander Buttner, Hernandez, Shinji Kagawa,
Nani dan Jonny Evans sambil dibantu senior yang lebih berpengalaman seperti
Ryan Giggs dan Rooney adalah satu perjudian yang berani. Paling menarik apabila
melihat keputusan Moyes mempertaruhkan Buttner, Smalling dan Evans di benteng
pertahanan walapun beliau sedar ancaman dari Luis Suarez yang akan memulakan aksi
pertamanya musim ini selepas bebas dari penggantungan sepuluh perlawanan. Dalam
preview perlawanan sebelum ini, saya
ada mengatakan bahawa kelibat Luis Suarez perlu diawasi walaupun dia tidak
beraksi hampir lima bulan, dan kebimbangan saya terbukti apabila Suarez hampir
sahaja menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan percumanya di separuh masa
kedua yang sekadar singgah di palang gol. Keputusan akhir perlawanan memang
menggembirakan, tetapi kembalinya Rafael dalam kesebelasan utama selepas pulih
dari kecederaan merupakan satu lagi berita yang bagus untuk kita. Selain prestasi
cemerlang Hernandez dan gol yang dihasilkannya, tumpuan kita dalam perlawanan
ini sudah tentu terarah kepada aksi yang dipamerkan Phil Jones, Nani dan Kagawa
di bahagian tengah. Saya tidak tahu apakah sebenarnya rancangan yang ingin
dilakukan Moyes terhadap Kagawa, tetapi melihat kepada prestasia yang ditunjukkannya
awal pagi tadi memberikan kita harapan bahawa midfielder Jepun itu adalah jawapan kepada kurangnya kreativiti di
bahagian tengah United ketika ini. Selepas tamat perlawanan, Moyes mengatakan
kepada wartawan bahawa Kagawa masih berdepan masalah kecergasan yang tidak
memungkinkannya untuk bermain selama 90 minit, tetapi beliau percaya pemain
tengah itu secara perlahan-lahan sedang mendaki puncak prestasi.
Nani pula pada pandangan saya tidak
mengecewakan terutamanya selepas melihat gerakan-gerakan yang dihasilkannya
dari sebelah kiri dan kadangkala beralih ke sebelah kanan. Apa yang dipamerkannya
awal pagi tadi sebenarnya jauh lebih bagus berbanding sumbangan yang diberikan
Ashley Young sebelum ini, manakala Phil Jones juga tidak mengecewakan ketika
memainkan peranannya sebagai pemain tengah bertahan meskipun baru pulih dari
kecederaan. Kelibat Wilfried Zaha masih tidak kelihatan tetapi Adnan Januzaj
sudah bermain buat kali kedua (dalam semua kejohanan) setakat ini, dan itu satu
perkembangan baik untuk pemain muda sepertinya. Keputusan akhir perlawanan
memang penting buat kedua-dua pasukan terutamanya selepas mereka tewas dalam
aksi terakhir liga. Perlawanan ini bukan sekadar menawarkan tiket ke pusingan
keempat, tetapi penyokong kedua-dua kelab juga ingin melihat bagaimana reaksi
pemain-pemain mereka bangkit dari kekalahan liga hujung minggu lalu. Bagi saya tekanan
sebenarnya lebih terarah kepada United kerana mereka bukan sahaja perlu bangkit
dari kekalahan besar 1-4 kepada City, tetapi anak-anak buah Moyes juga perlu
menebus semula kekalahan yang dialami mereka dalam derby North-West di Anfield 2 September lalu. Anda bayangkanlah
bagaimana agaknya reaksi penyokong-penyokong dan pengkritik jika United tewas
sekali lagi kepada Liverpool dalam perlawanan ini? Untuk menyarung jersi
United, anda memerlukan kekuatan serta jiwa yang besar ketika berdepan tekanan dan
kemudiannya bangkit dari kekecewaan dalam tempoh hanya beberapa hari. Meskipun
teraju pengendali sudah bertukar tangan, saya percaya pemain-pemain sedar akan
tanggungjawab mereka sebagai pemain United setiap kali diberikan tugas beraksi
di tengah padang. Awal pagi tadi mereka sekali lagi membuktikannya apabila
memilih waktu, tempat dan lawan yang tepat untuk bangkit kembali. Glory Glory Manchester
United!!! – A.J
Statistik Perlawanan:
Percubaan: 18-17
Percubaan Tepat: 4-3
Penguasaan Bola: 47%-53%
Kekasaran: 12-9
Sepakan Sudut: 7-11
Offside: 1-1
Kad Kuning: 2-3
Kad Merah: 0-0
Gol: 1-0
Tiada ulasan:
Catat Ulasan