Satu lagi episod duka berlaku semalam dan
saya pasti akan menjadi kudis untuk kita ingati buat tempoh yang panjang. Apa
lagi yang boleh dikatakan tentang keputusan perlawanan semalam kecuali
mengecewakan dan saya hampir tidak percaya melihat bahawa pemaim-pemain yang
menyarung jersi merah di Stadium Etihad semalam adalah barisan yang digelar
sebagai The Red Devils. Kekalahan
kepada City dalam mana-mana perlawanan memang sentiasa memberikan kesan yang
besar buat pemain dan penyokong, apatah lagi selepas tewas dengan jaringan yang
besar seperti ini. Ini merupakan kekalahan kedua terbesar United kepada City dalam tempoh dua tahun selepas
kita dibelasah 1-6 di Old Trafford pada Oktober 2011. Tiada apa yang boleh
difikirkan buat masa ini kecuali berharap pemain-pemain bangkit semula dan
tidak terbawa-bawa dengan kekalahan memalukan semalam. Mengutip tujuh mata dari
lima perlawanan dan berada di tangga kelapan liga merupakan pencapaian terburuk
sejak kempen 2004-05, di mana ketika itu diperingkat yang sama United mengutip
enam mata dan akhirnya menamatkan musim di tangga ketiga, 18 mata di belakang
Chelsea selaku juara liga. David Moyes sendiri mengakui bahawa beliau tidak
pernah mengalami kekalahan seteruk ini ketika bersama-sama Everton, dan sebagai
pengendali berpengalaman saya harap beliau tahu bagaimana caranya untuk
membangkitkan kembali moral barisan pemain-pemainnya yang sudah tentu berada
pada tahap rendah ketika ini. Melihat kepada perlawanan semalam, kita perlu
mengakui bahawa City jelas pasukan yang lebih bagus berbanding United. Mereka
menguasai permainan dari segenap sudut, mengawal bola, sentiasa memberikan
ancaman kepada gawang David de Gea dan mudah mematahkan segala gerakan-gerakan
yang cuba diatur pemain-pemain United. Hasilnya mereka hanya memerlukan 16
minit untuk menjaringkan gol pertama perlawanan menerusi Sergio Aguero yang
menyudahkan hantaran Alexander Kolarov dari sebelah kiri. Selepas ketinggalan
0-1, saya jangkakan pemain-pemain United akan bangkit dan tersedar dari lamunan
namun perkara itu tidak berlaku apabila mereka terus membiarkan lawan menguasai
permainan.
Melihat tiadanya perubahan kepada corak
permainan United (selepas mereka ketinggalan), saya mula merasai bahawa harapan
untuk melihat anak-anak buah Moyes bangkit mengejar dari belakang sangat tipis.
Peluang United untuk melakukan sesuatu dalam perlawanan ini saya anggap sudah
tertutup sebaik Yaya Toure menjaringkan gol kedua City di penghujung separuh
masa pertama. Meskipun masih menyimpan sedikit harapan untuk melihat United
sekurang-kurangnya bermain lebih baik berbanding aksi mereka di separuh masa
pertama, gol kedua peribadi Aguero dalam perlawanan ini, hanya dua minit
selepas babak kedua bersambung memusnahkan terus sisa-sisa harapan yang
tinggal. Tiga minit selepas itu giliran Samir Nasri pula melengkapkan malam
derita buat kita apabila dia menjaringkan gol keempat tuan rumah, menjadikan
pesta penyokong-penyokong City semakin hangat. Mungkin satu-satunya 'bonus'
buat kita ialah apabila menyaksikan Wayne Rooney menjaringkan gol kedua liganya
setakat ini menerusi sepakan percuma cantik diminit ke-87. Sebaik sahaja Howard
Webb meniupkan wisel penamat perlawanan, lengkaplah satu lagi episod duka buat
kelab dalam sejarah pertemuan mereka menentang City. Apa yang boleh kita
simpulkan di sini ialah, kekalahan 1-4 kepada City semalam disebabkan perbezaan
kualiti yang besar di bahagian tengah membabitkan kedua-dua pasukan. Dalam
artikel sebelum ini (di bawah tajuk Menilai Kekuatan Lima Pencabar Kejuaraan
Selepas Jendela Perpindahan Pemain Ditutup), saya ada menyebut bahawa City adalah
kelab yang harus diberikan perhatian utama meskipun mereka nampak rileks
sepanjang jendela perpindahan musim panas dibuka. Mereka membelanjakan £100
juta untuk mendapatkan pemain-pemain berkualiti dan hasilnya anda lihatlah pada
aksi mereka semalam. Meskipun dilihat agak goyah ketika berdepan Cardiff City,
Hull City dan Stoke City sebelum ini, bintang-bintang kelas dunia City meledak
pada perlawanan besar pertama mereka musim ini. Perlawanan derby tidak kira membabitkan kelab berjiran manapun sepatutnya
berlangsung seimbang dan tidak berakhir dengan kelebihan tiga atau empat gol, namun
situasi sebaliknya berlaku semalam.
Dalam keadaan normal, mana mungkin kita boleh
terfikir bahawa kelab besar seperti United boleh tewas 1-4, tetapi semalam City
sudah menunjukkan bahawa masih banyak kerja yang perlu dilakukan Moyes pada
baki 33 perlawanan liga selepas ini. Saya sebolehnya tidak mahu menyentuh
langsung pemilihan pemain yang dilakukan Moyes semalam, tetapi ada pemain yang
sepatutnya tidak berada dalam senarai kesebelasan utama tetapi masih lagi
diberikan peluang bermain selama 52 minit. Selepas mengalamai kekalahan teruk terbaru
di tangan City, sudah ada suara-suara di kalangan penyokong-penyokong United yang
mahukan agar Moyes di pecat, tetapi saya berpendapat itu bukanlah tindakan yang
tepat dan bijak. Moyes baru sahaja mengharungi tujuh perlawanan kompetitifnya sebagai
pengendali kelab setakat ini (1 perlawanan merebut Perisai Komuniti, 1
perlawanan Liga Juara-Juara dan 5 perlawanan Liga Perdana), jadi berikan masa
dan ruang untuk beliau melakukan kerja-kerjanya di Old Trafford. Pada pendapat
saya, prestasi United di bawah kendalian Moyes setakat ini masih lagi stabil walaupun
kita tidak menang dalam tiga perlawanan besar (menentang Chelsea, Liverpool dan
Manchester City). Jangan cepat panik hanya disebabkan prestasi buruk di Stadium
Etihad semalam kerana Sir Alex Ferguson sendiri di peringkat awal kariernya
sebagai pengendali United terpaksa berdepan detik-detik sukar dan hampir sahaja
dipecat. Saya masih berpegang kepada kata-kata saya sebelum ini bahawa sasaran paling
realistik pada musim pertama Moyes di Old Trafford ialah menduduki tangga keempat
atau ketiga liga, tetapi jika beliau mampu membawa kelab menjulang trofi liga
buat kali ke-21, itu satu bonus tambahan buat kita sebagai peminat. Selepas
tamat perlawanan semalam, Moyes berjanji akan memperbaiki segala kelemahan yang
ada supaya 'tragedi' yang berlaku di Stadium Etihad tidak berulang. Jadi sekali
lagi saya berharap agar penyokong-penyokong memberikan Moyes sokongan, ruang
dan waktu untuk beliau menjalankan tugasnya sebagai pengendali kelab. Glory Glory
Manchester United!!! – A.J
Statistik Perlawanan City - United:
Percubaan: 17-13
Percubaan Tepat: 5-3
Penguasaan Bola: 58%-42%
Kekasaran: 8-11
Sepakan Sudut: 8-4
Offside: 1-4
Kad Kuning: 1-2
Kad Merah:0-0
Gol: 4-1
Tiada ulasan:
Catat Ulasan