24 September 2013

SINDROM LAMBAT PANAS ATAU KESILAPAN DALAM MEMILIH PEMAIN?


Manchester United ketika di bawah kendalian Sir Alex Ferguson memang dikenali sebagai kelab yang 'lambat panas' di awal musim, tetapi selepas jawatan pengurus bertukar tangan, adakah United masih lagi dihantui sindrom tersebut? Dua kemenangan, sekali seri dan dua kekalahan yang diraih United setakat ini meletakkan kelab di tangga kelapan liga, jauh dari pencapaian yang dicatatkan musim lalu di peringkat yang sama (empat menang dan sekali kalah). Masih terlalu awal untuk mengatakan bahawa kelab di landa krisis selepas berakhirnya era 27 tahun Sir Alex yang penuh gemilang. Saya lebih suka menganggap bahawa di peringkat ini pemain-pemain sebenarnya masih dalam proses beradaptasi dengan gaya pengurusan, kejurulatihan dan taktikal yang digunakan David Moyes di padang latihan dan juga ketika permainan. United memulakan musim dengan aksi yang agak mengejutkan apabila mudah membenam Swansea City (di gelanggang lawan), kelab yang pada mulanya dijangka bakal memberikan masalah besar kepada anak-anak buah Moyes berikutan prestasi menakjubkan mereka musim lalu. Perlawanan kedua liga menentang Chelsea pula, United terpaksa berkongsi mata di gelanggang sendiri sebelum mengalami kekalahan pertama musim ini kepada Liverpool di Anfield pada perlawanan ketiga. Walaupun tidak beraksi dengan baik, United bangkit semula apabila menewaskan pendatang baru Liga Perdana, Crystal Palace 2-0 di Old Trafford, perlawanan yang pada pandangan saya sepatutnya dimenangi dengan jaringan lebih besar selepas Palace terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain selama hampir 50 minit. Manchester City memberikan tamparan hebat kepada barisan The Red Devils kelmarin apabila mereka menang bergaya 4-1 di gelanggang sendiri, sekaligus memaksa kita merenung kembali hakikat apakah barisan yang ada cukup kompetitif untuk mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi musim lalu atau Moyes melakukan kesilapan dalam memilih pemain ketika menentang City? Kekalahan kepada City menyebabkan kelab dihujani berbagai kritikan dari peminat serta penganalisis bolasepak, dan Moyes selaku pengendali sudah tentu menjadi sasaran utama mereka. Kini sudah ramai yang meragui kemampuan Moyes mengendalikan kelab terutamanya dalam meneruskan kecemerlangan yang pernah diraih Sir Alex sebelum ini. Kritikan paling lantang datangnya dari bekas lagenda kelab sendiri, Gordon McQueen yang menganggap persaraan Sir Alex menjadi penyebab prestasi United agak lesu terutamanya ketika berdepan kelab-kelab besar Liga Perdana.

Tanpa ragu-ragu, McQueen meminta agar Moyes mendapatkan sedikit nasihat dan tips dari Sir Alex terutamanya dalam berdepan detik-detik sukar ketika ini. “Meminta nasihat tidak bermakna anda lemah tetapi itu sebenarnya menunjukkan kekuatan anda. Pada peringkat awal karier Sir Alex di Old Trafford, Sir Matt Busby ada di sana untuk memberikan bantuan ketika beliau (Sir Alex) berdepan detik sukar. Selain dari itu, anda tidak boleh mengetepikan pengalaman luas yang dimilikinya”, kata McQueen. Saya tidak terkejut melihat reaksi dari individu seperti McQueen terutamanya selepas melihat aksi lesu yang dipamerkan barisan pimpinan Moyes di Stadium Etihad kelmarin. Memang benar, United di bawah Sir Alex pernah tewas dengan jaringan lebih besar (1-6) kepada City pada 23 Oktober 2011, tetapi faktor kekurangan seorang pemain selepas Jonny Evans dilayangkan kad merah juga patut diambilkira yang menyumbang kepada kekalahan besar itu. Meskipun tewas besar, saya melihat ada keberanian yang ditunjukkan barisan The Red Devils ketika itu untuk terus bermain secara terbuka dan memberikan tekanan kepada benteng City biarpun kekurangan seorang pemain berbanding aksi yang ditunjukkan anak-anak buah Moyes kelmarin. Secara jujurnya saya masih boleh menelan hakikat perit kekalahan 1-6 pada 2011 berbanding kekalahan kelmarin jika persembahan pemain-pemain dalam kedua-dua perlawanan itu mahu dijadikan perbandingan. Sebagai individu dan pengurus kelab besar seperti United, tentu Moyes memiliki ego sendiri dan tidak mahu membiarkan dirinya dijadikan sasaran kritikan. Pasca kekalahan besar terbaru United kepada City, Moyes menuding jari kepada jadual ketat awal musim yang terpaksa dilalui pasukannya. Saya akui, jadual di awal musim agak merugikan United kerana terpaksa berdepan empat perlawanan sukar (menentang Swansea City, Chelsea, Liverpool dan Manchester City) dalam keadaan kelab yang masih belum 'panas', tetapi dalam masa yang sama saya juga mahu melihat pada sudut lebih positif. Kita sepatutnya lega kerana kelab sudahpun melepasi detik-detik sukar walaupun hanya mampu mengutip satu mata dari tiga perlawanan besar menentang Chelsea, Liverpool dan City. Untuk itu, dalam perlawanan-perlawanan selepas ini menentang West Bromwich (gelanggang sendiri), Sunderland (gelanggang lawan), Southampton (gelanggang sendiri), Stoke City (gelanggang sendiri) dan Fulham (gelanggang lawan) sepatutnya dijadikan medan untuk meraih seberapa banyak mata sebelum kita berdepan satu lagi perlawanan besar menentang Arsenal di gelanggang sendiri pada 11 November nanti.

Moyes mengatakan jadual padat awal musim merugikan pasukannya, tetapi dalam masa yang sama beliau juga perlu mengakui bahawa prestasi yang ditunjukkan pemain-pemainnya di Stadium Etihad tidak menggambarkan langsung bahawa United adalah juara bertahan Liga Perdana. Pemilihan pemain yang dilakukannya untuk perlawanan itu juga sebenarnya dipertikaikan ramai pihak. Bekas pertahanan Arsenal, Martin Keown paling lantang dalam mempertikaikan keputusan pengendali itu untuk terus menggunakan khidmat Ashley Young di sebelah sayap kiri. Saya senada dengan Keown di mana sejak perlawanan menentang Crystal Palace lagi saya kurang 'berkenan' melihat kelibat pemain antarabangsa England itu dalam kesebelasan utama United. Sejak musim lalu lagi, prestasi Young tenggelam hingga menyebabkan dia diberikan amaran oleh Sir Alex supaya meningkatkan tahap permainannya atau berdepan kemungkinan dijual ke kelab lain. Selepas melihat kegagalan Young memainkan peranannya di sebelah kiri, saya kira tibalah masanya untuk Moyes bertindak berani dengan mengetengahkan bakat-bakat muda yang ada dalam pasukan seperti Adnan Januzaj dan Wilfried Zaha. Jika alasan kurangnya pengalaman menjadi penyebab utama Moyes masih keberatan menurunkan Januzaj atau Zaha dalam kesebelasan permulaannya, beliau masih memiliki Nani sebagai pilihan untuk diletakkan di sebelah kiri berbanding terus mengharapkan Young agar mampu menampilkan kembali aksi terbaiknya ketika bersama-sama Aston Villa dulu. Setakat ini Nani hanya digunakan sekali oleh Moyes ketika masuk sebagai pemain gantian ketika berdepan Liverpool 2 September lalu. Walaupun hanya bermain selama 27 minit di Anfield, permainan yang ditunjukkan Nani menerusi larian-lariannya, kawalan bola dan percubaan yang dilakukannya memberikan kita harapan bahawa bintang Portugal itu boleh diletakkan sandaran untuk memikul tugas di bahagian sayap kiri musim ini. Sepertimana yang saya sebutkan tadi, saingan masih di peringkat awal, dan tidak adil untuk kita menilai prestasi Moyes hanya disebabkan dua kekalahan yang dialami setakat ini. Moyes dan kapten pasukannya, Nemanja Vidic pantas melaungkan amaran bahawa kelab akan bangkit dari kekalahan kelmarin tetapi saya lebih cenderung untuk melihat perubahan senarai kesebelasan utama yang bakal digunakan Moyes dalam perlawanan-perlawanan selepas ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan