28 September 2013

PREVIEW: MANCHESTER UTD v WBA



Selepas terpaksa berdepan perlawanan-perlawanan getir di awal musim, kini tibalah masanya untuk Manchester United mula mengumpul sebanyak mata yang boleh di mana aksi menentang West Bromwich Albion di Old Trafford esok adalah waktu yang tepat untuk memulakannya. Kejayaan membenam Liverpool di pusingan ketiga Piala Liga (Capital One Cup), diharap menjadi tonik terbaik buat anak-anak buah David Moyes bangkit semula dalam saingan liga selepas aksi mengecewakan yang mereka pamerkan di Stadium Etihad minggu lalu. Berada di tangga kelapan liga ketika ini merupakan kedudukan terendah United dalam tempoh lima tahun, jadi kita berharap kesebelasan utama yang bakal diturunkan Moyes nanti tidak melepaskan peluang untuk merakamkan kemenangan ke-48 ke atas The Baggies sekaligus kembali memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga. Melihat kepada persembahan baik yang dipamerkan Shinji Kagawa dalam dua perlawanan lalu (menentang Bayer Leverkusen dan Liverpool), saya berharap agar Moyes mula menggunakan kreativiti yang ada pada bintang antarabangsa Jepun itu, tidak kiralah sama ada dia diletakkan di sebelah kiri ataupun di bahagian tengah. Jika penyokong-penyokong mengharapkan agar Kagawa kerap diberikan peluang beraksi oleh Moyes, Wayne Rooney pula adalah nama yang memang sepatutnya ada dalam kesebelasan utama United dalam setiap perlawanan. Rooney pemain terbaik United ketika ini, jadi tidak syak lagi bahawa dia akan mengetuai jentera serangan United dalam perlawanan ini ketika nama Robin van Persie besar kemungkinan akan sekali lagi diketepikan berikutan masalah kecederaan. Meskipun diberitakan sudah mula menjalani latihan, saya yakin Moyes tidak akan mengambil risiko mempertaruhkan kecergasan penyerang Belanda itu ketika melayani kunjungan The Baggies nanti. Bagi anak-anak buah Steve Clarke pula, mereka tentunya mahu segera melupakan kekecewaan disingkir Arsenal menerusi penentuan sepakan penalti pada saingan Piala Liga dengan cuba melakar kejutan di Old Trafford.  Berdepan juara bertahan di gelanggang lawan, Clarke amat mengharapkan agar Victor Anichebe dan Nicholas Anelka kembali cergas sepenuhnya untuk diturunkan manakala pemain tengahnya, Chris Brunt akan diketepikan buat kali ketiga berturut-turut kerana masalah kecederaan pangkal paha.

Mujur buat Clarke kerana ketiadaan Brunt diimbangi dengan kehadiran semula pemain tengah Argentina, Claudio Yacob yang disahkan sudah boleh kembali beraksi. Dua kunjungan terakhir mereka di Old Trafford berakhir dengan kekalahan 0-2, tetapi The Baggies melakukan kebangkitan hebat pada perlawanan terakhir liga musim lalu menentang United di gelanggang sendiri apabila bangkit dari ketinggalan 0-3 untuk mengikat juara bertahan itu 5-5. Kerapuhan benteng pertahanan United di Stadium Etihad mungkin boleh dijadikan sedikit panduan oleh Clarke dalam merangka strategi ketika menyerang, tetapi saya percya selepas melihat aksi terpuji yang dipamerkan Jonny Evans, Chris Smalling, Fabio da Silva dan Alexander Buttner ketika berdepan Liverpool kelmarin, akan ada sedikit rombakan di bahagian belakang United dalam perlawanan ini. Stephane Sessegnon sudah tentu antara nama yang perlu diawasi dalam aksi di Old Trafford nanti terutamanya selepas dia meledak gol sulung pada penampilan pertamanya untuk West Brom ketika berdepan Sunderland minggu lalu. Sessegnon antara pemain Sunderland paling menyerlah musim lalu dan saya sedikit hairan mengapa bekas pengurus mereka, Paolo Di Canio melepaskan antara pemain terbaiknya ke pasukan lain musim ini. Bersama West Brom, Sessegnon nampaknya tidak memerlukan tempoh yang lama untuk menyesuaikan di The Hawthorns dan kreativitinya sudah tentu akan digunakan Clarke bagi membuka ruang kepada Anichebe atau Anelka untuk menghasilkan gol. Jika perlawanan terakhir membabitkan kedua-dua kelab menyaksikan sepuluh gol dijaringkan, saya tidak nampak situasi itu akan berulang kali ini. Selepas lima perlawanan, barisan pertahanan The Baggies hanya melepaskan empat gol, jadi Rooney dan rakan gandingannya di bahagian hadapan nanti perlu bekerja keras untuk memecahkan benteng pertahanan lawan yang dijangka akan dibarisi Jonas Olsson, Gareth McAuley, Liam Ridgewell dan Billy Jones. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Fakta Perlawanan:

- West Brom tidak pernah menewaskan United dalam saingan Liga Perdana (seri tiga dan tewas sebelas perlawanan)

- United tidak tewas dalam 18 perlawanan liga mereka menentang West Brom. Kali terakhir United tewas di tangan West Brom ialah pada 31 Mac 1982 (di The Hawthorns) dengan jaringan 0-2.

- Tujuh mata (dalam lima perlawanan) yang dikutip United setakat ini merupakan catatan terendah sejak musim 1989-90.

- Jika meraih keputusan seri dalam perlawanan ini, United akan menyamai pencapaian musim 2002-03. Ketika itu, United mengutip lapan mata dari enam perlawanan awal tetapi kemudiannya muncul juara liga di akhir musim.

- Statistik musim ini menunjukkan Michael Carrick berjaya merampas bola dari penguasaan lawan sebanyak 26 kali, lapan kali lebih banyak berbanding pemain lain di Liga Perdana.

- Gol yang dihasilkan Stephane Sessegnon ketika berdepan Sunderland minggu lalu membolehkan dia muncul pemain ketiga menjaringkan gol ke gawang kelab lama pada penampilan pertama. Sebelum ini Ian Marshall melakukannya bersama Ipswich Town (berdepan Oldham pada 1993) dan Stern John bersama Sunderland (berdepan Birmingham City pada 2007).

- Tiga dari empat gol West Brom musim ini dijaringkan dalam tempoh 15 minit terakhir sebelum permainan sebenar tamat.

Barisan Kemungkinan United: David de Gea, Patrice Evra, Jonny Evans, Nemanja Vidic, Fabio da Silva, Michael Carrick, Marouane Fellaini, Nani, Antonio Valencia, Wayne Rooney & Javier Hernandez

Barisan Kemungkinan West Brom: Boaz Myhill, Liam Ridgewell, Jonas Olsson, Gareth McAuley, Billy Jones, Youssouf Malumbu, James Morrisson, Claudio Yacob, Morgan Amalfitano, Stephane Sessegnon & Nicholas Anelka

Tiada ulasan:

Catat Ulasan