07 Oktober 2014

KEANO...YANG SENTIASA MENGGERUNKAN


Ungkapan “Winning is everything" sudah begitu sinonim dengan Roy Keane sepanjang 12 tahun beliau di Old Trafford. Ungkapan itu sebenarnya memang bertepatan dengan Keano kerana selama 12 tahun menyarung jersi kelab, beliau sudah memenangi segala-galanya untuk United. Beliau mungkin terlepas aksi final Liga Juara-Juara 1999 menentang Bayern Munich akibat penggantungan, tetapi tanpa sumbangannya terutama ketika menyingkirkan Juventus yang diperkuatkan Zinedine Zidane di peringkat separuh akhir, barisan Treble 99 tidak mungkin berada di Nou Camp dan menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali ke-2. Keano mungkin bukan pemain tengah paling berbakat di dunia ketika eranya tetapi konsistensi yang dipamerkannya cukup menakjubkan. Ada pendapat mengatakan bahawa sikap panas baran Keano ketika di dalam padang sebenarnya didorong oleh nalurinya yang terlalu obses terhadap kemenangan. Keano tidak memerlukan skill menggelecek hebat ketika mengemudi bahagian tengah United, tetapi sikap inginkan kemenangan yang sentiasa diletakannya ditempat tertinggi adalah senjata utamanya, sekaligus menjadikan beliau sebagai pemimpin yang cukup dikagumi kawan dan lawan. Ketika zaman kemuncaknya, Keano bukan sahaja digeruni lawan malah juga kawan dan sehingga ke hari ini beliau masih lagi kekal digeruni biarpun sudah hampir lapan tahun bersara sebagai pemain. Tidak sah juga kalau bercakap tentang Keano jika tidak menyebut insiden terjahan kerasnya ke atas Alf Inge Haaland pada 2001 hingga menyebabkan pemain Norway dan Manchester City itu terpaksa menamatkan karier bolasepaknya lebih awal.


Akibat sikap lantang, agresif dan panas barannya juga menyebabkan Keano pernah diletakkan ditangga teratas dalam senarai 10 pemain bolasepak paling menggerunkan bersama-sama Miguel Angel Nadal, Gennaro Gattuso, Pepe, Claudio Gentile, Stuart Pearce, Billy Bremner, Andoni Goikoetxea, Ron Harris dan Graeme Souness. Baru-baru ini Gerard Pique mendedahkan bahawa semasa di Old Trafford beliau lebih takutkan Keano berbanding `hair dryer treatment' Fergie. "Saya tidak begitu takutkan Sir Alex. Roy Keane? Ya, itu sedikit berbeza. Saya masih ingat ketika kami berada di bilik persalinan dan telefon bimbit saya bergetar. Keano mendengar dan mula mencari siapa pemilik telefon tersebut. Sebelum perlawanan menentang Celtic musim lalu, saya melihat Keano berada di tepi padang sebagai pengulas ketika kami melakukan sesi memanaskan badan. Saya menutup wajah saya kerana saya masih ketakutan. Saya sudah berusia 26 tahun tetapi masih ketakutan setengah mati", kata Pique. Begitulah hebatnya Keano, bukan sahaja penuh kontroversi, panas baran, kepala angin tetapi juga pemimpin, idola dan juga lagenda. Mungkin beliau menimbulkan kemarahan segelintir peminat menerusi komen-komen pedasnya terhadap rakan-rakan sepasukan dan kelab ketika penghujung kariernya di Old Trafford, tetapi sumbangan besarnya terhadap sejarah dan kejayaan kelab tidak harus kita lupakan. Keano bukan hanya watak antagonis di atas padang, tetapi penuh karisma, pemain yang menggerunkan dan hingga kini beliau masih lagi kekal menggerunkan...Glory Glory Manchester United!!! - A.J

p/s: Kepada pembaca budiman, jika anda ada masa terluang dan ingin bersembang tentang apa sahaja topik berkaitan Manchester United, singgahlah di page Forum Manchester United Malaysia (di Facebook) yang baru sahaja dibuka oleh seorang rakan penyokong setia United. Terima kasih.

06 Oktober 2014

EMPAT TERATAS...UNITED AKHIRNYA BERADA DI TEMPAT SEPATUTNYA MEREKA BERADA

Manchester United menang lagi, manakala Angel Di Maria pula dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan buat kali ke-2 dari lima perlawanan. Kemenangan semalam melonjakkan United di tangga keempat liga walaupun mereka masih kekal ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu ketika ini, Chelsea. Sebelum ini saya katakan bahawa Everton adalah lawan yang sukar dan semalam mereka sekali lagi membuktikan kepada kita bahawa mereka memang kesebelasan yang sukar untuk ditewaskan. Musim lalu mereka dua kali menewaskan United dalam saingan liga dan kali ini mereka hampir memaksa United sekali lagi kehilangan mata. Mujurlah Angel di Maria terus menemui sentuhan golnya sambil membuktikan mengapa United sanggup memecah rekod perpindahan British demi mendapatkan khidmatnya disamping gol kemenangan yang dihasilkan Radamel Falcao dan kecemerlangan David de Gea di gawang. Di sebalik tiga mata penuh yang diraih semalam sambil menyaksikan kecemerlangan berterusan yang dipamerkan Di Maria, faktor Falcao dan De Gea juga menarik untuk diperkatakan. Selain kejayaan menewaskan Everton, ada dua sebab mengapa saya gembira selepas berakhirnya perlawanan semalam. Pertama kerana Falcao berjaya menjaringkan gol sulungnya untuk United dan kedua kerana prestasi fantastik yang ditunjukkan De Gea di gawang.

Mana-mana gol sulung dari seorang penyerang untuk pasukan baharunya amat penting, kerana gol sulung itu bakal meredakan sebarang tekanan yang dipikul di bahu mereka, tambahan pula untuk seorang penyerang yang memiliki reputasi besar seperti Falcao. Gol sulung yang dihasilkan Falcao untuk United sejak beliau menyertai kelab pada hari terakhir sebelum pintu perpindahan pemain musim panas ditutup pastinya melegakan beliau. Lebih manis gol yang dijaringkan Falcao diminit ke-62 itu juga membolehkan United meraih tiga mata penuh selepas tandukan Steven Naismith diminit ke-55 memadam kelebihan awal yang dimiliki anak-anak buah Van Gaal. Hadir di Old Trafford dengan memegang status sebagai antara penyerang terbaik dunia ketika ini, Falcao gagal menemui sentuhan pemusnah ketika berdepan Queens Park Rangers, Leicester City dan West Ham, tetapi akhirnya gol sulung yang dicari-cari beliau hadir pada waktu dan tempat yang tepat. Tiada yang menggembirakan buat seorang penyerang apabila melihat jaringan yang dihasilkannya adalah jaringan kemenangan dan berlaku pula di hadapan penyokong-penyokong sendiri. Gol itu pada pandangan saya membuktikan reputasi, ketajaman dan naluri pemusnah Falcao di hadapan gawang lawan. Beliau meletakkan dirinya di posisi yang tepat sebelum menyudahkan hantaran Di Maria ketika barisan pertahanan Everton menyangka bahawa beliau berada dalam kedudukan offside.

Itu bukanlah jaringan yang cantik berbanding gol-gol yang pernah dihasilkan Falcao sebelum ini ketika bersama FC Porto, Atletico Madrid dan AS Monaco, tetapi gol sulung itu dari segi psikologinya cukup penting buat Falcao selepas kelab melakukan kejutan besar dengan mendapatkan khidmat beliau (secara pinjaman) musim panas lalu. Selepas berusaha keras sejak perlawanan pertama beliau menyarung jersi The Red Devils, saya gembira menyaksikan akhirnya Falcao berjaya menghasilkan gol sulungnya untuk United. Jadi sewajarnya jugalah riak wajah beliau begitu lega selepas terhasilnya jaringan tersebut dan untuk seketika biarkan sahaja Falcao meraikan kejayaan hasil dari kerja kerasnya selama ini bersama penyokong-penyokong. Semoga gol sulung itu akan membebaskan Falcao dari sebarang tekanan dan semoga kejayaan menyumbat gol sulung itu membolehkan Falcao menjaringkan lebih banyak gol selepas ini. Gol Radamel Falcao memberikan Manchester United kemenangan ketiga musim ini tetapi David de Gea pula menyelamatkan The Red Devils dari kehilangan mata di gelanggang sendiri. Bekas penjaga gol Atletico Madrid itu melakukan tiga penyelamatan hebat untuk menafikan Everton dari mengulangi pencapaian mereka ketika meraih tiga mata di Old Trafford musim lalu. Di penghujung babak pertama, De Gea menyelamatkan sepakan penalti Leighton Baines manakala di penghujung babak kedua pula beliau menyelamatkan dua rembatan dari Leon Osman dan Brian Oveido sekaligus membolehkan United merakamkan kemenangan ke-76 ke atas kelab dari Merseyside itu.

Ketika Baines bersiap sedia mengambil sepakan penalti tersebut, saya percaya tidak ramai menaruh keyakinan bahawa De Gea mampu menyelamatkan gawangnya dari dibocori memandangkan bek kiri Everton dan England itu tidak pernah gagal menyempurnakan sepuluh sepakan penalti terakhirnya. Akhirnya dibantu dengan sedikit tuah dan ketepatan membaca arah tuju bola, De Gea berjaya menafikan Baines dari menyamakan kedudukan sekaligus membolehkan United mengekalkan kelebihan satu gol sebelum menuju ke bilik persalinan. Jika ada yang mengatakan bahawa kejayaan De Gea menafikan sepakan penalti Baines sebagai nasib, bagaimana pula dengan aksi beliau ketika menyelamatkan percubaan Leon Osman dan tindakbalas pantasnya menepis rembatan Brian Oveido di penghujung permainan? Momen paling menarik dan mendebarkan tentunya saat menyaksikan De Gea melayangkan badannya menepis rembatan Oveido ketika bola seakan-akan hampir pasti menerjah gawang beliau. Dalam situasi di mana penglihatan beliau terhalang (oleh pemain-pemain yang berada dihadapanya), sukar untuk saya percaya rembatan dari Oveido itu berjaya diselamatkan, apatah lagi bola pula ditujukan di sudut yang sukar. Ketika prestasinya di gawang United dipersoalkan ramai pihak sebelum ini, De Gea tiba-tiba tampil memukau menyelamatkan United sepanjang perlawanan semalam.

Angel di Maria yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan turut merakam penghargaan kepada rakan sepasukannya itu. "Saya fikir De Gea adalah pemain yang paling layak diberikan penghargaan ini (pemain terbaik perlawanan) berbanding saya. Dia sudah menyelamatkan kami sepanjang perlawanan terutamanya di penghujung permainan dan menafikan sepakan penalti lawan", kata Di Maria. Tiada yang membanggakan selain dari menerima pengiktirafan lawan dan itulah yang diterima De Gea semalam. Selepas tamat perlawanan, Roberto Martinez tanpa ragu menamakan De Gea sebagai pemain terbaik perlawanan (meskipun pengiktirafan itu secara rasminya diberikan kepada Di Maria). "De Gea adalah pemain terbaik perlawanan dan pemain yang membezakan keputusan perlawanan di scoreboard. Semua yang berada di stadium sudah mengira jaring akan bergegar selepas Osman dan Oveido mendapat peluang terbaik. Dia tampil dengan cukup bagus dan menghalang kami dari mendapatkan hasil positif di sini", kata Martinez. Selepas tamat 90 minit permainan, United akhirnya berjaya meraih tiga mata berharga biarpun dipaksa bekerja keras oleh lawan. Ini adalah perlawanan yang sukar, jadi kejayaan mengatasi lawan yang sukar seperti Everton adalah kemenangan yang cukup berharga. Walaupun ini bukanlah permainan terbaik yang dipersembahkan oleh skuad mahal Van Gaal, tapi saya percaya masih ada ruang untuk beliau meningkatkan lagi kekuatan skuadnya. Meskipun tidak beraksi baik setakat ini, barisan The Red Devils masih mampu meletakkan diri mereka di kelompok empat teratas, tempat yang sudah sinonim buat mereka selama ini dan tempat di mana United sepatutnya berada. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

04 Oktober 2014

EVERTON, LAWAN YANG SENTIASA SUKAR DAN PENUH KEJUTAN


Everton, pasukan yang sukar diramal serta penuh kejutan, dan esok entah kejutan apa yang bakal mereka jelmakan ketika Roberto Martinez memimpin barisan pemain-pemainnya berdepan Manchester United di Old Trafford. Everton tidak menang empat perlawanan terakhir mereka disemua kejohanan tetapi harus diingat bahawa rekod United ketika berdepan kelab Merseyside ini dalam lima pertemuan terakhir juga buruk. Dari lima pertemuan terakhir membabitkan kedua-dua pasukan, United hanya menang sekali iaitu pada 11 Februri 2013 menerusi jaringan Ryan Giggs dan Robin Van Persie manakala selebihnya berkesudahan dengan tiga kekalahan dan seri sekali. Musim lalu Everton menewaskan United dua kali dalam saingan liga dan di akhir musim mereka menduduki tangga kelima, dua anak tangga di hadapan skuad The Red Devils yang menghuni tangga ketujuh. Seperti yang saya katakan mula-mula tadi, Everton skuad yang sukar diramal dan penuh kejutan kerana jika kena pada harinya, mereka mampu menewaskan mana-mana kelab terbaik di England. Masalah utama buat pasukan-pasukan 'pengacau' seperti Everton ialah mengekalkan konsistensi mereka. Jika hari ini mereka mampu menewaskan Chelsea, Manchester City, Arsenal, Liverpool atau United, seminggu kemudian anda mungkin akan melihat mereka ditewaskan pula oleh Burnley atau Hull City dengan jaringan dua atau tiga gol.

Sukarnya untuk meramal prestasi pasukan seperti Everton, kerana ketika kita menjangkakan bahawa mereka mudah dijinakkan, mereka secara tiba-tiba muncul pasukan yang begitu berbahaya dan mampu melakar kejutan. Jadi jangan memandang rendah kepada kemampuan Everton meskipun mereka ketandusan kemenangan dalam empat perlawanan terakhir mereka. Kemenangan dilakar United ke atas West Ham minggu lalu sepatutnya menjadi tonik mujarab buat anak-anak buah Van Gaal menyambut kedatangan The Toffees yang dalam tempoh seminggu mencatat dua keputusan seri ketika beraksi di gelanggang lawan. Mereka memaksa Liverpool berkongsi mata dalam aksi derby Merseyside di Anfield Sabtu lalu dan terbaru mereka juga berjaya membawa pulang satu mata ketika berdepan wakil Russia, FK Krasnodar dalam saingan Liga Europa. Ketika barisan kendalian Roberto Martinez terpaksa beraksi dua perlawanan dalam tempoh seminggu, anak-anak buah Van Gaal pula cukup bertuah kerana mereka mendapat rehat secukupnya kerana musim ini mereka tidak terbabit dengan sebarang aksi di pentas Eropah. Faktor ini sepatutnya menjadi kelebihan kepada United biarpun terdapat beberapa lagi pemain yang masih dibelenggu kecederaan selain penggantungan Wayne Rooney dan Tyler Blackett akibat layangan kad merah. Keletihan adalah halangan pertama yang perlu diatasi Everton sebelum mereka berkira-kira mahu sekali lagi melakukan kejutan ke atas United di Old Trafford sepertimana yang telah mereka lakukan musim lalu.

Kunjungan Everton ke Old Trafford kali ini mungkin disertai semula pemain-pemain utama mereka yang sebelumnya dibelenggu masalah kecederaan seperti Seamus Coleman, James McCarthy, Sylvain Distin dan Steven Pienaar. Di pihak United, kita menerima khabar gembira menyambut kembalinya Phil Jones, Marouane Fellaini dan Michael Carrick yang diberitakan sudah mula menjalani latihan tetapi Ander Herrera, Chris Smalling, Jonny Evans, Ashley Young dan Jesse Lingard masih kekal dalam senarai kecederaan. Walaupun Jones sudah kembali, tetapi saya percaya Van Gaal akan terus mengekalkan gandingan Marcos Rojo dan Paddy McNair di bahagian tengah pertahanan pasukannya selepas prestasi bagus yang dipamerkan pemain muda itu minggu lalu ketika berdepan West Ham. Meletakkan Jones yang baru pulih dari kecederaan dalam kesebelasan permulaan adalah satu perjudian yang besar, jadi saya lebih gemar melihat barisan empat pemain pertahanan ketika berdepan West Ham minggu lalu terus dikekalkan. Prestasi benteng pertahanan masih menjadi fokus utama dan saya berharap Van Gaal sudah menemui cara bagaimana mahu menjadikan benteng skuadnya lebih konsisten seiring dengan peningkatan  kekuatan di bahagian tengah dan barisan penggempurnya. Everton bakal menguji sejauh mana kemampuan gandingan Rojo dan McNair di benteng tengah United sambil berharap Blind atau Carrick mampu memberikan perlindungan tambahan kepada empat rakan yang berada di belakang mereka.

Saya agak teruja menanti kembalinya Michael Carrick ke pangkuan pasukan selepas beliau terlepas semua enam perlawanan awal liga musim ini. Kehadiran semula Carrick tepat pada waktunya ketika Van Gaal kehilangan sentuhan Ander Herrera di bahagian tengah dan saya berharap selepas lama tidak beraksi, Carrick tidak kekok untuk membentuk kombinasi bersama Daley Blind, Angel di Maria dan Juan Mata di bahagian tengah jika beliau diturunkan. Ketiadaan Rooney yang menjalani penggantungan membolehkan Juan Mata kembali beraksi dalam kesebelasan permulaan United. Sebagai kapten pasukan, kehilangan Rooney adalah satu kerugian tetapi saya percaya Mata mampu memikul tanggungjawab dan memainkan peranan sebagai pemain nombor 10 yang dimainkan Rooney sebelum ini. Ketiadaan Rooney juga saya harap tidak menganggu rentak serangan United untuk terus menghasilkan gol dan sudah tentu kelibat Radamel Falcao serta Robin Van Persie akan menjadi taruhan utama bagi menggempur kubu lawan. Benteng Everton yang dibarisi Phil Jagielka, John Stones, Tony Hibbert dan Leighton Baines bakal menghadirkan ujian besar kepada ketajaman Falcao dan Van Pesie manakala Tim Howard pula sentiasa sahaja memberikan prestasi terbaiknya di gawang setiap kali berdepan United. Minggu lalu kita sudah menyaksikan Van Persie menamatkan kemarau jaringannya musim ini apabila berjaya menembusi gawang West Ham, kini saya menanti pula gol sulung dari Falcao untuk United. Everton sentiasa menjadi lawan yang sukar buat United sejak dulu dan esok saya percaya mereka akan sekali menjadi cabaran besar yang perlu diatasi oleh anak-anak buah Van Gaal. Sir Alex Ferguson dan David Moyes tewas perlawanan pertama mereka ketika berdepan The Toffees di gelanggang sendiri, jadi saya berharap nasib yang sama tidak menimpa Van Gaal esok. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

Tahukah Anda?:

1. Hanya empat pemain dalam sejarah  Liga Perdana yang pernah menjaringkan hatrik ketika berdepan United. David Bentley melakukannya pada 1 Februari 2006 ketika mewakili Blackburn Rovers manakala Dirk Kuyt pula pada 6 Mac 2011 ketika bersama Liverpool. Dua lagi pemain kini mewakili Everton (Samuel Eto'o dan Romelu Lukaku).

2. Everton tewas sebanyak 229 perlawanan di Liga Perdana, sekaligus merupakan catatan terburuk berbanding mana-mana pasukan di Liga Perdana.

3. Everton sudah kehilangan tujuh mata ketika mereka mendahului lawan dalam tiga perlawanan (menentang Leicester City, Arsenal dan Crystal Palace). Jumlah ini merupakan yang tertinggi berbanding mana-mana pasukan setakat ini.

4. Robin Van Persie muncul pemain kedua (bukan dari Great Britain) selepas Dwight Yorke yang berjaya menjaringkan lebih 40 gol untuk dua kelab di Liga Perdana.

5. Everton berjaya meraih lima kemenangan dan satu kekalahan dari lapan perlawanan terakhir (Liga Perdana) di gelanggang lawan.

6. United tewas lapan perlawanan di Old Trafford sejak awal musim lalu. Catatan ini menyamai jumlah kekalahan yang mereka alami (di gelanggang sendiri) dari musim 2008-09 hingga 2013-13.

7. Phil Jagielka berpotensi melakukan penampilan ke-250 di Liga Perdana jika beliau diturunkan esok. Selain dari itu, jika beliau diletakkan dalam kesebelasan permulaan Everton, ini adalah kali ke-200 Jagielka bermula dalam kesebelasan utama untuk The Toffees dalam semua kejohanan.

8. Louis Van Gaal sudah menggunakan 29 pemain dalam enam perlawanan di Liga Perdana. Jumlah ini (6) lebih banyak berbanding pasukan lain. Sepanjang musim lalu United menggunakan 30 pemain berbeza.

29 September 2014

FASA LEBIH SUKAR MENANTI UNITED SELEPAS INI

"Lega", itulah perkataan pertama yang keluar dari mulut saya selepas berakhirnya pertemuan Manchester United dan West Ham Sabtu lalu. Sebelum berdepan West Ham, United mengharungi lima perlawanan liga dengan hanya satu kemenangan, dua keputusan seri serta dua kekalahan dan lebih memedihkan apabila anak-anak buah Louis Van Gaal disingkirkan MK Dons (kelab Divisyen 3) dari saingan Piala Liga dengan cara yang cukup mengaibkan. Kemenangan ke atas West Ham pada saya cukup penting tatkala parut ketika ditewaskan Leicester City masih lagi berbekas. Sudah saya katakan sejak awal lagi bahawa jangan memandang rendah kepada keupayaan The Hammers melakukan kejutan dan Sabtu lalu mereka hampir sahaja mengejutkan United atau setidak-tidaknya membawa pulang satu mata berharga dari Old Trafford.

Kejayaan menundukkan West Ham amat penting bagi melonjakkan semula moral pemain-pemain United selepas Leicester City `merampas' kemenangan yang hampir mereka capai di Stadium King Power selain melonjakkan kembali kelab ke kedudukan lebih baik dalam carta liga. Benteng pertahanan nampaknya sekali lagi membuat jantung kita berdegup kencang dan meskipun Van Gaal mengubah posisi Marcos Rojo dari sebelah kiri ke bahagian tengah pertahanannya selepas beliau kehilangan Tyler Blackett dan Jonny Evans, itu saya anggap hanyalah penyelesaian jangka pendek dari beliau. Di peringkat awal perlawanan, Rojo tampak bergelut untuk cuba menyesuaikan diri dengan peranan sebagai centre back yang beliau mainkan biarpun posisi tersebut sebenarnya bukanlah terlalu asing buat beliau.

Selain dari benteng pertahanan, prestasi David de Gea di gawang juga perlu diberikan perhatian dan selepas selesa mendahului lawan dengan dua gol, kebimbangan saya akhirnya menjadi kenyataan. Kesilapan De Gea yang gagal menangani situasi bola tinggi dari sepakan sudut membolehkan Diafra Sakho merapatkan kedudukan. Walaupun mungkin ada sedikit kekasaran yang dilakukan pemain lawan terhadap De Gea ketika perebutan bola di udara hingga terhasilnya jaringan tersebut, kita juga perlu mengakui bahawa prestasi beliau dalam enam perlawanan agak membimbangkan. Setakat ini De Gea boleh saya katakan bermain di bawah tahap sebenar dan dari enam perlawanan liga, beliau sudah sembilan kali mengutip bola di gawang sendiri.

Sepanjang 30 minit awal permainan, United sebenarnya bermain dengan cukup menyakinkan, memberikan tekanan demi tekanan kepada lawan hingga terhasilnya dua gol menerusi Wayne Rooney dan Robin Van Persie. Selepas lawan berjaya merapatkan kedudukan, saya mula terfikir adakah musibah di Stadium King Power bakal berulang kembali, ditambah pula dengan layangan kad merah yang diterima Rooney ketika masa sebenar perlawanan berbaki 30 minit untuk ditamatkan. Kekurangan seorang pemain ketika lawan pula begitu bernafsu memburu gol penyamaan menyebabkan anak-anak buah Van Gaal terpaksa bermain secara defensif bagi mempertahan kelebihan satu gol milik mereka, dan saya juga perlu mengakui bahawa ini adalah antara tempoh 30 minit paling panjang dalam hidup saya.

Walaupun ini bukanlah permainan terbaik United dan bukan juga satu kemenangan yang menyakinkan, tetap ada sisi positif sebaik sahaja Lee Mason meniup wisel penamat perlawanan. Pertama, saya gembira melihat Robin Van Persie sudah kembali menjaringkan gol walaupun dalam masa yang sama juga saya masih menunggu sentuhan pemusnah sebenar dari Radamel Falcao. Kedua, saya juga gembira menyaksikan seorang lagi bakat muda dari akademi berjaya diketengahkan dalam saingan liga selepas Tyler Blackett dan pemain yang saya maksudkan sudah tentulah remaja yang baru berusia 19 tahun bernama Paddy McNair. Krisis kecederaan yang melanda benteng pertahannya memaksa Van Gaal membuat panggilan kecemasan kepada Warren Joyce dengan mendatangkan McNair dari skuad remaja United.

Terus terang saya katakan bahawa sebelum ini saya sebenarnya tidak pernah menyaksikan aksi McNair di atas padang (mungkin disebabkan kurang mengikuti perkembangan skuad remaja United) berbanding rakan-rakan seangkatannya seperti Michael Keane, Reece James, Tom Thorpe, James Wilson dan Will Keane yang terlebih dahulu diberikan peluang tampil bersama skuad senior terutamanya dalam perlawanan-perlawanan pra musim sebelum ini. Keputusan Van Gaal memberikan peluang kepada McNair tampil dalam kesebelasan utama Sabtu lalu memeranjatkan saya, kerana pada mulanya saya menyangka bahawa beliau akan meletakkan pemain yang lebih berpengalaman (Marcos Rojo dan Daley Blind) di benteng tengah berikutan ketiadaan Evans dan Blackett.

Keputusan Van Gaal mengubah posisi Rojo sudah boleh dihidu sejak awal tetapi menggandingkan pemain antarabangsa Argentina itu dengan seorang pemain remaja yang tampil buat pertama kali di pentas Liga Perdana benar-benar memeranjatkan saya. Selain McNair, Van Gaal juga sebenarnya memiliki Tom Thorpe, seorang lagi pemain pertahanan tengah muda yang lebih `berpengalaman' berbanding remaja dari Ireland itu. Ketika pasukannya benar-benar memerlukan kemenangan, keputusan Van Gaal memberikan penampilan pertama kepada McNair dalam saingan Liga Perdana adalah satu perjudian berani dan di akhir perlawanan, beliau menikmati hasil dari perjudian berani yang dilakukannya. Kehadiran McNair menerusi persembahan menyakinkan yang dipamerkan remaja ini sepanjang 90 minit aksinya Sabtu lalu sekurang-kurangnya menjadi penawar di sebalik masalah kecederaan demi kecederaan melanda pemain-pemain utama ketika ini.

Meskipun beliau tidak melakukan sebarang tackle sepanjang 90 minit permainan, McNair melakukan clearance paling banyak (13 kali) berbanding mana-mana pemain United dalam perlawanan itu. Bagi seorang remaja berusia 19 tahun yang pertama kali merasai hangatnya perlawanan Liga Perdana, beraksi selama 90 minit di benteng pertahanan, berdepan pula dengan lawan yang mementingkan aspek permainan fizikal dan ditambah dengan tiga mata penuh yang berjaya diraih, saya anggap ini adalah debut sempurna buat McNair. Seperti yang kita tahu, Van Gaal antara jurulatih yang berani memberikan peluang kepada pemain-pemain muda berbakat tampil dalam skuad utamanya. Beliau sudah membuktikan ketika bersama Ajax Amsterdam, Barcelona, AZ Alkmaar, Bayern Munich, skuad kebangsaan Belanda dan kini Manchester United. Ketika berlangsungnya pusingan akhir Piala Dunia 2014 yang lalu, Van Gaal mempertaruhkan kelibat Bruno Martins Indi dan Stefan de Vrij (kedua-duanya berusia 22 tahun) di benteng pertahanan De Oranje, dan di Old Trafford beliau memperkenalkan pula kepada penyokong-penyokong The Red Devils siapa itu Tyler Blackett dan Paddy McNair.

Di sebalik isu kecederaan dan penggantungan, masih ada sisi positif yang boleh membuatkan kita (penyokong-penyokong United) tersenyum terutamanya selepas melihat bakat muda seperti Blackett dan McNair berjaya diketengahkan. Ketika rakan-rakan saya dari kalangan penyokong Arsenal serta Liverpool bangga menyebut Calum Chambers dan Jon Flanagan sebagai bintang masa depan kelab masing-masing, saya juga mampu mencelah sama kerana kita turut memiliki bintang dalam pembikinan seperti Blackett dan McNair. Selain dari McNair, kelibat Luke Shaw juga wajar diberikan pujian walaupun ini juga merupakan penampilan pertama beliau untuk United dalam perlawanan liga sejak berpindah dari Southampton musim panas lalu. Shaw cukup berani menyusup ke kawasan lawan dengan bola dikakinya ketika melakukan serangan dan pantas turun ke bawah ketika bertahan. Masih terlalu jauh untuk kita membandingkan persembahan Shaw dengan Rafael da Silva, rakan sepasukannya yang berada di posisi berlawanan, tetapi bagi seorang pemain muda yang melakukan penampilan pertama liga untuk pasukan baharu, prestasi keseluruhan Shaw saya anggap lebih daripada memuaskan.

Meskipun diselubungi kelegaan selepas The Red Devils berjaya memungut tiga mata penuh Sabtu lalu, saya agak terkilan dengan layangan kad merah yang diterima Wayne Rooney. Dalam keadaan kelab kehilangan begitu ramai pemain-pemain akibat kecederaan, penggantungan tiga perlawanan yang bakal dilalui Rooney kerana kesilapan yang sepatutnya tidak beliau lakukan pastinya memeningkan lagi kepala Van Gaal. Sebagai pemain berpengalaman dan kini memegang pula peranan kapten pasukan, Rooney sepatutnya lebih berhati-hati dalam melakukan sebarang tindakan yang boleh merugikan pasukan. Selepas bermain baik di babak pertama, memimpin rakan-rakan sepasukan ketika bertahan mahupun ketika menyerang dan berjaya menambah koleksi golnya musim ini, Rooney terpaksa menamatkan perlawanan lebih awal akibat kekasaran tidak sepatutnya yang dilakukan beliau ke atas Stewart Downing. Rooney sudahpun memohon maaf, manakala Van Gaal pula menegaskan walaupun kesilapan Rooney hampir menyebabkan kemenangan terlepas dari genggaman, beliau memberi jaminan lilitan lengan kapten pasukan tetap menjadi milik pemain itu.

Melihat kepada deretan pemain-pemain utamanya yang berada di bilik rawatan selain penggantungan yang diterima Rooney dan Blackett, Van Gaal kini perlu bijak mencari jalan bagaimana mahu memaksimakan kekuatan skuadnya bersandarkan kepada pemain-pemain yang ada. Walaupun ada pihak secara sinis mempertikaikan kemenangan ke atas West Ham, saya tetap gembira dengan tiga mata yang berjaya diraih biarpun seperti yang saya katakan mula-mula tadi, ini bukanlah permainan terbaik United terutamanya apabila mengingatkan kepada krisis kecederaan yang melanda kelab ketika ini. Kemenangan ke atas West Ham tetap penting kerana selepas ini United akan berdepan empat perlawanan sukar (menentang Everton, West Bromwich, Chelsea dan Manchester City) yang bakal menguji sejauh mana watak sebenar barisan The Red Devils kendalian Van Gaal. Meskipun mencatat kemenangan menyakinkan ketika berdepan Queens Park Rangers, dua perlawanan terakhir menentang Leicester City dan West Ham membuktikan bahawa United masih lagi berada di bawah tahap yang boleh meletakkan mereka sebagai antara pencabar kejuaraan musim ini.

Di awal musim, segalanya seperti tidak berpihak kepada Van Gaal, bermula dari kehilangan seorang demi seorang pemain utamanya akibat kecederaan hinggalah kepada dua layangan kad merah yang diterima Blackett dan Rooney. Faktor ini boleh menjejaskan segala perancangan beliau, tetapi saya yakin selaku pengendali berpengalaman, Van Gaal mampu menangani situasi sulit seperti ini. Kemenangan yang diraih ke atas West Ham bukan sekadar kemenangan biasa, tetapi saya melihat kemenangan ini sebagai dorongan kepada anak-anak buah Van Gaal untuk kembali membuktikan bahawa mereka adalah antara pencabar serius kejuaraan liga musim ini. Everton, West Bromwich, Chelsea dan Manchester City adalah lawan sukar yang perlu dihadapi United selepas ini berdasarkan kepada prestasi semasa mereka. Walau bagaimanapun, saya masih percaya jika Van Gaal terpaksa membawa skuad yang tempang sekalipun ketika berdepan mereka, Roberto Martinez, Alan Irvine, Manuel Pellegrini dan Jose Mourinho  sedar bahawa mereka sebenarnya sedang berdepan dengan harimau yang sedang terluka. Oktober menjanjikan tempoh yang lebih sukar dan sama ada suka ataupun tidak, United terpaksa mengharungi fasa sukar ini. Semoga kemenangan yang dicapai Sabtu lalu bakal menjadi turning point kepada kebangkitan barisan The Red Devils selepas ini. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

27 September 2014

MISI SUKAR UNTUK TIGA MATA PENUH


Berdepan West Ham United malam ini merupakan perlawanan yang sukar dan penting buat Manchester United. Sukar kerana West Ham bukanlah lawan yang boleh diambil mudah dan mereka sudahpun membuktikan kualiti mereka ketika menundukkan Liverpool 3-1 di gelanggang sendiri minggu lalu. Perlawanan ke-108 antara kedua-dua pasukan ini saya anggap penting kerana United perlu mengelak kekalahan kedua berturut-turut selepas ditewaskan pendatang baharu Liga Perdana, Leicester City walaupun pada awalnya dilihat hampir pasti membawa pulang tiga mata penuh ke Old Trafford. Seri perlu dielakkan manakala kekalahan adalah bencana buat barisan Louis Van Gaal, jadi tiada jalan lain buat mereka selain perlu menang perlawanan ini.

Selepas ditewaskan Leicester City, tekanan tentunya semakin bertambah, tetapi saya berharap Van Gaal tidak panik walaupun baru-baru ini beliau mengakui bahawa mengendalikan United adalah tugas paling sukar sepanjang karier kejurulatihannya. Dari lima perlawanan liga, United di bawah kendalian Van Gaal hanya mampu menang sekali, seri dua kali dan tewas dua kali, sekaligus menyaksikan mereka kini terperosok di tangga ke-12 liga. Misi United untuk mencari kemenangan kedua malam ini diganggu dengan kecederaan yang dialami Jonny Evans dan penggantungan Tyler Blackett akibat layangan kad merah yang diterimanya minggu lalu. Menarik untuk kita saksikan bagaimanakah agaknya perubahan yang bakal dilakukan Van Gaal di benteng pertahanannya berikutan ketiadaan Evans dan Blackett.

Ketiadaan Evans dan Blackett juga mungkin membolehkan kita menyaksikan penampilan pertama pemain remaja Paddy McNair bersama skuad senior. McNair lebih dikenali sebagai pemain tengah tetapi remaja ini juga berkemampuan untuk bertindak sebagai centre back jika keadaan memerlukan. Bagaimanapun saya yakin kekosongan di bahagian pertahanan tengah akan diisi Marcos Rojo dan Daley Blind manakala Rafael da Silva serta Luke Shaw pula akan bergerak di posisi bek kanan dan kiri. Jika itu berlaku (Rojo dan Blind bermain sebagai centre back), Darren Fletcher akan kembali semula dalam kesebelasan utama mengambilalih peranan Blind sebagai pemain tengah bertahan.

Selain dari kehadiran semula Fletcher, tidak banyak perubahan bakal berlaku di bahagian tengah dengan dua tempat lagi bakal diperkuatkan Angel Di Maria dan Ander Herrera sementara Wayne Rooney pula bertindak sebagai pengumpan kepada Radamel Falcao dan Robin Van Persie selaku penggempur. Pemain manapun dan perubahan apapun yang bakal dilakukan Van Gaal dalam perlawanan ini, tiada jalan lain selain United perlu bangkit kembali mencari kemenangan selepas mimpi buruk yang dialami mereka minggu lalu. Hanya kemenangan akan mengembalikan semula keyakinan pemain-pemain dan mengurangkan sedikit tekanan di bahu Van Gaal meskipun beliau terpaksa berdepan krisis kecederaan dalam skuadnya.

Melihat kepada prestasi terkini United ditambah pula dengan masalah kecederaan yang terpaksa dihadapi Van Gaal, tidak hairanlah mengapa Sam Allardyce sudah berkira-kira mencari kemenangan pertamanya ke atas United sejak 2007. Saya percaya The Hammers hadir ke Old Trafford dengan kayakinan tinggi sejak kejayaan mereka menundukkan Liverpool minggu lalu, jadi saya berharap Van Gaal sudah memiliki cara bagaimana mahu `membunuh' permainan anak-anak buah Big Sam malam nanti. Ketika The Hammers hadir dengan keyakinan tinggi, saya juga berharap agar barisan The Red Devils sudah bersedia untuk memberikan mereka `pukulan' sekaligus mencari kemenangan kedua. Ramai yang berkata bahawa United boleh bangkit tetapi saya lebih gemar mengatakan bahawa United perlu bangkit dan saya juga mengharapkan agar perlawanan ini menjadi permulaan kepada kebangkitan semula mereka. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

Tahukah Anda?:

1. Lima mata yang dikutip United dari lima perlawanan awal mereka merupakan yang terendah sejak musim 1989/90.

2. West Ham menjaringkan sembilan gol dari 18 perlawanan mereka di Old Trafford, tetapi dari jumlah itu mereka sebenarnya tidak pernah membolosi gawang United lebih dari satu gol.

3. United berjaya memungut 31 mata dari 11 perlawanan terakhir mereka menentang West Ham.

4. West Ham berjaya menjaringkan empat gol dari luar petak penalti dan itu merupakan jumlah tertinggi berbanding mana-mana pasukan setakat ini.

5. Gawang United sudahpun dibolosi sebanyak lapan kali dari lima perlawanan setakat ini. Jumlah tersebut merupakan catatan kedua terburuk sejak musim 2001/02 di mana ketika itu gawang United dibolosi sepuluh kali dari lima perlawanan.

6. Dari lima perlawanan, West Ham muncul pasukan paling tinggi mencatatkan peratusan ketepatan hantaran lintang (24.36%).

7. United menerima hukuman sepakan penalti sebanyak enam kali dari 15 perlawanan terakhir liga mereka. Sebelum itu mereka tidak pernah menerima hukuman sepakan penalti dari 85 perlawanan di semua kejohanan peringat tinggi.

8. Wayne Rooney menjaringkan dua gol dan dua assist dari lima penampilannya musim ini.

9. United tewas sepuluh kali dari 25 perlawanan (liga) di gelanggang sendiri. Sepuluh kekalahan sebelum itu mereka catatkan dari 148 perlawanan.

10. West Ham menjaringkan lima gol dari dua perlawanan terakhir mereka di gelanggang lawan. Jumlah ini melebihi catatan yang mereka lakukan sebelumnya dalam enam perlawanan digelanggang lawan  (4 gol).

26 September 2014

HILANGNYA FEAR FACTOR DI BENTENG PERTAHANAN UNITED

Walaupun sudah hampir seminggu sejak kekalahan kepada Leicester City, saya masih bingung memikirkan apa sebenarnya yang berlaku ke atas anak-anak buah Louis Van Gaal di Stadium King Power, Ahad lalu. Sebelum perlawanan menentang Leicester City, kita mengharapkan agar The Red Devils meneruskan kebangkitan mereka selepas aksi terpuji yang dipamerkan saat berdepan Queens Park Rangers (QPR) seminggu sebelum itu. Tidak perlu menuding jari ke arah Mark Clattenburg (pengadil perlawanan) atas kekalahan yang dialami United kepada pendatang baharu Liga Perdana itu, kerana apa yang saya harapkan selepas ini agar Van Gaal memperbaiki beberapa `kerosakan' di dalam skuadnya jika beliau berhasrat mahu meletakkan kelab selaku antara pencabar kejuaraan musim ini. Kemenangan besar yang diraih ketika berdepan QPR memberikan kita harapan tetapi kekalahan kepada Leicester City menyebabkan kita kembali berfikir adakah perbelanjaan besar yang dilaburkan kelab musim panas lalu bagi mendapatkan pemain-pemain baharu satu jaminan bahawa skuad kendalian Van Gaal akan kembali digeruni? Sebagai penyokong, saya hanya mampu berharap agar kekalahan kepada Leicester City itu menjadi pengajaran dan panduan berguna kepada Van Gaal bahawa masih banyak lagi 'kerja-kerja' yang perlu beliau lakukan ke atas skuad yang dimilikinya walaupun beliau sudah berbelanja besar dengan membawa masuk enam pemain baharu. Van Gaal membelanjakan hampir 160 juta (Pound) bagi memantapkan skuadnya tanpa membawa seorangpun pemain pertahanan tengah baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic.

Ramai pihak sebenarnya musykil dengan tindakan yang dilakukan Van Gaal ini kerana kelab boleh saya katakan kekurangan pemain berpengalaman di posisi tersebut selepas pemergian Ferdinand dan Vidic. Jonny Evans satu-satunya pemain pertahanan tengah paling berpengalaman yang dimiliki kelab tetapi prestasi turun naik pemain ini sering membimbangkan saya setiap kali melihat beliau beraksi. Itu belum lagi mengambilkira masalah kecederaan yang sering melanda Evans, dan terbaharu beliau hanya mampu beraksi selama 30 minit ketika berdepan Leicester City sebelum diusung keluar padang. Melihat kepada prestasi yang ditunjukkan benteng pertahanan menerusi aksi dalam lima perlawanan (liga) setakat ini, kebimbangan ramai pihak tentang keputusan Van Gaal tidak mendapatkan seorang pun pemain pertahanan tengah baharu memang ada asasnya. Selepas menyaksikan bagaimana kucar-kacirnya pertahanan United pada aksi mereka di Stadium King Power Ahad lalu, kesimpulan mudah yang dapat saya buat ialah kelab kini tidak lagi memiliki pemain pertahanan tengah yang mampu menggerunkan mana-mana penyerang lawan. Pemergian Ferdinand dan Vidic meninggalkan ruang kosong yang cukup besar untuk diisi dan walaupun saya mengagumi penampilan Tyler Blackett, beliau masih memerlukan masa untuk menimba pengalaman sebelum berkembang menjadi seorang pemain pertahanan yang lebih bagus di masa hadapan.

Suka atau tidak, kita terpaksa mengakui bahawa kelab kini tidak lagi memiliki pemain pertahanan tengah berpengaruh seperti Ferdinand ataupun Vidic yang bukan sahaja boleh bertindak sebagai pemimpin di benteng tetapi juga mampu menghadirkan rasa gerun kepada barisan penyerang lawan. Atas sebab itu jugalah spekulasi membabitkan minat United terhadap Ron Vlaar kini timbul kembali selain perkhabaran bahawa kelab juga berminat membawa kembali Gerard Pique ke Old Trafford walaupun pintu perpindahan pemain (musim sejuk) akan hanya dibuka dalam tempoh lebih kurang tiga bulan lagi. Seperti yang anda tahu, musim panas lalu kelab melepaskan tiga pertahanan senior mereka (Ferdinand, Vidic dan Evra) ke pasukan lain dan sebagai gantinya Van Gaal membawa masuk Daley Blind, Luke Shaw dan Marcos Rojo (ketiga-tiganya bek kiri) manakala  Blackett pula dinaikkan pangkat dari skuad remaja ke skuad senior. Ditambah dengan kehadiran Ander Herrera, Angel Di Maria dan Radamel Falcao, Van Gaal seolah-olah seperti sudah memiliki barisan yang lengkap, tambahan pula selepas mereka berjaya mencatat kemenangan bergaya ke atas QPR, yang juga merupakan kemenangan pertama dari empat perlawanan liga mereka. Walau bagaimanapun panas rupanya tidak berpanjangan buat kem United dan ketika kita masih lagi membicarakan tentang betapa lancarnya permainan anak-anak buah Van Gaal ketika berdepan QPR, barisan Leicester City pula membuatkan kita kembali berpijak di bumi nyata.

Saya sebolehnya tidak lagi mahu bercakap tentang perlawanan di Stadium King Power itu, tetapi perlawanan menentang Leicester City adalah pelajaran dan pengajaran terbaik buat Van Gaal kerana selain dari memiliki rangkaian pemain tengah kreatif dan barisan penggempur menggerunkan, usaha menguatkan benteng pertahanan juga sepatutnya tidak terlepas dari perhatian beliau. Ketika ramai pihak meletakkan kelemahan benteng pertahanan sebagai punca kekalahan di Stadium King Power, pemain-pemain tengah United juga sepatutnya tidak terlepas daripada sebarang kritikan. Di separuh masa pertama, barisan tengah United kerap kehilangan bola dan situasi sama berterusan di babak kedua hingga menyebabkan saya mula terfikir di manakah hilangnya kualiti kelas dunia yang dimiliki Daley Blind, Angel Di Maria, Ander Herrera dan Juan Mata? Walaupun perit, saya terpaksa mengakui bahawa Esteban Cambiasso, James Vardy dan Leonardo Ulloa bermain dengan sangat baik, manakala Nigel Pearson pula membuktikan bahawa beliau tidak memerlukan pemain-pemain bertaraf bintang dalam skuadnya, cukup dengan kerja keras ketika di atas padang. Saya berharap persembahan di bawah tahap sebenar barisan tengah United di Stadium King Power cuma bersifat sementara dan dengan begitu banyak pilihan yang dimiliki Van Gaal di posisi tersebut, bahagian tengah saya kira bukanlah masalah yang boleh memeningkan kepala beliau. Perkara pokoknya kini kembali semula kepada pembelian pemain yang dilakukan beliau sepanjang musim panas lalu kerana dalam kesibukan berbelanja, beliau terlupa bahawa benteng pertahanannya juga perlu diperkuatkan terutamanya dengan kehadiran centre back berpengalaman bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ferdinand dan Vidic.

Ironinya ketika United muncul kelab Eropah paling boros berbelanja musim panas lalu, mereka pula seolah-olah terlupa untuk melaburkan wang mereka bagi mendapatkan seorang atau dua centre back baharu bagi menambah kekuatan di benteng pertahanan. Atau mungkin juga dalam kesibukan berbelanja, mereka terlupa bahawa Ferdinand serta Vidic kini tidak lagi berada di Old Trafford dan pengganti dua lagenda itu perlu segera dicari. Selepas begitu banyak wang dilaburkan, sukar untuk saya mempercayai bagaimana pihak pengurusan boleh terlepas pandang tentang betapa pentingnya mendapatkan centre back baharu selepas berakhirnya era Ferdinand dan Vidic. Jika Van Gaal sanggup melakukan pelaburan besar ketika mendapatkan Herrera dan Di Maria bagi menambah kreativiti bahagian tengah skuadnya serta menambah sengat barisan penggempurnya dengan mendatangkan Falcao, mengapa beliau seolah-olah berkira untuk melakukan pelaburan bagi mendapatkan centre back tulen bagi menambah kekebalan benteng pertahanannya? Adakah sebelum ini Van Gaal yakin bahawa Jonny Evans, Tyler Blackett, Chris Smalling dan Phil Jones mampu memikul beban yang ditinggalkan Ferdinand dan Vidic manakala pembelian baharu seperti Marcos Rojo boleh memikul tugas sebagai centre back jika keadaan memerlukan beliau mengubah posisi bekas pemain Sporting Lisbon itu? Membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan pemain-pemain baharu tanpa menandatangani seorangpun centre back gred A ketika berlakunya kekosongan di posisi tersebut adalah satu kesilapan besar.

Saya tidak pernah meragui senarai pemain-pemain baharu yang di tandatangani Van Gaal musim panas lalu, cuma saya berharap keputusan beliau untuk tidak mendapatkan seorangpun centre back tidak menjejaskan misi kelab untuk berada di kelompok empat teratas di penghujung musim nanti. Musim kompetitif baru sahaja bermula dan perjalanan juga masih panjang untuk diharungi. Semoga Van Gaal cepat belajar dari pengalaman dan salah satunya ialah mendapatkan centre back kelas atas ketika pintu perpindahan pemain musim ini bakal dibuka buat kali kedua Januari nanti. Agak merugikan melihat sebuah pasukan yang memiliki rangkaian pemain tengah kreatif dan barisan penggempur menggerunkan tetapi benteng pertahanannya pula bocor dan mudah dibolosi lawan. Bolasepak bukan hanya tentang soal menyerang dan menjaringkan gol tetapi lebih daripada itu ialah perlunya sebuah pasukan yang solid di semua posisi bagi mendapatkan kemenangan. "Attack wins you games, defence wins you titles", masih ingatkah lagi anda dengan kata-kata yang dilontarkan Sir Alex Ferguson ini? Apa yang diucapkan oleh lagenda ini memang ada kebenarannya dan selepas United mengharungi lima perlawanan liga, entah mengapa saya masih merindui kelibat Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic di benteng pertahanan United. Mengapa? Kerana The Red Devils ketika ini tidak memiliki seorangpun commander di bahagian belakang dan centre back yang boleh menyebabkan rasa gerun kepada mana-mana penyerang lawan sepertimana yang pernah diberikan oleh Ferdinand dan Vidic selama bertahun-tahun mereka menyarung jersi kelab. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

15 September 2014

DEBUT SEMPURNA DALEY BLIND

Angel Di Maria dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan Manchester United menentang Queens Park Rangers semalam dan berdasarkan prestasi yang tunjukkan pemain itu sepanjang 82 minit aksinya di atas padang, anugerah tersebut memang selayaknya diberikan kepada beliau. Walaupun ini merupakan perlawanan kedua Di Maria bersama United sejak kehadirannya dari Santiago Bernabeu yang memecahkan rekod perpindahan British, kehadiran pemain antarabangsa Argentina ini memberikan kesan besar kepada bahagian tengah United terutamanya ketika mereka melakukan gerakan-gerakan serangan dari sebelah tepi. Persembahan yang dipamerkan Di Maria semalam seolah-olah satu isyarat bahawa beliau sudah bersedia membayar balik pelaburan besar yang dilakukan kelab ke atas dirinya. Secara keseluruhannya saya berpuashati melihat corak permainan yang dipamerkan anak-anak buah Louis Van Gaal semalam walaupun masih lagi ada kesilapan-kesilapan kecil yang dilakukan benteng pertahanan.

Di Maria memang pemain paling menonjol tetapi lebih daripada itu saya melihat ada perubahan besar berlaku di benteng, bahagian tengah dan serangan berikutan kehadiran pemain-pemain baharu seperti Daley Blind, Marcos Rojo serta kembalinya Ander Herrera dan Rafael da Silva yang baru pulih dari kecederaan. Pergerakan licik Di Maria memecah pertahanan lawan mencuri tumpuan tetapi saya berharap anda juga tidak lupakan sumbangan Daley Blind di bahagian tengah. Melihat kepada keseluruhan aksi bekas pemain Ajax Amsterdam ini semalam, siapa menyangka bahawa ini adalah penampilan pertama Blind bersama kelab baharunya itu. Sepanjang perlawanan, Blind melakukan 112 hantaran dan daripada jumlah itu 107 menemui sasaran. Jadi tidak hairanlah mengapa musim lalu Blind muncul pemain paling banyak menyempurnakan hantaran di Eredivisie dalam tempoh semusim.

Purata peratusan kejayaan beliau dalam menyempurnakan hantaran pada setiap perlawanan di Eredivisie mencapai 89.5% dan untuk perlawanan semalam Blind mencatatkan 96%. Seperti yang dijangkakan sejak awal, peranan sebagai pemain tengah bertahan diberikan kepada Blind dan sepanjang perlawanan beliau menjalankan tugasnya dengan cukup baik di posisi tersebut. Mengingatkan kepada komen Van Gaal selepas tamat perlawanan menentang Swansea City bulan lalu (United tewas 1-2) bahawa pemain-pemainnya perlu memiliki visi permainan yang lebih luas ketika di atas padang selain bijak membuat keputusan pantas pada waktu yang tepat, maka fahamlah saya mengapa pemain seperti Blind amat diperlukan beliau dalam skuadnya. Selaku bekas pengendali skuad kebangsaan Belanda, Van Gaal juga sudah tentu faham benar dengan potensi dan kemampuan yang dimiliki Blind, dan biarpun pada awalnya diberitakan tiada sebarang tawaran dibuat kelab bagi mendapatkan pemain ini, Blind akhirnya tiba di Old Trafford sehari sebelum pintu perpindahan pemain ditutup.

Walaupun saya tidak mengikuti perkembangan Ajax Amsterdam secara dekat, saya tahu kelab ini sudah melahirkan begitu ramai pemain-pemain handalan dalam sejarah bolasepak dunia. Bakat-bakat hebat seperti Johan Cryuff, Marco Van Basten, Frank Rijkaard, Edgar Davids, Patrick Kluivert, Michael Reiziger, Wesley Sneijder, Dennis Bergkamp, Frank de Boer dan ramai lagi semuanya lahir dari akademi kelab tersebut, menimba pengalaman bersama skuad utama dan akhirnya potensi mereka mula menarik perhatian kelab-kelab ternama Eropah. Meskipun Ajax sudah lama tidak menggegar pentas Eropah sejak kali terakhir mereka memenangi trofi Liga Juara-Juara pada 1995, gergasi Belanda itu nampaknya masih tidak henti-henti membekalkan pemain-pemain berbakat mereka kepada skuad kebangsaan Belanda dan juga kepada kelab-kelab besar sekitar Eropah. Blind adalah salah satu contoh produk terbaharu keluaran mereka.

Di pusingan akhir Piala Dunia yang lalu, Blind antara tonggak penting skuad Oranje pimpinan Van Gaal, juga antara pemain yang digemari pengendali itu kerana boleh memikul peranan dengan berkesan sama ada sebagai bek kiri ataupun di bahagian tengah sekiranya Van Gaal mahu melakukan perubahan taktikal segera. Semalam, Blind sekali lagi menunjukkan kepada kita mengapa beliau antara pemain yang disukai bosnya itu ketika mereka bekerjasama dalam skuad kebangsaan Belanda. Sepanjang 90 minit aksi di Old Trafford, Blind antara pemain United yang paling sibuk ketika lawan menguasai bola, sentiasa berada pada kedudukan yang tepat bagi mematahkan gerakan lawan di samping tugasnya melindungi benteng pertahanan. Tempo permainan Eredivisie dan Liga Perdana begitu jauh berbeza, jadi apa yang dipamerkan Blind semalam tentunya agak mengejutkan saya. Adakalanya aksi Blind semalam mengingatkan saya kepada Darren Fletcher ketika zaman kemuncaknya yang sering ditugaskan Sir Alex Ferguson bagi menganggu tempo permainan lawan.

Untuk beraksi seperti Blind, seseorang pemain memerlukan stamina cukup tinggi, fizikal yang kuat untuk merampas bola dari penguasaan lawan dan paling penting ketajaman berfikir ketika bola berada di kaki sebelum digerakkan ke arah kawasan lawan. Paling menarik apabila melihat peranan yang dimainkan Blind dalam menyekat gerakan-gerakan awal lawan sebelum mereka mara lebih jauh, sekaligus mengurangkan tekanan kepada backline United yang dibarisi Evans, Blackett, Rojo dan Rafael. Tidak banyak peluang terbaik yang mampu dicipta lawan kecuali menerusi Matt Phillips di babak pertama dan percubaan Niko Kranjcar yang diselamatkan David de Gea di babak kedua, sekaligus memberikan petanda baik sebelum kelab berdepan lawan yang lebih sukar selepas ini. Dengan adanya Blind juga membolehkan Di Maria, Mata dan Herrera lebih bebas dan fokus mencipta gerakan kerana di belakang mereka sudah ada pemain tengah dengan kualiti bertahan yang bagus untuk melindungi benteng pertahanan ketika lawan memberikan tekanan.

Masih terlalu awal untuk kita membandingkan Blind dengan lagenda pemain-pemain tengah United seperti Bryan Robson, Roy Keane ataupun Paul Scholes tetapi beliau sebenarnya memiliki sedikit persamaan dengan gaya permainan Michael Carrick. Ketiadaan Carrick yang masih dibelenggu kecederaan adalah satu kehilangan dan kekurangan besar buat bahagian tengah United, tetapi kehadiran Blind menerusi persembahan yang dipamerkannya semalam memberikan petanda bahawa kelab kini memiliki pilihan lain kepada bekas pemain Tottenham Hotspurs itu. Sepertimana Carrick, Blind juga memiliki kemampuan membaca permainan dengan baik selain berperanan sebagai penghubung antara benteng pertahanan dan bahagian tengah. Cuma apa yang patut dilakukan Blind selepas ini ialah mempertajamkan lagi kemahirannya dalam  membuka permainan dan aspek ini sebenarnya boleh beliau pelajari dari Carrick.

Blind pada pandangan saya seorang tackler yang agak bagus tetapi sedikit kurang dari segi kepantasan yang mana kelemahan ini boleh dieksploitasi lawan yang lebih pantas berbanding Charlie Austin atau Matt Phillips semalam. Blind juga sebenarnya perlu berani untuk mara lebih jauh ke kawasan lawan berbanding 'permainan selamat' yang diamalkan beliau semalam di mana beliau dilihat lebih gemar berlegar-legar di kawasan sendiri terutamanya di babak pertama. Mungkin disebabkan adanya Herrera, Di Maria dan Mata yang memiliki naluri menyerang dalam lineup Van Gaal menyebabkan Blind lebih selesa dan fokus untuk melindungi kawasan sendiri berbanding naik ke atas bagi mencipta peluang jaringan gol. Hanya di penghujung permainan barulah saya dapat melihat Blind mara menghampiri petak penalti lawan dan kemudiannya melepaskan satu percubaan tepat ke sebelah kiri gawang lawan hingga memaksa Robert Green bekerja keras menyelamatkan gawangnya dari dibocori buat kali kelima.

Melihat kepada keseluruhan sumbangan yang diberikan Blind semalam, saya cukup berpuashati dengan apa yang sudah dipamerkan pemain berusia 24 tahun ini, apatah lagi ini adalah penampilan pertamanya untuk United dan Liga Perdana. Apa yang dipamerkan Di Maria ketika berdepan QPR menunjukkan bahawa beliau memang seorang pemain kelas dunia, tetapi Blind juga tidak kurang hebatnya. Dengan kualiti bertahan yang dimilikinya, saya tidak ragu-ragu untuk mengatakan bahawa Blind adalah pemain yang dicari-cari United selama ini bagi menggalas tugas sebagai pemain tengah bertahan. Mungkin ada pihak yang mengatakan bahawa QPR bukanlah ujian sebenar buat barisan bernilai ratusan juta Pound United, tetapi kemenangan besar semalam saya anggap satu isyarat bahawa jentera perang Van Gaal kini semakin panas dan sudah mula mendapatkan rentaknya. Ketika gendang perang sudahpun dipalu oleh armada Van Gaal sebagai amaran kepada lawan-lawan mereka, kehadiran Blind pula sebenarnya memberikan keseimbangan kepada permainan United. Tanpa ragu saya mengatakan bahawa perlawanan semalam adalah debut sempurna buat Blind dan tidak lupa juga buat Rojo. Glory Glory Manchester United!!! - A.J