Manchester United
menang lagi, manakala Angel Di Maria pula dipilih sebagai pemain terbaik
perlawanan buat kali ke-2 dari lima perlawanan. Kemenangan semalam melonjakkan
United di tangga keempat liga walaupun mereka masih kekal ketinggalan lapan
mata di belakang pendahulu ketika ini, Chelsea. Sebelum ini saya katakan bahawa
Everton adalah lawan yang sukar dan semalam mereka sekali lagi membuktikan
kepada kita bahawa mereka memang kesebelasan yang sukar untuk ditewaskan. Musim
lalu mereka dua kali menewaskan United dalam saingan liga dan kali ini mereka
hampir memaksa United sekali lagi kehilangan mata. Mujurlah Angel di Maria
terus menemui sentuhan golnya sambil membuktikan mengapa United sanggup memecah
rekod perpindahan British demi mendapatkan khidmatnya disamping gol kemenangan
yang dihasilkan Radamel Falcao dan kecemerlangan David de Gea di gawang. Di
sebalik tiga mata penuh yang diraih semalam sambil menyaksikan kecemerlangan
berterusan yang dipamerkan Di Maria, faktor Falcao dan De Gea juga menarik untuk
diperkatakan. Selain kejayaan menewaskan Everton, ada dua sebab mengapa saya
gembira selepas berakhirnya perlawanan semalam. Pertama kerana Falcao berjaya
menjaringkan gol sulungnya untuk United dan kedua kerana prestasi fantastik
yang ditunjukkan De Gea di gawang.
Mana-mana gol
sulung dari seorang penyerang untuk pasukan baharunya amat penting, kerana gol
sulung itu bakal meredakan sebarang tekanan yang dipikul di bahu mereka,
tambahan pula untuk seorang penyerang yang memiliki reputasi besar seperti
Falcao. Gol sulung yang dihasilkan Falcao untuk United sejak beliau menyertai
kelab pada hari terakhir sebelum pintu perpindahan pemain musim panas ditutup
pastinya melegakan beliau. Lebih manis gol yang dijaringkan Falcao diminit
ke-62 itu juga membolehkan United meraih tiga mata penuh selepas tandukan
Steven Naismith diminit ke-55 memadam kelebihan awal yang dimiliki anak-anak
buah Van Gaal. Hadir di Old Trafford dengan memegang status sebagai antara
penyerang terbaik dunia ketika ini, Falcao gagal menemui sentuhan pemusnah
ketika berdepan Queens Park Rangers, Leicester City dan West Ham, tetapi
akhirnya gol sulung yang dicari-cari beliau hadir pada waktu dan tempat yang
tepat. Tiada yang menggembirakan buat seorang penyerang apabila melihat
jaringan yang dihasilkannya adalah jaringan kemenangan dan berlaku pula di
hadapan penyokong-penyokong sendiri. Gol itu pada pandangan saya membuktikan
reputasi, ketajaman dan naluri pemusnah Falcao di hadapan gawang lawan. Beliau
meletakkan dirinya di posisi yang tepat sebelum menyudahkan hantaran Di Maria
ketika barisan pertahanan Everton menyangka bahawa beliau berada dalam
kedudukan offside.
Itu bukanlah
jaringan yang cantik berbanding gol-gol yang pernah dihasilkan Falcao sebelum
ini ketika bersama FC Porto, Atletico Madrid dan AS Monaco, tetapi gol sulung
itu dari segi psikologinya cukup penting buat Falcao selepas kelab melakukan
kejutan besar dengan mendapatkan khidmat beliau (secara pinjaman) musim panas
lalu. Selepas berusaha keras sejak perlawanan pertama beliau menyarung jersi The
Red Devils, saya gembira menyaksikan akhirnya Falcao berjaya menghasilkan
gol sulungnya untuk United. Jadi sewajarnya jugalah riak wajah beliau begitu
lega selepas terhasilnya jaringan tersebut dan untuk seketika biarkan sahaja
Falcao meraikan kejayaan hasil dari kerja kerasnya selama ini bersama
penyokong-penyokong. Semoga gol sulung itu akan membebaskan Falcao dari
sebarang tekanan dan semoga kejayaan menyumbat gol sulung itu membolehkan
Falcao menjaringkan lebih banyak gol selepas ini. Gol Radamel Falcao memberikan
Manchester United kemenangan ketiga musim ini tetapi David de Gea pula
menyelamatkan The Red Devils dari kehilangan mata di gelanggang sendiri.
Bekas penjaga gol Atletico Madrid itu melakukan tiga penyelamatan hebat untuk
menafikan Everton dari mengulangi pencapaian mereka ketika meraih tiga mata di
Old Trafford musim lalu. Di penghujung babak pertama, De Gea menyelamatkan
sepakan penalti Leighton Baines manakala di penghujung babak kedua pula beliau
menyelamatkan dua rembatan dari Leon Osman dan Brian Oveido sekaligus
membolehkan United merakamkan kemenangan ke-76 ke atas kelab dari Merseyside
itu.
Ketika Baines
bersiap sedia mengambil sepakan penalti tersebut, saya percaya tidak ramai
menaruh keyakinan bahawa De Gea mampu menyelamatkan gawangnya dari dibocori
memandangkan bek kiri Everton dan England itu tidak pernah gagal menyempurnakan
sepuluh sepakan penalti terakhirnya. Akhirnya dibantu dengan sedikit tuah dan
ketepatan membaca arah tuju bola, De Gea berjaya menafikan Baines dari
menyamakan kedudukan sekaligus membolehkan United mengekalkan kelebihan satu
gol sebelum menuju ke bilik persalinan. Jika ada yang mengatakan bahawa
kejayaan De Gea menafikan sepakan penalti Baines sebagai nasib, bagaimana pula
dengan aksi beliau ketika menyelamatkan percubaan Leon Osman dan tindakbalas
pantasnya menepis rembatan Brian Oveido di penghujung permainan? Momen paling
menarik dan mendebarkan tentunya saat menyaksikan De Gea melayangkan badannya
menepis rembatan Oveido ketika bola seakan-akan hampir pasti menerjah gawang
beliau. Dalam situasi di mana penglihatan beliau terhalang (oleh pemain-pemain
yang berada dihadapanya), sukar untuk saya percaya rembatan dari Oveido itu
berjaya diselamatkan, apatah lagi bola pula ditujukan di sudut yang sukar.
Ketika prestasinya di gawang United dipersoalkan ramai pihak sebelum ini, De
Gea tiba-tiba tampil memukau menyelamatkan United sepanjang perlawanan semalam.
Angel di Maria yang
dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan turut merakam penghargaan kepada
rakan sepasukannya itu. "Saya fikir De Gea adalah pemain yang paling layak
diberikan penghargaan ini (pemain terbaik perlawanan) berbanding saya. Dia
sudah menyelamatkan kami sepanjang perlawanan terutamanya di penghujung
permainan dan menafikan sepakan penalti lawan", kata Di Maria. Tiada yang
membanggakan selain dari menerima pengiktirafan lawan dan itulah yang diterima
De Gea semalam. Selepas tamat perlawanan, Roberto Martinez tanpa ragu menamakan
De Gea sebagai pemain terbaik perlawanan (meskipun pengiktirafan itu secara
rasminya diberikan kepada Di Maria). "De Gea adalah pemain terbaik
perlawanan dan pemain yang membezakan keputusan perlawanan di scoreboard.
Semua yang berada di stadium sudah mengira jaring akan bergegar selepas Osman
dan Oveido mendapat peluang terbaik. Dia tampil dengan cukup bagus dan
menghalang kami dari mendapatkan hasil positif di sini", kata Martinez. Selepas
tamat 90 minit permainan, United akhirnya berjaya meraih tiga mata berharga
biarpun dipaksa bekerja keras oleh lawan. Ini adalah perlawanan yang sukar,
jadi kejayaan mengatasi lawan yang sukar seperti Everton adalah kemenangan yang
cukup berharga. Walaupun ini bukanlah permainan terbaik yang dipersembahkan
oleh skuad mahal Van Gaal, tapi saya percaya masih ada ruang untuk beliau
meningkatkan lagi kekuatan skuadnya. Meskipun tidak beraksi baik setakat ini,
barisan The Red Devils masih mampu meletakkan diri mereka di kelompok
empat teratas, tempat yang sudah sinonim buat mereka selama ini dan tempat di
mana United sepatutnya berada. Glory Glory Manchester United!!! - A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan