02 November 2014

DI MARIA vs AGUERO....SIAPA BAKAL MUNCUL PEMENANG?


Perlawanan derby Manchester pertama musim ini akan dilangsungkan di Stadium Etihad malam nanti dan sepertimana lima atau enam tahun terakhir, derby Manchester menjadi perlawanan yang besar selepas kelab dari Eastland itu diambilalih Abu Dhabi United Group pada 2008. Derby kali ini tidak mempertaruhkan kedudukan tangga teratas liga tetapi tetap penting buat kedua-dua pasukan kerana City perlukan kemenangan untuk terus memberikan tekanan kepada Chelsea selaku pendahulu manakala United pula mahu memburu kemenangan pertama di gelanggang lawan musim ini selepas hanya mampu mengutip tiga mata dari empat perlawanan di luar Old Trafford.

Mana-mana perlawanan derby pastinya sengit, tegang serta sering berakhir dengan kontroversi dan derby Manchester tidak terkecuali. Seminggu sebelum perlawanan, kedua-dua belah pihak sudah memulakan perang psikologi dengan masing-masing mendakwa mampu memenangi derby ke-143 ini. Menghangatkan lagi pertembungan malam nanti, lagenda United, Peter Schmeichel (juga pernah beraksi untuk City) baru-baru ini mengatakan bahawa City kini kelab yang lebih besar berbanding United. Saya akui kebenaran komen Schmeichel kerana apa yang beliau katakan adalah berdasarkan prestasi semasa dan kedudukan dua kelab ini terutamanya dalam tempoh dua tahun terakhir.

Lihat sahaja apa yang berlaku musim lalu, ketika United terperosok di tangga ke-7 liga, City pula gah menjulang dua kejuaraan (Liga Perdana dan Piala Liga). Musim ini selepas sembilan perlawanan, City berada enam anak tangga di atas United walaupun perbezaan mata tidaklah begitu besar (City dan United hanya dibezakan 4 mata). Derby Manchester bukan hanya berkisar tentang siapa yang menang dan siapa yang kalah tetapi perlawanan dua kelab Manchester ini juga turut mempertaruhkan soal maruah dan reputasi. Disebabkan perjalanan liga yang masih panjang ketepikan dahulu soal siapa bakal menjuarai liga musim ini kerana di akhir perlawanan esok kita mahu melihat siapa penguasa kota Manchester.

Okey, lupakan dulu perseteruan dua kelab berjiran ini kerana apa yang ingin saya fokuskan kali ini ialah pertembungan pemain-pemain di tengah padang. Siapakah pemain dari kedua-dua pasukan yang bakal menjadi tumpuan atau lebih tepatnya yang bakal menentukan halatuju perlawanan malam nanti. Di pihak City, saya tidak hiraukan kekentalan Yaya Toure menjana jentera tengah, kebalnya Vincent Kompany mengemudi benteng pertahanan atau bagaimana kreatifnya David Silva menyusun permainan The Sky Blues kerana pemain mereka yang cukup membimbangkan saya tidak lain dan tidak bukan ialah Sergio Aguero. Kenapa Aguero?

Tidak perlu di pertikaikan lagi bahawa Aguero antara penyerang terbaik di Liga Perdana ketika ini dan melihat kepada statistik jaringannya, saya tidak ragu-ragu untuk meletakkan beliau sebagai pemain paling penting buat City. Jika Wayne Rooney memiliki rekod bagus setiap kali berdepan City, Aguero juga apa kurangnya. Untuk rekod dari enam pertemuan terakhir menentang United, Aguero berjaya menembusi gawang The Red Devils sebanyak empat kali. Jadi sudah tentulah Manuel Pellegrini berharap sentuhan jaringan Aguero ke atas United mampu diteruskan esok agar skuadnya boleh terus memberikan tekanan kepada Chelsea selaku pendahulu.

Melihat kepada persembahan benteng pertahanan United di awal musim, saya agak bimbang bila memikirkan bagaimanakah caranya nanti mereka menangani ancaman yang bakal dihadirkan oleh penyerang licik seperti Aguero. Bagaimanapun Aguero juga bukanlah penyerang yang terlalu sempurna kerana sepertimana kebanyakan pemain, prestasi ibarat yoyo merupakan musuh utama beliau. Aguero antara pemain City yang sering dijadikan sasaran kritikan sekiranya mereka beraksi buruk ataupun keputusan sesuatu perlawanan tidak memihak kepada mereka. Sekiranya Aguero berada di prestasi terbaik ditambah pula dengan rekod jaringannya ke gawang United, tidak mustahil kehadirannya akan memberikan perbezaan kepada keputusan perlawanan ini.

Jika City memiliki Aguero yang mampu menghadirkan rasa gerun kepada mana-mana benteng pertahanan lawan, United juga memiliki senjata mereka sendiri. Pemain yang saya maksudkan ialah Angel di Maria. Sejak ketibaannya di Old Trafford, Di Maria tidak memerlukan tempoh yang lama untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan Liga Perdana dan taktikal permainan yang digunakan Louis Van Gaal. Buktinya, Di Maria sudah menjaringkan tiga gol dan menyumbang empat assist dari tujuh perlawanan liga setakat ini. Berdepan dengan City malam nanti, Di Maria sekali lagi menjadi sandaran United untuk menamatkan rekod buruk setiap kali berdepan `jiran yang bising' itu. Untuk rekod, United tewas tiga perlawanan terakhir mereka menentang City dan kemenangan terakhir yang dilakar United di Stadium Etihad ialah pada 9 Disember 2012.

Ini bukanlah perlawanan pertama dalam karier Di Maria menentang City dan bukan juga yang pertama untuk beliau di Stadium Etihad kerana ketika bersama Real Madrid, Fideo pernah dua kali membantu Los Blancos berdepan The Sky Blues. Kali pertama Di Maria berdepan City ialah pada 18 September 2012 di Santiago Bernabeu dalam aksi Kumpulan D, Liga Juara-Juara. Dalam perlawanan itu Real menang 3-2, manakala Di Maria pula menyumbangkan dua assist untuk disudahkan Marcelo dan Karim Benzema. Pada perlawanan timbal balik di Stadium Etihad pula, Di Maria sekali lagi memainkan peranan penting kepada kejayaan Real mencuri satu mata di sana apabila umpanannya berjaya disudahkan Benzema untuk gol penyamaan.

Melihat kepada peranan yang dimainkan kedua-dua pemain Argentina ini (Aguero untuk City manakala Di Maria pula untuk United), saya percaya sosok mereka akan menjadi tumpuan dalam perlawanan malam nanti. Siapa yang bakal memberikan perbezaan kepada keputusan perlawanan sukar untuk diramal kerana semuanya bakal bergantung kepada prestasi mereka di hari perlawanan. Ketajaman Aguero penting untuk City manakala kreativiti Di Maria amat ditagih United dalam misi mereka mendapatkan keputusan positif di Stadium Etihad. Selain Aguero dan Di Maria, menarik juga untuk kita saksikan pertembungan antara Marouane Fellaini dan Yaya Toure di bahagian tengah.

Yaya merupakan `enjin' City di mana kelibat pemain Ivory Coast ini wajib ada dalam senarai kesebelasan utama Manuel Pellegrini. Bagaimana pentingnya Patrick Vieira kepada Arsenal dulu begitu jugalah pentingnya Yaya kepada City. Marouane Fellaini pula nampaknya sudah mula menunjukkan tanda-tanda kebangkitan beliau selepas `karam' sepanjang musim lalu. Meskipun pernah dilabelkan sebagai `pembelian yang gagal', Fellaini nampaknya bangkit memadam segala kritikan yang dilemparkan kepada beliau pada waktu yang tepat. Aksi pertamanya musim ini di The Hawthorns dan prestasi bagusnya selama 90 minit ketika menentang Chelsea menyebabkan nama beliau antara yang sering disebut-sebut penyokong-penyokong United ketika ini.

Van Gaal dan Pellegrini sedar betapa pentingnya penguasaan di bahagian tengah, jadi sudah tentulah pemain yang paling layak untuk mereka berikan tugas menguasai posisi tersebut ialah Fellaini dan Yaya. Hanya yang kuat akan memenangi pertempuran ini dan saya berharap Fellaini sudah cukup kuat untuk menyaingi Yaya malam nanti. Kini derby Manchester antara perlawanan yang paling dinantikan bukan hanya di Liga Perdana tetapi juga oleh peminat-peminat bolasepak dunia terutamanya dalam tempoh enam tahun terakhir selepas City mendakwa mereka kini adalah kelab yang lebih besar berbanding jiran mereka yang berpangkalan di Old Trafford itu. Mereka mendakwa mereka lebih besar berbanding United, jadi malam nanti saya mahu lihat benarkah dakwaan mereka itu. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

29 Oktober 2014

JANUZAJ...SEMOGA APA YANG BERLAKU KEPADA POGBA TIDAK BERULANG

Musim lalu, kelibat beliau mencuri tumpuan di sebalik prestasi merudum yang dipamerkan United. Kelicikan beliau membelah pertahanan lawan dari sebelah tepi dan kepantasan lariannya dengan kawalan bola menarik mengingatkan kita kepada Ryan Giggs ketika detik awal karier lagenda itu bersama The Red Devils.  Walaupun David Moyes gagal meneruskan rekod cemerlang United selepas beliau mengambil alih tugas dari Sir Alex, beliau sekurang-kurangnya berjaya mengetengahkan pemain berbakat besar seperti Januzaj di pentas tertinggi seperti Liga Perdana.

Musim ini, Januzaj kurang diberikan peluang tampil dalam kesebelasan utama sepertimana musim lalu tetapi kelibatnya sepanjang 90 minit ketika berdepan Chelsea saya anggap satu petanda bagus dan bukti bahawa Louis Van Gaal tidak pernah meminggirkan beliau.  Januzaj antara bakat muda istimewa dalam dunia bolasepak hari ini dan saya berharap di bawah kendalian Van Gaal, Januzaj akan menjadi pemain yang lebih bagus. Apa yang perlu dilakukan Januzaj sekarang ialah bersabar menanti peluang dan bersedia dipanggil pada bila-bila masa jika khidmatnya diperlukan Van Gaal.

Berita bahawa Ajax Amsterdam berminat membawa Januzaj beraksi di Amsterdam Arena sebagai pemain pinjaman satu perkhabaran yang bagus. Jika Van Gaal mahu meletakkan Januzaj dalam status pemain pinjaman, Ajax adalah kelab terbaik untuk pemain ini dihantar bagi menggilap bakatnya kerana reputasi mereka dalam melahirkan pemain-pemain berbakat. Dari dulu hingga sekarang, Ajax tidak pernah ketandusan dan hilang idea dalam melahirkan pemain-pemain muda berbakat yang akhirnya muncul bintang dunia bersama kelab-kelab besar di sekitar Eropah.

Saya yakin sebagai warga Belanda, Van Gaal juga tentu tahu benar dengan kemampuan bekas kelab yang pernah beliau kendalikan itu. Tempat Januzaj bagi saya sebenarnya bukanlah bersama skuad remaja United kerana beliau jelas selangkah di hadapan berbanding rakan-rakan seangkatannya. Lihat bagaimana mudahnya beliau merobek pertahanan skuad U21 Sunderland hingga berjaya menghasilkan hatrik September lalu. Walaupun Januzaj menegaskan bahawa beliau gembira berada di Old Trafford dan mahu terus kekal bersama kelab, saya tetap bimbang dengan situasi terkini dan masa depan pemain itu.

Amat penting untuk kelab mengekalkan bakat muda seperti Januzaj kerana sebolehnya saya tidak mahu melihat apa yang berlaku kepada Paul Pogba berulang sekali lagi. Pogba meninggalkan kelab kerana berasakan beliau tidak diberikan peluang tampil bersama skuad senior dan bersama Juventus, beliau mendapat apa yang beliau mahukan. Begitu juga halnya dengan Gerard Pique yang gagal memecah dominasi Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic di benteng pertahanan tetapi akhirnya cemerlang bersama Barcelona selepas beliau meninggalkan Old Trafford.


Akhirnya kini terpulang kepada Januzaj untuk menentukan hala tuju karier beliau manakala Van Gaal pula saya yakin cukup tahu bagaimana mahu menjadikan bakat sebagus Januzaj bintang besar dunia suatu hari nanti. Reputasi Van Gaal dalam menggilap bakat-bakat muda memang tidak perlu dipertikaikan manakala kemampuan kelab dalam menjadikan pemain seperti Januzaj `Ryan Giggs Seterusnya' tidak pernah saya ragui. Van Gaal merupakan guru yang bagus untuk pemain muda seperti Januzaj dan Old Trafford pula adalah tempat paling ideal untuk pemain ini mencipta nama. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

27 Oktober 2014

FELLA YANG PERNAH MENAKUTKAN, KINI KEMBALI MENAKUTKAN

Minggu lalu beliau datang dari bangku simpanan di separuh masa kedua dan selepas tiga minit beraksi, beliau menjaringkan gol penyamaan di The Hawthorns. Awal pagi tadi ketika berdepan Chelsea, Marouane Fellaini tidak menjaringkan gol tetapi beliau terlibat dengan gol penyamaan United yang dijaringkan Robin Van Persie. Tiada apa yang saya boleh katakan tentang sumbangan keseluruhan Fella awal pagi tadi selain inilah prestasi terbaik yang beliau pamerkan sejak menyertai United musim panas tahun lalu. Inilah `Fella sebenar' yang ingin saya saksikan, pemain yang dahulunya sering membuatkan saya bimbang setiap kali United berdepan Everton.

Minggu lalu ketika berdepan West Bromwich, biarpun beliau hanya bermain selama 45 minit, Fella antara pemain United paling menonjol selain Daley Blind. Prestasinya di The Hawthorns agak mengejutkan saya tambahan pula apabila mengingatkan bahawa Fella antara pemain yang digembar-gemburkan bakal ditunjukkan pintu keluar sebaik Louis Van Gaal memulakan tugasnya secara rasmi Julai lalu. Ogos tahun lalu, berita kejayaan kelab menandatangani beliau disambut penuh teruja oleh penyokong-penyokong United, tetapi kehadiran Fella bagaimanapun gagal mencetuskan impak kepada pasukan hinggakan beliau dianggap pembelian yang gagal.

Selepas bertahun-tahun dianggap antara pemain tengah paling menyerlah di Liga Perdana sejak beliau menyertai Everton dari Standard Leige, Fella sebaliknya tiba-tiba tenggelam sepanjang musim lalu di bawah asuhan David Moyes. Agak pelik juga bila memikirkan bahawa sebelum ini mereka (Fella dan Moyes) pernah bekerjasama selama bertahun-tahun ketika di Everton, malah tidak keterlaluan juga jika saya katakan Fella dan Moyes sudah begitu sebati dan faham dengan kehendak masing-masing. Entah di mana silapnya, Moyes gagal memaksimakan kualiti Fella di Old Trafford sebagaimana beliau pernah menjadikan pemain ini tonggak penting di Goodison Park.

Rembatan ke penjuru kiri gawang West Bromwich hingga terhasilnya gol sulung beliau untuk kelab seolah-olah menandakan bahawa Fella sudah sedia bersaing mendapatkan tempatnya di bahagian tengah United, manakala prestasinya awal pagi tadi pula membuktikan bahawa beliau memang layak berada dalam kesebelasan utama Van Gaal. Tugas beliau pagi tadi ialah mengunci pergerakan Cecs Fabregas, dan sepanjang permainan Fella sentiasa mengekori rapat kelibat pemain itu hingga menyebabkan Fabregas gagal berfungsi sepertimana biasa. Fabregas antara pemain paling berpengaruh dalam skuad Jose Mourinho, jadi tidak hairanlah mengapa Van Gaal memberikan perhatian khusus terhadap pemain itu. Strategi Van Gaal berkesan, hingga menyebabkan Fabregas tenggelam sepanjang permainan.

Fella memang tidak sepantas dan sekreatif Angel di Maria, tetapi kehadiran pemain seperti beliau memberikan United kelebihan di bahagian tengah menerusi kekuatan fizikalnya. Beliau sentiasa sahaja muncul pemenang dalam situasi perebutan bola 50/50, pada bila-bila masa mampu merampas bola dari penguasaan lawan menerusi tackle bersihnya selain memiliki kekuatan di udara. Ketika United kekurangan pemain yang mampu memberikan saingan kepada John Terry dan Nemanja Matic dalam situasi perebutan bola di udara, Fella hadir memberikan cabaran  menerusi kelebihan susuk fizikalnya. Lihat bagaimana terhasilnya gol penyamaan United pagi tadi, kerana situasi seperti itu sebenarnya adalah `makanan' beliau.

Ketika ramai menjangkakan bahawa Van Gaal akan menurunkan Ander Herrera di bahagian tengah, keputusan beliau menyenaraikan Fella dalam kesebelasan utama United saya anggap satu kejutan. Akhirnya kesempatan berharga itu digunakan sepenuhnya oleh Fella untuk membuktikan kepada penyokong-penyokong United bahawa beliau masih lagi boleh diharapkan. Melihat kepada bagaimana berkesannya peranan beliau di bahagian tengah terutamanya dalam mematikan pergerakan Fabregas, saya yakin tugas yang sama akan dipikul Fella ketika berdepan derby Manchester minggu hadapan. Tentu menarik untuk melihat pertembungan antara beliau dengan Yaya Toure nanti...Glory Glory Manchester United!!! - A.J

26 Oktober 2014

CHELSEA, BAKAL MENGUJI SEJAUH MANA KEMAMPUAN SEBENAR UNITED

Louis Van Gaal dan Jose Mourinho pernah bekerjasama selama tiga tahun (1997-2000) di Nou Camp hingga gandingan mereka berjaya menghadiahkan Barcelona trofi La Liga dan Copa del Rey selain UEFA Super Cup. Tahun 2000 Mourinho menyertai Benfica dimana selepas itu beliau tidak pernah lagi menoleh ke belakang dan sukses mengharungi kariernya sebagai jurulatih/pengurus. Tahun 2010 mereka dipertemukan buat pertama kali apabila Bayern Munich kendalian Van Gaal berdepan  Inter Milan asuhan Mourinho di pentas final Liga Juara-Juara. Sepertimana yang anda tahu, Inter menang 2-0 dalam perlawanan itu sekaligus berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali ke-3.

Malam nanti, kedua-dua `guru dan murid' ini akan dipertemukan sekali lagi, kali ini di pentas saingan Liga Perdana pula. Walau pun pernah dianggap sebagai `guru dan murid' falsafah mereka sebagai jurulatih jauh berbeza. Falsafah Mourinho ialah `melatih untuk menang' tanpa mengambilkira bagaimana kemenangan itu diperolehi dan bagaimana taktikal yang beliau gunakan di atas padang. Saya tidak nafikan bahawa Chelsea begitu sukses di bawah kendalian Mourinho tetapi jika saya mahu menonton permainan bolasepak menarik, mereka bukanlah pasukan yang ingin saya saksikan aksinya.

Atas sebab itu jugalah mengapa pada 2007, Roman Abramovich menunjukkan pintu keluar kepada Mourinho biarpun sebelum itu beliau berjaya membawa The Blues menjulang trofi liga dua musim berturut-turut. Alasannya cukup mudah, kerana ketika Abramovich mahu menyaksikan Chelsea bermain cantik, menjaringkan tiga atau empat gol dalam setiap perlawanan mereka, corak permainan The Blues yang diterapkan Mourinho pula sebaliknya kaku walau keputusan selepas tamat 90 minit permainan memihak kepada mereka. Itu cerita dulu kerana Chelsea kini jelas pasukan yang berbeza.

Walaupun label `pragmatik' masih lagi sukar dihakis dalam diri Mourinho, Chelsea kendalian beliau musim ini menunjukkan corak permainan yang jauh berbeza berbanding apa yang mereka tunjukkan 10 tahun yang lalu. Dengan adanya Cesc Fabregas, Oscar dan Eden Hazard, Chelsea kali ini lebih teknikal, menyajikan permainan menyerang yang menarik dan ditambah pula dengan ketajaman Diego Costa di hadapan, mereka tidak pernah berhenti dalam memberikan ancaman kepada benteng pertahanan lawan. Ketepikan soal jaringan cantik, kerana sebagai penyerang, tugas Costa ialah menjaringkan gol tidak kira sama ada jaringan itu cantik atau tidak.

Berbeza dengan bekas `muridnya', Van Gaal pula tidak akan sekali-kali mengorbankan corak permainan bolasepak yang menarik demi meraih kemenangan. Contoh terbaru, lihat bagaimana skuad kebangsaan Belanda yang dilatih Van Gaal  beraksi di pentas Piala Dunia 2014 yang lalu. Atas sebab itu jugalah saya yakin beliau tidak akan mengamalkan corak permainan bertahan walaupun skuad kendaliannya masih tercari-cari keseimbangan manakala Chelsea pula hadir dengan reputasi satu-satunya pasukan yang masih belum tewas setakat ini. Ringkasnya Chelsea hadir sebagai pasukan pilihan walaupun United bermain di hadapan penyokong sendiri.

Melihat kepada `kelainan' yang dipamerkan Chelsea musim ini, saya yakin mereka adalah lawan yang diidamkan Van Gaal tetapi dalam masa yang sama beliau juga perlu menyeimbangkan skuadnya terlebih dahulu sebelum berkira-kira mahu memberikan kekalahan sulung kepada The Blues atau sekurang-kurangnya memaksa mereka berkongsi mata. Jika dilihat jadual awal musim, United sepatutnya mampu memungut lebih banyak mata berbanding apa yang mereka mampu kumpul sekarang tetapi malangnya The Red Devils hanya mampu menang tiga dari lapan perlawanan awal mereka.

Chelsea adalah ujian pertama bagi mengukur sejauh mana kemampuan sebenar United untuk bersaing musim ini sebelum mereka berdepan derby Manchester seminggu selepas itu. Amat menarik untuk menyaksikan pertembungan di bahagian tengah kerana di sinilah sebenarnya terletak kekuatan kedua-dua pasukan. Berita bahawa Michael Carrick akan bermain buat pertama kalinya selepas berehat panjang akibat kecederaan buku lali saya anggap petanda bagus menjelang perlawanan besar dan penting ini. Dengan pengalaman dan kualiti yang ada pada beliau, saya yakin kehadiran Carrick akan memberikan perbezaan kepada bahagian tengah United.

Jika kita lega mendengar berita kembalinya Carrick untuk menguatkan jentera tengah, benteng pertahanan pula masih kekal membimbangkan saya. 12 gol yang sudah dilepaskan setakat ini bukanlah statistik yang bagus hingga menyaksikan United, Liverpool dan West Ham muncul pasukan kedua paling banyak melepaskan gol berbanding pasukan-pasukan lain yang menghuni kelompok 10 teratas. Saya tidak mahu terlalu memikirkan sama ada Diego Costa akan diturunkan atau tidak, kerana kebimbangan saya lebih kepada kemampuan benteng pertahanan menangani ancaman yang bakal dihadirkan barisan penyerang Chelsea.

Jika Costa tidak bermain sekalipun, Mourinho masih memiliki Didier Drogba dan Loic Remy di bangku simpanan manakala pemain-pemain seperti Eden Hazard dan Cecs Fabregas juga mampu memberikan ancaman kepada gawang United sekiranya kelibat mereka dibiarkan bergerak bebas. Fabregas antara yang perlu diawasi kerana bekas pemain Arsenal dan Barcelona ini bukan sahaja mampu menjaringkan gol tetapi beliau juga bijak mencipta peluang jaringan. Dari lapan penampilan, Fabregas menjaringkan satu gol dan mencipta tujuh assist, jadi tidak hairanlah mengapa beliau dianggap tonggak penting The Blues walaupun nama Diego Costa lebih melonjak menerusi gol demi gol yang dihasilkannya.

Saya berharap siapapun yang diletakkan Van Gaal di benteng pertahanan nanti mampu menjalankan tanggungajwab mereka dengan baik apatah lagi The Blues hadir dengan statistik jaringan yang agak menggerunkan di mana mereka mencatatkan purata 2.8 gol dalam setiap perlawanan. Mereka bukan hanya perlu mengawasi ancaman Didier Drogba, Loic Remy atau Diego Costa tetapi dalam masa yang sama kelibat Fabregas, Eden Hazard atau Oscar juga tidak sepatutnya terlepas dari pandangan. Untuk itu saya berharap Marcos Rojo, Phil Jones, Rafael da Silva dan Luke Shaw sudah melakukan kerja rumah secukupnya jika kombinasi ini diturunkan Van Gaal malam nanti.

Chelsea kini sedang berada di puncak di bawah kendalian seorang jurulatih yang juga sedang meniti puncak kariernya, tetapi Mourinho tetap mengambil sikap berhati-hati menjelang pertemuan malam nanti. Ini bukan tentang siapa yang mengendalikan United, pemain mana yang bakal diturunkan atau di manakah kedudukan mereka di carta liga kerana United tetap United dan tiada apa yang perlu ditakutkan tentang Chelsea walaupun mereka kini sedang berada di puncak prestasi. Mourinho sedar tentang betapa besar dan pentingnya pertembungan menentang United dan atas sebab itu jugalah beliau berharap mampu menurunkan kekuatan penuh di Theatre of Dreams malam ini.

Selepas berdepan lawan-lawan kelas pertengahan sebelum ini, kunjungan Chelsea adalah ujian besar pertama buat United, tetapi dalam masa yang sama sebarang keputusan selepas perlawanan bukanlah penentu kedudukan di akhir musim nanti. Walau pun sudah berbelanja besar, Van Gaal masih belum berjaya menjadikan United skuad yang konsisten dan sudah tentulah Chelsea akan menjadi lawan yang bagus untuk mengukur di tahap mana sebenarnya United berada. Jika dilihat prestasi semasa, kita sepatutnya sudah bersedia untuk bersikap realistik menerima apa juga keputusan perlawanan nanti tetapi itu juga tidak bermakna bahawa saya tidak yakin dengan kemampuan sebenar The Red Devils. Chelsea adalah salah satu lawan hebat yang perlu dihadapi United, jadi ketepikan dulu dari memikirkan keputusan di akhir perlawanan kerana sebelum itu saya hanya mahu menikmati perlawanan ini selama 90 minit. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

25 Oktober 2014

BLIND YANG KONSISTEN DAN SELAMAT KEMBALI FELLAINI

Selepas berakhirnya perlawanan menentang West Bromwich Albion Selasa lalu, saya perlu mengakui bahawa seri bukanlah satu keputusan yang saya harap-harapkan. Ketika Chelsea terus mencatatkan rekod bersih tanpa kalah dalam saingan liga setakat ini, saya mengharapkan The Red Devils tidak mencicirkan sebarang mata pada aksi di The Hawthorns. Saya tidak pernah bimbang sekiranya United menamatkan saingan liga musim ini bukan sebagai juara, tetapi saya lebih bimbang tentang kemungkinan mereka gagal kembali beraksi di pentas Liga Juara-Juara musim hadapan. Bagaimanapun sebaik sahaja aksi di The Hawthorns ditamatkan, saya melihat ada sisi positif yang dipamerkan anak-anak buah Van Gaal meskipun mereka cuma membawa pulang satu mata sekaligus menyaksikan kedudukan mereka tergelincir di tangga keenam. Jika apa yang kita saksikan di The Hawthorns mampu diteruskan selain beberapa penambahbaikan terhadap kelemahan-kelemahan yang ada terutamanya di benteng pertahanan dan serangan, saya percaya rekod tanpa kalah Chelsea mampu ditamatkan hujung minggu ini.

Statistik selepas tamat perlawanan menentang West Bromwich tempohari menyaksikan United mencatatkan 63% penguasaan bola, 22 percubaan di lepaskan ke gawang lawan dan 11 sepakan sudut. Selain dari statistik,  apa lagi faktor positif yang boleh kita ambil dari aksi menentang West Bromwich? Tidak seperti pada dua perlawanan sebelum ini (menentang West Ham dan Everton), United kali ini bukan sekadar garang di babak pertama tetapi mereka menguasai keseluruhan permainan. Tekanan demi tekanan yang diberikan kepada The Baggies hampir sepanjang permainan memaksa mereka bertahan sambil berharap tiupan wisel penamat menyelamatkan mereka dari kekalahan. Lebih dari itu, ketika Robin Van Persie masih tercari-cari sentuhan jaringannya, Marouane Fellaini dan Daley Blind hadir menyelamatkan United dari kekalahan menerusi gol sumbangan mereka. Ini adalah jaringan sulung dari Fellaini dan Blind untuk United, jadi tidak hairanlah melihat reaksi kedua-dua pemain ini selepas terhasilnya gol-gol tersebut.

Blind antara pemain United paling konsisten sejak beliau melakukan penampilan pertama untuk kelab ketika berdepan Queens Park Rangers 14 September lalu. Sepanjang ketiadaan Michael Carrick yang terlepas aksi sejak perlawanan pertama, Blind berjaya melaksanakan tanggungjawabnya selaku pemain tengah bertahan dengan baik. Meskipun kehadirannya di Old Trafford ditenggelamkan dengan berita kejayaan kelab mendapatkan khidmat Radamel Falcao, Blind sebaliknya muncul antara pemain United paling menyinar setakat ini. Kekuatan Carrick lebih kepada kualiti hantaran-hantarannya serta kemampuan beliau menyusun permainan, Darren Fletcher sentiasa ada di mana-mana dan gemar membantu serangan manakala Blind pula jenis pemain yang lebih protektif tetapi dalam masa yang sama beliau juga memiliki kemampuan `membina' permainan dari bawah. Untuk itu saya boleh katakan bahawa Blind satu-satunya pemain tengah bertahan tulen yang dimiliki Van Gaal walaupun sebelum ini kita lebih mengenali beliau sebagai bek kiri ketika bersama skuad kebangsaan Belanda dan juga Ajax Amsterdam.

Jika Blind sukses mengharungi musim pertamanya di Old Trafford, nasib Fellaini pula sebaliknya. Ketika kehadiran pemain dengan gaya rambut afro ini musim panas tahun lalu disambut penuh teruja oleh penyokong-penyokong United, Fellaini pula sebaliknya `tenggelam' bersama-sama bahtera ciptaan David Moyes. Maaf jika saya katakan bahawa Moyes sebenarnya gagal atau mungkin tidak pernah tahu bagaimana mahu menggunakan kelebihan dan kualiti yang ada pada Fellaini walaupun mereka pernah bekerjasama selama bertahun-tahun di Goodison Park. Menjelang berakhirnya era singkat Moyes di Old Trafford, Fellaini dicop sebagai pembelian yang gagal dan juga simbol kegagalan pengurusan The Chosen One bersama The Red Devils. Masih terlalu awal untuk saya memuji sumbangan Fellaini dan tidak adil juga untuk kita menilai kemampuan beliau hanya menerusi satu perlawanan, cuma saya berharap agar Van Gaal bijak menggunakan segala kelebihan dan kualiti yang dimiliki pemain ini dalam merancang taktikal permainannya. Aksi di The Hawthorns tempohari adalah contoh terbaik. Ketika Van Gaal memerlukan pemain yang memiliki kekuatan fizikal bagi memecah pertahanan lawan, Fellaini di bawa masuk menggantikan Ander Herrera.

Prestasi Herrera bukanlah terlalu buruk hingga menyebabkan beliau dikeluarkan tetapi dalam situasi United sedang ketinggalan manakala lawan pula liat bertahan, kualiti pemain seperti Fellaini amat diperlukan. Fellaini bukanlah pemain yang pantas tetapi beliau agresif, mampu mendapatkan kembali bola dari penguasaan lawan dan sentiasa sahaja muncul pemenang dalam situasi perebutan bola 50/50. Van Gaal seperti yang kita tahu lebih gemar menggunakan pemain-pemain yag memiliki kemahiran taktikal seperti Herrera tetapi dalam masa yang sama United juga memerlukan type pemain seperti Fellaini. Percaturan Van Gaal berhasil apabila dalam tempoh 3 minit selepas dimasukkan, Fellaini menjaringkan gol penyamaan dan juga gol pertamanya untuk United sejak berpindah dari Everton musim lalu. Konsistensi yang ditunjukkan Blind dan kembalinya Fellaini adalah satu petanda bagus sebelum United melayan kunjungan Chelsea esok. Selepas mengharungi lapan perlawanan, persembahan benteng pertahanan selain ketumpulan jentera serangan masih membimbangkan saya tetapi di sebalik semua faktor itu, ada tanda-tanda bahawa skuad United musim ini lebih berkarakter berbanding musim lalu. Melihat kepada barisan pemain yang ada, United sepatutnya tidak bermasalah muncul antara pencabar serius kejuaraan liga musim ini dan untuk itu saya berharap konsistensi Blind selain kembalinya pemain-pemain regular seperti Fellaini dan Carrick akan meletakkan kembali United di tempat sepatutnya mereka berada. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

19 Oktober 2014

GAGAL MENANDATANGANI MEREKA....FERGIE MASIH KESAL HINGGA KE HARI INI

Tidak perlu dipertikaikan lagi bahawa Manchester United merupakan salah satu kelab terbaik di dunia berdasarkan prestasi dan deretan trofi yang telah mereka menangi. Di bawah kendalian Sir Alex Ferguson, selama bertahun-tahun United muncul kelab dicemburui baik di pentas domestik mahupun ketika mereka beraksi di Eropah. Status kelab besar di dunia yang diberikan kepada United bukan hanya berdasarkan sejarah gemilang dan bilangan trofi yang mereka julang tetapi juga jutaan penyokong-penyokong yang sentiasa mengikuti perkembangan mereka di seluruh dunia. Jadi tidak hairanlah juga mengapa setiap tahun United muncul antara kelab yang mencatatkan penjualan jersi tertinggi di dunia.

Pencapaian gemilang United di bawah kendalian Sir Alex bukan hanya kerana faktor deretan nama-nama besar yang pernah menyarung jersi kelab, bagaimana bijaknya beliau mengatur taktikal dan strategi permainan bagi memerangkap lawan, tetapi kejayaan itu juga sebenarnya turut dibantu faktor kepintaran beliau dalam hal pembelian pemain. Eric Cantona, Steve Bruce, Gary Pallister, Roy Keane, Ole Gunnar Solskjaer, Andy Cole, Dwight Yorke, Jaap Stam, Rio Ferdinand, Ruud Van Nistelrooy, Wayne Rooney, Cristiano Ronaldo, Patrice Evra, Nemanja Vidic, Edwin Van der Sar, Michael Carrick dan Robin Van Persie adalah antara pembelian paling berbaloi pernah dilakukan Sir Alex. Ada diantara pemain-pemain yang saya sebutkan ini sebelum mereka tiba di Old Trafford sudah diawasi Sir Alex dan pasukan pemantaunya selama berbulan-bulan hingga akhirnya tawaran diberikan kepada kelab asal untuk membolehkan mereka menyarung jersi United.

Bagaimanapun tidak semua pemain yang Sir Alex inginkan berjaya beliau tandatangani dan bukan sedikit juga pemain yang menolak untuk berhijrah ke Old Trafford biarpun United antara kelab terbesar di dunia dan dikendalikan pula oleh seorang pengurus berjaya seperti beliau. Inilah antara perkara yang dikesalkan Sir Alex sepanjang lebih dua dekad beliau mengendalikan United dan baru-baru ini beliau mendedahkan senarai pemain-pemain yang beliau ingin tandatangani tetapi gagal kerana mereka memilih destinasi lain berbanding berhijrah ke Old Trafford. Siapakah pemain-pemain yang beliau maksudkan? Berikut adalah senarai sepuluh pemain yang gagal ditandatangani Sir Alex walaupun beliau cukup berminat menjadikan mereka sebahagian dari anggota The Red Devils:

Paul Gascoigne

Gazza antara salah seorang pemain berdarah Inggeris yang memiliki bakat hebat pernah disaksikan dan beliau juga hampir sahaja menyertai United. Skill individu menarik yang dimiliki Gazza menyebabkan pemain itu berada dalam radar buruan United malah kelab juga sudahpun memajukan tawaran rasmi kepada Newcastle United bagi mendapatkan khidmatnya. Walau bagaimanapun bukan hanya United sahaja yang berminat mendapatkan khidmat Gazza kerana selepas itu Tottenham Hotspurs menyertai saingan bersama kontrak yang lebih lumayan. Dengan tawaran gaji yang tinggi disamping tambahan kemudahan lain seperti rumah dan kereta untuk kedua ibubapanya menyebabkan Gazza akhirnya memilih White Hart Lane sebagai destinasi beliau selepas meninggalkan St James Park. Sir Alex pernah beberapa kali mengatakan bahawa kegagalan membawa Gazza ke Old Trafford antara perkara yang masih beliau kesalkan hingga ke hari ini.

Alan Shearer

Tidak syak lagi bahawa Alan Shearer antara penyerang terbaik pernah dilahirkan England jadi tidak hairanlah juga ketika zaman kemuncaknya beliau antara pemain yang cukup diminati Sir Alex. Walau bagaimanapun ketika peluang untuk Shearer menjulang pelbagai trofi kejuaraan bersama United terbuka luas, beliau sebaliknya menolak perpindahan ke Old Trafford, bukan sekali malah dua kali. Tawaran pertama dari Sir Alex datang ketika Shearer masih bersama Southampton tetapi beliau sebaliknya memilih menyertai Blackburn Rovers pada musim panas 1992. Selepas kontrak empat tahunnya bersama Rovers berakhir, Shearer sekali lagi menolak tawaran Sir Alex di mana kali ini beliau memilih Newcastle United pula sebagai kelab baharunya. Mengingatkan bahawa United ketika itu berada di puncak dan sedang mendominasi Liga Perdana, tindakan Shearer menolak tawaran yang dilakukan Sir Alex sebaik tamatnya kempen Euro 96 lebih mengejutkan. Sepanjang tempoh sepuluh tahun Shearer menyertai The Magpies (1996-2006), United yang beliau tolak berjaya menjulang kejuaraan liga sebanyak lima kali, dua kejuaraan Piala FA, satu kejuaraan Piala Liga dan paling hebat tentunya trofi Liga Juara-Juara pada 1999. Bagaimana pula nasib Shearer di St James Park? Sepanjang tempoh sepuluh tahun di sana, Shearer hanya berjaya membantu The Magpies menamatkan saingan liga di tangga kedua pada musim 1996-97 dan finalis Piala FA sebanyak dua kali (1998 dan 99).

Ronaldinho

Saat Sir Alex tercari-cari pemain tengah kreatif dengan skill memukau, beliau melihat Ronaldinho yang ketika itu bermain untuk Paris St Germain adalah pilihan terbaik. Pada usia 20 tahun, Ronaldinho antara pemain berbakat yang menjadi perhatian dunia sejak berpindah ke Eropah dari Gremio pada 2001. Ronaldinho adalah bakat hebat dunia bolasepak ketika itu jadi tidak hairanlah jika mana-mana penyokong United begitu teruja menanti apa kesudahannya spekulasi perpindahan beliau ke Old Trafford. Bagaimanapun pemburuan Sir Alex ke atas pemain berbakat Brazil itu berakhir selepas kelab gagal menandingi tawaran lebih lumayan yang dikemukakan oleh Barcelona. Akhirnya sepertimana yang anda tahu dengan bakat hebat yang dimilikinya, Ronaldinho mengecap berbagai kejayaan sepanjang lima musim beliau di Nou Camp selain berjaya memenangi anugerah Balon d’Or pada 2005.

Michael Essien

Sebelum menyertai Chelsea, pemain antarabangsa Ghana ini yang menjadikan Roy Keane sebagai idola beliau sebenarnya hampir sahaja menyertai United. Pada usia 17 tahun, Essien pernah menjalani `trial' di Old Trafford namun beliau akhirnya dihantar pulang kerana Sir Alex berpendapat tubuh Essien terlalu kecil untuk bermain di Liga Perdana. Ironinya, ketika Sir Alex sedang tercari-cari pemain yang mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Keane, nama Essien tiba-tiba muncul kerana prestasi bagus yang beliau pamerkan di bumi Perancis bersama Olympique Lyon. Bagaimanapun, mungkin disebabkan `patah hati' kerana dirinya pernah ditolak, Essien akhirnya memilih menyertai Chelsea pada musim panas 2005. Bersama The Blues, Essien memenangi kejuaraan liga sebanyak dua kali, empat kali Piala FA, sekali Piala Liga dan Perisai Komuniti hinggalah kemuncaknya saat Chelsea menjulang trofi Liga Juara-Juara buat pertama kali pada 2012.

Petr Cech

Selepas berakhirnya era Peter Schmeichel sebagai tembok kebal di gawang United, Sir Alex berdepan kesukaran mencari pengganti The Great Dane. Bermula dengan Massimo Taibi, Mark Bosnich, Fabien Barthez, Andy Goram, Roy Carroll, Raymond Van der Gouw, Tim Howard hinggalah akhirnya Edwin Van der Sar tiba di Old Trafford dengan tangan emasnya. Sebelum ketibaan Van der Sar pada 2005, Sir Alex pernah cuba merisik Cech yang pada ketika itu bermain untuk Stade Rennes berikutan prestasi turun naik dipamerkan Barthez. Pada 2002, tanpa berselindung, Sir Alex mengakui bahawa beliau terbang ke Perancis bagi memantau aksi penjaga gol itu secara langsung. Bagaimanapun Cech yang ketika itu baru berusia 20 tahun dianggap terlalu mentah untuk diberikan tugas mengawal gawang United apatah lagi untuk dijadikan pengganti kepada Schmeichel. Cech kemudiannya menyertai Chelsea pada 2004 di mana beliau akhirnya membuktikan kemampuannya di Stamford Bridge dengan muncul antara penjaga gol terbaik di Liga Perdana.

Arjen Robben

Penghijrahan David Beckham ke Santiago Bernabeu sebenarnya meninggalkan kesan bukan sedikit kepada United dan Sir Alex. Walaupun selepas itu beliau berjaya mendapatkan Cristiano Ronaldo, Sir Alex juga sebenarnya pernah berusaha membawa Arjen Robben ke Old Trafford sebagai salah satu opsyen selepas beliau kehilangan Beckham. Dalam usaha memikat Robben, United pernah menawarkan lawatan di Theatre of Dreams kepada pemain itu dan ketika perjanjian hampir berjaya di realisasikan, muncul sebuah kelab kaya baharu dari Stamford Bridge menawarkan tawaran lebih lumayan kepada pemain itu. Akhirnya seperti yang kita tahu, Robben memilih Chelsea berbanding United dan beliau muncul antara pemain penting yang berjaya membantu The Blues menang kejuaraan liga dua musim berturut-turut.

Kaka

Pendedahan Kaka bahawa Sir Alex pernah cuba mendapatkan khidmat beliau mungkin sedikit mengejutkan. Lebih daripada itu, Kaka juga mendedahkan bahawa bukan hanya beliau, tetapi adiknya, Digao yang bermain di posisi pertahanan turut berada dalam radar buruan Sir Alex. Minat Sir Alex terhadap Kaka bermula semasa peringkat awal kariernya bersama AC Milan tetapi bekas pemain tengah Brazil ini lebih memilih untuk terus kekal di San Siro. Bercakap tentang Kaka, sebagai penyokong United sudah tentu saya tidak akan pernah melupakan bagaimana pemain ini memainkan peranan besar ketika menyingkirkan United di peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara musim 2006-07. Pada 2012 ketika kariernya bersama Real Madrid berdepan detik suram, United sekali lagi dikaitkan dengan Kaka tetapi saya menganggap berita itu sekadar spekulasi untuk melariskan jualan akhbar.

Fernando Torres

Lama sebelum Fernando Torres menyertai Liverpool, United sebenarnya terlebih dahulu memantau perkembangan El Nino ketika beliau memperagakan ketajamannya bersama Atletico Madrid. Sir Alex juga mendedahkan bahawa beliau sanggup terbang ke Sepanyol bagi memantau aksi Torres secara langsung sejak pemain ini masih berusia 17 tahun. Pada usia 20 tahun, Torres menjaringkan 19 gol dari 35 penampilan La Liga untuk Atletico sekaligus kelibat pemain ini mula menarik minat kelab-kelab utama Eropah termasuk United. Ketika spekulasi bertiup kencang mengatakan bahawa United bakal membawa El Nino beraksi di Old Trafford, saya antara yang begitu teruja menanti perjanjian ini segera dimuktamadkan. Bagaimanapun akhirnya, Sir Alex melepaskan peluang terbaik mendapatkan salah seorang penggempur berbisa di Eropah ketika itu apabila Torres memilih untuk berpindah ke Anfield pada 2007. Agak menghairankan selepas memantau aksi pemain ini selama bertahun-tahun, Sir Alex melepaskan Torres dengan mudah kepada Liverpool yang juga merupakan seteru abadi mereka. Cuba bayangkan bagaimana tajamnya jentera pemusnah United sekiranya El Nino dan Wazza mampu digandingkan bersama ketika itu.

Aaron Ramsey

Pemain yang pernah berdepan mimpi ngeri akibat terjahan keras yang dilakukan Ryan Shawcross pada 2010 hingga menyebabkan beliau patah kaki dan terpaksa berehat lebih setahun. Mungkin disebabkan masih trauma akibat kecederaan serius itu, prestasi Ramsey di padang turut terjejas selepas beliau pulih dan kembali bermain. Musim lalu, Ramsey seolah-olah seperti dilahirkan kembali menerusi prestasi baik yang dipamerkannya hingga membolehkan Arsenal muncul antara pencabar serius kejuaraan liga. Ketika namanya disebut-sebut antara calon pemain terbaik musim lalu, kecederaan semasa perlawanan Boxing Day memaksa Ramsey sekali lagi terpaksa berehat panjang. Pada 2008, Ramsey sebenarnya cuma selangkah menyertai United tetapi pujukan Arsene Wenger selain tertarik dengan kemampuan pengendali itu dalam menggilap bakat-bakat muda menyebabkan Ramsey memilih Arsenal sebagai kelab baharunya. Berita tentang kesepakatan antara Cardiff City dan Manchester United pada 2008 berkaitan perpindahan Ramsey juga masih ada hingga ke hari ini, dan anda boleh `capai' di laman rasmi United (manutd.com).

Gareth Bale

Selain Alan Shearer, United juga dua kali berdepan kegagalan ketika mereka mahu mendapatkan khidmat Bale. Bagaimanapun situasi Bale berbeza dengan Shearer yang secara peribadi menolak tawaran Sir Alex kerana punca kegagalan mendapatkan khidmat pemain Wales ini lebih kepada faktor kewangan. Ketika Bale masih berusia 17 tahun, Sir Alex pernah cuba merekrut pemain ini namun sama seperti apa yang berlaku ke atas Paul Gascoigne, Tottenham Hotspurs sekali lagi datang dengan tawaran yang lebih tinggi. Minat Sir Alex terhadap Bale kemudiannya diteruskan pula oleh David Moyes namun faktor kewangan sekali lagi menjadi penghalang. Perlumbaan mendapatkan khidmat Bale tamat apabila Real Madrid akhirnya berjaya mendaratkan pemain ini di Santiago Bernabeu menerusi pelaburan besar sebanyak 86 juta Pound yang mereka lakukan, sekaligus mencatatkan rekod dunia yang baharu.

Glory Glory Manchester United!!! – A.J

13 Oktober 2014

MELEPASKAN WELBECK SATU KESILAPAN?

9 September lalu, Danny Welbeck membuktikan ketajaman beliau apabila menyumbang dua gol untuk England ketika mereka menewaskan Switzerland dalam perlawanan kelayakan Euro 2016. Seperti yang kita tahu, Welbeck dijual Louis Van Gaal ke Arsenal kerana beliau berpendapat penyerang itu tidak menepati `standard' yang diperlukan oleh United selain kehadiran Radamel Falcao menyukarkan lagi peluang Welbeck tampil dalam kesebelasan utama. Di Stadium Emirates, Arsene Wenger meletakkan Welbeck sebagai penyerang tengah berbanding posisinya ketika bersama United yang lebih banyak diletakkan di sebelah kanan.

Hasilnya, Welbeck meledak apabila beliau menjaringkan 7 gol dari 12 penampilan di peringkat kelab dan juga ketika bersama skuad England. Bersama United, Welbeck tidak mendapatkan kesempatan berikutan adanya Wayne Rooney dan Robin Van Persie manakala kedatangan Falcao pula menyempitkan lagi peluang beliau membarisi kesebelasan utama. Ketika keterujaan terhadap kejayaan Arsene Wenger menandatangani Alexis Sanchez dari Barcelona belum reda, kehadiran Welbeck ke Stadium Emirates pada awalnya di pandang sepi oleh para Gooners. Sikap pesimis mereka (penyokong-penyokong Arsenal) terhadap Welbeck mudah difahami kerana ketika bersama United, beliau hanya mampu menjaringkan 20 gol dari 90 penampilan liga.

Walau bagaimanapun, mata penyokong-penyokong Arsenal mula terbuka sewaktu mereka melihat Welbeck membentuk gandingan mantap bersama Mesut Ozil apabila masing-masing menjaringkan satu gol dan menyumbang satu assist saat berdepan Aston Villa 20 September lalu. Welbeck kemudiannya tidak perlu menunggu lama untuk menambat hati para Gooners apabila 12 hari selepas itu, beliau meledak hatrik ke gawang Galatasaray dalam saingan Liga Juara-Juara. Tiga gol jaringan Welbeck yang menembusi gawang Fernando Muslera merupakan jaringan hatrik pertama dalam karier profesionalnya, sesuatu yang tidak pernah beliau lakukan ketika bersama United.

Tiga gol yang dihasilkan beliau pada 2 Oktober lalu itu juga membolehkan Welbeck muncul pemain Inggeris keenam selepas Mike Newell, Andy Cole, Michael Owen, Alan Shearer dan Wayne Rooney menjaringkan hatrik di pentas Liga Juara-Juara selain pemain Arsenal ketiga selepas Thierry Henry melakukannya pada 2002 dan Nicklas Bendtner pada 2010. Dalam masa yang singkat, sikap pesimis penyokong-penyokong Arsenal terhadap Welbeck kini berubah 360 darjah hinggakan ada di antara mereka mula membandingkan ketajaman Thierry Henry dan Welbeck walaupun masih terlalu awal untuk mereka berbuat demikian. Kini Welbeck adalah penyerang utama Arsenal selepas mereka kehilangan Oliver Giroud dan Theo Walcott akibat kecederaan dan beliau sudahpun membuktikan kemampuannya di sana. Adakah Van Gaal melakukan kesilapan kerana melepaskan Welbeck ke Arsenal?

Pendapat Saya:

Welbeck memang pemain berbakat lulusan Akademi United tetapi beliau jarang mendapatkan peluang beraksi sebagai penyerang tengah kerana adanya Rooney selain kelab juga sebelum itu memiliki beberapa penyerang handalan seperti Dimitar Berbatov dan Carlos Tevez.

Kehadiran Robin Van Persie pada 2012 menyebabkan Welbeck cuma pilihan ketiga di belakang Rooney dan penyerang Belanda itu dalam hirarki penyerang-penyerang United selain terpaksa bersaing dengan Javier Hernandez. Dalam formasi 4-2-3-1 yang digunakan Fergie, Welbeck sering digunakan di sebelah kanan, di mana posisi tersebut sudah tentu bukanlah posisi sesuai buat beliau walaupun adakalanya beliau memainkan peranannya dengan baik dalam formasi yang digunakan Fergie itu.

Welbeck lebih sesuai bermain sebagai penyerang tengah dan di United beliau jarang diberikan peluang bermain di posisi tersebut. Agak merugikan jika bakat yang dimiliki Welbeck dibazirkan dan tidak digunakan sepenuhnya, jadi cara terbaik ialah mencari peluang baru bersama kelab lain.

Mike Phelan (bekas pembantu Sir Alex Ferguson) mengatakan bahawa United hilang identiti kerana menjual produk akademi mereka kepada kelab seteru seperti Arsenal, tetapi Van Gaal membuktikan bahawa kelab tidak pernah ketandusan bakat-bakat muda terbaik lulusan akademi apabila musim ini beliau memperkenalkan kepada kita nama-nama seperti Reece James, Tyler Blackett, Paddy McNair, Saidy Janko dan Andreas Pereira.

Dengan reputasi yang dimiliki Van Gaal ketika bersama Ajax Amsterdam, Barcelona, AZ Alkmaar, Bayern Munich dan skuad kebangsaan Belanda, peluang untuk pemain-pemain muda United mengetuk pintu skuad senior lebih cerah dan terbuka. Usah kesali pemergian Welbeck kerana tempat beliau bukan bersama United, tambahan pula persaingan sengit di bahagian hadapan menyukarkan peluang beliau untuk beraksi lebih kerap setiap minggu.

Di Stadium Emirates, beliau akhirnya memperolehi peluang dan kesempatan disenaraikan dalam kesebelasan utama, sesuatu yang memang beliau tunggu dan nantikan selama ini. Saya tidak menganggap kelab hilang identiti kerana melepaskan Welbeck ke Arsenal tetapi penjualan pemain berusia 23 tahun itu membuktikan bahawa kelab sentiasa mampu menghasilkan pemain-pemain berbakat menerusi akademi mereka.

Welbeck pemain berbakat dan Arsene Wenger pula tahu akan hal itu di mana beliau bijak mengambil kesempatan yang terhidang di hadapan matanya selepas mendapati pemain itu semakin terpinggir di Old Trafford. Secara peribadi, saya mahu melihat Welbeck terus kekal bersama United apatah lagi beliau sudah berada di sini sejak usia sembilan tahun.

Bagaimanapun adalah sesuatu yang merugikan untuk melihat bakat sebagus Welbeck sekadar memanaskan bangku simpanan atau jika diturunkan sekalipun beliau diletakkan di posisi yang salah. Setakat ini Welbeck selesa memainkan peranannya sebagai penyerang tengah Arsenal dan untuk itu kredit patut diberikan kepada Arsene Wenger kerana berjaya menghidu potensi pemain itu dengan meletakkan beliau di posisi yang betul.

Jika ada yang menganggap bahawa United hilang identiti hanya disebabkan keputusan kelab menjual Welbeck kepada seteru domestik mereka, saya pula cuba melihat pada sudut yang lebih positif. Keputusan pengendali berkaliber seperti Arsene Wenger menandatangani Welbeck saya anggap satu pengiktirafan bahawa akademi United tidak pernah ketandusan dalam menghasilkan pemain-pemain berbakat selepas Class of 92 mencetuskan impak di era Fergie.

Jika Thierry Henry memerlukan empat tahun untuk mencipta hatrik pertamanya di pentas Liga Juara-Juara bersama Arsenal, Welbeck pula hanya memerlukan dua perlawanan untuk melakukannya, tetapi itu tidak bermakna beliau akan menjadi pemain yang lebih hebat berbanding Henry. Selain Henry dan Welbeck,  Bendtner juga pernah melakukan pencapaian yang sama tetapi lihatlah di mana beliau berada sekarang?

Menjawab kepada tajuk artikel ini, saya tidak menganggap bahawa keputusan kelab melepaskan Welbeck satu kesilapan kerana kita perlu mengakui bahawa tempatnya memang bukan bersama United. Dengan begitu banyak kualiti yang dimiliki Van Gaal di bahagian hadapan skuadnya, sukar buat Welbeck mencuri tempat dalam kesebelasan utama United dan sebagai anggota skuad The Three Lions pula, beliau perlu kerap bermain untuk menjamin tempatnya bersama skuad kebangsaan. Jadi langkah terbaik buat Welbeck ialah meninggalkan Old Trafford dan mencari kelab yang boleh menawarkan kepada beliau aksi setiap minggu.

Apapun kini terserah kepada Welbeck sama ada beliau mampu menjadikan dirinya lagenda Arsenal sepertimana Henry atau menjadi pemain yang gagal seperti Bendtner. Kelab tidak akan pernah hilang identitinya hanya disebabkan mereka melepaskan Welbeck kepada Arsenal, kerana saya percaya akademi United akan terus melahirkan bakat-bakat baharu untuk diketengahkan dalam skuad senior. Untuk tempoh enam tahun bergelar pemain United, 142 penampilan dan 29 gol yang anda jaringkan...terima kasih atas segalanya `Lord' Welbeck. Glory Glory Manchester United!!! - A.J