25 Oktober 2014

BLIND YANG KONSISTEN DAN SELAMAT KEMBALI FELLAINI

Selepas berakhirnya perlawanan menentang West Bromwich Albion Selasa lalu, saya perlu mengakui bahawa seri bukanlah satu keputusan yang saya harap-harapkan. Ketika Chelsea terus mencatatkan rekod bersih tanpa kalah dalam saingan liga setakat ini, saya mengharapkan The Red Devils tidak mencicirkan sebarang mata pada aksi di The Hawthorns. Saya tidak pernah bimbang sekiranya United menamatkan saingan liga musim ini bukan sebagai juara, tetapi saya lebih bimbang tentang kemungkinan mereka gagal kembali beraksi di pentas Liga Juara-Juara musim hadapan. Bagaimanapun sebaik sahaja aksi di The Hawthorns ditamatkan, saya melihat ada sisi positif yang dipamerkan anak-anak buah Van Gaal meskipun mereka cuma membawa pulang satu mata sekaligus menyaksikan kedudukan mereka tergelincir di tangga keenam. Jika apa yang kita saksikan di The Hawthorns mampu diteruskan selain beberapa penambahbaikan terhadap kelemahan-kelemahan yang ada terutamanya di benteng pertahanan dan serangan, saya percaya rekod tanpa kalah Chelsea mampu ditamatkan hujung minggu ini.

Statistik selepas tamat perlawanan menentang West Bromwich tempohari menyaksikan United mencatatkan 63% penguasaan bola, 22 percubaan di lepaskan ke gawang lawan dan 11 sepakan sudut. Selain dari statistik,  apa lagi faktor positif yang boleh kita ambil dari aksi menentang West Bromwich? Tidak seperti pada dua perlawanan sebelum ini (menentang West Ham dan Everton), United kali ini bukan sekadar garang di babak pertama tetapi mereka menguasai keseluruhan permainan. Tekanan demi tekanan yang diberikan kepada The Baggies hampir sepanjang permainan memaksa mereka bertahan sambil berharap tiupan wisel penamat menyelamatkan mereka dari kekalahan. Lebih dari itu, ketika Robin Van Persie masih tercari-cari sentuhan jaringannya, Marouane Fellaini dan Daley Blind hadir menyelamatkan United dari kekalahan menerusi gol sumbangan mereka. Ini adalah jaringan sulung dari Fellaini dan Blind untuk United, jadi tidak hairanlah melihat reaksi kedua-dua pemain ini selepas terhasilnya gol-gol tersebut.

Blind antara pemain United paling konsisten sejak beliau melakukan penampilan pertama untuk kelab ketika berdepan Queens Park Rangers 14 September lalu. Sepanjang ketiadaan Michael Carrick yang terlepas aksi sejak perlawanan pertama, Blind berjaya melaksanakan tanggungjawabnya selaku pemain tengah bertahan dengan baik. Meskipun kehadirannya di Old Trafford ditenggelamkan dengan berita kejayaan kelab mendapatkan khidmat Radamel Falcao, Blind sebaliknya muncul antara pemain United paling menyinar setakat ini. Kekuatan Carrick lebih kepada kualiti hantaran-hantarannya serta kemampuan beliau menyusun permainan, Darren Fletcher sentiasa ada di mana-mana dan gemar membantu serangan manakala Blind pula jenis pemain yang lebih protektif tetapi dalam masa yang sama beliau juga memiliki kemampuan `membina' permainan dari bawah. Untuk itu saya boleh katakan bahawa Blind satu-satunya pemain tengah bertahan tulen yang dimiliki Van Gaal walaupun sebelum ini kita lebih mengenali beliau sebagai bek kiri ketika bersama skuad kebangsaan Belanda dan juga Ajax Amsterdam.

Jika Blind sukses mengharungi musim pertamanya di Old Trafford, nasib Fellaini pula sebaliknya. Ketika kehadiran pemain dengan gaya rambut afro ini musim panas tahun lalu disambut penuh teruja oleh penyokong-penyokong United, Fellaini pula sebaliknya `tenggelam' bersama-sama bahtera ciptaan David Moyes. Maaf jika saya katakan bahawa Moyes sebenarnya gagal atau mungkin tidak pernah tahu bagaimana mahu menggunakan kelebihan dan kualiti yang ada pada Fellaini walaupun mereka pernah bekerjasama selama bertahun-tahun di Goodison Park. Menjelang berakhirnya era singkat Moyes di Old Trafford, Fellaini dicop sebagai pembelian yang gagal dan juga simbol kegagalan pengurusan The Chosen One bersama The Red Devils. Masih terlalu awal untuk saya memuji sumbangan Fellaini dan tidak adil juga untuk kita menilai kemampuan beliau hanya menerusi satu perlawanan, cuma saya berharap agar Van Gaal bijak menggunakan segala kelebihan dan kualiti yang dimiliki pemain ini dalam merancang taktikal permainannya. Aksi di The Hawthorns tempohari adalah contoh terbaik. Ketika Van Gaal memerlukan pemain yang memiliki kekuatan fizikal bagi memecah pertahanan lawan, Fellaini di bawa masuk menggantikan Ander Herrera.

Prestasi Herrera bukanlah terlalu buruk hingga menyebabkan beliau dikeluarkan tetapi dalam situasi United sedang ketinggalan manakala lawan pula liat bertahan, kualiti pemain seperti Fellaini amat diperlukan. Fellaini bukanlah pemain yang pantas tetapi beliau agresif, mampu mendapatkan kembali bola dari penguasaan lawan dan sentiasa sahaja muncul pemenang dalam situasi perebutan bola 50/50. Van Gaal seperti yang kita tahu lebih gemar menggunakan pemain-pemain yag memiliki kemahiran taktikal seperti Herrera tetapi dalam masa yang sama United juga memerlukan type pemain seperti Fellaini. Percaturan Van Gaal berhasil apabila dalam tempoh 3 minit selepas dimasukkan, Fellaini menjaringkan gol penyamaan dan juga gol pertamanya untuk United sejak berpindah dari Everton musim lalu. Konsistensi yang ditunjukkan Blind dan kembalinya Fellaini adalah satu petanda bagus sebelum United melayan kunjungan Chelsea esok. Selepas mengharungi lapan perlawanan, persembahan benteng pertahanan selain ketumpulan jentera serangan masih membimbangkan saya tetapi di sebalik semua faktor itu, ada tanda-tanda bahawa skuad United musim ini lebih berkarakter berbanding musim lalu. Melihat kepada barisan pemain yang ada, United sepatutnya tidak bermasalah muncul antara pencabar serius kejuaraan liga musim ini dan untuk itu saya berharap konsistensi Blind selain kembalinya pemain-pemain regular seperti Fellaini dan Carrick akan meletakkan kembali United di tempat sepatutnya mereka berada. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan