02 November 2014

DI MARIA vs AGUERO....SIAPA BAKAL MUNCUL PEMENANG?


Perlawanan derby Manchester pertama musim ini akan dilangsungkan di Stadium Etihad malam nanti dan sepertimana lima atau enam tahun terakhir, derby Manchester menjadi perlawanan yang besar selepas kelab dari Eastland itu diambilalih Abu Dhabi United Group pada 2008. Derby kali ini tidak mempertaruhkan kedudukan tangga teratas liga tetapi tetap penting buat kedua-dua pasukan kerana City perlukan kemenangan untuk terus memberikan tekanan kepada Chelsea selaku pendahulu manakala United pula mahu memburu kemenangan pertama di gelanggang lawan musim ini selepas hanya mampu mengutip tiga mata dari empat perlawanan di luar Old Trafford.

Mana-mana perlawanan derby pastinya sengit, tegang serta sering berakhir dengan kontroversi dan derby Manchester tidak terkecuali. Seminggu sebelum perlawanan, kedua-dua belah pihak sudah memulakan perang psikologi dengan masing-masing mendakwa mampu memenangi derby ke-143 ini. Menghangatkan lagi pertembungan malam nanti, lagenda United, Peter Schmeichel (juga pernah beraksi untuk City) baru-baru ini mengatakan bahawa City kini kelab yang lebih besar berbanding United. Saya akui kebenaran komen Schmeichel kerana apa yang beliau katakan adalah berdasarkan prestasi semasa dan kedudukan dua kelab ini terutamanya dalam tempoh dua tahun terakhir.

Lihat sahaja apa yang berlaku musim lalu, ketika United terperosok di tangga ke-7 liga, City pula gah menjulang dua kejuaraan (Liga Perdana dan Piala Liga). Musim ini selepas sembilan perlawanan, City berada enam anak tangga di atas United walaupun perbezaan mata tidaklah begitu besar (City dan United hanya dibezakan 4 mata). Derby Manchester bukan hanya berkisar tentang siapa yang menang dan siapa yang kalah tetapi perlawanan dua kelab Manchester ini juga turut mempertaruhkan soal maruah dan reputasi. Disebabkan perjalanan liga yang masih panjang ketepikan dahulu soal siapa bakal menjuarai liga musim ini kerana di akhir perlawanan esok kita mahu melihat siapa penguasa kota Manchester.

Okey, lupakan dulu perseteruan dua kelab berjiran ini kerana apa yang ingin saya fokuskan kali ini ialah pertembungan pemain-pemain di tengah padang. Siapakah pemain dari kedua-dua pasukan yang bakal menjadi tumpuan atau lebih tepatnya yang bakal menentukan halatuju perlawanan malam nanti. Di pihak City, saya tidak hiraukan kekentalan Yaya Toure menjana jentera tengah, kebalnya Vincent Kompany mengemudi benteng pertahanan atau bagaimana kreatifnya David Silva menyusun permainan The Sky Blues kerana pemain mereka yang cukup membimbangkan saya tidak lain dan tidak bukan ialah Sergio Aguero. Kenapa Aguero?

Tidak perlu di pertikaikan lagi bahawa Aguero antara penyerang terbaik di Liga Perdana ketika ini dan melihat kepada statistik jaringannya, saya tidak ragu-ragu untuk meletakkan beliau sebagai pemain paling penting buat City. Jika Wayne Rooney memiliki rekod bagus setiap kali berdepan City, Aguero juga apa kurangnya. Untuk rekod dari enam pertemuan terakhir menentang United, Aguero berjaya menembusi gawang The Red Devils sebanyak empat kali. Jadi sudah tentulah Manuel Pellegrini berharap sentuhan jaringan Aguero ke atas United mampu diteruskan esok agar skuadnya boleh terus memberikan tekanan kepada Chelsea selaku pendahulu.

Melihat kepada persembahan benteng pertahanan United di awal musim, saya agak bimbang bila memikirkan bagaimanakah caranya nanti mereka menangani ancaman yang bakal dihadirkan oleh penyerang licik seperti Aguero. Bagaimanapun Aguero juga bukanlah penyerang yang terlalu sempurna kerana sepertimana kebanyakan pemain, prestasi ibarat yoyo merupakan musuh utama beliau. Aguero antara pemain City yang sering dijadikan sasaran kritikan sekiranya mereka beraksi buruk ataupun keputusan sesuatu perlawanan tidak memihak kepada mereka. Sekiranya Aguero berada di prestasi terbaik ditambah pula dengan rekod jaringannya ke gawang United, tidak mustahil kehadirannya akan memberikan perbezaan kepada keputusan perlawanan ini.

Jika City memiliki Aguero yang mampu menghadirkan rasa gerun kepada mana-mana benteng pertahanan lawan, United juga memiliki senjata mereka sendiri. Pemain yang saya maksudkan ialah Angel di Maria. Sejak ketibaannya di Old Trafford, Di Maria tidak memerlukan tempoh yang lama untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan Liga Perdana dan taktikal permainan yang digunakan Louis Van Gaal. Buktinya, Di Maria sudah menjaringkan tiga gol dan menyumbang empat assist dari tujuh perlawanan liga setakat ini. Berdepan dengan City malam nanti, Di Maria sekali lagi menjadi sandaran United untuk menamatkan rekod buruk setiap kali berdepan `jiran yang bising' itu. Untuk rekod, United tewas tiga perlawanan terakhir mereka menentang City dan kemenangan terakhir yang dilakar United di Stadium Etihad ialah pada 9 Disember 2012.

Ini bukanlah perlawanan pertama dalam karier Di Maria menentang City dan bukan juga yang pertama untuk beliau di Stadium Etihad kerana ketika bersama Real Madrid, Fideo pernah dua kali membantu Los Blancos berdepan The Sky Blues. Kali pertama Di Maria berdepan City ialah pada 18 September 2012 di Santiago Bernabeu dalam aksi Kumpulan D, Liga Juara-Juara. Dalam perlawanan itu Real menang 3-2, manakala Di Maria pula menyumbangkan dua assist untuk disudahkan Marcelo dan Karim Benzema. Pada perlawanan timbal balik di Stadium Etihad pula, Di Maria sekali lagi memainkan peranan penting kepada kejayaan Real mencuri satu mata di sana apabila umpanannya berjaya disudahkan Benzema untuk gol penyamaan.

Melihat kepada peranan yang dimainkan kedua-dua pemain Argentina ini (Aguero untuk City manakala Di Maria pula untuk United), saya percaya sosok mereka akan menjadi tumpuan dalam perlawanan malam nanti. Siapa yang bakal memberikan perbezaan kepada keputusan perlawanan sukar untuk diramal kerana semuanya bakal bergantung kepada prestasi mereka di hari perlawanan. Ketajaman Aguero penting untuk City manakala kreativiti Di Maria amat ditagih United dalam misi mereka mendapatkan keputusan positif di Stadium Etihad. Selain Aguero dan Di Maria, menarik juga untuk kita saksikan pertembungan antara Marouane Fellaini dan Yaya Toure di bahagian tengah.

Yaya merupakan `enjin' City di mana kelibat pemain Ivory Coast ini wajib ada dalam senarai kesebelasan utama Manuel Pellegrini. Bagaimana pentingnya Patrick Vieira kepada Arsenal dulu begitu jugalah pentingnya Yaya kepada City. Marouane Fellaini pula nampaknya sudah mula menunjukkan tanda-tanda kebangkitan beliau selepas `karam' sepanjang musim lalu. Meskipun pernah dilabelkan sebagai `pembelian yang gagal', Fellaini nampaknya bangkit memadam segala kritikan yang dilemparkan kepada beliau pada waktu yang tepat. Aksi pertamanya musim ini di The Hawthorns dan prestasi bagusnya selama 90 minit ketika menentang Chelsea menyebabkan nama beliau antara yang sering disebut-sebut penyokong-penyokong United ketika ini.

Van Gaal dan Pellegrini sedar betapa pentingnya penguasaan di bahagian tengah, jadi sudah tentulah pemain yang paling layak untuk mereka berikan tugas menguasai posisi tersebut ialah Fellaini dan Yaya. Hanya yang kuat akan memenangi pertempuran ini dan saya berharap Fellaini sudah cukup kuat untuk menyaingi Yaya malam nanti. Kini derby Manchester antara perlawanan yang paling dinantikan bukan hanya di Liga Perdana tetapi juga oleh peminat-peminat bolasepak dunia terutamanya dalam tempoh enam tahun terakhir selepas City mendakwa mereka kini adalah kelab yang lebih besar berbanding jiran mereka yang berpangkalan di Old Trafford itu. Mereka mendakwa mereka lebih besar berbanding United, jadi malam nanti saya mahu lihat benarkah dakwaan mereka itu. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan