Musim lalu, kelibat
beliau mencuri tumpuan di sebalik prestasi merudum yang dipamerkan United.
Kelicikan beliau membelah pertahanan lawan dari sebelah tepi dan kepantasan
lariannya dengan kawalan bola menarik mengingatkan kita kepada Ryan Giggs
ketika detik awal karier lagenda itu bersama The Red Devils. Walaupun David Moyes gagal meneruskan rekod
cemerlang United selepas beliau mengambil alih tugas dari Sir Alex, beliau
sekurang-kurangnya berjaya mengetengahkan pemain berbakat besar seperti Januzaj
di pentas tertinggi seperti Liga Perdana.
Musim ini, Januzaj
kurang diberikan peluang tampil dalam kesebelasan utama sepertimana musim lalu
tetapi kelibatnya sepanjang 90 minit ketika berdepan Chelsea saya anggap satu
petanda bagus dan bukti bahawa Louis Van Gaal tidak pernah meminggirkan beliau.
Januzaj antara bakat muda istimewa dalam
dunia bolasepak hari ini dan saya berharap di bawah kendalian Van Gaal, Januzaj
akan menjadi pemain yang lebih bagus. Apa yang perlu dilakukan Januzaj sekarang
ialah bersabar menanti peluang dan bersedia dipanggil pada bila-bila masa jika
khidmatnya diperlukan Van Gaal.
Berita bahawa Ajax
Amsterdam berminat membawa Januzaj beraksi di Amsterdam Arena sebagai pemain
pinjaman satu perkhabaran yang bagus. Jika Van Gaal mahu meletakkan Januzaj
dalam status pemain pinjaman, Ajax adalah kelab terbaik untuk pemain ini
dihantar bagi menggilap bakatnya kerana reputasi mereka dalam melahirkan
pemain-pemain berbakat. Dari dulu hingga sekarang, Ajax tidak pernah ketandusan
dan hilang idea dalam melahirkan pemain-pemain muda berbakat yang akhirnya
muncul bintang dunia bersama kelab-kelab besar di sekitar Eropah.
Saya yakin sebagai
warga Belanda, Van Gaal juga tentu tahu benar dengan kemampuan bekas kelab yang
pernah beliau kendalikan itu. Tempat Januzaj bagi saya sebenarnya bukanlah
bersama skuad remaja United kerana beliau jelas selangkah di hadapan berbanding
rakan-rakan seangkatannya. Lihat bagaimana mudahnya beliau merobek pertahanan
skuad U21 Sunderland hingga berjaya menghasilkan hatrik September lalu.
Walaupun Januzaj menegaskan bahawa beliau gembira berada di Old Trafford dan
mahu terus kekal bersama kelab, saya tetap bimbang dengan situasi terkini dan
masa depan pemain itu.
Amat penting untuk
kelab mengekalkan bakat muda seperti Januzaj kerana sebolehnya saya tidak mahu
melihat apa yang berlaku kepada Paul Pogba berulang sekali lagi. Pogba
meninggalkan kelab kerana berasakan beliau tidak diberikan peluang tampil
bersama skuad senior dan bersama Juventus, beliau mendapat apa yang beliau
mahukan. Begitu juga halnya dengan Gerard Pique yang gagal memecah dominasi Rio
Ferdinand dan Nemanja Vidic di benteng pertahanan tetapi akhirnya cemerlang
bersama Barcelona selepas beliau meninggalkan Old Trafford.
Akhirnya kini
terpulang kepada Januzaj untuk menentukan hala tuju karier beliau manakala Van
Gaal pula saya yakin cukup tahu bagaimana mahu menjadikan bakat sebagus Januzaj
bintang besar dunia suatu hari nanti. Reputasi Van Gaal dalam menggilap
bakat-bakat muda memang tidak perlu dipertikaikan manakala kemampuan kelab
dalam menjadikan pemain seperti Januzaj `Ryan Giggs Seterusnya' tidak pernah
saya ragui. Van Gaal merupakan guru yang bagus untuk pemain muda seperti
Januzaj dan Old Trafford pula adalah tempat paling ideal untuk pemain ini
mencipta nama. Glory Glory Manchester United!!! - A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan