Minggu lalu beliau
datang dari bangku simpanan di separuh masa kedua dan selepas tiga minit
beraksi, beliau menjaringkan gol penyamaan di The Hawthorns. Awal pagi tadi
ketika berdepan Chelsea, Marouane Fellaini tidak menjaringkan gol tetapi beliau
terlibat dengan gol penyamaan United yang dijaringkan Robin Van Persie. Tiada
apa yang saya boleh katakan tentang sumbangan keseluruhan Fella awal pagi tadi
selain inilah prestasi terbaik yang beliau pamerkan sejak menyertai United
musim panas tahun lalu. Inilah `Fella sebenar' yang ingin saya saksikan, pemain
yang dahulunya sering membuatkan saya bimbang setiap kali United berdepan
Everton.
Minggu lalu ketika
berdepan West Bromwich, biarpun beliau hanya bermain selama 45 minit, Fella
antara pemain United paling menonjol selain Daley Blind. Prestasinya di The
Hawthorns agak mengejutkan saya tambahan pula apabila mengingatkan bahawa Fella
antara pemain yang digembar-gemburkan bakal ditunjukkan pintu keluar sebaik
Louis Van Gaal memulakan tugasnya secara rasmi Julai lalu. Ogos tahun lalu,
berita kejayaan kelab menandatangani beliau disambut penuh teruja oleh
penyokong-penyokong United, tetapi kehadiran Fella bagaimanapun gagal
mencetuskan impak kepada pasukan hinggakan beliau dianggap pembelian yang
gagal.
Selepas
bertahun-tahun dianggap antara pemain tengah paling menyerlah di Liga Perdana
sejak beliau menyertai Everton dari Standard Leige, Fella sebaliknya tiba-tiba
tenggelam sepanjang musim lalu di bawah asuhan David Moyes. Agak pelik juga
bila memikirkan bahawa sebelum ini mereka (Fella dan Moyes) pernah bekerjasama
selama bertahun-tahun ketika di Everton, malah tidak keterlaluan juga jika saya
katakan Fella dan Moyes sudah begitu sebati dan faham dengan kehendak
masing-masing. Entah di mana silapnya, Moyes gagal memaksimakan kualiti Fella
di Old Trafford sebagaimana beliau pernah menjadikan pemain ini tonggak penting
di Goodison Park.
Rembatan ke penjuru
kiri gawang West Bromwich hingga terhasilnya gol sulung beliau untuk kelab
seolah-olah menandakan bahawa Fella sudah sedia bersaing mendapatkan tempatnya
di bahagian tengah United, manakala prestasinya awal pagi tadi pula membuktikan
bahawa beliau memang layak berada dalam kesebelasan utama Van Gaal. Tugas
beliau pagi tadi ialah mengunci pergerakan Cecs Fabregas, dan sepanjang
permainan Fella sentiasa mengekori rapat kelibat pemain itu hingga menyebabkan
Fabregas gagal berfungsi sepertimana biasa. Fabregas antara pemain paling
berpengaruh dalam skuad Jose Mourinho, jadi tidak hairanlah mengapa Van Gaal
memberikan perhatian khusus terhadap pemain itu. Strategi Van Gaal berkesan,
hingga menyebabkan Fabregas tenggelam sepanjang permainan.
Fella memang tidak
sepantas dan sekreatif Angel di Maria, tetapi kehadiran pemain seperti beliau
memberikan United kelebihan di bahagian tengah menerusi kekuatan fizikalnya.
Beliau sentiasa sahaja muncul pemenang dalam situasi perebutan bola 50/50, pada
bila-bila masa mampu merampas bola dari penguasaan lawan menerusi tackle
bersihnya selain memiliki kekuatan di udara. Ketika United kekurangan pemain
yang mampu memberikan saingan kepada John Terry dan Nemanja Matic dalam situasi
perebutan bola di udara, Fella hadir memberikan cabaran menerusi kelebihan susuk fizikalnya. Lihat
bagaimana terhasilnya gol penyamaan United pagi tadi, kerana situasi seperti
itu sebenarnya adalah `makanan' beliau.
Ketika ramai menjangkakan bahawa Van Gaal akan menurunkan
Ander Herrera di bahagian tengah, keputusan beliau menyenaraikan Fella dalam
kesebelasan utama United saya anggap satu kejutan. Akhirnya kesempatan berharga
itu digunakan sepenuhnya oleh Fella untuk membuktikan kepada
penyokong-penyokong United bahawa beliau masih lagi boleh diharapkan. Melihat
kepada bagaimana berkesannya peranan beliau di bahagian tengah terutamanya
dalam mematikan pergerakan Fabregas, saya yakin tugas yang sama akan dipikul
Fella ketika berdepan derby Manchester minggu hadapan. Tentu menarik
untuk melihat pertembungan antara beliau dengan Yaya Toure nanti...Glory Glory
Manchester United!!! - A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan