12 November 2014

MEMANGGIL VIDIC PULANG, JALAN PENYELESAIAN KEPADA MASALAH PERTAHANAN UNITED?

Nemanja Vidic menuju jalan pulang ke Old Trafford? Inilah berita paling sensasi yang saya dengar dan baca minggu ini. Jika benar apa yang dilaporkan oleh portal-portal berita tentang kemungkinan bahawa Vidic akan kembali menguatkan benteng pertahanan United Januari nanti, saya anggap ini satu berita yang cukup baik. Mungkin ada pihak mengatakan bahawa membawa Vidic pulang satu langkah terdesak yang dilakukan Van Gaal berikutan masalah konsistensi benteng pertahanannya selain krisis kecederaan yang tidak pernah berhenti melanda skuadnya terutama yang melibatkan pemain-pemain di bahagian belakang. Walau apapun persepsi yang dilemparkan berhubung kepulangan Vidic, saya menganggap bahawa dalam situasi sekarang, United memang memerlukan seorang pemain yang boleh menjadi pemimpin, tulang belakang dan paling penting mampu memberikan arahan kepada rakan-rakan sepasukan serta menyusun benteng ketika lawan memberikan tekanan.

Kebimbangan saya sebelum ini tentang keputusan Louis Van Gaal untuk tidak menandatangani seorangpun pemain pertahanan tengah baharu bagi menggantikan tempat Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic memang berasas. Lihatlah apa yang berlaku sekarang, belum pun saingan liga memasuki separuh musim, Van Gaal sudah dihadapkan dengan masalah demi masalah di benteng pertahanan terutamanya membabitkan isu prestasi dan masalah kecederaan. Saya pernah katakan dulu bahawa meletakkan tanggungjawab kepada Jonny Evans selaku pemimpin di benteng pertahanan adalah satu perjudian besar. Memang benar, Evans pemain pertahanan tengah paling berpengalaman yang dimiliki kelab ketika ini, pernah bermain bersama-sama Ferdinand dan Vidic manakala kemampuannya dalam mengawal bahagian belakang tidak perlu dipertikaikan. Tetapi masalah utama Evans sejak dulu hinggalah sekarang ialah kecederaan dan konsistensinya di atas padang.

Jika kena pada harinya, Evans boleh saya letakkan antara pemain pertahanan tengah terbaik di Liga Perdana tetapi dalam masa yang singkat juga beliau boleh menjelma sebagai `petualang' dengan melakukan kesilapan-kesilapan yang kerap dilakukan oleh seorang pemain amatur. Saya tidak pernah menafikan sumbangan Evans selama beliau menyarung jersi United, tetapi beliau bukanlah pemain yang boleh digantungkan harapan sebagai `jantung pertahanan' untuk sepanjang musim sepertimana peranan yang pernah dimainkan Ferdinand dan Vidic. Selain prestasi umpama `yoyo', kecederaan juga seolah-olah sudah menjadi teman akrab kepada karier pemain pertahanan dari Ireland Utara ini. Bayangkanlah sejak Januari lalu, Evans sudah ditimpa masalah kecederaan sebanyak lima kali hingga menjejaskan penampilannya dalam kejohanan-kejohanan kompetitif bersama skuad senior. Terbaru masalah kecederaan buku lali yang menimpanya ketika berdepan Leicester City, 21 September lalu menyebabkan beliau hanya mampu bermain selama 30 minit di Stadium King Power sebelum digantikan Chris Smalling.

Melihat situasi yang menimpa skuadnya sekarang, saya percaya Van Gaal sudah mula menyedari betapa pentingnya untuk beliau mengukuhkan benteng pertahanan jika berhajat membawa kembali United beraksi di pentas Liga Juara-Juara musim hadapan. Untuk itu, membawa semula Vidic pulang adalah opsyen terbaik bagi penyelesaian jangka pendek berdasarkan perkhabaran bahawa beliau akan ditawarkan kontrak selama enam bulan. Berapa lama tempoh kontrak yang bakal ditawarkan kepada Vidic itu soal kedua, kerana kehadiran seorang pemain pertahanan berpengalaman, memiliki corak permainan keras dan boleh bertindak sebagai commander di bahagian belakang amat diperlukan United ketika ini. Sejak pemergian Ferdinand dan Vidic, United kehilangan `suara' di bahagian belakang, kehilangan pemain pertahanan yang bijak membaca arus permainan manakala tackle keras mereka pula sentiasa menjadi igauan buat mana-mana penyerang lawan. Inilah faktor yang kini sudah tiada lagi di bahagian belakang skuad Van Gaal musim ini.

Selepas lapan tahun bersama United, Vidic menyertai Inter Milan musim panas lalu tetapi kehadirannya gagal memberikan impak yang diharapkan di benteng pertahanan Nerazzurri. Ada juga berita yang mengatakan bahawa Vidic tidak gembira di Itali hingga timbulnya spekulasi bahawa beliau ingin segera meninggalkan Inter. Dengan situasi terkini Vidic di Serie A, disamping perlunya tambahan tenaga baharu di benteng, membawa semula pertahanan berpengalaman ini pulang ke kelab saya anggap satu idea yang bagus. Vidic meninggalkan Old Trafford selepas mengharungi kempen mengecewakan pada musim terakhirnya bersama kelab tetapi kini kelibat `Penyembelih Balkan' itu kembali menjadi perhatian tatkala Van Gaal terdesak mencari pemain yang benar-benar layak untuk menutup segala keretakkan di benteng skuadnya. Mendapatkan khidmat Vidic Januari nanti pada pandangan saya lebih realistik berbanding percubaan menandatangani Ezequiel Garay, Gerard Pique ataupun Mats Hummels.

Tiada mana-mana pasukan yang sanggup berdepan risiko melepaskan pemain tonggak mereka ketika saingan musim ini baru memasuki separuh jalan. Adakah Zenit St Petersburg sanggup melepaskan Garay ketika mereka berada dalam kedudukan baik selaku pendahulu carta Liga Perdana Russia, manakala bagi Barcelona dan Borussia Dortmund pula, selain berdepan tugasan domestik mereka juga ada misi yang cukup besar perlu dilaksanakan di pentas Liga Juara-Juara. Jadi atas sebab itulah saya melihat perpindahan Vidic ke Old Trafford lebih realistik untuk dilaksanakan berbanding menandatangani pemain-pemain pertahanan tengah berprofil tinggi yang lain. Selain Vidic, satu lagi pilihan paling hampir ialah menandatangani Ron Vlaar, tetapi saya percaya Van Gaal tidak akan membayar 7 atau 8 juta Pound kepada Aston Villa Januari ini kerana beliau boleh mendapatkan khidmat pemain itu secara percuma selepas kontraknya bersama The Villans tamat penghujung musim nanti.

Saya yakin selepas menyaksikan pemain-pemain di barisan belakang silih berganti menuju bilik rawatan selain prestasi tidak konsisten yang ditunjukkan Jonny Evans dan Chris Smalling umpamanya, Van Gaal nampaknya tiada pilihan lain selain mengintai mana-mana pemain baharu yang cukup berpotensi bagi memantapkan benteng pertahanannya. Sama ada Vidic, Vlaar atau sesiapa sahaja, benteng pertahanan United memang memerlukan seorang pemain baharu yang mampu menjadi pemimpin kepada rakan-rakan lain di barisan belakang, seorang pemain yang lebih berpengalaman dan paling penting dia juga mampu mengekalkan prestasi konsistennya setiap minggu. Amat jelas, sekurang-kurangnya buat masa ini tiada mana-mana pemain pertahanan United yang ada mampu menggantikan tempat Ferdinand dan Vidic selepas kedua-dua lagenda itu meninggalkan kelab penghujung musim lalu.

Kelab mengambil risiko besar dengan melepaskan Ferdinand dan Vidic tanpa membawa seorangpun pemain pertahanan tengah baharu bagi menggantikan tempat mereka dan kini kesannya sudah pun mula dirasai. Jika diberikan pilihan, saya mahu Vidic dibawa pulang semula kerana saya yakin beliau masih mampu memberikan sumbangan berkesan di benteng pertahanan United walaupun kariernya berdepan detik suram di Guiseppe Meazza. Sepertimana John Terry yang pada usia 33 tahun masih menjadi tunjang kekuatan benteng pertahanan Chelsea, Vidic juga saya yakin mampu melakukan perkara yang sama berdasarkan kebolehan, pengalaman dan kekuatan yang ada dalam diri beliau. Barisan belakang United bukan sahaja memerlukan seorang pemain berpengalaman, seorang pemain yang boleh memimpin rakan-rakan lain tetapi juga seorang pemain yang lantang ketika di atas padang. Siapakah yang paling layak untuk tugas tersebut? Saya pilih Vidic, tidak kiralah sama ada kehadiran beliau untuk penyelesaian jangka pendek ataupun sebaliknya. Jika benar Vidic akan kembali, saya antara yang paling gembira untuk `menyambut' kepulangannya. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

09 November 2014

KEMENANGAN YANG SUKAR DAN PENTING

Selepas hanya meraih dua mata dari tiga aksi terakhir, perlawanan menentang Crystal Palace semalam merupakan perlawanan yang wajib dimenangi anak-anak buah Louis Van Gaal. Sebelum perlawanan, mungkin ada yang membayangkan bahawa Julian Speroni akan terpaksa mengutip bola dua atau tiga kali di gawang sendiri berdasarkan fakta bahawa Palace tidak menang empat perlawanan terakhir mereka di samping kedudukan mereka yang terperosok di kelompok bawahan liga. Jika sebelum perlawanan anda meramalkan bahawa United bakal menang bergaya, anda mungkin antara yang kecewa dengan keputusan perlawanan semalam. Bukan hanya disebabkan United tidak menang besar tetapi sebaliknya mereka terpaksa bergelut memburu gol hinggalah Juan Mata hadir menerusi ledakan kaki kiri di minit ke-67.

Apapun kemenangan tetap kemenangan dan sudah tentu jugalah kemenangan semalam cukup penting kerana kita tidak mahu melihat United terus ketinggalan dalam mengejar kedudukan empat teratas. Lupakan sebentar  jumlah gol yang berjaya dijaringkan kerana sebelum perlawanan saya hanya mahu United menang perlawanan ini dan akhirnya misi tersebut berjaya disempurnakan barisan The Red Devils. Ini bukanlah kemenangan dan penampilan yang menyakinkan dipersembahkan anak-anak buah Van Gaal tetapi kredit tetap boleh diberikan kepada mereka atas usaha tanpa mengenal penat dan jemu dalam memberikan tekanan demi tekanan kepada benteng pertahanan Palace hinggalah terhasilnya gol tunggal perlawanan menerusi Juan Mata.

Seperti yang pernah saya sebutkan dalam artikel-artikel sebelum ini, sasaran yang perlu dicapai Van Gaal pada musim pertamanya di Old Trafford ialah membawa kembali kelab beraksi di pentas Liga Juara-Juara musim hadapan. Dalam mencapai misi tersebut, United tidak lagi boleh keciciran mata setiap kali berdepan kelab yang berada di kelompok pertengahan dan bawahan liga seperti Palace. Kesilapan yang berlaku ketika berdepan Swansea City, Sunderland, Burnley dan Leicester City tidak boleh diulangi kerana jika kesilapan sama berlaku lagi, percayalah kita akan sekali lagi kempunan mahu menyaksikan United bermain di Liga Juara-Juara. Mujurlah semalam kesilapan sama tidak berulang di mana akhirnya tiga mata penuh berjaya diperolehi biarpun kita sedikit cemas menanti hadirnya gol dari Juan Mata itu.

Memang sukar bermain dengan pasukan yang mengamalkan corak bertahan seperti Palace tetapi permainan United semalam juga sebenarnya tidaklah begitu baik. Banyak yang perlu dipertingkatkan menjelang pertemuan menentang Arsenal 22 November ini terutamanya di benteng pertahanan. Rehat selama dua minggu kerana perlawanan antarabangsa saya harap memberi peluang buat beberapa pemain pertahanan yang mengalami kecederaan pulih kembali sebelum kunjungan ke Stadium Emirates. Setakat ini Van Gaal sudah menggunakan kombinasi lapan pemain berbeza di benteng tengah pasukannya akibat dari krisis kecederaan yang melanda pasukan sejak awal musim. Ketiadaan Marcos Rojo memaksa Van Gaal sekali lagi menggunakan kombinasi baharu bek tengah di mana kali ini giliran Daley Blind dan Paddy McNair pula dipasangkan bersama.

Secara keseluruhannya, saya agak berpuashati dengan prestasi yang ditunjukkan Blind dan McNair, mengambilkira fakta bahawa inilah kali pertama mereka digandingkan bersama, tambahan pula ini juga merupakan kali ketiga United mencatatkan clean sheet dari 11 perlawanan mereka. Jika prestasi benteng pertahanan menjadi perhatian dan mencetuskan kebimbangan, apa kurangnya juga dengan ketajaman barisan serangan. Di atas kertas Angel di Maria, Adnan Januzaj, Wayne Rooney dan Robin Van Persie sepatutnya tidak berdepan masalah merobek gawang lawan tetapi sepanjang 90 minit permainan semalam, United hanya melepaskan lima percubaan tepat ke arah pintu gol Palace. Tidak banyak peluang-peluang terbaik yang mampu menghasilkan gol dicipta Di Maria, Januzaj, Rooney dan Van Persie sepanjang perlawanan, fakta yang cukup membimbangkan tatkala mereka perlu berdepan Arsenal dua minggu lagi.

Jika ketumpulan penyudah masih berterusan manakala benteng pertahanan pula kelihatan gugup ketika lawan memberikan tekanan sepertimana yang berlaku semalam, saya agak risau dengan sebarang kemungkinan yang berlaku di Stadium Emirates nanti. Arsenal juga bukanlah pasukan yang konsisten tetapi mereka memiliki barisan hadapan dan benteng pertahanan yang jauh lebih bagus berbanding Palace. Bermula dari sekarang saya berharap akan ada beberapa pemain pertahanan yang masih menerima rawatan sempat pulih untuk dibawa ketika berdepan Arsenal nanti, manakala Van Persie pula sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol berbanding sekarang. Dalam masa yang sama, saya juga berharap agar Van Gaal mengetepikan buat sementara waktu falsafah permainan bolasepak menarik, kerana apa yang penting sekarang ialah mencari kemenangan kerana kita tidak mahu melihat menjelang Januari nanti, United semakin jauh ketinggalan dari kelompok empat teratas. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

06 November 2014

SELEPAS SEPULUH PERLAWANAN...MOYES LEBIH BAGUS BERBANDING VAN GAAL?



Tamat perlawanan derby Manchester Ahad lalu bermakna genap juga sepuluh perlawanan yang sudah diharungi (Manchester) United di bawah kendalian Louis Van Gaal. Kekalahan yang dialami United di Stadium Etihad itu juga menyaksikan kelab kini terperosok di tangga ke-10 liga selepas hanya memungut 13 mata dari tiga kemenangan, empat kali seri dan tewas tiga perlawanan. Kekalahan kepada City juga menyebabkan ramai pihak kini mula bertanyakan apakah nasib United musim ini di bawah kendalian Van Gaal dan tidak kurang juga yang mula membandingkan pencapaian beliau dengan David Moyes berdasarkan keputusan sepuluh perlawanan awal liga kedua-dua pengendali itu.

Saya akui pencapaian United dalam sepuluh perlawanan awal musim ini tidak jauh bezanya dengan musim lalu ketika kelab dikendalikan Moyes. Mengambilkira fakta bahawa ratusan juta Pound sudah pun dibelanjakan Van Gaal bagi mendapatkan pemain-pemain kelas dunia untuk menguatkan skuadnya, kedudukan kesepuluh dalam liga bukanlah tempat yang sepatutnya dihuni United. Paling tidak dengan adanya nama-nama seperti Angel di Maria, Daley Blind, Marcos Rojo, Wayne Rooney, Radamel Falcao, Ander Herrera, Michael Carrick  dan Robin Van Persie, United sepatutnya mampu mencabar kedudukan Chelsea, atau setidak-tidaknya meletakkan diri mereka di kedudukan empat teratas.

Musim panas tahun lalu, Moyes hanya membelanjakan 28 juta Pound bagi mendapatkan Marouane Fellaini dari Everton, jumlah yang jauh lebih kecil berbanding apa yang sudah dibelanjakan Van Gaal musim ini. Melihat kepada besarnya perbelanjaan yang dilakukan Van Gaal, mungkin anda juga tertanya-tanya sekiranya Moyes berpeluang mendapatkan pemain-pemain yang beliau inginkan dan membelanjakan jumlah wang yang sama (160 juta Pound) bagi menguatkan skuadnya, adakah beliau mampu membawa United beraksi di Liga Juara-Juara musim ini atau setidak-tidaknya meletakkan United di kedudukan lebih baik berbanding tangga ketujuh?

Persoalan ini sebenarnya sukar untuk dijawab, mungkin anda dan saya memiliki versi jawapan yang berbeza kepada persoalan di atas, jadi saya tinggalkan anda dengan versi jawapan masing-masing atas persoalan ini. Okey, mari kita kembali semula untuk melihat pencapaian sepuluh perlawanan liga United di bawah Moyes dan juga Van Gaal. Musim lalu, dari sepuluh perlawanan liga Moyes berjaya membawa United meraih lima kemenangan (keatas Swansea City, Crystal Palace, Sunderland, Stoke City dan Fulham) manakala musim ini di bawah kendalian Van Gaal pula, United hanya mampu meraih tiga kemenangan (ke atas QPR, West Ham dan Everton). Untuk rekod kesemua tiga kemenangan United yang dicapai setakat ini berlaku di Old Trafford.

Berbeza dengan nasib Moyes, perjalanan awal United musim ini agak selesa kerana dalam enam perlawanan awal, United ditemukan dengan lawan-lawan kelas pertengahan sebelum Everton hadir memberikan ujian sulung pada perlawanan ketujuh. Bukan saya mahu menidakkan kemampuan Swansea City, Sunderland, Burnley, QPR, Leicester City ataupun West Ham, tetapi dengan deretan nama-nama besar yang ada dalam skuad musim ini, United sepatutnya tidak tercicir sebarang mata ketika mereka beraksi di Stadium of Light, Turf Moor dan juga King Power Stadium. Dari enam perlawanan awal, United hanya mampu mengutip lapan mata dan lebih memeritkan apabila menyaksikan mereka tewas perlawanan pertama di gelanggang sendiri kepada Swansea City.

Ketika berdepan Sunderland dan Burnley, United hanya mampu mengutip dua mata manakala kunjungan ke King Power Stadium pula berakhir dengan kekecewaan apabila mereka melepaskan peluang terbaik untuk mengutip tiga mata penuh meskipun pada satu ketika mendahului lawan dengan kelebihan dua gol. Musim lalu Moyes dihidangkan dengan cabaran getir di awal musim apabila terpaksa berdepan Chelsea dan Liverpool pada perawanan kedua dan ketiga manakala Manchester City pula menanti di Stadium Etihad pada perlawanan kelima. Berbeza dengan nasib Moyes, musim ini Van Gaal hanya berdepan perlawanan besarnya pada minggu kesembilan saat melayan kunjungan Chelsea dan kemudiannya menghadapi City di gelanggang lawan Ahad lalu.

Musim lalu dari sepuluh perlawanan, United di bawah kendalian Moyes berjaya mengutip 17 mata hasil dari lima kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan. Dengan 17 mata yang berjaya diraih dari sepuluh perlawanan, United ketika itu menduduki tangga kelapan liga. Musim ini dengan jumlah perlawanan yang sama sambil dibantu pula laluan mudah di awal musim, United hanya mampu memungut 13 mata hingga mengakibatkan mereka terperosok di tangga kesepuluh. Jika United tidak keciciran mata terutamanya ketika berdepan lawan seperti Swansea City, Sunderland, Burnley dan Leicester City, anda bayangkanlah di manakah kedudukan kelab dalam carta liga ketika ini.

Artikel kali ini bukanlah bertujuan mahu membandingkan kemampuan Moyes dan Van Gaal kerana jika saya mahu berbuat demikian, kayu ukur paling tepat ialah melihat di mana kedudukan United di penghujung musim nanti. Sama sepertimana musim lalu, untuk musim ini saya juga tidak meletakkan sasaran untuk melihat United menjulang trofi liga buat kali ke-21, cukup sekadar menyaksikan kelab menamatkan saingan liga di kedudukan empat teratas. Musim lalu, Moyes gagal meletakkan United di kedudukan empat teratas hingga menyebabkan kelab terlepas aksi Liga Juara-Juara musim ini. Kegagalan itu menyaksikan beliau dipecat biarpun masih ada baki empat perlawanan yang perlu diharungi.

Jika musim lalu Moyes digembar-gemburkan sebagai pewaris tepat kepada destinasi yang ditinggalkan Sir Alex Ferguson hinggakan penyokong-penyokong memberikan gelaran The Chosen One kepada beliau, apa kurangnya dengan sambutan yang diberikan kepada Van Gaal musim ini. Selepas kegagalan Moyes, Van Gaal dilihat sosok yang mampu membawa United kembali di landasan kegemilangan. Karakternya dikatakan mirip Sir Alex, reputasinya dalam mengetengahkan bakat-bakat muda sudah lama diketahui umum, ketegasannya menyebabkan beliau dihormati pemain dan falsafah bolasepaknya menyebabkan permainan pasukan di bawah kendalian beliau seronok untuk ditonton.

Lebih daripada itu, Van Gaal merupakan pengendali yang cukup berpengalaman, pernah melatih kelab-kelab besar Eropah dengan deretan kejayaan dan trofi mengekori sejarah karier kejurulatihan beliau. Moyes dan Van Gaal memiliki karakter dan kelebihan tersendiri jadi tidak adil untuk membandingkan pencapaian mereka (bersama United) hanya menerusi sepuluh perlawanan liga. Jika hanya sepuluh perlawanan mahu dijadikan ukuran, saya tidak ragu-ragu untuk meletakkan Moyes sebagai pemenang kerana beliau memang mengatasi Van Gaal dari segi pungutan mata, jumlah kemenangan dan juga berjaya meletakkan kelab di kedudukan lebih baik berbanding sekarang.

Akhirnya ukuran sebenar kemampuan Van Gaal  akan hanya dapat kita saksikan di akhir musim nanti, ketika kita melihat di mana kedudukan kelab dalam carta liga dan adakah salah satu dari empat slot aksi di Liga Juara-Juara berjaya di rebut kembali. Melihat kepada deretan pemain-pemain berkualiti yang ada dalam skuadnya, begitu banyak wang yang sudah dilaburkan serta reputasi dan pencapaian silam yang dimiliki Van Gaal, saya berpendapat beliau sepatutnya tidak menghadapi banyak masalah untuk memenuhi sasaran membawa kelab beraksi di pentas Liga Juara-Juara musim hadapan. Dengan segala apa yang sudah diberikan kepada beliau dan aset yang dimilikinya, sukar untuk saya bayangkan bagaimanakah agaknya nasib Van Gaal jika beliau gagal meletakkan United di kedudukan empat teratas. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

02 November 2014

DI MARIA vs AGUERO....SIAPA BAKAL MUNCUL PEMENANG?


Perlawanan derby Manchester pertama musim ini akan dilangsungkan di Stadium Etihad malam nanti dan sepertimana lima atau enam tahun terakhir, derby Manchester menjadi perlawanan yang besar selepas kelab dari Eastland itu diambilalih Abu Dhabi United Group pada 2008. Derby kali ini tidak mempertaruhkan kedudukan tangga teratas liga tetapi tetap penting buat kedua-dua pasukan kerana City perlukan kemenangan untuk terus memberikan tekanan kepada Chelsea selaku pendahulu manakala United pula mahu memburu kemenangan pertama di gelanggang lawan musim ini selepas hanya mampu mengutip tiga mata dari empat perlawanan di luar Old Trafford.

Mana-mana perlawanan derby pastinya sengit, tegang serta sering berakhir dengan kontroversi dan derby Manchester tidak terkecuali. Seminggu sebelum perlawanan, kedua-dua belah pihak sudah memulakan perang psikologi dengan masing-masing mendakwa mampu memenangi derby ke-143 ini. Menghangatkan lagi pertembungan malam nanti, lagenda United, Peter Schmeichel (juga pernah beraksi untuk City) baru-baru ini mengatakan bahawa City kini kelab yang lebih besar berbanding United. Saya akui kebenaran komen Schmeichel kerana apa yang beliau katakan adalah berdasarkan prestasi semasa dan kedudukan dua kelab ini terutamanya dalam tempoh dua tahun terakhir.

Lihat sahaja apa yang berlaku musim lalu, ketika United terperosok di tangga ke-7 liga, City pula gah menjulang dua kejuaraan (Liga Perdana dan Piala Liga). Musim ini selepas sembilan perlawanan, City berada enam anak tangga di atas United walaupun perbezaan mata tidaklah begitu besar (City dan United hanya dibezakan 4 mata). Derby Manchester bukan hanya berkisar tentang siapa yang menang dan siapa yang kalah tetapi perlawanan dua kelab Manchester ini juga turut mempertaruhkan soal maruah dan reputasi. Disebabkan perjalanan liga yang masih panjang ketepikan dahulu soal siapa bakal menjuarai liga musim ini kerana di akhir perlawanan esok kita mahu melihat siapa penguasa kota Manchester.

Okey, lupakan dulu perseteruan dua kelab berjiran ini kerana apa yang ingin saya fokuskan kali ini ialah pertembungan pemain-pemain di tengah padang. Siapakah pemain dari kedua-dua pasukan yang bakal menjadi tumpuan atau lebih tepatnya yang bakal menentukan halatuju perlawanan malam nanti. Di pihak City, saya tidak hiraukan kekentalan Yaya Toure menjana jentera tengah, kebalnya Vincent Kompany mengemudi benteng pertahanan atau bagaimana kreatifnya David Silva menyusun permainan The Sky Blues kerana pemain mereka yang cukup membimbangkan saya tidak lain dan tidak bukan ialah Sergio Aguero. Kenapa Aguero?

Tidak perlu di pertikaikan lagi bahawa Aguero antara penyerang terbaik di Liga Perdana ketika ini dan melihat kepada statistik jaringannya, saya tidak ragu-ragu untuk meletakkan beliau sebagai pemain paling penting buat City. Jika Wayne Rooney memiliki rekod bagus setiap kali berdepan City, Aguero juga apa kurangnya. Untuk rekod dari enam pertemuan terakhir menentang United, Aguero berjaya menembusi gawang The Red Devils sebanyak empat kali. Jadi sudah tentulah Manuel Pellegrini berharap sentuhan jaringan Aguero ke atas United mampu diteruskan esok agar skuadnya boleh terus memberikan tekanan kepada Chelsea selaku pendahulu.

Melihat kepada persembahan benteng pertahanan United di awal musim, saya agak bimbang bila memikirkan bagaimanakah caranya nanti mereka menangani ancaman yang bakal dihadirkan oleh penyerang licik seperti Aguero. Bagaimanapun Aguero juga bukanlah penyerang yang terlalu sempurna kerana sepertimana kebanyakan pemain, prestasi ibarat yoyo merupakan musuh utama beliau. Aguero antara pemain City yang sering dijadikan sasaran kritikan sekiranya mereka beraksi buruk ataupun keputusan sesuatu perlawanan tidak memihak kepada mereka. Sekiranya Aguero berada di prestasi terbaik ditambah pula dengan rekod jaringannya ke gawang United, tidak mustahil kehadirannya akan memberikan perbezaan kepada keputusan perlawanan ini.

Jika City memiliki Aguero yang mampu menghadirkan rasa gerun kepada mana-mana benteng pertahanan lawan, United juga memiliki senjata mereka sendiri. Pemain yang saya maksudkan ialah Angel di Maria. Sejak ketibaannya di Old Trafford, Di Maria tidak memerlukan tempoh yang lama untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan Liga Perdana dan taktikal permainan yang digunakan Louis Van Gaal. Buktinya, Di Maria sudah menjaringkan tiga gol dan menyumbang empat assist dari tujuh perlawanan liga setakat ini. Berdepan dengan City malam nanti, Di Maria sekali lagi menjadi sandaran United untuk menamatkan rekod buruk setiap kali berdepan `jiran yang bising' itu. Untuk rekod, United tewas tiga perlawanan terakhir mereka menentang City dan kemenangan terakhir yang dilakar United di Stadium Etihad ialah pada 9 Disember 2012.

Ini bukanlah perlawanan pertama dalam karier Di Maria menentang City dan bukan juga yang pertama untuk beliau di Stadium Etihad kerana ketika bersama Real Madrid, Fideo pernah dua kali membantu Los Blancos berdepan The Sky Blues. Kali pertama Di Maria berdepan City ialah pada 18 September 2012 di Santiago Bernabeu dalam aksi Kumpulan D, Liga Juara-Juara. Dalam perlawanan itu Real menang 3-2, manakala Di Maria pula menyumbangkan dua assist untuk disudahkan Marcelo dan Karim Benzema. Pada perlawanan timbal balik di Stadium Etihad pula, Di Maria sekali lagi memainkan peranan penting kepada kejayaan Real mencuri satu mata di sana apabila umpanannya berjaya disudahkan Benzema untuk gol penyamaan.

Melihat kepada peranan yang dimainkan kedua-dua pemain Argentina ini (Aguero untuk City manakala Di Maria pula untuk United), saya percaya sosok mereka akan menjadi tumpuan dalam perlawanan malam nanti. Siapa yang bakal memberikan perbezaan kepada keputusan perlawanan sukar untuk diramal kerana semuanya bakal bergantung kepada prestasi mereka di hari perlawanan. Ketajaman Aguero penting untuk City manakala kreativiti Di Maria amat ditagih United dalam misi mereka mendapatkan keputusan positif di Stadium Etihad. Selain Aguero dan Di Maria, menarik juga untuk kita saksikan pertembungan antara Marouane Fellaini dan Yaya Toure di bahagian tengah.

Yaya merupakan `enjin' City di mana kelibat pemain Ivory Coast ini wajib ada dalam senarai kesebelasan utama Manuel Pellegrini. Bagaimana pentingnya Patrick Vieira kepada Arsenal dulu begitu jugalah pentingnya Yaya kepada City. Marouane Fellaini pula nampaknya sudah mula menunjukkan tanda-tanda kebangkitan beliau selepas `karam' sepanjang musim lalu. Meskipun pernah dilabelkan sebagai `pembelian yang gagal', Fellaini nampaknya bangkit memadam segala kritikan yang dilemparkan kepada beliau pada waktu yang tepat. Aksi pertamanya musim ini di The Hawthorns dan prestasi bagusnya selama 90 minit ketika menentang Chelsea menyebabkan nama beliau antara yang sering disebut-sebut penyokong-penyokong United ketika ini.

Van Gaal dan Pellegrini sedar betapa pentingnya penguasaan di bahagian tengah, jadi sudah tentulah pemain yang paling layak untuk mereka berikan tugas menguasai posisi tersebut ialah Fellaini dan Yaya. Hanya yang kuat akan memenangi pertempuran ini dan saya berharap Fellaini sudah cukup kuat untuk menyaingi Yaya malam nanti. Kini derby Manchester antara perlawanan yang paling dinantikan bukan hanya di Liga Perdana tetapi juga oleh peminat-peminat bolasepak dunia terutamanya dalam tempoh enam tahun terakhir selepas City mendakwa mereka kini adalah kelab yang lebih besar berbanding jiran mereka yang berpangkalan di Old Trafford itu. Mereka mendakwa mereka lebih besar berbanding United, jadi malam nanti saya mahu lihat benarkah dakwaan mereka itu. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

29 Oktober 2014

JANUZAJ...SEMOGA APA YANG BERLAKU KEPADA POGBA TIDAK BERULANG

Musim lalu, kelibat beliau mencuri tumpuan di sebalik prestasi merudum yang dipamerkan United. Kelicikan beliau membelah pertahanan lawan dari sebelah tepi dan kepantasan lariannya dengan kawalan bola menarik mengingatkan kita kepada Ryan Giggs ketika detik awal karier lagenda itu bersama The Red Devils.  Walaupun David Moyes gagal meneruskan rekod cemerlang United selepas beliau mengambil alih tugas dari Sir Alex, beliau sekurang-kurangnya berjaya mengetengahkan pemain berbakat besar seperti Januzaj di pentas tertinggi seperti Liga Perdana.

Musim ini, Januzaj kurang diberikan peluang tampil dalam kesebelasan utama sepertimana musim lalu tetapi kelibatnya sepanjang 90 minit ketika berdepan Chelsea saya anggap satu petanda bagus dan bukti bahawa Louis Van Gaal tidak pernah meminggirkan beliau.  Januzaj antara bakat muda istimewa dalam dunia bolasepak hari ini dan saya berharap di bawah kendalian Van Gaal, Januzaj akan menjadi pemain yang lebih bagus. Apa yang perlu dilakukan Januzaj sekarang ialah bersabar menanti peluang dan bersedia dipanggil pada bila-bila masa jika khidmatnya diperlukan Van Gaal.

Berita bahawa Ajax Amsterdam berminat membawa Januzaj beraksi di Amsterdam Arena sebagai pemain pinjaman satu perkhabaran yang bagus. Jika Van Gaal mahu meletakkan Januzaj dalam status pemain pinjaman, Ajax adalah kelab terbaik untuk pemain ini dihantar bagi menggilap bakatnya kerana reputasi mereka dalam melahirkan pemain-pemain berbakat. Dari dulu hingga sekarang, Ajax tidak pernah ketandusan dan hilang idea dalam melahirkan pemain-pemain muda berbakat yang akhirnya muncul bintang dunia bersama kelab-kelab besar di sekitar Eropah.

Saya yakin sebagai warga Belanda, Van Gaal juga tentu tahu benar dengan kemampuan bekas kelab yang pernah beliau kendalikan itu. Tempat Januzaj bagi saya sebenarnya bukanlah bersama skuad remaja United kerana beliau jelas selangkah di hadapan berbanding rakan-rakan seangkatannya. Lihat bagaimana mudahnya beliau merobek pertahanan skuad U21 Sunderland hingga berjaya menghasilkan hatrik September lalu. Walaupun Januzaj menegaskan bahawa beliau gembira berada di Old Trafford dan mahu terus kekal bersama kelab, saya tetap bimbang dengan situasi terkini dan masa depan pemain itu.

Amat penting untuk kelab mengekalkan bakat muda seperti Januzaj kerana sebolehnya saya tidak mahu melihat apa yang berlaku kepada Paul Pogba berulang sekali lagi. Pogba meninggalkan kelab kerana berasakan beliau tidak diberikan peluang tampil bersama skuad senior dan bersama Juventus, beliau mendapat apa yang beliau mahukan. Begitu juga halnya dengan Gerard Pique yang gagal memecah dominasi Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic di benteng pertahanan tetapi akhirnya cemerlang bersama Barcelona selepas beliau meninggalkan Old Trafford.


Akhirnya kini terpulang kepada Januzaj untuk menentukan hala tuju karier beliau manakala Van Gaal pula saya yakin cukup tahu bagaimana mahu menjadikan bakat sebagus Januzaj bintang besar dunia suatu hari nanti. Reputasi Van Gaal dalam menggilap bakat-bakat muda memang tidak perlu dipertikaikan manakala kemampuan kelab dalam menjadikan pemain seperti Januzaj `Ryan Giggs Seterusnya' tidak pernah saya ragui. Van Gaal merupakan guru yang bagus untuk pemain muda seperti Januzaj dan Old Trafford pula adalah tempat paling ideal untuk pemain ini mencipta nama. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

27 Oktober 2014

FELLA YANG PERNAH MENAKUTKAN, KINI KEMBALI MENAKUTKAN

Minggu lalu beliau datang dari bangku simpanan di separuh masa kedua dan selepas tiga minit beraksi, beliau menjaringkan gol penyamaan di The Hawthorns. Awal pagi tadi ketika berdepan Chelsea, Marouane Fellaini tidak menjaringkan gol tetapi beliau terlibat dengan gol penyamaan United yang dijaringkan Robin Van Persie. Tiada apa yang saya boleh katakan tentang sumbangan keseluruhan Fella awal pagi tadi selain inilah prestasi terbaik yang beliau pamerkan sejak menyertai United musim panas tahun lalu. Inilah `Fella sebenar' yang ingin saya saksikan, pemain yang dahulunya sering membuatkan saya bimbang setiap kali United berdepan Everton.

Minggu lalu ketika berdepan West Bromwich, biarpun beliau hanya bermain selama 45 minit, Fella antara pemain United paling menonjol selain Daley Blind. Prestasinya di The Hawthorns agak mengejutkan saya tambahan pula apabila mengingatkan bahawa Fella antara pemain yang digembar-gemburkan bakal ditunjukkan pintu keluar sebaik Louis Van Gaal memulakan tugasnya secara rasmi Julai lalu. Ogos tahun lalu, berita kejayaan kelab menandatangani beliau disambut penuh teruja oleh penyokong-penyokong United, tetapi kehadiran Fella bagaimanapun gagal mencetuskan impak kepada pasukan hinggakan beliau dianggap pembelian yang gagal.

Selepas bertahun-tahun dianggap antara pemain tengah paling menyerlah di Liga Perdana sejak beliau menyertai Everton dari Standard Leige, Fella sebaliknya tiba-tiba tenggelam sepanjang musim lalu di bawah asuhan David Moyes. Agak pelik juga bila memikirkan bahawa sebelum ini mereka (Fella dan Moyes) pernah bekerjasama selama bertahun-tahun ketika di Everton, malah tidak keterlaluan juga jika saya katakan Fella dan Moyes sudah begitu sebati dan faham dengan kehendak masing-masing. Entah di mana silapnya, Moyes gagal memaksimakan kualiti Fella di Old Trafford sebagaimana beliau pernah menjadikan pemain ini tonggak penting di Goodison Park.

Rembatan ke penjuru kiri gawang West Bromwich hingga terhasilnya gol sulung beliau untuk kelab seolah-olah menandakan bahawa Fella sudah sedia bersaing mendapatkan tempatnya di bahagian tengah United, manakala prestasinya awal pagi tadi pula membuktikan bahawa beliau memang layak berada dalam kesebelasan utama Van Gaal. Tugas beliau pagi tadi ialah mengunci pergerakan Cecs Fabregas, dan sepanjang permainan Fella sentiasa mengekori rapat kelibat pemain itu hingga menyebabkan Fabregas gagal berfungsi sepertimana biasa. Fabregas antara pemain paling berpengaruh dalam skuad Jose Mourinho, jadi tidak hairanlah mengapa Van Gaal memberikan perhatian khusus terhadap pemain itu. Strategi Van Gaal berkesan, hingga menyebabkan Fabregas tenggelam sepanjang permainan.

Fella memang tidak sepantas dan sekreatif Angel di Maria, tetapi kehadiran pemain seperti beliau memberikan United kelebihan di bahagian tengah menerusi kekuatan fizikalnya. Beliau sentiasa sahaja muncul pemenang dalam situasi perebutan bola 50/50, pada bila-bila masa mampu merampas bola dari penguasaan lawan menerusi tackle bersihnya selain memiliki kekuatan di udara. Ketika United kekurangan pemain yang mampu memberikan saingan kepada John Terry dan Nemanja Matic dalam situasi perebutan bola di udara, Fella hadir memberikan cabaran  menerusi kelebihan susuk fizikalnya. Lihat bagaimana terhasilnya gol penyamaan United pagi tadi, kerana situasi seperti itu sebenarnya adalah `makanan' beliau.

Ketika ramai menjangkakan bahawa Van Gaal akan menurunkan Ander Herrera di bahagian tengah, keputusan beliau menyenaraikan Fella dalam kesebelasan utama United saya anggap satu kejutan. Akhirnya kesempatan berharga itu digunakan sepenuhnya oleh Fella untuk membuktikan kepada penyokong-penyokong United bahawa beliau masih lagi boleh diharapkan. Melihat kepada bagaimana berkesannya peranan beliau di bahagian tengah terutamanya dalam mematikan pergerakan Fabregas, saya yakin tugas yang sama akan dipikul Fella ketika berdepan derby Manchester minggu hadapan. Tentu menarik untuk melihat pertembungan antara beliau dengan Yaya Toure nanti...Glory Glory Manchester United!!! - A.J

26 Oktober 2014

CHELSEA, BAKAL MENGUJI SEJAUH MANA KEMAMPUAN SEBENAR UNITED

Louis Van Gaal dan Jose Mourinho pernah bekerjasama selama tiga tahun (1997-2000) di Nou Camp hingga gandingan mereka berjaya menghadiahkan Barcelona trofi La Liga dan Copa del Rey selain UEFA Super Cup. Tahun 2000 Mourinho menyertai Benfica dimana selepas itu beliau tidak pernah lagi menoleh ke belakang dan sukses mengharungi kariernya sebagai jurulatih/pengurus. Tahun 2010 mereka dipertemukan buat pertama kali apabila Bayern Munich kendalian Van Gaal berdepan  Inter Milan asuhan Mourinho di pentas final Liga Juara-Juara. Sepertimana yang anda tahu, Inter menang 2-0 dalam perlawanan itu sekaligus berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali ke-3.

Malam nanti, kedua-dua `guru dan murid' ini akan dipertemukan sekali lagi, kali ini di pentas saingan Liga Perdana pula. Walau pun pernah dianggap sebagai `guru dan murid' falsafah mereka sebagai jurulatih jauh berbeza. Falsafah Mourinho ialah `melatih untuk menang' tanpa mengambilkira bagaimana kemenangan itu diperolehi dan bagaimana taktikal yang beliau gunakan di atas padang. Saya tidak nafikan bahawa Chelsea begitu sukses di bawah kendalian Mourinho tetapi jika saya mahu menonton permainan bolasepak menarik, mereka bukanlah pasukan yang ingin saya saksikan aksinya.

Atas sebab itu jugalah mengapa pada 2007, Roman Abramovich menunjukkan pintu keluar kepada Mourinho biarpun sebelum itu beliau berjaya membawa The Blues menjulang trofi liga dua musim berturut-turut. Alasannya cukup mudah, kerana ketika Abramovich mahu menyaksikan Chelsea bermain cantik, menjaringkan tiga atau empat gol dalam setiap perlawanan mereka, corak permainan The Blues yang diterapkan Mourinho pula sebaliknya kaku walau keputusan selepas tamat 90 minit permainan memihak kepada mereka. Itu cerita dulu kerana Chelsea kini jelas pasukan yang berbeza.

Walaupun label `pragmatik' masih lagi sukar dihakis dalam diri Mourinho, Chelsea kendalian beliau musim ini menunjukkan corak permainan yang jauh berbeza berbanding apa yang mereka tunjukkan 10 tahun yang lalu. Dengan adanya Cesc Fabregas, Oscar dan Eden Hazard, Chelsea kali ini lebih teknikal, menyajikan permainan menyerang yang menarik dan ditambah pula dengan ketajaman Diego Costa di hadapan, mereka tidak pernah berhenti dalam memberikan ancaman kepada benteng pertahanan lawan. Ketepikan soal jaringan cantik, kerana sebagai penyerang, tugas Costa ialah menjaringkan gol tidak kira sama ada jaringan itu cantik atau tidak.

Berbeza dengan bekas `muridnya', Van Gaal pula tidak akan sekali-kali mengorbankan corak permainan bolasepak yang menarik demi meraih kemenangan. Contoh terbaru, lihat bagaimana skuad kebangsaan Belanda yang dilatih Van Gaal  beraksi di pentas Piala Dunia 2014 yang lalu. Atas sebab itu jugalah saya yakin beliau tidak akan mengamalkan corak permainan bertahan walaupun skuad kendaliannya masih tercari-cari keseimbangan manakala Chelsea pula hadir dengan reputasi satu-satunya pasukan yang masih belum tewas setakat ini. Ringkasnya Chelsea hadir sebagai pasukan pilihan walaupun United bermain di hadapan penyokong sendiri.

Melihat kepada `kelainan' yang dipamerkan Chelsea musim ini, saya yakin mereka adalah lawan yang diidamkan Van Gaal tetapi dalam masa yang sama beliau juga perlu menyeimbangkan skuadnya terlebih dahulu sebelum berkira-kira mahu memberikan kekalahan sulung kepada The Blues atau sekurang-kurangnya memaksa mereka berkongsi mata. Jika dilihat jadual awal musim, United sepatutnya mampu memungut lebih banyak mata berbanding apa yang mereka mampu kumpul sekarang tetapi malangnya The Red Devils hanya mampu menang tiga dari lapan perlawanan awal mereka.

Chelsea adalah ujian pertama bagi mengukur sejauh mana kemampuan sebenar United untuk bersaing musim ini sebelum mereka berdepan derby Manchester seminggu selepas itu. Amat menarik untuk menyaksikan pertembungan di bahagian tengah kerana di sinilah sebenarnya terletak kekuatan kedua-dua pasukan. Berita bahawa Michael Carrick akan bermain buat pertama kalinya selepas berehat panjang akibat kecederaan buku lali saya anggap petanda bagus menjelang perlawanan besar dan penting ini. Dengan pengalaman dan kualiti yang ada pada beliau, saya yakin kehadiran Carrick akan memberikan perbezaan kepada bahagian tengah United.

Jika kita lega mendengar berita kembalinya Carrick untuk menguatkan jentera tengah, benteng pertahanan pula masih kekal membimbangkan saya. 12 gol yang sudah dilepaskan setakat ini bukanlah statistik yang bagus hingga menyaksikan United, Liverpool dan West Ham muncul pasukan kedua paling banyak melepaskan gol berbanding pasukan-pasukan lain yang menghuni kelompok 10 teratas. Saya tidak mahu terlalu memikirkan sama ada Diego Costa akan diturunkan atau tidak, kerana kebimbangan saya lebih kepada kemampuan benteng pertahanan menangani ancaman yang bakal dihadirkan barisan penyerang Chelsea.

Jika Costa tidak bermain sekalipun, Mourinho masih memiliki Didier Drogba dan Loic Remy di bangku simpanan manakala pemain-pemain seperti Eden Hazard dan Cecs Fabregas juga mampu memberikan ancaman kepada gawang United sekiranya kelibat mereka dibiarkan bergerak bebas. Fabregas antara yang perlu diawasi kerana bekas pemain Arsenal dan Barcelona ini bukan sahaja mampu menjaringkan gol tetapi beliau juga bijak mencipta peluang jaringan. Dari lapan penampilan, Fabregas menjaringkan satu gol dan mencipta tujuh assist, jadi tidak hairanlah mengapa beliau dianggap tonggak penting The Blues walaupun nama Diego Costa lebih melonjak menerusi gol demi gol yang dihasilkannya.

Saya berharap siapapun yang diletakkan Van Gaal di benteng pertahanan nanti mampu menjalankan tanggungajwab mereka dengan baik apatah lagi The Blues hadir dengan statistik jaringan yang agak menggerunkan di mana mereka mencatatkan purata 2.8 gol dalam setiap perlawanan. Mereka bukan hanya perlu mengawasi ancaman Didier Drogba, Loic Remy atau Diego Costa tetapi dalam masa yang sama kelibat Fabregas, Eden Hazard atau Oscar juga tidak sepatutnya terlepas dari pandangan. Untuk itu saya berharap Marcos Rojo, Phil Jones, Rafael da Silva dan Luke Shaw sudah melakukan kerja rumah secukupnya jika kombinasi ini diturunkan Van Gaal malam nanti.

Chelsea kini sedang berada di puncak di bawah kendalian seorang jurulatih yang juga sedang meniti puncak kariernya, tetapi Mourinho tetap mengambil sikap berhati-hati menjelang pertemuan malam nanti. Ini bukan tentang siapa yang mengendalikan United, pemain mana yang bakal diturunkan atau di manakah kedudukan mereka di carta liga kerana United tetap United dan tiada apa yang perlu ditakutkan tentang Chelsea walaupun mereka kini sedang berada di puncak prestasi. Mourinho sedar tentang betapa besar dan pentingnya pertembungan menentang United dan atas sebab itu jugalah beliau berharap mampu menurunkan kekuatan penuh di Theatre of Dreams malam ini.

Selepas berdepan lawan-lawan kelas pertengahan sebelum ini, kunjungan Chelsea adalah ujian besar pertama buat United, tetapi dalam masa yang sama sebarang keputusan selepas perlawanan bukanlah penentu kedudukan di akhir musim nanti. Walau pun sudah berbelanja besar, Van Gaal masih belum berjaya menjadikan United skuad yang konsisten dan sudah tentulah Chelsea akan menjadi lawan yang bagus untuk mengukur di tahap mana sebenarnya United berada. Jika dilihat prestasi semasa, kita sepatutnya sudah bersedia untuk bersikap realistik menerima apa juga keputusan perlawanan nanti tetapi itu juga tidak bermakna bahawa saya tidak yakin dengan kemampuan sebenar The Red Devils. Chelsea adalah salah satu lawan hebat yang perlu dihadapi United, jadi ketepikan dulu dari memikirkan keputusan di akhir perlawanan kerana sebelum itu saya hanya mahu menikmati perlawanan ini selama 90 minit. Glory Glory Manchester United!!! - A.J