Tamat perlawanan derby
Manchester Ahad lalu bermakna genap juga sepuluh perlawanan yang sudah
diharungi (Manchester) United di bawah kendalian Louis Van Gaal. Kekalahan yang
dialami United di Stadium Etihad itu juga menyaksikan kelab kini terperosok di
tangga ke-10 liga selepas hanya memungut 13 mata dari tiga kemenangan, empat
kali seri dan tewas tiga perlawanan. Kekalahan kepada City juga menyebabkan
ramai pihak kini mula bertanyakan apakah nasib United musim ini di bawah
kendalian Van Gaal dan tidak kurang juga yang mula membandingkan pencapaian
beliau dengan David Moyes berdasarkan keputusan sepuluh perlawanan awal liga
kedua-dua pengendali itu.
Saya akui
pencapaian United dalam sepuluh perlawanan awal musim ini tidak jauh bezanya dengan musim lalu ketika kelab
dikendalikan Moyes. Mengambilkira fakta bahawa ratusan juta Pound sudah pun
dibelanjakan Van Gaal bagi mendapatkan pemain-pemain kelas dunia untuk
menguatkan skuadnya, kedudukan kesepuluh dalam liga bukanlah tempat yang
sepatutnya dihuni United. Paling tidak dengan adanya nama-nama seperti Angel di
Maria, Daley Blind, Marcos Rojo, Wayne Rooney, Radamel Falcao, Ander Herrera,
Michael Carrick dan Robin Van Persie,
United sepatutnya mampu mencabar kedudukan Chelsea, atau setidak-tidaknya
meletakkan diri mereka di kedudukan empat teratas.
Musim panas tahun
lalu, Moyes hanya membelanjakan 28 juta Pound bagi mendapatkan Marouane
Fellaini dari Everton, jumlah yang jauh lebih kecil berbanding apa yang sudah
dibelanjakan Van Gaal musim ini. Melihat kepada besarnya perbelanjaan yang
dilakukan Van Gaal, mungkin anda juga tertanya-tanya sekiranya Moyes berpeluang
mendapatkan pemain-pemain yang beliau inginkan dan membelanjakan jumlah wang
yang sama (160 juta Pound) bagi menguatkan skuadnya, adakah beliau mampu
membawa United beraksi di Liga Juara-Juara musim ini atau setidak-tidaknya
meletakkan United di kedudukan lebih baik berbanding tangga ketujuh?
Persoalan ini
sebenarnya sukar untuk dijawab, mungkin anda dan saya memiliki versi jawapan
yang berbeza kepada persoalan di atas, jadi saya tinggalkan anda dengan versi
jawapan masing-masing atas persoalan ini. Okey, mari kita kembali semula untuk
melihat pencapaian sepuluh perlawanan liga United di bawah Moyes dan juga Van
Gaal. Musim lalu, dari sepuluh perlawanan liga Moyes berjaya membawa United
meraih lima kemenangan (keatas Swansea City, Crystal Palace, Sunderland, Stoke
City dan Fulham) manakala musim ini di bawah kendalian Van Gaal pula, United
hanya mampu meraih tiga kemenangan (ke atas QPR, West Ham dan Everton). Untuk
rekod kesemua tiga kemenangan United yang dicapai setakat ini berlaku di Old
Trafford.
Berbeza dengan
nasib Moyes, perjalanan awal United musim ini agak selesa kerana dalam enam
perlawanan awal, United ditemukan dengan lawan-lawan kelas pertengahan sebelum
Everton hadir memberikan ujian sulung pada perlawanan ketujuh. Bukan saya mahu
menidakkan kemampuan Swansea City, Sunderland, Burnley, QPR, Leicester City ataupun
West Ham, tetapi dengan deretan nama-nama besar yang ada dalam skuad musim ini,
United sepatutnya tidak tercicir sebarang mata ketika mereka beraksi di Stadium
of Light, Turf Moor dan juga King Power Stadium. Dari enam perlawanan awal,
United hanya mampu mengutip lapan mata dan lebih memeritkan apabila menyaksikan
mereka tewas perlawanan pertama di gelanggang sendiri kepada Swansea City.
Ketika berdepan
Sunderland dan Burnley, United hanya mampu mengutip dua mata manakala kunjungan
ke King Power Stadium pula berakhir dengan kekecewaan apabila mereka melepaskan
peluang terbaik untuk mengutip tiga mata penuh meskipun pada satu ketika
mendahului lawan dengan kelebihan dua gol. Musim lalu Moyes dihidangkan dengan
cabaran getir di awal musim apabila terpaksa berdepan Chelsea dan Liverpool
pada perawanan kedua dan ketiga manakala Manchester City pula menanti di
Stadium Etihad pada perlawanan kelima. Berbeza dengan nasib Moyes, musim ini
Van Gaal hanya berdepan perlawanan besarnya pada minggu kesembilan saat melayan
kunjungan Chelsea dan kemudiannya menghadapi City di gelanggang lawan Ahad
lalu.
Musim lalu dari
sepuluh perlawanan, United di bawah kendalian Moyes berjaya mengutip 17 mata
hasil dari lima kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan. Dengan 17 mata yang
berjaya diraih dari sepuluh perlawanan, United ketika itu menduduki tangga
kelapan liga. Musim ini dengan jumlah perlawanan yang sama sambil dibantu pula
laluan mudah di awal musim, United hanya mampu memungut 13 mata hingga
mengakibatkan mereka terperosok di tangga kesepuluh. Jika United tidak
keciciran mata terutamanya ketika berdepan lawan seperti Swansea City,
Sunderland, Burnley dan Leicester City, anda bayangkanlah di manakah kedudukan
kelab dalam carta liga ketika ini.
Artikel kali ini
bukanlah bertujuan mahu membandingkan kemampuan Moyes dan Van Gaal kerana jika
saya mahu berbuat demikian, kayu ukur paling tepat ialah melihat di mana
kedudukan United di penghujung musim nanti. Sama sepertimana musim lalu, untuk
musim ini saya juga tidak meletakkan sasaran untuk melihat United menjulang
trofi liga buat kali ke-21, cukup sekadar menyaksikan kelab menamatkan saingan
liga di kedudukan empat teratas. Musim lalu, Moyes gagal meletakkan United di
kedudukan empat teratas hingga menyebabkan kelab terlepas aksi Liga Juara-Juara
musim ini. Kegagalan itu menyaksikan beliau dipecat biarpun masih ada baki
empat perlawanan yang perlu diharungi.
Jika musim lalu
Moyes digembar-gemburkan sebagai pewaris tepat kepada destinasi yang
ditinggalkan Sir Alex Ferguson hinggakan penyokong-penyokong memberikan gelaran
The Chosen One kepada beliau, apa kurangnya dengan sambutan yang
diberikan kepada Van Gaal musim ini. Selepas kegagalan Moyes, Van Gaal dilihat
sosok yang mampu membawa United kembali di landasan kegemilangan. Karakternya
dikatakan mirip Sir Alex, reputasinya dalam mengetengahkan bakat-bakat muda
sudah lama diketahui umum, ketegasannya menyebabkan beliau dihormati pemain dan
falsafah bolasepaknya menyebabkan permainan pasukan di bawah kendalian beliau
seronok untuk ditonton.
Lebih daripada itu,
Van Gaal merupakan pengendali yang cukup berpengalaman, pernah melatih
kelab-kelab besar Eropah dengan deretan kejayaan dan trofi mengekori sejarah
karier kejurulatihan beliau. Moyes dan Van Gaal memiliki karakter dan kelebihan
tersendiri jadi tidak adil untuk membandingkan pencapaian mereka (bersama
United) hanya menerusi sepuluh perlawanan liga. Jika hanya sepuluh perlawanan
mahu dijadikan ukuran, saya tidak ragu-ragu untuk meletakkan Moyes sebagai
pemenang kerana beliau memang mengatasi Van Gaal dari segi pungutan mata,
jumlah kemenangan dan juga berjaya meletakkan kelab di kedudukan lebih baik
berbanding sekarang.
Akhirnya ukuran
sebenar kemampuan Van Gaal akan hanya
dapat kita saksikan di akhir musim nanti, ketika kita melihat di mana kedudukan
kelab dalam carta liga dan adakah salah satu dari empat slot aksi di Liga
Juara-Juara berjaya di rebut kembali. Melihat kepada deretan pemain-pemain
berkualiti yang ada dalam skuadnya, begitu banyak wang yang sudah dilaburkan serta
reputasi dan pencapaian silam yang dimiliki Van Gaal, saya berpendapat beliau
sepatutnya tidak menghadapi banyak masalah untuk memenuhi sasaran membawa kelab
beraksi di pentas Liga Juara-Juara musim hadapan. Dengan segala apa yang sudah
diberikan kepada beliau dan aset yang dimilikinya, sukar untuk saya bayangkan
bagaimanakah agaknya nasib Van Gaal jika beliau gagal meletakkan United di
kedudukan empat teratas. Glory Glory Manchester United!!! - A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan