12 November 2014

MEMANGGIL VIDIC PULANG, JALAN PENYELESAIAN KEPADA MASALAH PERTAHANAN UNITED?

Nemanja Vidic menuju jalan pulang ke Old Trafford? Inilah berita paling sensasi yang saya dengar dan baca minggu ini. Jika benar apa yang dilaporkan oleh portal-portal berita tentang kemungkinan bahawa Vidic akan kembali menguatkan benteng pertahanan United Januari nanti, saya anggap ini satu berita yang cukup baik. Mungkin ada pihak mengatakan bahawa membawa Vidic pulang satu langkah terdesak yang dilakukan Van Gaal berikutan masalah konsistensi benteng pertahanannya selain krisis kecederaan yang tidak pernah berhenti melanda skuadnya terutama yang melibatkan pemain-pemain di bahagian belakang. Walau apapun persepsi yang dilemparkan berhubung kepulangan Vidic, saya menganggap bahawa dalam situasi sekarang, United memang memerlukan seorang pemain yang boleh menjadi pemimpin, tulang belakang dan paling penting mampu memberikan arahan kepada rakan-rakan sepasukan serta menyusun benteng ketika lawan memberikan tekanan.

Kebimbangan saya sebelum ini tentang keputusan Louis Van Gaal untuk tidak menandatangani seorangpun pemain pertahanan tengah baharu bagi menggantikan tempat Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic memang berasas. Lihatlah apa yang berlaku sekarang, belum pun saingan liga memasuki separuh musim, Van Gaal sudah dihadapkan dengan masalah demi masalah di benteng pertahanan terutamanya membabitkan isu prestasi dan masalah kecederaan. Saya pernah katakan dulu bahawa meletakkan tanggungjawab kepada Jonny Evans selaku pemimpin di benteng pertahanan adalah satu perjudian besar. Memang benar, Evans pemain pertahanan tengah paling berpengalaman yang dimiliki kelab ketika ini, pernah bermain bersama-sama Ferdinand dan Vidic manakala kemampuannya dalam mengawal bahagian belakang tidak perlu dipertikaikan. Tetapi masalah utama Evans sejak dulu hinggalah sekarang ialah kecederaan dan konsistensinya di atas padang.

Jika kena pada harinya, Evans boleh saya letakkan antara pemain pertahanan tengah terbaik di Liga Perdana tetapi dalam masa yang singkat juga beliau boleh menjelma sebagai `petualang' dengan melakukan kesilapan-kesilapan yang kerap dilakukan oleh seorang pemain amatur. Saya tidak pernah menafikan sumbangan Evans selama beliau menyarung jersi United, tetapi beliau bukanlah pemain yang boleh digantungkan harapan sebagai `jantung pertahanan' untuk sepanjang musim sepertimana peranan yang pernah dimainkan Ferdinand dan Vidic. Selain prestasi umpama `yoyo', kecederaan juga seolah-olah sudah menjadi teman akrab kepada karier pemain pertahanan dari Ireland Utara ini. Bayangkanlah sejak Januari lalu, Evans sudah ditimpa masalah kecederaan sebanyak lima kali hingga menjejaskan penampilannya dalam kejohanan-kejohanan kompetitif bersama skuad senior. Terbaru masalah kecederaan buku lali yang menimpanya ketika berdepan Leicester City, 21 September lalu menyebabkan beliau hanya mampu bermain selama 30 minit di Stadium King Power sebelum digantikan Chris Smalling.

Melihat situasi yang menimpa skuadnya sekarang, saya percaya Van Gaal sudah mula menyedari betapa pentingnya untuk beliau mengukuhkan benteng pertahanan jika berhajat membawa kembali United beraksi di pentas Liga Juara-Juara musim hadapan. Untuk itu, membawa semula Vidic pulang adalah opsyen terbaik bagi penyelesaian jangka pendek berdasarkan perkhabaran bahawa beliau akan ditawarkan kontrak selama enam bulan. Berapa lama tempoh kontrak yang bakal ditawarkan kepada Vidic itu soal kedua, kerana kehadiran seorang pemain pertahanan berpengalaman, memiliki corak permainan keras dan boleh bertindak sebagai commander di bahagian belakang amat diperlukan United ketika ini. Sejak pemergian Ferdinand dan Vidic, United kehilangan `suara' di bahagian belakang, kehilangan pemain pertahanan yang bijak membaca arus permainan manakala tackle keras mereka pula sentiasa menjadi igauan buat mana-mana penyerang lawan. Inilah faktor yang kini sudah tiada lagi di bahagian belakang skuad Van Gaal musim ini.

Selepas lapan tahun bersama United, Vidic menyertai Inter Milan musim panas lalu tetapi kehadirannya gagal memberikan impak yang diharapkan di benteng pertahanan Nerazzurri. Ada juga berita yang mengatakan bahawa Vidic tidak gembira di Itali hingga timbulnya spekulasi bahawa beliau ingin segera meninggalkan Inter. Dengan situasi terkini Vidic di Serie A, disamping perlunya tambahan tenaga baharu di benteng, membawa semula pertahanan berpengalaman ini pulang ke kelab saya anggap satu idea yang bagus. Vidic meninggalkan Old Trafford selepas mengharungi kempen mengecewakan pada musim terakhirnya bersama kelab tetapi kini kelibat `Penyembelih Balkan' itu kembali menjadi perhatian tatkala Van Gaal terdesak mencari pemain yang benar-benar layak untuk menutup segala keretakkan di benteng skuadnya. Mendapatkan khidmat Vidic Januari nanti pada pandangan saya lebih realistik berbanding percubaan menandatangani Ezequiel Garay, Gerard Pique ataupun Mats Hummels.

Tiada mana-mana pasukan yang sanggup berdepan risiko melepaskan pemain tonggak mereka ketika saingan musim ini baru memasuki separuh jalan. Adakah Zenit St Petersburg sanggup melepaskan Garay ketika mereka berada dalam kedudukan baik selaku pendahulu carta Liga Perdana Russia, manakala bagi Barcelona dan Borussia Dortmund pula, selain berdepan tugasan domestik mereka juga ada misi yang cukup besar perlu dilaksanakan di pentas Liga Juara-Juara. Jadi atas sebab itulah saya melihat perpindahan Vidic ke Old Trafford lebih realistik untuk dilaksanakan berbanding menandatangani pemain-pemain pertahanan tengah berprofil tinggi yang lain. Selain Vidic, satu lagi pilihan paling hampir ialah menandatangani Ron Vlaar, tetapi saya percaya Van Gaal tidak akan membayar 7 atau 8 juta Pound kepada Aston Villa Januari ini kerana beliau boleh mendapatkan khidmat pemain itu secara percuma selepas kontraknya bersama The Villans tamat penghujung musim nanti.

Saya yakin selepas menyaksikan pemain-pemain di barisan belakang silih berganti menuju bilik rawatan selain prestasi tidak konsisten yang ditunjukkan Jonny Evans dan Chris Smalling umpamanya, Van Gaal nampaknya tiada pilihan lain selain mengintai mana-mana pemain baharu yang cukup berpotensi bagi memantapkan benteng pertahanannya. Sama ada Vidic, Vlaar atau sesiapa sahaja, benteng pertahanan United memang memerlukan seorang pemain baharu yang mampu menjadi pemimpin kepada rakan-rakan lain di barisan belakang, seorang pemain yang lebih berpengalaman dan paling penting dia juga mampu mengekalkan prestasi konsistennya setiap minggu. Amat jelas, sekurang-kurangnya buat masa ini tiada mana-mana pemain pertahanan United yang ada mampu menggantikan tempat Ferdinand dan Vidic selepas kedua-dua lagenda itu meninggalkan kelab penghujung musim lalu.

Kelab mengambil risiko besar dengan melepaskan Ferdinand dan Vidic tanpa membawa seorangpun pemain pertahanan tengah baharu bagi menggantikan tempat mereka dan kini kesannya sudah pun mula dirasai. Jika diberikan pilihan, saya mahu Vidic dibawa pulang semula kerana saya yakin beliau masih mampu memberikan sumbangan berkesan di benteng pertahanan United walaupun kariernya berdepan detik suram di Guiseppe Meazza. Sepertimana John Terry yang pada usia 33 tahun masih menjadi tunjang kekuatan benteng pertahanan Chelsea, Vidic juga saya yakin mampu melakukan perkara yang sama berdasarkan kebolehan, pengalaman dan kekuatan yang ada dalam diri beliau. Barisan belakang United bukan sahaja memerlukan seorang pemain berpengalaman, seorang pemain yang boleh memimpin rakan-rakan lain tetapi juga seorang pemain yang lantang ketika di atas padang. Siapakah yang paling layak untuk tugas tersebut? Saya pilih Vidic, tidak kiralah sama ada kehadiran beliau untuk penyelesaian jangka pendek ataupun sebaliknya. Jika benar Vidic akan kembali, saya antara yang paling gembira untuk `menyambut' kepulangannya. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan