Selepas hanya
meraih dua mata dari tiga aksi terakhir, perlawanan menentang Crystal Palace
semalam merupakan perlawanan yang wajib dimenangi anak-anak buah Louis Van
Gaal. Sebelum perlawanan, mungkin ada yang membayangkan bahawa Julian Speroni
akan terpaksa mengutip bola dua atau tiga kali di gawang sendiri berdasarkan
fakta bahawa Palace tidak menang empat perlawanan terakhir mereka di samping
kedudukan mereka yang terperosok di kelompok bawahan liga. Jika sebelum
perlawanan anda meramalkan bahawa United bakal menang bergaya, anda mungkin
antara yang kecewa dengan keputusan perlawanan semalam. Bukan hanya disebabkan
United tidak menang besar tetapi sebaliknya mereka terpaksa bergelut memburu
gol hinggalah Juan Mata hadir menerusi ledakan kaki kiri di minit ke-67.
Apapun kemenangan
tetap kemenangan dan sudah tentu jugalah kemenangan semalam cukup penting
kerana kita tidak mahu melihat United terus ketinggalan dalam mengejar
kedudukan empat teratas. Lupakan sebentar
jumlah gol yang berjaya dijaringkan kerana sebelum perlawanan saya hanya
mahu United menang perlawanan ini dan akhirnya misi tersebut berjaya
disempurnakan barisan The Red Devils. Ini bukanlah kemenangan dan
penampilan yang menyakinkan dipersembahkan anak-anak buah Van Gaal tetapi
kredit tetap boleh diberikan kepada mereka atas usaha tanpa mengenal penat dan
jemu dalam memberikan tekanan demi tekanan kepada benteng pertahanan Palace
hinggalah terhasilnya gol tunggal perlawanan menerusi Juan Mata.
Seperti yang pernah
saya sebutkan dalam artikel-artikel sebelum ini, sasaran yang perlu dicapai Van
Gaal pada musim pertamanya di Old Trafford ialah membawa kembali kelab beraksi
di pentas Liga Juara-Juara musim hadapan. Dalam mencapai misi tersebut, United
tidak lagi boleh keciciran mata setiap kali berdepan kelab yang berada di
kelompok pertengahan dan bawahan liga seperti Palace. Kesilapan yang berlaku
ketika berdepan Swansea City, Sunderland, Burnley dan Leicester City tidak
boleh diulangi kerana jika kesilapan sama berlaku lagi, percayalah kita akan sekali
lagi kempunan mahu menyaksikan United bermain di Liga Juara-Juara. Mujurlah
semalam kesilapan sama tidak berulang di mana akhirnya tiga mata penuh berjaya
diperolehi biarpun kita sedikit cemas menanti hadirnya gol dari Juan Mata itu.
Memang sukar bermain
dengan pasukan yang mengamalkan corak bertahan seperti Palace tetapi permainan
United semalam juga sebenarnya tidaklah begitu baik. Banyak yang perlu
dipertingkatkan menjelang pertemuan menentang Arsenal 22 November ini
terutamanya di benteng pertahanan. Rehat selama dua minggu kerana perlawanan
antarabangsa saya harap memberi peluang buat beberapa pemain pertahanan yang
mengalami kecederaan pulih kembali sebelum kunjungan ke Stadium Emirates.
Setakat ini Van Gaal sudah menggunakan kombinasi lapan pemain berbeza di
benteng tengah pasukannya akibat dari krisis kecederaan yang melanda pasukan
sejak awal musim. Ketiadaan Marcos Rojo memaksa Van Gaal sekali lagi
menggunakan kombinasi baharu bek tengah di mana kali ini giliran Daley Blind
dan Paddy McNair pula dipasangkan bersama.
Secara
keseluruhannya, saya agak berpuashati dengan prestasi yang ditunjukkan Blind
dan McNair, mengambilkira fakta bahawa inilah kali pertama mereka digandingkan
bersama, tambahan pula ini juga merupakan kali ketiga United mencatatkan clean
sheet dari 11 perlawanan mereka. Jika prestasi benteng pertahanan menjadi
perhatian dan mencetuskan kebimbangan, apa kurangnya juga dengan ketajaman
barisan serangan. Di atas kertas Angel di Maria, Adnan Januzaj, Wayne Rooney
dan Robin Van Persie sepatutnya tidak berdepan masalah merobek gawang lawan
tetapi sepanjang 90 minit permainan semalam, United hanya melepaskan lima
percubaan tepat ke arah pintu gol Palace. Tidak banyak peluang-peluang terbaik
yang mampu menghasilkan gol dicipta Di Maria, Januzaj, Rooney dan Van Persie
sepanjang perlawanan, fakta yang cukup membimbangkan tatkala mereka perlu
berdepan Arsenal dua minggu lagi.
Jika ketumpulan
penyudah masih berterusan manakala benteng pertahanan pula kelihatan gugup
ketika lawan memberikan tekanan sepertimana yang berlaku semalam, saya agak
risau dengan sebarang kemungkinan yang berlaku di Stadium Emirates nanti.
Arsenal juga bukanlah pasukan yang konsisten tetapi mereka memiliki barisan
hadapan dan benteng pertahanan yang jauh lebih bagus berbanding Palace. Bermula
dari sekarang saya berharap akan ada beberapa pemain pertahanan yang masih
menerima rawatan sempat pulih untuk dibawa ketika berdepan Arsenal nanti,
manakala Van Persie pula sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol berbanding
sekarang. Dalam masa yang sama, saya juga berharap agar Van Gaal mengetepikan
buat sementara waktu falsafah permainan bolasepak menarik, kerana apa yang
penting sekarang ialah mencari kemenangan kerana kita tidak mahu melihat
menjelang Januari nanti, United semakin jauh ketinggalan dari kelompok empat
teratas. Glory Glory Manchester United!!! - A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan