18 Julai 2020

TUAH NOMBOR 9?




Prestasi Anthony Martial musim ini memang agak mengejutkan dan semua orang tahu bahawa sejak akhir-akhir ini gandingan beliau bersama Marcus Rashford di barisan hadapan adalah ancaman besar kepada mana-mana pertahanan lawan. Sebelum aksi menentang Crystal Palace tempohari, Martial juga sempat mendedahkan tawaran dari Ole Gunnar Solskjaer tentang nombor jersi yang beliau ingin gunakan musim ini.

“Dia pernah menawarkan kepada saya, adakah saya ingin menggunakan nombor 9 lagi? Tentu sahaja jawapan saya `ya’. Solskjaer kemudian mengatakan bahawa sekarang terserah kepada saya untuk membuktikan bahawa saya memang layak untuk mendapatkannya menerusi aksi di atas padang”, kata Martial. Nombor 9 memang memiliki nilai sentimental untuk Martial kerana diawal kedatangannya di Old Trafford, beliau menggunakan nombor 9.

Bagaimana prestasi Martial ketika itu? Musim pertama beliau di Old Trafford dengan jersi nombor 9, Martial menjaringkan 17 gol dalam semua kejohanan. Dalam saingan liga pula, beliau menjaringkan 11 gol dari 31 penampilan. Di era Louis Van Gaal, Martial diplotkan warga Belanda itu sebagai penyerang tengah meskipun kadangkala beliau juga diarahkan untuk bergerak melebar ke sisi kiri. Bagaimanapun kedatangan Zlatan Ibrahimovic pada 2016 menyebabkan Martial terpaksa menyerahkan jersi nombor 9 kepada legenda Sweden itu.

Nombor 9 dilucutkan dan sebagai gantinya Jose Mourinho memberikan jersi nombor 11 untuk digunakan Martial. Kedatangan Ibra yang bertindak sebagai penyerang tunggal menyaksikan peranan Martial turut berubah. Bermula dari saat inilah prestasi Martial mula menurun hinggakan pada suatu ketika timbul persoalan tentang masa depan beliau di Old Trafford. Bagaimanapun ketibaan Ole Gunnar Solskjaer pada Disember 2018 selaku pengganti Mourinho memberikan `nyawa’ kepada karier Martial bersama kelab.

Enam minggu selepas itu, beliau menandatangani lanjutan kontrak baharu yang menyaksikan Martial kekal di Old Trafford sehingga 2024. Keputusan kelab ketika itu untuk mengekalkan Martial hingga 2024 agak mengejutkan memandangkan beliau cuma menjaringkan 21 gol dalam saingan liga sejak kehadirannya pada 2015. Sejak April tahun lalu, Martial tampil dalam 25 perlawanan sebagai penyerang tengah tetapi beliau cuma mampu menjaringkan tujuh gol.

Meskipun kembali semula ke posisi `azalinya’, Martial masih belum mampu memenuhi harapan penyokong-penyokong United. Di saat Solskjaer melepaskan Romelu Lukaku ke Inter Milan, penyokong-penyokong United mula mengharapkan agar beliau menandatangani seorang penyerang kelas dunia sebagai pengganti. Antara nama yang disebut-sebut ketika itu bakal ditandatangani Solskjaer ialah Mario Mandzukic dan Edinson Cavani.

Benarlah kata pepatah, `sabar itu memang ada hikmahnya’ kerana selepas agak lama menanti, Solskjaer akhirnya berjaya membuatkan Martial kembali ke prestasi terbaiknya. Di Selhurst Park tempohari, Martial berjaya meledak gol ke 22 beliau untuk United dalam semua kejohanan sekaligus meletakkan namanya dan Marcus Rashford sebagai penjaring terbanyak United setakat ini. Bukan itu sahaja, kombinasi beliau bersama Rashford turut mengingatkan kita kepada kelibat Andy Cole dan Dwight Yorke suatu ketika dulu.

Martial ketika ini tampak seperti sudah beradaptasi dengan cukup baik menerusi peranan dan jersi nombor 9 yang digunakan beliau. Atau nombor 9 itu merupakan angka yang cukup bertuah untuk Martial berbanding ketika beliau bermain dengan jersi nombor 11? Cole dan Yorke adalah bayangan masa lalu, kombinasi dua penyerang yang pernah menggerunkan pertahanan lawan suatu ketika dulu. Adakah kini kita sedang melihat Solskjaer sedang mencipta gandingan Cole dan Yorke versi kedua? Glory Glory Manchester United!!!

14 Julai 2020

TERLEPAS DARI JANGKAUAN



Posisi empat teratas liga nampaknya masih di luar jangkauan Manchester United. Bermain di gelanggang sendiri dan pada suatu ketika berjaya mendahului lawan, United akhirnya melepaskan peluang terbaik mereka untuk memintas Chelsea dari posisi tangga ketiga liga. Selepas ketinggalan menerusi gol Stuart Armstrong, United memberikan reaksi balas yang sangat baik apabila mereka kemudiannya bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Marcus Rashford dan selepas itu Anthony Martial pula meletakkan United di depan.

Gagal mengekalkan momentum sepertimana aksi mereka di babak pertama, United akhirnya melepaskan peluang untuk meraih tiga mata berharga selepas Michael Obafemi menjaringkan gol penyamaan pelawat di minit ke-6 masa kecederaan. Melihat lawan menjaringkan gol penyamaan di penghujung permainan dan terlepas peluang terbaik melompat ke posisi ketiga liga memanglah satu kekecewaan besar, tetapi keputusan seri ini tetap satu pelajaran berguna buat United menjelang baki tiga lagi aksi liga mereka selepas ini.

Di atas kertas dan berdasarkan kedudukan kedua-dua pasukan dalam carta liga, United sepatutnya tidak berdepan masalah meraih tiga mata penuh di Old Trafford. Tetapi dalam masa yang sama kita juga perlu mengakui bahawa Southampton merupakan kesebelasan yang sering memberikan kesukaran buat United setiap kali kedua-dua pasukan ini bertembung di atas padang. Sejak musim 2015/16 hinggalah kepada aksi yang berlangsung awal pagi tadi, United dan Southampton sudah bertemu sebanyak 10 kali dalam saingan liga.

Secara keseluruhannya dari jumlah itu, United menang empat kali, lima kali seri dan sekali kalah. Dari empat kemenangan yang diraih United ke atas Southampton pula, hanya sekali mereka menang menerusi kelebihan margin dua gol, iaitu pada 19 Ogos 2016 dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford. Fakta bahawa sudah lima kali mereka berjaya memaksa United berkongsi mata sudah cukup menggambarkan bahawa Southampton memang kesebelasan yang sering memberikan masalah kepada The Red Devils.

Bolasepak `Rock n Roll’

Counter pressing atau turut di label Ole Gunnar Solskjaer sebagai permainan `Rock n Roll’ merupakan gaya The Saints sejak mereka dikendalikan Ralph Hassenhuttl. Sepertimana pada aksi pusingan pertama yang dilangsungkan di St Mary, mereka berlari, berlari dan terus berlari untuk merosakkan tempo permainan United.

Gol pertama yang dijaringkan mereka adalah contoh terbaik bagaimana tekanan yang diberikan kepada Paul Pogba akhirnya menyebabkan beliau melakukan kesilapan. Jadi tidak hairanlah mengapa Southampton berada di belakang Liverpool dan Bayern Munich selaku kesebelasan di Eropah yang paling banyak memberikan tekanan kepada pertahanan lawan.

Martial Oh Martial

Anthony Martial antara pemain United yang kerap dijadikan sorotan sejak kebelakangan ini. Sekali lagi pemain berusia 24 tahun itu membuktikan ketajamannya apabila beliau berjaya menjaringkan gol kedua United yang juga merupakan gol peribadi ke-21 yang dihasilkannya dalam semua kejohanan musim ini. Selain satu gol yang dijaringkan beliau, Martial juga turut menyumbang satu bantuan gol untuk Marcus Rashford diminit ke-20.

Sepanjang perlawanan, Martial melepaskan empat percubaan di mana dua daripadanya merupakan on target, melakukan dribble sukses sebanyak enam kali manakala peratus ketepatan hantaran yang dilakukannya mencapai 94%. Jaringan yang dilakukan Martial awal pagi tadi turut menyaksikan beliau sudah menjaringkan lima gol dari tiga aksi terakhir United di Old Trafford. Dengan rating 8.9 yang diberikan WhoScored, Martial dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Penutup

Southampton sepatutnya beraksi sepuluh pemain selepas Oriol Romeu melakukan kekasaran yang sangat jelas terhadap Mason Greenwood. Bagaimanapun keputusan pengadil untuk tidak melayangkan kad merah bukanlah alasan utama kegagalan United untuk meraih tiga mata penuh dalam perlawanan ini.

Perlu diingat bahawa inilah kesebelasan yang menumbangkan Manchester City selain rekod bagus mereka ketika bermain di gelanggang lawan. Sepanjang musim ini, Southampton menang lapan perlawanan, empat keputusan seri dan enam kekalahan ketika mereka bertandang di gelanggang lawan.

Jika kedudukan liga diambilkira hanya dari mata yang dikumpul pada aksi di gelanggang lawan, Southampton akan berada di kedudukan tangga keempat carta liga. Mujur Leicester dan Chelsea yang turut bersaing untuk slot ke Liga Juara-Juara tewas dalam perlawanan sebelumnya, jadi perlumbaan untuk posisi empat teratas masih lagi terbuka.

Hanya ada baki tiga lagi aksi liga yang bakal berlangsung, dan United tidak boleh melakukan kesilapan sama sepertimana yang mereka lakukan ketika berdepan Southampton. Adakah aksi terakhir liga menentang Leicester bakal menjadi penentu kesebelasan mana yang layak untuk beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim depan? Glory Glory Manchester United!!!

12 Julai 2020

TOKSIK YANG SUDAH BERUBAH MENJADI PENAWAR?



Kali terakhir beliau meletakkan namanya dalam senarai penjaring gol untuk United ialah pada April 2019.  Untuk rekod, sepanjang musim 2018/19, Pogba berjaya menjaringkan 16 gol dan menyumbang sebelas bantuan gol. Di sebalik ketidak tentuan yang menyelubungi United musim lalu, 16 gol dan sebelas assist adalah statistik yang cukup baik untuk seorang pemain tengah menyerang seperti beliau.

Bagaimanapun selepas April 2019, Pogba tidak lagi menjaringkan gol. Kecederaan panjang yang dialaminya turut  menjadi penyebab mengapa kita begitu lama tidak menyaksikan beliau berada dalam senarai penjaring gol United. Selepas lebih setahun menunggu, kemarau gol Pogba berakhir apabila beliau muncul salah seorang dari penjaring gol United ketika mereka berdepan Aston Villa tempohari.

Sepertimana yang anda tahu, gol ketiga United yang dijaringkan Pogba di Villa Park itu merupakan gol pertama dari beliau musim ini. Selepas lebih daripada 15 bulan, kita akhirnya menyaksikan semula Pogba `menikmati bolasepaknya’, sesuatu yang sudah terlalu lama beliau tidak lakukan. Ini bukan tentang gol Pogba, tetapi juga tentang persembahan beliau secara keseluruhannya di Villa Park.

Meskipun intensiti serangan United di Villa Park tidak setinggi ketika mereka berdepan Brighton dan Bournemouth, tetapi jelas Pogba menunjukkan kelas beliau yang tersendiri selaku penggerak jentera tengah The Red Devils. Sepanjang perlawanan, tiada mana-mana pemain Villa yang mampu `menyentuhnya’ apabila statistik menunjukkan Pogba melakukan 91 sentuhan bola sepanjang 90 minit aksinya di tengah padang.

Hanya Victor Lindelof dan Marcus Rashford sahaja yang mampu menghampiri catatan Pogba apabila sepanjang perlawanan mereka menyentuh bola sebanyak 74 kali.  Dipihak lawan, Jack Grealish pula muncul pemain paling dominan untuk Villa apabila beliau melakukan sentuhan bola sebanyak 53 kali. Selaku penggerak jentera tengah, kualiti hantaran Pogba pula memang sangat-sangat dituntut.

Di Villa Park, peratus ketepatan hantaran yang dilakukan Pogba mencapai 90.9%, dan apa yang membuatkan penampilan beliau begitu impresif ialah Pogba turut melepaskan 11 hantaran jauh dan semuanya tepat ke sasaran. Dominasi Pogba di zon tengah juga semakin ketara apabila sepanjang perlawanan beliau sukses melakukan tiga dribble, melakukan satu tackle dan dua kali menang perebutan bola di udara.

Hanya Anthony Martial satu-satunya pemain United yang berjaya mengatasi catatan Pogba apabila beliau melakukan empat dribble sepanjang tempoh 79 minit penampilannya di Villa Park. Kreativiti Pogba turut menyaksikan beliau melakukan tiga key passes, dan gol yang beliau jaringkan di minit ke-58 itu adalah ganjaran paling berbaloi hasil dari kerja kerasnya selepas kembali dari kecederaan panjang.

Ekspresi Pogba ketika meraikan gol itu bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Memang selayaknya untuk seorang pemain yang sudah begitu lama tidak menjaringkan gol merayakan kejayaan tersebut. Adakah ekspresi itu satu isyarat jelas yang diberikan Pogba kepada kita bahawa beliau tidak akan kemana-mana musim hadapan sepertimana yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Buat masa sekarang lupakan sebentar tentang masa depan Pogba dan biarkan beliau menikmati semula prestasi terbaiknya di atas padang. Sudah agak lama kita tidak melihat ekspresi seperti itu dari raut wajah Pogba, atau mungkinkah kini kita sedang melihat pemain yang dahulunya dianggap `toksik’ sudah bertukar menjadi `penawar’?. Glory Glory Manchester United!!!

10 Julai 2020

UNITED SEMAKIN SUKAR DIHENTIKAN



Dua mata di belakang Chelsea dan hanya satu mata di belakang Leicester City. United menang lagi dan kali ini mangsa mereka ialah Aston Villa, kesebelasan yang sedang bergelut untuk keluar dari zon penyingkiran. Kemenangan (3-0) yang dilakar United di Villa Park turut menyaksikan barisan kendalian Ole Gunnar Solskjaer sudah mengharungi 17 perlawanan tanpa kalah dalam semua peringkat kejohanan sejak Januari lalu.

Ketika saingan liga semakin menuju ke penghujungnya dan ketika persaingan merebut slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan semakin sengit membabitkan United, Leicester dan Chelsea, kemenangan yang dilakar United di Villa Park itu pastinya mencetuskan persaingan hingga ke perlawanan terakhir liga untuk slot ke Liga Juara-Juara membabitkan tiga kelab ini.

Agak sukar pada awalnya untuk United menembusi pintu gol Villa tetapi di minit ke-27 mereka akhirnya berjaya mendahului menerusi sepakan penalti Bruno Fernandes. Mungkin keputusan Jonathan Moss memberikan sepakan penalti itu sedikit kontroversi, tetapi tiada keraguan untuk gol kedua United yang dihasilkan oleh `rising star’ mereka, Mason Greenwood di penghujung babak pertama dan Paul Pogba di babak kedua.

Ramai yang mempertikaikan gol pertama United, malah pengurus Villa, Dean Smith melabelkan gol itu sebagai `memalukan’. Bagaimanapun jika tanpa gol itu pun, tidak banyak sebenarnya yang mampu dilakukan Villa bagi menghalang United dari meneruskan rekod 17 perlawanan tanpa kalah mereka. Satu-satunya motivasi yang mereka ada ialah untuk cuba kekal beraksi di Liga Perdana musim depan, tetapi itu tidak cukup membantu Villa melakar kejutan.

Tidak Cukup Dengan Grealish

Sebelum perlawanan, satu-satunya pemain mereka yang diramal mampu memberikan ancaman kepada benteng pertahanan Unitd ialah Jack Grealish. Musim ini, Grealish adalah figura yang menjadi sandaran utama Villa, kerana meskipun beliau bukanlah seorang penyerang tengah, Grealish adalah penjaring terbanyak mereka dalam saingan liga menerusi tujuh gol yang dihasilkannya.

Bagaimanapun kebergantungan Villa kepada Grealish bukanlah sesuatu yang bagus. Ketika beliau tampil dominan untuk kesebelasan mereka, pemain lain tidak mampu mengimbangi penampilannya. Aksi menentang United awal pagi tadi adalah satu contoh terbaik bagaimana bergantungnya Villa kepada Grealish. Ketika pergerakkan beliau berjaya `dimatikan’, Villa akhirnya tiada opsyen lain untuk cuba memberikan ancaman kepada benteng pertahanan United.

Sensasi Mason

Pada usia 18 tahun dan 282 hari, Mason Greenwood muncul pemain termuda yang berjaya menjaringkan gol dalam tiga aksi liga berturut-turut untuk United. Beliau memadam rekod Wayne Rooney yang dilakukan bekas kapten United itu pada Februari 2005. Ketika melakukannya, Rooney berusia 19 tahun dan 125 hari. Selain daripada itu Mason juga muncul pemain berusia 18 tahun keempat di Liga Perdana yang berjaya menjaringkan tiga gol selepas Danny Cardamarteri melakukannya pada 1997, Michael Owen (1997 & 1998) serta Francis Jeffers (1999.

Setakat ini Mason sudah menjaringkan sembilan gol utuk United, jumlah jaringan yang pastinya sangat dicemburui senior beliau seperti Jesse Lingard. Prestasi terpuji yang dipamerkan Mason musim ini juga menunjukkan bahawa United di masa hadapan bakal diperkuatkan pemain-pemain kelahiran akademi mereka. Selain Mason, ada beberapa pemain muda yang diketengahkan Solskjaer dalam skuad utama United seperti James Garner, Brandon Williams dan Tahith Chong.

Pogba Kembali

Selepas kembali dari kecederaan, Pogba cuma mampu melihat rakan-rakan sepasukan beliau meraikan jaringan mereka. Tetapi kali ini, giliran Pogba akhirnya tiba juga. Gol yang beliau jaringkan ke gawang Villa merupakan gol pertama beliau sejak kembali dari bilik rawatan. Sudah tentu gol itu sangat penting dan besar ertinya untuk beliau.

Bagaimanapun, saya lebih tertarik melihat bagaimana proses gol jaringan Pogba itu dihasilkan. Ketika Fernandes sudah bersedia untuk mengambil sepakan sudut, Pogba pula tidak sepertimana biasa cuma menunggu di luar petak penalti. Dan pastinya gol itu seperti sudah direncanakan dengan begitu baik, skema gerakan yang biasanya dilakukan dalam sesi latihan.

Bruno Lagi

Ramai pihak yang mengatakan bahawa kehadiran Bruno Fernandes memberikan impak yang sangat signifikan kepada kesebelasan United. Itu memang hakikat yang perlu diakui dan di Villa Park, beliau membuktikannya sekali lagi. Satu gol dan satu bantuan gol yang dilakukan beliau menyaksikan Fernandes sudah menjaringkan tujuh gol dan mencipta lima bantuan gol setakat ini.

Selain daripada itu, beliau sudah terlibat dengan 12 gol yang dijaringkan United dari 10 perlawanan terakhir. Statistik yang dilakar Fernandes ini menghampiri catatan yang pernah dilakukan Mick Quinn. Bekas pemain Portsmouth dan Newcastle United ini terlibat dengan 13 gol dari 10 perlawanan liga dan sehingga ini rekod tersebut masih belum mampu dipecahkan oleh mana-mana pemain.

Penutup

Segalanya tampak sempurna buat United sejak akhir-akhir ini dan trend positif tersebut diteruskan lagi oleh mereka di Villa Park. Kemenangan di Villa Park menyaksikan United menang 10 dari 13 perlawanan terakhir liga mereka. Dengan aksi liga yang masih berbaki 4 perlawanan sebelum ditamatkan, angka 10 tersebut berpotensi untuk bertukar kepada 14.

Selain daripada itu, mereka juga sudah menjaringkan 14 gol dari empat perlawanan terakhir liga, satu rekod baharu sejak Liga Perdana diperkenalkan. Dalam empat perlawanan terakhir mereka, United berjaya menghasilkan sekurang-kurangnya tiga gol ke gawang lawan. Catatan yang dilakar United ini sebenarnya pernah berlaku 33 tahun silam, dan kesebelasan yang melakukannya ialah Liverpool.

Menyaksikan Pogba kembali meletakkan namanya dalam senarai penjaring, Bruno terus memainkan peranannya di sebalik kebangkitan United, Mason tanpa henti terus membuatkan kita kagum menyaksikan aksinya dan United terus…terus dan terus mencipta kemenangan, tentunya sesuatu yang berbaloi untuk anda menahan diri dari terlena di awal pagi semata-mata untuk menyaksikan perlawanan ini. Glory Glory Manchester United!!!!

07 Julai 2020

TIGA TAHUN LAGI UNTUK MATIC



Masa depan beliau di Old Trafford pada mulanya pernah diperdebatkan. Gagal bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama menyebabkan karier Nemanja Matic diramalkan bakal berakhir penghujung musim ini. Bagaimanapun kecederaan panjang yang dialami Paul Pogba rupa-rupanya satu rahmat untuk Matic. Sebelum saingan liga dihentikan kerana penularan pandemik Covid-19, United mengharungi 11 perlawanan dalam semua kejohanan tanpa kalah.

Secara keseluruhannya ketika itu, United menang lapan perlawanan dan mencatat tiga keputusan seri. Dari jumlah tersebut pintu gol United tidak dibolosi dalam sembilan perlawanan dan mereka meledak 29 gol ke gawang lawan. Kehadiran Bruno Fernandes memang memberikan kesan yang sangat signifikan kepada jentera serangan United tetapi Matic adalah pemain yang menyebabkan mengapa benteng pertahanan The Red Devils begitu solid dan hanya melepaskan dua gol dari 11 perlawanan.

Dari 26 Januari hingga 8 Mac, Matic melakukan tujuh penampilan dalam kesebelasan United. Kerja-kerja bertahan yang dilakukan beliau menyaksikan Matic melakukan purata tiga tackle dan dua intercept dalam setiap perlawanan. Hanya Scott McTominay satu-satunya pemain tengah United yang memiliki purata intercept lebih baik berbanding Matic (3 intercept per perlawanan). Bagaimana pula dengan statistik Matic sebaik sahaja saingan liga disambung semula?

Beliau hanya bermain selama 12 minit pada aksi menentang Tottenham Hotspurs selepas liga disambung semula, tetapi selepas itu Matic adalah pilihan utama Solskjaer untuk bertindak selaku pemain tengah bertahan dalam tiga perlawanan liga terakhir United. Dari empat penampilan sejak liga disambung, Matic melakukan tiga tackle, satu intercept dan tiga clearance, sekaligus meletakkan beliau sebagai midfielder United yang paling kerap melakukan tackle.

Meskipun tugas beliau ialah melindungi empat rakan di benteng pertahanan, Matic juga tidak terlalu terikat dengan kerja-kerja bertahan apabila pada aksi menentang Bournemouth beliau sempat menyumbang satu bantuan gol manakala peratus ketepatan hantaran yang dilakukannya mencapai 92.2%. Sama ada ketika Fred bermain atau kini bersama Pogba, peranan Matic tetap sama iaitu memberikan keseimbangan untuk United terutamanya dalam situasi bertahan.

Dengan adanya Matic, Pogba dan Fernandes lebih bebas bergerak sama ada untuk melakukan build up atau mencipta peluang. Selepas persaraan Michael Carrick, United tercari-cari pengganti beliau untuk berperanan sebagai pemain tengah bertahan. Sejak itu Marouane Fellaini, Daley Blind, Timothy Fosu-Mensah, Axel Tuanzebe, Ander Herrera malah Paul Pogba juga pernah `dikorbankan’ untuk menggalas peranan tersebut. Akhirnya pada 2017, Matic tiba di Old Trafford, pemain yang dianggap Jose Mourinho mampu menyelesaikan masalah beliau ketika itu.

Selama tiga tahun, Matic saya anggap antara pemain United yang underrated, `buat kerja secara senyap di belakang’ tetapi impaknya sangat besar untuk United. Semalam beliau secara rasmi menandatangani lanjutan kontrak selama tiga tahun yang menyaksikan Matic kekal di Old Trafford hingga 2023. Mengambil kira usia beliau yang sudah mencecah 31 tahun dan polisi yang diamalkan United selama ini, keputusan kelab itu mungkin agak mengejutkan sesetengah pihak. Tetapi percayalah Matic memang layak mendapatkannya.

Ketika Solskjaer sendiri sedang membina kekuatan United berteraskan bakat-bakat muda, beliau sebenarnya perlukan seorang pemain berusia seperti Matic kerana pengalaman dan profesionalisme yang ada dalam dirinya. Ketika kariernya bersama United hangat dispekulasikan, Matic tetap kekal tenang melakukan kerja-kerjanya di atas padang. Ganjaran kontrak selama tiga tahun memang selayaknya diberikan kepada beliau kerana kerja kerasnya, dan sudah tentu juga persoalan besar sudah terjawab bahawa beliau bukanlah antara `epal busuk’ yang mahu dibuang Solskjaer. Glory Glory Manchester United!!!

05 Julai 2020

TANGGA KETIGA...BUKAN LAGI SATU GURAUAN



Bukan lagi tangga keempat, tetapi kini impian penyokong-penyokong Manchester United ialah mahu melihat barisan kendalian Ole Gunnar Solskjaer menamatkan saingan liga musim ini di tangga ketiga. United masih kekal di tangga kelima selepas mereka memungut 55 mata dari 33 aksi yang sudah diharungi. Bagaimanapun Leicester City selaku pasukan yang berada di tangga ketiga cuma memiliki kelebihan tiga mata, manakala Chelsea (ditangga keempat) pula cuma dipisahkan dua mata dari United.

Sejak Februari lalu, United sudah mengharungi 16 aksi dalam semua kejohanan tanpa tewas dan momentum tersebut berjaya mereka teruskan sebaik sahaja saingan liga disambung semula pada 18 Jun lalu selepas tertangguh selama lebih tiga bulan akibat penularan pandemik virus Covid-19. Kehadiran Bruno Fernandes, prestasi Anthony Martial serta Mason Greenwood yang semakin bagus dan kembalinya Paul Pogba serta Marcus Rashford dari kecederaan panjang menjadikan United kini kesebelasan yang sangat berbeza.

Jika pada Disember lalu ramai pihak yang meragui kemampuan United untuk menggapai misi menamatkan saingan liga di posisi empat teratas, kini situasi sudah berubah 360º. Malah bukan sesuatu yang keterlaluan juga jika penyokong-penyokong United mula mengimpikan agar anak-anak buah Solskjaer menamatkan saingan musim ini dengan menjulang dua kejuaraan memandangkan mereka sudahpun berada di peringkat separuh akhir Piala FA dan hanya selangkah untuk layak ke peringkat suku akhir Liga Europa.

Sebenarnya untuk sebuah kelab seperti Manchester United, menamatkan saingan liga di posisi ketiga bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan. Tetapi di sebalik semua itu, perkara positif yang dapat anda lihat ialah United semakin meningkat dari perlawanan ke setiap perlawanan. Mereka kini bukan lagi kesebelasan yang sering dijadikan bahan jenaka oleh penyokong-penyokong lawan, tetapi United kini sudah berubah kerana mereka kini dilihat sebagai kesebelasan yang `tidak lagi kenal erti kekalahan’.

Jika misi menamatkan saingan liga di tangga ketiga mahu di gapai, United wajib menang kesemua baki lima perlawanan mereka selepas ini. Bukanlah sesuatu yang mustahil untuk mereka melakukannya kerana selain Leicester City, empat lagi pasukan yang bakal dihadapi United (Aston Villa, Southampton, Crystal Palace dan West Ham) merupakan kesebelasan yang berada di kelompok 12 terbawah carta liga. Dari perlawanan ke perlawanan, United kini sudah menunjukkan permainan terbaik mereka, sesuatu yang sebenarnya tidak dapat anda lihat sepanjang fasa pertama saingan liga.

Dalam aksi liga yang dilangsungkan pada Sabtu, barisan kendalian Solskjaer sekali lagi menunjukkan kepada kita bagaimana United sepatutnya bermain. Berdepan dengan AFC Bournemouth, kesebelasan yang pernah menewaskan mereka (1-0) dalam aksi pusingan pertama liga pada November lalu, United berhasil menembusi pintu gol lawan sebanyak lima kali meskipun mereka pada awalnya ketinggalan menerusi gol jaringan Junior Stanislas. Tiada kompromi untuk barisan kendalian Eddie Howe yang kini sedang bergelut untuk keluar dari zon penyingkiran.

Tiga Serangkai

Sorotan utama selepas tamat aksi di Old Trafford itu tentunya penampilan trio Anthony Martial, Marcus Rashford dan Mason Greenwood di barisan hadapan The Red Devils. Empat dari lima gol yang dijaringkan United ke gawang Bournemouth dihasilkan oleh trio ini, dan nampaknya Solskjaer sudah memiliki tiga nama ini sebagai sandaran beliau untuk meledak gawang lawan. Fleksibiliti dalam permainan ketiga-tiga mereka sebenarnya merupakan bonus tambahan untuk Solskjaer selaku pengendali.

Sepertimana yang anda tahu, Martial, Rashford dan Greenwood memiliki kemampuan untuk bermain di semua posisi di bahagian hadapan. Sama ada boleh berperanan sebagai targetman atau bergerak di sisi kiri dan kanan, tipikal permainan ketiga-tiga mereka yang hampir sama membolehkan Solskjaer memberikan mereka kebebasan untuk melakukan gerakan di zon pertahanan lawan. Situasi ini boleh anda lihat apabila ketiga-tiga mereka sering bertukar-tukar posisi terutamanya ketika United berdepan Sheffield United, Brighton dan Bournemouth.

Setakat ini, trio Martial, Rashford dan Greenwood sudah menyumbang 38 jaringan dari jumlah keseluruhan 56 gol yang dihasilkan United dalam saingan liga. Selain daripada itu, Martial dan Rashford juga berkongsi kedudukan sebagai penjaring terbanyak United menerusi 20 gol yang dihasilkan mereka dalam semua kejohanan musim ini. Untuk rekod, ini adalah kali pertama kita menyaksikan dua pemain United berjaya menjaringkan 20 gol selepas Dimitar Berbatov dan Javier Hernandez melakukannya pada musim 2010/11.

Menerusi dua gol yang diledak Greenwood ketika berdepan Bournemouth membolehkan pemain muda ini mengumpul 15 gol dalam saingan musim ini. Catatan ini menyaksikan Greenwood muncul pemain termuda United yang berjaya mencecah angka 15 gol selepas Wayne Rooney pada musim 2004/05. Ketika itu, Rooney berjaya menjaringkan 17 gol semusim dalam semua peringkat kejohanan pada musim pertama beliau di Old Trafford selepas melakukan perpindahan sensasi dari Everton.

Dengan United masih memiliki baki lima perlawanan lagi dalam saingan liga serta prospek untuk melangkah ke pentas final Piala FA serta mara lebih jauh dalam saingan Liga Europa, saya optimis bahawa Greenwood mampu melangkaui angka jaringan yang dilakukan Rooney 15 tahun lalu. Dua gol yang diledak beliau ke gawang Bournemouth juga sebenarnya satu isyarat jelas yang diberikan Greenwood kepada Solskjaer bahawa beliau sebenarnya sudah layak untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama United secara lebih kerap selepas ini.

Greenwood adalah penyebab utama mengapa Daniel James lebih kerap memanaskan bangku simpanan United sejak kebelakangan ini. Kemampuan beliau ketika melakukan cut inside selain dianugerahkan sepasang kaki yang sama kuat meletakkan Greenwood pilihan yang lebih unggul berbanding James untuk mengisi posisi di sisi kanan. Tidak ramai sebenarnya pemain kelas dunia yang mampu menggunakan kedua-dua belah kaki mereka dengan baik sepertimana Greenwood. Jadi sudah tentu juga sukar buat mana-mana pemain pertahanan bila berdepan dengan pemain seperti ini.

Impak Bruno

Secara peribadi, saya menganggap United melakukan tindakan yang agak perlahan dalam usaha mereka merekrut Bruno Fernandes. Meskipun sudah dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford sejak musim panas lagi, perpindahan bintang antarabangsa Portugal itu hanya berjaya direalisasikan pada Januari lalu. Akhirnya sepertimana yang anda lihat, impak yang sangat besar diberikan Fernandes kepada kesebelasan The Red Devils sejak penampilan pertamanya ketika berdepan Wolverhampton Wanderers pada 1 Februari lalu.

Ketika berdepan Bournemouth, Fernandes sekali lagi membuktikan kepada kita mengapa United perlukan seorang playmaker seperti beliau. Dua bantuan gol disumbangkan Fernandes dalam perlawanan ini, selain satu gol indah menerusi sepakan percuma yang terus menerjah ke gawang lawan. Secara keseluruhannya, Fernandes sudah terlibat dengan 11 gol yang dihasilkan United, atau secara spesifiknya beliau sudah menjaringkan enam gol dan mencipta lima assist sejak tiba di Old Trafford pada Januari lalu.

Penutup

Individu yang mula bimbang melihat kebangkitan United terutamanya selepas saingan liga disambung semula tentunya Frank Lampard. Kebimbangan Lampard memang ada asasnya kerana dalam tiga aksi terakhir liga, United sudah meledak gawang lawan sebanyak sebelas kali. Ketika saingan liga berbaki lima perlawanan sebelum ditamatkan, Chelsea pula sekadar memiliki kelebihan dua mata di hadapan United selaku pasukan yang berada di tangga keempat.

Selepas menyaksikan apa yang dilakukan United ketika berdepan Bournemouth, Lampard sedar bahawa Chelsea tidak boleh keciciran mata lagi pada baki saingan musim ini, atau mereka berdepan kemungkinan terlepas slot aksi ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan. Selain Lampard, Brendan Rodgers juga perlu berhati-hati kerana posisi Leicester City di tangga ketiga tidak lagi selamat apatah lagi skuadnya perlu berdepan United pada 26 Julai ini.

Jika dahulunya penyokong-penyokong sekadar mengharapkan agar United mampu menamatkan saingan liga di posisi keempat, kini saya percaya sasaran tersebut sudah berubah. Bukan lagi tangga keempat, tetapi kini misi menyingkirkan Leicester City dari tangga ketiga adalah misi yang mampu dilaksanakan barisan Solskjaer. Kini misi mengejar tangga keempat bukan lagi satu misi mustahil kerana United sebenarnya mampu menamatkan saingan liga di posisi lebih baik, iaitu di belakang Liverpool dan Manchester City selaku tiga kelab terbaik di England. Glory Glory Manchester United!!!

30 Jun 2020

ADAKAH SEPASANG TANGAN MILIK DE GEA MASIH BOLEH DIHARAPKAN?



David De Gea antara `sisa’ pembelian dari era Sir Alex Ferguson yang masih tinggal. Pada 2011, kelab membayar £18.9 juta kepada Atletico Madrid bagi mendapatkan khidmat De Gea sebagai pengganti Edwin Van der Sar yang mengumumkan persaraannya selepas legenda Belanda itu melakukan 266 penampilan selama enam musim di Old Trafford. Selepas sembilan tahun mengawal gawang United, De Gea sudah melakukan 306 penampilan dalam saingan Liga Perdana. Dari jumlah itu, beliau berjaya memastikan gawang United tidak bolos dalam 109 perlawanan, melakukan 851 aksi penyelamatan, meraih 169 kemenangan dan 65 kekalahan.

Meskipun De Gea agak goyah di peringkat awal keberadaan beliau selaku penjaga gol utama United, namun secara perlahan-lahan warga Sepanyol ini mula membuktikan bahawa Fergie sudah memilih sosok yang tepat sebagai pengganti Van der Sar. Selain berjaya membantu United menjulang trofi Liga Perdana pada musim terakhir Fergie sebagai pengendali, De Gea juga berjaya memenangi beberapa anugerah individu menerusi ketangkasan beliau ketika mengawal gawang United. Pada musim 2017/18 beliau berjaya memastikan gawang United tidak dibolosi sebanyak 18 kali dan melakukan 115 aksi penyelamatan lantas menyaksikan beliau memenangi anugerah Golden Gloves.

Mula Goyah

Bagaimanapun sejak kebelakangan ini, aksi De Gea mula menjadi sorotan ramai pihak. Bukan kerana tindakan refleks beliau dalam menyelamatkan pintu gol United, tetapi kerana beberapa siri kesilapan yang dilakukannya hingga menyaksikan lawan begitu mudah menewaskannya. Terbaru, De Gea menerima kecaman teruk dari Roy Keane selepas kegagalannya menepis rembatan Steven Bergwijn ketika United berdepan Tottenham Hotspurs pada 20 Jun lalu. Menurut Keano, aksi seperti itu tidak sepatutnya dipamerkan oleh seorang penjaga gol bertaraf antarabangsa. Tidak cukup dengan itu, Keano juga melabel De Gea sebagai penjaga gol yang `overrated’.

Sejak dari era beliau sebagai pemain, Keano memang seorang yang cukup vokal. Jadi tidak hairanlah mengapa Fergie pernah mengatakan bahawa Keano boleh `membunuh’ rakan sepasukan hanya dengan kata-katanya. Mungkin kritikan Keano kepada De Gea juga agak keras kerana sepanjang sembilan musim beliau mengambilalih posisi Van der Sar, `Dave Save’ sudah menunjukkan kualiti beliau sebagai penerus legasi kepada penjaga-penjaga gol handalan United sebelumnya seperti Harry Gregg, Alex Stepney, Gary Bailey, Peter Schmeichel, Fabien Barthez dan Van der Sar.

Jika tidak bagus masakan De Gea diberikan pengiktirafan apabila pernah tersenarai sebanyak lima kali dalam PFA Team of the Year, empat kali dinamakan sebagai pemain terbaik kelab dan pernah masuk dalam senarai FIFPro World 11. Namun itu cerita dahulu kerana menurut Keano, De Gea kini bukanlah lagi penjaga gol yang boleh United harapkan. Untuk mengkritik De Gea secara melulu juga bukanlah satu tindakan yang adil terutamanya jika hanya berdasarkan gol yang beliau lepaskan ketika berdepan Spurs tempohari.

Gol itu tidak akan berlaku jika Harry Maguire dan Victor Lindelof dapat menghalang larian yang dilakukan Bergwijn lebih awal sebelum beliau melepaskan rembatan. Perlu juga diperhatikan faktor bahawa rembatan yang dilakukan pemain antarabangsa Belanda itu sangat deras yang memungkinkan mana-mana penjaga gol terbaik Liga Perdana pun boleh tertewas. Dalam beberapa musim terakhir De Gea antara pemain United yang boleh diharapkan, tetapi benarkah sekarang beliau bukan lagi pemain yang sama sepertimana ketika beliau dinamakan sebagai pemenang anugerah Golden Gloves dua tahun lalu?

Tekanan Penyokong Sepanyol

Selepas kejohanan Piala Dunia 2018, prestasi De Gea memang agak menurun setidak-tidak jika anda mengambil kira catatan clean sheet yang dilakukannya dalam tempoh dua musim terakhir. Musim lalu beliau cuma mampu mengelakkan gawang United dari dibolosi sebanyak tujuh kali berbanding 18 pada musim sebelumnya. Musim ini catatan tersebut lebih baik berbanding musim lalu apabila sehingga aksi ke-31 United dalam saingan liga, De Gea sudah melakukan catatan sembilan clean sheet. Meskipun begitu tiga blunder yang beliau lakukan ketika United berdepan Crystal Palace, Everton dan Watford adalah jumlah yang agak membimbangkan jika mengambilkira status De Gea.

Penurunan prestasi De Gea sudah berlanjutan selama setahun, jadi memang wajarlah jika terdapat penyokong-penyokong United yang mula bimbang setiap kali melihat aksi beliau di atas padang. Adakah layanan yang diterimanya dari penyokong-penyokong Sepanyol terutamanya selepas kejohanan Piala Dunia 2018 mempengaruhi prestasi De Gea? Mungkin juga ada kebenarannya kerana jumlah gol yang masuk ke gawang United dalam tempoh dua musim terakhir agak membimbangkan. Pada musim 2017/18, De Gea cuma bolos sebanyak 28 kali, tetapi jumlah tersebut meningkat hampir sekali ganda pada musim 2018/19 apabila beliau dibolosi lawan sebanyak 54 kali.

Musim ini pula, dari 31 aksi liga yang sudah diharungi United, De Gea sudah dibolosi sebanyak 31 kali. Angka ini mungkin boleh meningkat memandangkan United masih perlu mengharungi tujuh lagi aksi sebelum saingan liga berakhir. Selain itu menurut catatan Opta, De Gea sudah melakukan tujuh kesilapan yang mengakibatkan pintu golnya dibolosi lawan sejak awal musim lalu. Statistik ini meletakkan beliau `setaraf’ dengan Martin Dubravka dan Bernd Leno di tangga teratas. Melihat kepada segala catatan tersebut, adakah wajar Solskjaer menamatkan tempoh pinjaman Dean Henderson di Bramall Lane dan memanggil penjaga gol muda itu pulang semula ke Old Trafford?

Tiba Masa Untuk Berubah?

Selepas menimba pengalaman sejak 2018 di Bramall Lane, prestasi Henderson sebagai prospek penjaga gol masa depan United dan skuad kebangsaan mula meningkat naik. Aksinya bersama Sheffield United musim ini menyaksikan penjaga gol berusia 23 tahun itu melakar 11 clean sheet dari 29 penampilan. Meletakkan semula Henderson ke dalam skuad utama antara dilema yang perlu dihadapi Solskjaer jika beliau berhasrat menamatkan tempoh pinjaman penjaga gol muda itu bersama skuad The Blades yang bakal berakhir pada bulan ini (Jun).

Melihat kepada prestasi Henderson di gawang Sheffield United, beliau sebenarnya sudah layak untuk memikul beban sebagai penjaga gol utama United. Bagaimanapun persoalan paling besar ialah sejauh mana Solskjaer memiliki `kekuatan’ untuk meletakkan nama De Gea dalam senarai pemain simpanan dan memberikan peluang buat Henderson mengambilalih peranan sebagai penjaga gol utama United. Bagaimanapun secara peribadi saya berpendapat Henderson wajar dibiarkan bermain semusim lagi di Bramall Lane kerana penting untuk prestasi beliau terus berkembang dan memiliki minit permainan yang lebih banyak.

Di Old Trafford, tiada jaminan untuk Henderson bermain setiap minggu kerana meskipun prestasi De Gea dikatakan sudah merosot namun setidak-tidaknya Solskjaer tetap berkeyakinan bahawa warga Sepanyol itu masih antara penjaga gol terbaik dunia. Menentukan kedudukan Henderson dalam hirarki penjaga gol United memang bukannya mudah kerana Solskjaer turut memiliki `pengawal gawang’ yang berkualiti dalam diri Sergio Romero. Pada usia yang masih muda, Henderson perlukan minit permainan yang lebih banyak sebelum mampu meletakkan dirinya sebagai penjaga gol kelas dunia suatu hari nanti.

Penutup

Pada 22 Februari 2018, United berjaya menewaskan Arsenal (3-1) dalam aksi liga yang dilangsungkan di Stadium Emirates. Usah tertipu dengan keputusan akhir perlawanan di scoreboard kerana kecuali jumlah gol, Arsenal sebenarnya kesebelasan yang jauh lebih dominan sepanjang tempoh 90 minit permainan. Statistik perlawanan menunjukkan Arsenal menguasai 75% penguasaan bola dan melepaskan 33 percubaan (15 on target) ke arah gawang lawan (berbanding 8 percubaan oleh United). Anda mungkin tertanya-tanya, mengapa dari 15 percubaan on target yang dilepaskan Arsenal, mereka cuma mampu menghasilkan satu gol sahaja?

Tiada persoalan yang terlalu besar dalam perlawanan ini kerana jawapan sebenar kejayaan United menakluk Arsenal di Stadium Emirates ialah ada dalam diri David De Gea. “Ia adalah sebuah misteri mengapa Arsenal gagal menjaringkan banyak gol. Tetapi sangat jelas bahawa David De Gea adalah pemain terbaik dalam perlawanan ini”, komen Arsene Wenger selaku pundit dalam perlawanan itu. Sejak statistik perlawanan mula dirakamkan di Liga Perdana, De Gea muncul penjaga gol ketiga yang berjaya melakukan 14 penyelamatan dalam satu perlawanan selepas Tim Krul dan Vito Mannone.

Di Stadium Emirates ketika itu, De Gea muncul penyelamat kepada taktik `parkir bas’ yang diterapkan Jose Mourinho. Sejak dari awal lagi, taktik Mourinho memang mudah dibaca, iaitu beliau mengarahkan agar pemain-pemainnya menghukum lawan menerusi skema permainan serangan balas pantas. Apatah lagi Mourinho juga sedar bahawa Arsenal sering berdepan masalah bila menghadapi lawan yang mengamalkan pendekatan permainan seperti itu. Taktik Mourinho berhasil apabila dua gol pantas di awal permainan berjaya dijaringkan menerusi Antonio Valencia dan Jesse Lingard.

Penyokong-penyokong Arsenal mungkin boleh mengatakan bahawa United cuma bernasib baik menang perlawanan itu, tetapi di pihak De Gea pula, 14 aksi penyelamatan yang dilakukan beliau bukanlah sekadar faktor nasib semata-mata. United bermain sesuai dengan apa yang Mourinho perlukan iaitu bertahan dan melakukan serangan balas pantas. Akhirnya meskipun Arsenal tampil lebih dominan, United pula pulang ke Old Trafford dengan tiga mata penuh sambil dibantu aksi-aksi penyelamatan kelas dunia dari De Gea.

Suatu hari nanti De Gea akan berundur juga bagi membolehkan Dean Henderson atau sesiapa sahaja mengambilalih posisinya, tetapi saya percaya ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat. Selama bertahun-tahun De Gea sudah membuktikan kepada kita mengapa Sir Alex Ferguson memilih dirinya berbanding Manuel Neuer sebagai pengganti Edwin Van der Sar. Cuma apa yang perlu beliau lakukan sekarang ialah berusaha untuk kembali ke prestasi terbaiknya kerana dalam diri De Gea saya masih melihat kualiti seorang penjaga gol kelas dunia. Glory Glory Manchester United!!!