Posisi empat teratas liga
nampaknya masih di luar jangkauan Manchester United. Bermain di gelanggang
sendiri dan pada suatu ketika berjaya mendahului lawan, United akhirnya melepaskan
peluang terbaik mereka untuk memintas Chelsea dari posisi tangga ketiga liga.
Selepas ketinggalan menerusi gol Stuart Armstrong, United memberikan reaksi
balas yang sangat baik apabila mereka kemudiannya bangkit menyamakan kedudukan
menerusi jaringan Marcus Rashford dan selepas itu Anthony Martial pula
meletakkan United di depan.
Gagal mengekalkan momentum
sepertimana aksi mereka di babak pertama, United akhirnya melepaskan peluang
untuk meraih tiga mata berharga selepas Michael Obafemi menjaringkan gol
penyamaan pelawat di minit ke-6 masa kecederaan. Melihat lawan menjaringkan gol
penyamaan di penghujung permainan dan terlepas peluang terbaik melompat ke
posisi ketiga liga memanglah satu kekecewaan besar, tetapi keputusan seri ini
tetap satu pelajaran berguna buat United menjelang baki tiga lagi aksi liga
mereka selepas ini.
Di atas kertas dan berdasarkan
kedudukan kedua-dua pasukan dalam carta liga, United sepatutnya tidak berdepan
masalah meraih tiga mata penuh di Old Trafford. Tetapi dalam masa yang sama
kita juga perlu mengakui bahawa Southampton merupakan kesebelasan yang sering
memberikan kesukaran buat United setiap kali kedua-dua pasukan ini bertembung
di atas padang. Sejak musim 2015/16 hinggalah kepada aksi yang berlangsung awal
pagi tadi, United dan Southampton sudah bertemu sebanyak 10 kali dalam saingan
liga.
Secara keseluruhannya dari jumlah
itu, United menang empat kali, lima kali seri dan sekali kalah. Dari empat
kemenangan yang diraih United ke atas Southampton pula, hanya sekali mereka
menang menerusi kelebihan margin dua gol, iaitu pada 19 Ogos 2016 dalam aksi
yang dilangsungkan di Old Trafford. Fakta bahawa sudah lima kali mereka berjaya
memaksa United berkongsi mata sudah cukup menggambarkan bahawa Southampton
memang kesebelasan yang sering memberikan masalah kepada The Red Devils.
Bolasepak `Rock n Roll’
Counter pressing
atau turut di label Ole Gunnar Solskjaer sebagai permainan `Rock n Roll’ merupakan
gaya The Saints sejak mereka dikendalikan Ralph Hassenhuttl. Sepertimana
pada aksi pusingan pertama yang dilangsungkan di St Mary, mereka berlari,
berlari dan terus berlari untuk merosakkan tempo permainan United.
Gol pertama yang dijaringkan
mereka adalah contoh terbaik bagaimana tekanan yang diberikan kepada Paul Pogba
akhirnya menyebabkan beliau melakukan kesilapan. Jadi tidak hairanlah mengapa
Southampton berada di belakang Liverpool dan Bayern Munich selaku kesebelasan
di Eropah yang paling banyak memberikan tekanan kepada pertahanan lawan.
Martial Oh Martial
Anthony Martial antara pemain
United yang kerap dijadikan sorotan sejak kebelakangan ini. Sekali lagi pemain
berusia 24 tahun itu membuktikan ketajamannya apabila beliau berjaya
menjaringkan gol kedua United yang juga merupakan gol peribadi ke-21 yang
dihasilkannya dalam semua kejohanan musim ini. Selain satu gol yang dijaringkan
beliau, Martial juga turut menyumbang satu bantuan gol untuk Marcus Rashford
diminit ke-20.
Sepanjang perlawanan, Martial
melepaskan empat percubaan di mana dua daripadanya merupakan on target,
melakukan dribble sukses sebanyak enam kali manakala peratus ketepatan
hantaran yang dilakukannya mencapai 94%. Jaringan yang dilakukan Martial awal
pagi tadi turut menyaksikan beliau sudah menjaringkan lima gol dari tiga aksi
terakhir United di Old Trafford. Dengan rating 8.9 yang diberikan WhoScored,
Martial dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan.
Penutup
Southampton sepatutnya beraksi
sepuluh pemain selepas Oriol Romeu melakukan kekasaran yang sangat jelas
terhadap Mason Greenwood. Bagaimanapun keputusan pengadil untuk tidak
melayangkan kad merah bukanlah alasan utama kegagalan United untuk meraih tiga
mata penuh dalam perlawanan ini.
Perlu diingat bahawa inilah
kesebelasan yang menumbangkan Manchester City selain rekod bagus mereka ketika
bermain di gelanggang lawan. Sepanjang musim ini, Southampton menang lapan
perlawanan, empat keputusan seri dan enam kekalahan ketika mereka bertandang di
gelanggang lawan.
Jika kedudukan liga diambilkira
hanya dari mata yang dikumpul pada aksi di gelanggang lawan, Southampton akan berada
di kedudukan tangga keempat carta liga. Mujur Leicester dan Chelsea yang turut
bersaing untuk slot ke Liga Juara-Juara tewas dalam perlawanan sebelumnya, jadi
perlumbaan untuk posisi empat teratas masih lagi terbuka.
Hanya ada baki tiga lagi aksi
liga yang bakal berlangsung, dan United tidak boleh melakukan kesilapan sama
sepertimana yang mereka lakukan ketika berdepan Southampton. Adakah aksi
terakhir liga menentang Leicester bakal menjadi penentu kesebelasan mana yang
layak untuk beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim depan? Glory Glory
Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan