Dua mata di belakang Chelsea
dan hanya satu mata di belakang Leicester City. United menang lagi dan kali ini
mangsa mereka ialah Aston Villa, kesebelasan yang sedang bergelut untuk keluar
dari zon penyingkiran. Kemenangan (3-0) yang dilakar United di Villa Park turut
menyaksikan barisan kendalian Ole Gunnar Solskjaer sudah mengharungi 17
perlawanan tanpa kalah dalam semua peringkat kejohanan sejak Januari lalu.
Ketika saingan liga semakin
menuju ke penghujungnya dan ketika persaingan merebut slot ke saingan Liga
Juara-Juara musim depan semakin sengit membabitkan United, Leicester dan
Chelsea, kemenangan yang dilakar United di Villa Park itu pastinya mencetuskan
persaingan hingga ke perlawanan terakhir liga untuk slot ke Liga Juara-Juara membabitkan
tiga kelab ini.
Agak sukar pada awalnya untuk
United menembusi pintu gol Villa tetapi di minit ke-27 mereka akhirnya berjaya
mendahului menerusi sepakan penalti Bruno Fernandes. Mungkin keputusan Jonathan
Moss memberikan sepakan penalti itu sedikit kontroversi, tetapi tiada keraguan
untuk gol kedua United yang dihasilkan oleh `rising star’ mereka, Mason
Greenwood di penghujung babak pertama dan Paul Pogba di babak kedua.
Ramai yang mempertikaikan gol
pertama United, malah pengurus Villa, Dean Smith melabelkan gol itu sebagai
`memalukan’. Bagaimanapun jika tanpa gol itu pun, tidak banyak sebenarnya yang
mampu dilakukan Villa bagi menghalang United dari meneruskan rekod 17
perlawanan tanpa kalah mereka. Satu-satunya motivasi yang mereka ada ialah untuk
cuba kekal beraksi di Liga Perdana musim depan, tetapi itu tidak cukup membantu
Villa melakar kejutan.
Tidak Cukup Dengan Grealish
Sebelum perlawanan,
satu-satunya pemain mereka yang diramal mampu memberikan ancaman kepada benteng
pertahanan Unitd ialah Jack Grealish. Musim ini, Grealish adalah figura yang
menjadi sandaran utama Villa, kerana meskipun beliau bukanlah seorang penyerang
tengah, Grealish adalah penjaring terbanyak mereka dalam saingan liga menerusi
tujuh gol yang dihasilkannya.
Bagaimanapun kebergantungan
Villa kepada Grealish bukanlah sesuatu yang bagus. Ketika beliau tampil dominan
untuk kesebelasan mereka, pemain lain tidak mampu mengimbangi penampilannya.
Aksi menentang United awal pagi tadi adalah satu contoh terbaik bagaimana bergantungnya
Villa kepada Grealish. Ketika pergerakkan beliau berjaya `dimatikan’, Villa
akhirnya tiada opsyen lain untuk cuba memberikan ancaman kepada benteng
pertahanan United.
Sensasi Mason
Pada usia 18 tahun dan 282
hari, Mason Greenwood muncul pemain termuda yang berjaya menjaringkan gol dalam
tiga aksi liga berturut-turut untuk United. Beliau memadam rekod Wayne Rooney
yang dilakukan bekas kapten United itu pada Februari 2005. Ketika melakukannya,
Rooney berusia 19 tahun dan 125 hari. Selain daripada itu Mason juga muncul
pemain berusia 18 tahun keempat di Liga Perdana yang berjaya menjaringkan tiga
gol selepas Danny Cardamarteri melakukannya pada 1997, Michael Owen (1997 &
1998) serta Francis Jeffers (1999.
Setakat ini Mason sudah
menjaringkan sembilan gol utuk United, jumlah jaringan yang pastinya sangat
dicemburui senior beliau seperti Jesse Lingard. Prestasi terpuji yang
dipamerkan Mason musim ini juga menunjukkan bahawa United di masa hadapan bakal
diperkuatkan pemain-pemain kelahiran akademi mereka. Selain Mason, ada beberapa
pemain muda yang diketengahkan Solskjaer dalam skuad utama United seperti James
Garner, Brandon Williams dan Tahith Chong.
Pogba Kembali
Selepas kembali dari
kecederaan, Pogba cuma mampu melihat rakan-rakan sepasukan beliau meraikan
jaringan mereka. Tetapi kali ini, giliran Pogba akhirnya tiba juga. Gol yang
beliau jaringkan ke gawang Villa merupakan gol pertama beliau sejak kembali
dari bilik rawatan. Sudah tentu gol itu sangat penting dan besar ertinya untuk
beliau.
Bagaimanapun, saya lebih
tertarik melihat bagaimana proses gol jaringan Pogba itu dihasilkan. Ketika
Fernandes sudah bersedia untuk mengambil sepakan sudut, Pogba pula tidak
sepertimana biasa cuma menunggu di luar petak penalti. Dan pastinya gol itu
seperti sudah direncanakan dengan begitu baik, skema gerakan yang biasanya
dilakukan dalam sesi latihan.
Bruno Lagi
Ramai pihak yang mengatakan
bahawa kehadiran Bruno Fernandes memberikan impak yang sangat signifikan kepada
kesebelasan United. Itu memang hakikat yang perlu diakui dan di Villa Park,
beliau membuktikannya sekali lagi. Satu gol dan satu bantuan gol yang dilakukan
beliau menyaksikan Fernandes sudah menjaringkan tujuh gol dan mencipta lima
bantuan gol setakat ini.
Selain daripada itu, beliau sudah
terlibat dengan 12 gol yang dijaringkan United dari 10 perlawanan terakhir.
Statistik yang dilakar Fernandes ini menghampiri catatan yang pernah dilakukan
Mick Quinn. Bekas pemain Portsmouth dan Newcastle United ini terlibat dengan 13
gol dari 10 perlawanan liga dan sehingga ini rekod tersebut masih belum mampu
dipecahkan oleh mana-mana pemain.
Penutup
Segalanya tampak sempurna buat
United sejak akhir-akhir ini dan trend positif tersebut diteruskan lagi
oleh mereka di Villa Park. Kemenangan di Villa Park menyaksikan United menang
10 dari 13 perlawanan terakhir liga mereka. Dengan aksi liga yang masih berbaki
4 perlawanan sebelum ditamatkan, angka 10 tersebut berpotensi untuk bertukar
kepada 14.
Selain daripada itu, mereka
juga sudah menjaringkan 14 gol dari empat perlawanan terakhir liga, satu rekod
baharu sejak Liga Perdana diperkenalkan. Dalam empat perlawanan terakhir
mereka, United berjaya menghasilkan sekurang-kurangnya tiga gol ke gawang
lawan. Catatan yang dilakar United ini sebenarnya pernah berlaku 33 tahun
silam, dan kesebelasan yang melakukannya ialah Liverpool.
Menyaksikan Pogba kembali
meletakkan namanya dalam senarai penjaring, Bruno terus memainkan peranannya di
sebalik kebangkitan United, Mason tanpa henti terus membuatkan kita kagum
menyaksikan aksinya dan United terus…terus dan terus mencipta kemenangan,
tentunya sesuatu yang berbaloi untuk anda menahan diri dari terlena di awal
pagi semata-mata untuk menyaksikan perlawanan ini. Glory Glory Manchester
United!!!!
Terima kasih bang.. mantap laporan.. 👍👍.. #ggmu
BalasPadam