Masa depan beliau di Old
Trafford pada mulanya pernah diperdebatkan. Gagal bersaing merebut tempat dalam
kesebelasan utama menyebabkan karier Nemanja Matic diramalkan bakal berakhir
penghujung musim ini. Bagaimanapun kecederaan panjang yang dialami Paul Pogba
rupa-rupanya satu rahmat untuk Matic. Sebelum saingan liga dihentikan kerana
penularan pandemik Covid-19, United mengharungi 11 perlawanan dalam semua
kejohanan tanpa kalah.
Secara keseluruhannya ketika
itu, United menang lapan perlawanan dan mencatat tiga keputusan seri. Dari
jumlah tersebut pintu gol United tidak dibolosi dalam sembilan perlawanan dan
mereka meledak 29 gol ke gawang lawan. Kehadiran Bruno Fernandes memang
memberikan kesan yang sangat signifikan kepada jentera serangan United tetapi
Matic adalah pemain yang menyebabkan mengapa benteng pertahanan The Red
Devils begitu solid dan hanya melepaskan dua gol dari 11 perlawanan.
Dari 26 Januari hingga 8 Mac,
Matic melakukan tujuh penampilan dalam kesebelasan United. Kerja-kerja bertahan
yang dilakukan beliau menyaksikan Matic melakukan purata tiga tackle dan
dua intercept dalam setiap perlawanan. Hanya Scott McTominay
satu-satunya pemain tengah United yang memiliki purata intercept lebih
baik berbanding Matic (3 intercept per perlawanan). Bagaimana pula
dengan statistik Matic sebaik sahaja saingan liga disambung semula?
Beliau hanya bermain selama 12
minit pada aksi menentang Tottenham Hotspurs selepas liga disambung semula,
tetapi selepas itu Matic adalah pilihan utama Solskjaer untuk bertindak selaku
pemain tengah bertahan dalam tiga perlawanan liga terakhir United. Dari empat penampilan
sejak liga disambung, Matic melakukan tiga tackle, satu intercept
dan tiga clearance, sekaligus meletakkan beliau sebagai midfielder United
yang paling kerap melakukan tackle.
Meskipun tugas beliau ialah
melindungi empat rakan di benteng pertahanan, Matic juga tidak terlalu terikat
dengan kerja-kerja bertahan apabila pada aksi menentang Bournemouth beliau sempat
menyumbang satu bantuan gol manakala peratus ketepatan hantaran yang dilakukannya
mencapai 92.2%. Sama ada ketika Fred bermain atau kini bersama Pogba, peranan
Matic tetap sama iaitu memberikan keseimbangan untuk United terutamanya dalam
situasi bertahan.
Dengan adanya Matic, Pogba dan
Fernandes lebih bebas bergerak sama ada untuk melakukan build up atau
mencipta peluang. Selepas persaraan Michael Carrick, United tercari-cari
pengganti beliau untuk berperanan sebagai pemain tengah bertahan. Sejak itu Marouane
Fellaini, Daley Blind, Timothy Fosu-Mensah, Axel Tuanzebe, Ander Herrera malah
Paul Pogba juga pernah `dikorbankan’ untuk menggalas peranan tersebut. Akhirnya
pada 2017, Matic tiba di Old Trafford, pemain yang dianggap Jose Mourinho mampu
menyelesaikan masalah beliau ketika itu.
Selama tiga tahun, Matic saya
anggap antara pemain United yang underrated, `buat kerja secara senyap
di belakang’ tetapi impaknya sangat besar untuk United. Semalam beliau secara
rasmi menandatangani lanjutan kontrak selama tiga tahun yang menyaksikan Matic
kekal di Old Trafford hingga 2023. Mengambil kira usia beliau yang sudah
mencecah 31 tahun dan polisi yang diamalkan United selama ini, keputusan kelab
itu mungkin agak mengejutkan sesetengah pihak. Tetapi percayalah Matic memang
layak mendapatkannya.
Ketika Solskjaer sendiri sedang
membina kekuatan United berteraskan bakat-bakat muda, beliau sebenarnya
perlukan seorang pemain berusia seperti Matic kerana pengalaman dan
profesionalisme yang ada dalam dirinya. Ketika kariernya bersama United hangat
dispekulasikan, Matic tetap kekal tenang melakukan kerja-kerjanya di atas padang.
Ganjaran kontrak selama tiga tahun memang selayaknya diberikan kepada beliau kerana
kerja kerasnya, dan sudah tentu juga persoalan besar sudah terjawab bahawa
beliau bukanlah antara `epal busuk’ yang mahu dibuang Solskjaer. Glory Glory
Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan