26 Februari 2009

Fergie Yakin United Layak Ke Suku Akhir

MILAN: Jurulatih Manchester United, Alex Ferguson yakin pasukannya akan layak ke suku akhir walaupun gagal menjaringkan gol di tempat lawan apabila seri tanpa jaringan di Inter Milan pada saingan Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.

Juara bertahan itu memiliki beberapa peluang untuk menjaringkan gol pada pertemuan di San Siro itu sekali gus membuatkan kelab pendahulu Serie A itu kelihatan seperti sebuah kelab biasa pada babak pertama.

Cristiano Ronaldo dan Dimitar Berbatov mencipta beberapa peluang tetapi kemantapan penjaga gol, Julio Cesar serta kelemahan penyudah United menafikan kemenangan mereka dan perlu menjaringkan gol di Old Trafford, 11 Mac nanti.

“Saya yakin banyak pihak kecewa kerana kami tidak menang tetapi apabila perlawanan timbal balik dan perlawanan kedua berlangsung di Old Trafford, kami pasti berpeluang apatah lagi rekod kami di sana cukup baik.”


“Anda dapat melihat kematangan pemain kami. Memang ada kemungkinan kami terlepas gol di tempat sendiri nanti tetapi itulah bola sepak Eropah.”

Ferguson berkata beliau tidak menurunkan Wayne Rooney kerana pemain itu baru kembali daripada kecederaan dan beliau mahu menggunakan ketinggian Berbatov untuk menghalang pergerakan Inter.

Mourinho yang mempunyai rekod lebih baik berbanding Ferguson ketika bergelar jurulatih Porto dan Chelsea, tidak gembira dengan corak pengadilan yang diamalkan Luis Medina Cantalejo selepas pengadil itu enggan melayan tuntutan penalti Adriano.

“Jika ada pengadil yang terlalu melindungi pasukan pelawat di Old Trafford nanti, kami pasti akan ke suku akhir,” kata jurulatih kelahiran Portugal itu. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan