|
|
MANCHESTER - Alex Ferguson menegaskan bahawa masih terlalu awal untuk memahkotakan kejuaraan Liga Perdana England kepada Manchester United meskipun pasukannya kini selesa lima mata mengatasi Liverpool hasil kejayaan 3-0 ke atas Fulham kelmarin.
Pendahulu liga yang berpeluang melebarkan kedudukan kepada lapan mata sekiranya menang ke atas Blackburn esok, berjaya menjinakkan Fulham menerusi jaringan Paul Scholes, Dimitar Berbatov dan Wayne Rooney.
Kejayaan itu merupakan yang kesembilan buat United dalam liga dan penjaga gol, Edwin van der Sar terus membuktikan kekebalan apabila gagal dibolosi sebarang gol dalam 14 perlawanan berturut-turut.
Begitupun, pengurus Red Devils, Ferguson mengakui bahawa masih ada kemungkinan pasukannya melakukan kesilapan dalam misi menjulang gelaran liga buat kali ke-18 pada masa ini hingga bulan Mei depan.
"Kamu tidak boleh begitu pasti, cuma lebih selamat jika katakan bahawa Chelsea mempunyai misi getir untuk memintas kami," kata Ferguson.
"Semuanya boleh terjadi. Kami pernah selesa dengan 12 mata mengatasi Arsenal pada musim 1997-98 tapi kami tetap gagal merangkul gelaran liga.
"Kami menghadapi krisis kecederaan pada tahun itu tapi berharap dengan skuad yang ada sekarang, kami mampu menanganinya."
Gol jaringan Rooney yang masuk menggantikan Berbatov merupakan bonus buat penyerang England itu yang diketepikan sejak awal Januari akibat hamstring.
"Wayne menjaringkan gol pada sentuhan pertamanya. Ia satu jaringan yang menarik dan dia telah lakukannya banyak kali. Dia kini sudah kembali ke prestasi sebenarnya dan saya sangat gembira," kata Ferguson. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan