LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson mahu menamatkan 'riwayat' jurulatih Inter Milan, Jose Mourinho di Old Trafford.
Pada pertemuan pertama, pusingan kalah mati Liga Juara-Juara di San Siro kelmarin, United terlepas banyak peluang menjaringkan gol sehingga menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Bintang United, Cristiano Ronaldo sekurang-kurangnya memiliki empat peluang terbaik termasuk sepakan percumanya pada lewat perlawanan yang berjaya diselamatkan penjaga gol Inter, Julio Cesar.
Disebabkan gol yang dicari-cari tidak kunjung tiba, Ferguson berharap anak buahnya mampu membenam Inter dan Mourinho di Old Trafford pada aksi kedua yang dijadualkan 11 Mac depan.
"Saya sangat kecewa kami tidak memenangi pertemuan ini," akui Ferguson.
"Tetapi ini baru aksi pertama. Kami masih ada satu lagi pertemuan di Old Trafford di mana kami memiliki rekod yang cemerlang.
"Saya sedar pertembungan ini masih belum selesai, tetapi kini kami mempunyai satu peluang yang terbaik."
Situasi ini adalah sama seperti senario ketika United berdepan Barcelona pada peringkat separuh akhir musim lepas.
Ketika itu, jaringan Paul Scholes di Old Trafford sudah cukup untuk membantu United melangkah ke pentas final sebelum mereka berjaya mengalahkan Chelsea.
"Kamu boleh lihat kematangan pasukan kami sekarang," kata Ferguson.
"Memang terdapat risiko kamu boleh dikalahkan dengan satu gol tetapi Barcelona adalah pasukan yang hebat dan kami berjaya juga menewaskan mereka.
"Pada hari itu nanti, kami hanya perlu memberi tumpuan dan konsentrasi. Semuanya boleh berulang sekali lagi."
Keputusan seri kelmarin menyaksikan United masih belum tewas dalam 20 perlawanan Liga Juara-Juara meskipun Ferguson membuat kejutan memulakan aksi tanpa penyerang utamanya, Wayne Rooney. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan