Namun dia lebih gemar temubual dalam bahasa ibundanya kerana isu mahu diulasnya adalah sensitif dan dia mahu meluahkan pandangan sejelas dan seikhlas mungkin. Dia mahu berterus terang, tetapi dia juga tidak mahu terperangkap dalam masalah. Terutama kerana Sir Alex Ferguson adalah pengurusnya.
Dia mahu meluahkan perasaan mengenai 'Isu Carlos Tevez; dia mahu cuba menjelaskan perasaannya mengenai Manchester United dan keputusan bakal diambilnya mengenai masa depannya.
Adakah dia akan kekal di Old Trafford selepas musim ini atau beraksi di tempat lain? Dia jelas berdepan kepayahan dengan hakikat, dalam pemikirannya, bahawa dia terlalu kerap duduk di bangku simpanan.
Dia mahu jelaskan mengapa pelantikan Diego Maradona selaku pengurus Argentina bukan segila yang disangkakan. Malah dia mahu jelaskan mengapa dia pernah menolak tawaran untuk pembedahan kosmetik.
Ketika Tevez masih kanak-kanak, dua bulan dia di unit kecemasan selepas kemalangan akibat air panas yang mengakibatkan kulitnya melecur dan meninggalkan parut bermula daripada cuping telinga kanan, ke leher dan melintang di dadanya.
Boca Juniors, kelab disertainya pada usia 17 tahun, mahu membayar pembedahan kosmetik untuk membuang parut itu. Tetapi Tevez menolak.
"Parut ini sebahagian diri saya. Ia sebahagian cerita saya dan saya selesa dengan diri sendiri. Itu lebih penting daripada segalanya. Ia tawaran bagus tetapi saya tidak berminat."
Tawaran lumayan lainnya pasti menyusul. Daripada Real Madrid, mungkin juga Inter Milan. Tawaran yang mungkin memikatnya keluar daripada Old Trafford ketika aksi kesebelasan utama tidak lagi terjamin.
Peminat utamanya menganggap itu tidak masuk akal. "Carlos Tevez tidak harus duduk di bangku simpanan untuk sesiapapun," kata Maradona. Tetapi Ferguson jelas berbeza pendapat, memilih Wayne Rooney, Cristiano Ronaldo dan Berbatov ketika keempat-empatnya boleh diturunkan.
"Saya tidak akan ulas apa kata Maradona. Jika itu pendapatnya, baguslah. Saya hanya boleh ulas perasaan saya dan, seperti pemain lain, saya tidak suka duduk di bangku simpanan. Saya sentiasa mahu beraksi.
"Musim lalu, saya beraksi. Musim lalu, saya adalah penjaring kedua terbanyak di kelab ini dan musim lalu, kami menang Liga Juara-juara Eropah dan Liga Perdana. Dan semua orang kata persembahan saya bagus.
"Tetapi musim ini saya dipinggirkan dan sukar untuk saya faham, terutama kerana bukannya aksi saya teruk. Saya tahu seorang pemain lain sudah tiba dan saya sedar itu sebab ada kalanya saya tiada dalam pasukan. Tetapi saya bukan digugurkan kerana saya silap dan itulah yang jadikannya amat sukar.
"Saya akan terus berjuang. Memang sikap semulajadi saya untuk berjuang dan saya akan terus cuba dan memanfaat setiap peluang dengan harapan saya tidak akan dipinggirkan lagi."
Masa depannya pula jelas rumit. Apa yang dianggap tempoh pinjaman dua tahun di United akan berakhir Mei ini dan terpulang kepada United sama ada mahu membeli Tevez daripada pemiliknya. Bayaran sekitar £20 juta (RM105 juta) sudah disebut, dengan saingan pelbagai pihak mampu menjadikan jumlah itu lebih tinggi.
"Yang pasti, saya mahu aksi dalam barisan utama. Tetapi saya perlu fikirkan semua isu. Saya harus timbangkan pengalaman menyeluruh berada di kelab ini sebelum membuat sebarang keputusan.
"Ketika ini, niat saya hanya untuk memberikan segalanya, dalam semua perlawanan. Untuk jersi United � saya akan sentiasa beri 100 peratus dan untuk penyokong United, saya akan sentiasa beri 100 peratus.
"Mereka amat baik kepada saya. Mereka sudah menerima saya. Malah mereka menyanyikan 'Argentina' untuk saya.
"Tetapi ketika ini, saya tidak pasti akan kekal, kerana ia bukan keputusan saya sendirian. Terpulang kepada United untuk menentukan sama ada mereka mahukan saya � dan saya perlu tentukan apa yang terbaik untuk kerjaya saya, untuk masa depan saya."
Ferguson pernah menegaskan 'anda tidak akan pernah memiliki terlalu ramai penyerang' dan keinginannya untuk mengekalkan Tevez pasti kuat. Bukan hanya kerana limpahan bakat dimiliki bintang Amerika Selatan itu, tetapi juga kegigihan hebatnya.
Juga bukan hanya kemampuannya menjaringkan gol, tetapi kemampuan memenangi pelbagai trofi.
Pada usia 25 tahun, Tevez sudah memenangi hampir semuanya � Piala Copa Libertadores, pingat emas Olimpik, juara dunia, Eropah dan England bersama United selain pelbagai lagi gelaran, bermula dengan Boca dan Corinthians sebelum berhijrah ke Liga Perdana Inggeris.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan