30 Julai 2012

MASA DEPAN NANI TERUS CETUSKAN TANDATANYA



Masa depan Nani di Old Trafford terus mencetuskan tandatanya selepas pemain sayap Portugal itu dilaporkan masih belum bersedia menandatangani sebarang lanjutan kontrak baru. Meskipun Sir Alex Ferguson masih menaruh kepercayaan terhadap kemampuan pemain sayapnya itu, namun proses perbincangan yang berpanjangan disamping prestasi cemerlang Antonio Valencia mungkin menyebabkan Ferguson hilang sabar untuk terus mengekalkan Nani. Semasa berlangsungnya Kejohanan Euro 2012, Nani ada mengeluarkan kenyataan tentang keraguannya untuk terus kekal di Old Trafford musim depan selepas mendedahkan dia belum ditawarkan sebarang lanjutan kontrak. Dengan potensi kedatangan Lucas Moura selepas diberitakan perbincangan dengan pemain itu akan diselesaikan sebelum jendela perpindahan musim panas ditutup, kedudukan Nani bersama Manchester United musim depan dianggap semakin kritikal. Glory Glory Manchester United!!!

MOURA AKAN TENTUKAN MASA DEPAN SELEPAS OLIMPIK



Bintang remaja Brazil yang menjadi buruan Manchester United, Lucas Moura mengatakan dia akan menentukan masa depannya sebaik berakhirnya sukan Olimpik London 2012. Moura ketika ini bersama-sama skuad Olimpik Brazil di London dalam usaha mereka memburu emas sulung acara bolasepak dalam sejarah penyertaan mereka di sukan Olimpik. Selepas berbagai spekulasi bertiup kencang selama ini, Moura akhirnya bersuara dengan mengatakan bahawa dia sendiri akan menentukan masa depannya selepas selesai tugasan bersama skuad Olimpik Brazil. Menurut pemain yang turut menjadi buruan Inter Milan itu, dia tetap gembira dengan sebarang keputusan yang akan dibuatnya selepas itu. Glory Glory Manchester United!!!

GIGGS CATAT REKOD PENJARING GOL TERTUA OLIMPIK



Great Britain (GB) berpeluang melangkah ke pusingan suku akhir acara bolasepak Sukan Olimpik 2012 selepas skuad yang diketuai Ryan Giggs itu mencatat kemenangan 3-1 ke atas UAE. GB hanya memerlukan keputusan seri ketika menentang Uruguay pada perlawanan terakhir Kumpulan A untuk mengesahkan tempat ke suku akhir. Ryan Giggs mencatatkan sejarah dalam temasya Olimpik kali ini apabila jaringan pembukaannya diminit ke-16 menjadikan dia sebagai penjaring gol tertua dalam sejarah sukan Olimpik. Pada usia 38 tahun dan 243 hari, Giggs mengatasi rekod pemain Mesir, Hussein Hegazi yang menjaringkan gol pada usia 37 tahun dan 225 hari di gawang Hungary semasa Olimpik 1924. Dua lagi gol GB dijaringkan Scott Sinclair (m-73) dan Daniel Sturridge (m-76). Glory Glory Manchester United!!!

29 Julai 2012

GAGAL DAPAT MOURA, SIAPA SASARAN SETERUSNYA?


Selepas menemui jalan buntu dalam usaha mendapatkan Lucas Moura, Manchester United sudah boleh menumpukan usaha mereka kepada sasaran lain untuk memperbaiki skuad bagi menghadapi saingan musim depan. Bagi kelab seperti Manchester United, memang selalunya akan ada pilihan lain dalam pasaran perpindahan pemain disebabkan sejarah dan tradisi kelab disamping kejayaan besar khususnya semasa era Sir Alex Ferguson sebagai pengurus. Jenama Manchester United sendiri sudah cukup terkenal di serata dunia dan ramai pemain sudah memahami bahawa adalah menjadi satu penghormatan buat mereka jika dapat menyertai kelab seperti United. Walau bagaimanapun dengan beban kewangan yang menimpa akibat hutang yang ditanggung pemilik (keluarga Glazer) semasa mengambilalih kelab tujuh tahun yang lalu, Manchester United mungkin tidak mampu bersaing dengan pencabar-pencabar lain seperti Chelsea dan Manchester City dalam pasaran perpindahan. Kebanyakan pemain mungkin lebih memilih Manchester City dan Chelsea atau kelab-kelab yang dimiliki jutawan minyak dari Timur Tengah seperti Paris Saint Germain atas faktor tawaran gaji yang lebih lumayan. Kelab seperti City dan Chelsea menjadikan pasaran perpindahan semakin gila dengan tawaran-tawaran tidak masuk akal terhadap pemain yang ingin mereka tandatangani, hingga menyebabkan yuran perpindahan pemain melambung setiap tahun. Bagi mengimbangi kekuatan kedua-dua seteru domestik mereka itu (City dan Chelsea), Sir Alex Ferguson meskipun dibelenggu kekangan kewangan tetap berjaya mendapatkan bekas bintang Borussia Dortmund, Shinji Kagawa selain cuba mengejar Lucas Moura dengan tawaran lumayan.

Yann M'Vila
Meskipun usaha mendapatkan Moura dilihat sudah berakhir, Ferguson diyakini akan mencari sasaran lain sebagai alternatif dan pilihan pertama untuk memastikan penyokong gembira ialah dengan menandatangani penyerang Arsenal, Robin Van Persie. Bagaimanapun Van Persie yang akan berusia 29 tahun beberapa hari lagi bukanlah perpindahan yang baik untuk tempoh jangka panjang buat United. Penyerang antarabangsa Belanda itu mungkin akan memberikan impak buat tempoh satu atau dua tahun sebelum prestasinya menurun kerana faktor usia. Sejarah kecederaan Van Persie juga patut diberi perhatian kerana sebahagian besar kariernya bersama Arsenal dihabiskan di dalam bilik rawatan. Kedatangan Van Persie tentunya akan menghadkan peluang pemain muda seperti Chicharito untuk lebih menyerlah dan yang lebih penting ialah mungkin menyebabkan Danny Welbeck berfikir dua kali sebelum menandatangani kontrak baru bersama United. Van Persie memang diakui pemain yang bagus serta bintang bertaraf dunia dan kehadiran pemain itu tentunya akan memantapkan lagi skuad terutamanya di bahagian hadapan, namun terdapat posisi yang lebih penting untuk diperkuatkan terutamanya di bahagian tengah. Krisis kesihatan Darren Fletcher membuatkan masa depannya kian menimbulkan persoalan, manakala prestasi tidak konsisten Anderson sentiasa menimbulkan keresahan dikalangan penyokong-penyokong hingga United terpaksa bergantung kepada veteran seperti Paul Scholes dan Michael Carrick menjana bahagian tengah musim lalu. Satu nama yang sering dikaitkan dengan United ialah Luka Modric, namun sehingga awal minggu ini pemain Tottenham Hotspurs itu kelihatan seolah-olah sudah semakin hampir menyertai Real Madrid bagi menggantikan Kaka yang diberitakan akan pulang semula ke pangkuan AC Milan. Sejak Roy Keane meninggalkan pasukan pada 2005, United kehilangan `pemusnah' di bahagian tengah dan pemain yang dilihat punya potensi menggantikan tempat Keane ialah Yann M'Vila. Dengan tawaran sebanyak 12 juta Pound, M'Vila mungkin sudah bersedia meninggalkan Stade Rennais. Pemain yang turut menjadi sasaran Arsene Wenger itu mempunyai corak permainan persis gaya lagenda Arsenal sendiri, Patrick Vieira atau Yaya Toure di Manchester City.

Leighton Baines
Satu lagi posisi yang sepatutnya diberikan perhatian oleh Ferguson ialah di sebelah kiri pertahanannya. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, posisi tersebut didominasi sepenuhnya oleh Patrice Evra namun prestasi Evra musim lalu dilihat sedikit menurun dan mula hilang kepantasan, mungkin disebabkan faktor umur. Dengan Fabio da Silva pula dipinjamkan ke QPR, Ferguson perlu mencari pelapis berpotensi bagi menggantikan Evra sekiranya pemain itu ditimpa kecederaan atau mengalami kemerosotan prestasi. Nama yang sering dikaitkan menjadi sasaran nombor satu Ferguson di posisi tersebut ialah bintang Everton, Leighton Baines. Walau bagaimanapun, Everton dikatakan mahu yuran perpindahan hingga mencecah 15 juta Pound jika United berhajat mendapatkan tandatangan Baines. Nilai itu sebenarnya bukanlah nilai setimpal untuk pemain seperti Baines, biarpun dia diakui tonggak utama Everton sejak beberapa tahun terakhir. Meskipun prestasi Evra sepanjang musim lalu menjadi pertikaian sesetengah pihak, namun pemain itu dilihat masih antara pemain pertahanan kiri terbaik di Liga Perdana dan Baines sendiri tentunya tidak mahu berhijrah ke Old Trafford sebagai pilihan kedua di belakang Evra. Dengan situasi yang disebutkan di atas, apakah ada kemunginan Ferguson sudah berpuashati dengan barisan yang dimilikinya ketika ini? Atau akan adakah lagi pemain baru yang akan dibawa masuk oleh bos United itu? Gagal mendapatkan pemain yang disasarkan seperti Lucas Moura kerana yuran perpindahan tidak masuk akal, tetapi beliau sudah memiliki Shinji Kagawa dan Nick Powell. Ada kebarangkalian pengendali berpengalaman itu terpaksa membulatkan tekad untuk berdepan cabaran Chelsea dan Manchester City yang berbelanja besar dengan barisan pemain sedia ada. Penyokong-penyokong United meskipun berharap Ferguson akan menandatangani beberapa pemain lain selepas Kagawa dan Powell perlu bersikap realistik, kelab tidak mampu bersaing dengan Manchester City dan Chelsea dari segi kekuatan kewangan. Penyokong mungkin berharap akan ada keajaiban dalam soal perpindahan Lucas Moura memandangkan Brazil akan bermain di Old Trafford dalam perlawanan bolasepak Sukan Olimpik bagi Kumpulan A. Mungkin kesempatan itu boleh digunakan pihak pengurusan United bagi mendekati Moura dan meneruskan perbincangan dengan ejen pemain itu. Namun, penyokong-penyokong United juga perlu bersedia jika ditakdirkan tiada pemain lain yang ditandatangani musim panas ini selepas Shinji Kagawa dan Nick Powell. Glory Glory Manchester United!!!

27 Julai 2012

UNITED TAMATKAN BURUAN KE ATAS MOURA


Pemburuan Manchester United terhadap Lucas Moura musim panas ini dikatakan sudah berakhir selepas Pengarah Sao Paulo, Adalberto Baptista mengeluarkan kenyataan bahawa The Red Devils sudah menamatkan usaha mereka memburu tandatangan pemain remaja Brazil itu. Baptista mengatakan bahawa tawaran 27 juta Pound dari United telahpun ditolak oleh kelab itu (Sao Paulo) dan Moura nampaknya akan terus kekal di Brazil. Meskipun Sir Alex Ferguson begitu berminat membawa Moura ke Old Trafford, namun kem United diyakini tidak akan meningkatkan bidaan mereka dan bakal mencari pemain lain sebagai alternatif. Terdapat khabar-khabar angin sebelum ini yang ditiupkan media-media di England bahawa United sanggup meningkatkan bidaan mereka hingga ke tahap 40 juta Pound namun berita itu dipastikan sekadar spekulasi sahaja. "Tidak ada lagi perbincangan dan semua orang tahu bahawa ada tawaran dari United dan kami menolaknya", kata Baptista. Menurut Baptista keputusan yang dibuat oleh pihaknya (tidak menerima tawaran 27 juta Pound dari United) adalah muktamad. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

26 Julai 2012

SUKAN OLIMPIK, PELUANG TERAKHIR GIGGS MENANG PINGAT KEJOHANAN BESAR


Ryan Giggs akan mengetuai skuad Great Britain (GB) malam ini dengan semangat Olimpik dan melihat ini adalah peluang terakhir untuk dirinya memenangi sesuatu dalam kejohanan besar. Selepas gagal membawa Wales ke kejohanan besar seperti Piala Dunia dan Kejohanan Eropah (Euro), lagenda hidup Manchester United itu mengintai peluang untuk membawa skuad GB memenangi pingat, tidak mengira apa warna sekalipun. Giggs memang diakui cukup berjaya di peringkat kelab bersama United dengan deretan pingat, trofi dan penghargaan individu yang diterimanya namun kemarau di peringkat antarabangsa, meskipun dia diiktiraf antara pemain bolasepak paling berbakat pernah dilahirkan. Ramai yang mengatakan adalah amat merugikan apabila bakat hebat seperti Giggs lahir di Wales dan bukannya di negara-negara kuasa besar bolasepak lain seperti Jerman, Sepanyol, Itali atau England sendiri. Namun, hari ini Giggs sudah bersedia untuk mengubah nasibnya di peringkat antarabangsa apabila GB dijadualkan berdepan Senegal dalam perlawanan pembukaan bolasepak sukan Olimpik bagi kumpulan A di Old Trafford. Ini merupakan langkah pertama Giggs dalam merealisasikan impiannya untuk memimpin GB ke perlawanan akhir merebut pingat emas Olimpik di Wembley pada 11 Ogos nanti. Penampilan pertama Giggs untuk Wales berlaku 21 tahun lalu dan dia mengakui seseorang pemain tidak boleh mengharapkan kerjaya mereka dimulakan dengan memenangi pingat emas Olimpik, tetapi sebaliknya mereka perlu memenangi kejuaraan liga, Piala FA dan Piala Eropah. Meskipun masih mengakui dia agak kecewa kerana gagal bermain di kejohanan-kejohanan utama antarabangsa yang lain, tetapi peluang beraksi di pentas Olimpik menyebabkannya begitu teruja. Melihat pada kualiti milik skuad GB, Giggs yakin pasukan yang diketuainya itu mampu melangkah jauh, dan misi melangkah ke perlawanan akhir adalah satu cabaran besar buat dirinya. Giggs mengetuai skuad GB dengan restu sifunya di Old Trafford, Sir Alex Ferguson yang ketika ini berada di China bersama-sama skuad United dalam siri jelajah pra-musim mereka di Asia selepas lawatan di Afrika Selatan minggu lalu. Semangat Olimpik nyata membuatkan Giggs berasa seperti pemain muda meskipun usianya sekali ganda dari rakan sepasukan GB iaitu penjaga gol Birmingham, Jack Butland yang baru berusia 19 tahun. Tanggung jawab sebagai kapten dan memberi bimbingan kepada pemain muda bukanlah sesuatu yang asing buat Giggs, kerana dia juga memainkan peranan yang sama  ketika bersama United. Menurut Giggs, keluar bersiar-siar di perkampungan Olimpik sambil menyaksikan dan berkenalan dengan atlet-atlet dari sukan lain adalah satu pengalaman baru buatnya yang tidak diperolehinya ketika bersama skuad kebangsaan Wales dan United. Selain Giggs, pemain United yang turut berada dalam skuad Stuart Pearce ini ialah Tom Cleverley. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

FERGIE PUJI KAGAWA & BEBE


Sir Alex Ferguson memuji peranan yang dimainkan pemain barunya, Shinji Kagawa selepas mencatat satu lagi kemenangan dalam siri jelajah pra-musim mereka. Semalam, United berjaya menewaskan kelab China, Shanghai Shenhua hasil jaringan tunggal Kagawa diminit ke-68. Tuan rumah bagaimanapun tidak diperkuatkan gandingan dua bekas pemain Chelsea, Didier Drogba dan Nicolas Anelka dalam perlawanan ini bagi persediaan berdepan perlawanan liga hujung minggu ini. Kagawa dilihat memainkan peranan penting dan terlibat dalam hampir semua gerakan-gerakan United dalam perlawanan ketiga jelajah pra-musim mereka itu. Pemain antarabangsa Jepun itu berjaya menyempurnakan umpanan Bebe sekaligus memberikan kemenangan kedua United dari tiga perlawanan, biarpun selepas itu tuan rumah hampir menyamakan kedudukan menerusi Joel Griffiths. Ferguson turut menghamburkan pujiannya ke atas Bebe, pemain yang dipinjamkan kepada kelab Turki, Besiktas sepanjang musim lalu. Selepas menjaringkan gol penyamaan ketika terikat 1-1 dengan Ajax Cape Town hujung minggu lalu, pemain berusia 21 tahun itu memainkan peranan disebalik gol kemenangan jaringan Kagawa. Bebe ternyata berjaya menggunakan kesempatan ketika diturunkan dalam dua perlawanan (menentang Cape Town dan Shanghai), sekaligus mahu membuktikan peluangnya untuk bersama skuad United bagi menghadapi kempen musim depan masih ada. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

25 Julai 2012

MOURA ARAH EJEN TERUS BERBINCANG DENGAN UNITED


Tuntutan demi tuntutan dari Sao Paulo dan agen Lucas Moura, Wagner Ribeiro menyebabkan usaha Manchester United mendapatkan pemain remaja Brazil itu sedikit sukar. Berita perpindahan Moura menjadi tajuk utama media-media di Brazil dan England sejak minggu lalu selepas delegasi United diberitakan berlepas ke Sao Paulo dalam usaha mereka memancing Moura ke Old Trafford. Pada awalnya kelab (Sao Paulo) dan ejen (Ribeiro) mengatakan Moura gembira untuk terus kekal di Brazil tetapi keadaan berlaku sebaliknya semalam. Bercakap menerusi Radio Globo, Ribeiro memberitahu bahawa Moura telah mengarahkannya untuk terus mengadakan perbincangan dengan United. "Ketua saya adalah pemain dan saya selalu bercakap dengannya (Moura). Individu yang menentukan garis panduan dan apa yang perlu saya lakukan adalah pemain. Jika Moura mengatakan dia tidak akan meninggalkan Sao Paulo, maka saya tidak akan menerima sebarang tawaran. Moura memberitahu saya supaya terus berbincang (dengan United) apabila saya bercakap mengenai betapa pentingnya Manchester United. Ini adalah tawaran yang hebat dan jika Moura tidak mampu menolaknya maka dia akan pergi. Walau bagaimanapun dia juga gembira di Sao Paulo", kata Ribeiro. Berita ini tentunya memberikan kembali harapan untuk melihat kelibat Moura di Old Trafford selepas media sebelumnya melaporkan perbincangan antara United dan Sao Paulo menemui jalan buntu. Sao Paulo diberitakan mahukan sekurang-kurangnya 36 juta Pound berbanding tawaran 26 juta Pound yang dibuat sebelumnya oleh United. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

FERGIE NAMAKAN CHELSEA SEBAGAI PENCABAR UTAMA


Sir Alex Ferguson menamakan Chelsea sebagai pencabar utama dalam perebutan gelaran musim depan, namun menegaskan United sudah bersedia menangani sebarang cabaran dari mana-mana pasukan. Chelsea dijangka melepasi tahap 60 juta Pound dalam perbelanjaan mereka minggu ini selepas hampir mencapai kesepakatan dalam usaha  menandatangani pemain Brazil, Oscar. The Blues sebelumnya sudah berjaya mengikat Eden Hazard dan Marko Marin dalam usaha memperkuatkan skuad mereka musim depan. Ferguson yang sedang berusaha mengikat pemain muda Brazil, Lucas Moura dengan nilai 26 juta Pound tetap percaya dengan cabaran yang bakal dilontarkan United musim depan dan tidak akan berdiam diri dalam usaha mendapatkan pemain sasarannya untuk dibawa ke Old Trafford. Roman Abramovich dilihat begitu bersemangat selepas kejayaan Chelsea memenangi dua kejuaraan utama musim lalu (Liga Juara-Juara dan Piala FA), jadi tidak hairanlah jika jutawan Russia itu tampak bernafsu dalam pasaran perpindahan pemain musim panas ini. Bagi mengimbangi keghairahan Chelsea, Ferguson menegaskan bahawa United tidak akan hanya berpeluk tubuh dan sedang berusaha keras untuk mendapatkan pemain-pemain baru selepas kejayaan mereka mendapatkan Shinji Kagawa dan Nick Powell. Terkini, United diberitakan sudah meningkatkan tawaran mereka kepada 40 juta Pound bagi mendapatkan khidmat Moura sekaligus membuktikan betapa tingginya minat Ferguson terhadap pemain muda Brazil itu. Walau bagaimanapun ini adalah tawaran terakhir United ke atas Moura dan jika ditolak, kelab akan menghentikan usaha mereka dan mencari pemain lain sebagai alternatif. Glory Glory Manchester United - AJ

23 Julai 2012

CARRICK MASIH BERMINAT SERTAI SKUAD KEBANGSAAN


Tidak disenaraikan dalam skuad England ke Kejohanan Euro 2012 masih meninggalkan kesan besar buat pemain tengah Manchester United, Michael Carrick hingga timbul spekulasi mengatakan dia akan mengikut jejak Rio Ferdinand bersara dari arena bolasepak antarabangsa. Walau bagaimanapun, Carrick menegaskan dia masih berminat menyertai skuad The Three Lions dan berharap akan dipanggil Roy Hodgson satu hari nanti. Tindakan Hodgson tidak menyenaraikan Carrick dalam skuad ke Euro 2012 nyata mengejutkan banyak pihak biarpun beliau kehilangan khidmat Frank Lampard dan Gareth Barry di bahagian tengah kerana masalah kecederaan. Tambah mengejutkan apabila bos England itu memanggil Jordan Henderson yang kurang pengalaman berbanding Carrick sebagai pengganti saat akhir. Prestasi Carrick bersama United sepanjang musim lalu boleh melayakkannya disenaraikan dalam skuad England ke Euro 2012, namun percaturan yang dilakukan Hodgson ternyata menimbulkan tandatanya ramai pihak termasuk keputusannya tidak menyenaraikan seorang lagi pemain United, Rio Ferdinand. Meskipun pada usia 30 tahun dan berada di penghujung karier, Carrick tetap berharap dia masih diberi peluang menyarung jersi kebangsaan. Semasa era Fabio Capello, Carrick pernah disenaraikan dalam skuad ke pusingan akhir Piala Dunia Afrika Selatan 2010 namun tidak langsung diturunkan kerana mengalami kecederaan. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

SPEKULASI PERPINDAHAN: UNITED DAN SAO PAULO SEPAKATI HARGA MOURA?


Manchester United dan Sao Paulo diberitakan sudah menyetujui kesepakatan berkaitan perpindahan pemain remaja sensasi Brazil Lucas Moura. Berita ini tentunya mengejutkan ramai pihak selepas beberapa hari sebelumnya terdapat laporan mengatakan usaha United membawa Moura ke Old Trafford menemui jalan buntu. United dan Sao Paulo dikatakan sudah bersetuju menetapkan bayaran sebanyak 26 juta Pound sebagai yuran perpindahan Moura. Usaha Ferguson mendapatkan Moura turut mendapat sokongan penuh keluarga Glazer yang juga pemilik kelab. Media-media di England menyebut, Sao Paulo sudahpun bersetuju untuk menerima bidaan United ke atas Moura yang kini besama skuad Olimpik Brazil di London. Langkah seterusnya buat United ialah mencapai  kesepakatan dengan bapa dan agen pemain itu bagi membolehkan Ferguson merealisasikan hasratnya melihat Moura menyertai United. Chelsea dan Inter Milan yang turut berminat mendapatkan tandatangan pemain berusia 19 tahun itu terpaksa berundur selepas masing-masing tidak bersetuju dengan tandaharga yang diletakkan Sao Paulo ke atasnya sekaligus memberi peluang buat Ferguson membawa pemain itu ke Old Trafford musim panas ini. Berita tentang minat Ferguson ke atas Moura sudahpun bertiup kencang sejak Mac lalu dan mencapai kemuncaknya apabila diberitakan delegasi United bertolak ke Brazil minggu lalu untuk mengadakan perbincangan dengan Sao Paulo dan agen pemain itu. Jika segalanya berjalan lancar, Moura secara idealnya mungkin akan menjalani ujian perubatan dalam tempoh terdekat, tetapi dengan Brazil yang diletakkan sebagai pasukan pilihan memenangi pingat emas bolasepak Olimpik mungkin sedikit sebanyak akan melambatkan urusan menandatangani bintang muda itu. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

22 Julai 2012

BEBE AKAN TERUS DIBERI KESEMPATAN


Sir Alex Ferguson membayangkan bahawa beliau akan terus memberi kesempatan buat Bebe membuktikan keupayaannya bersama Manchester United. Ferguson mengejutkan ramai pihak ketika beliau menandatangani pemain berasal dari Portugal itu dua tahun lalu ketika ada dakwaan mengatakan bos United itu tidak pernah menyaksikan permainan Bebe secara langsung. Kegagalan menempatkan diri  dalam skuad utama menyaksikan Bebe dipinjamkan ke kelab Turki, Besiktas sepanjang musim lalu. Bekas pemain U-21 Portugal itu bagaimanapun diberikan kesempatan menyertai skuad dalam jelajah pra-musim United di Afrika Selatan, dan pemain itu membalas kepercyaan yang diberikan dengan menjaringkan gol penyamaan di penghujung pemainan untuk mengikat Ajax Cape Town 1-1. Ini merupakan perlawanan kedua United di Afrika Selatan selepas mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas AmaZulu FC pada perlawanan pertama 18 Jul lalu. Selepas tidak bermain hampir lapan bulan kerana mengalami kecederaan, Bebe memilih waktu yang tepat pada penampilan pertamanya untuk menjaringkan gol penyamaan sekaligus menafikan hajat tuan rumah untuk melakukan kejutan. Biarpun cuma perlawanan persahabatan, jaringan Bebe dianggap penting buat pemain itu mengembalikan semula keyakinannya selepas berehat panjang. Meskipun  hampir tewas, Ferguson tetap berpuashati dengan penampilan pasukannya terutama pemain-pemain muda yang diturunkan dalam perlawanan itu. Menurut Ferguson, Ajax berjaya memberikan tekanan ke atas pasukannya sepanjang perlawanan dan menganggap ianya cukup bagus untuk pendedahan pemain-pemain muda. Perlawanan ini juga menyaksikan Shinji Kagawa diturunkan dalam kesebelasan utama selepas hanya bermain di separuh masa kedua pada perlawanan pertama menentang AmaZulu tempohari. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

20 Julai 2012

FERGIE: SUAREZ PUNCA KING KENNY DIPECAT


Sir Alex Ferguson pantas memulangkan semula `peluru' yang dilepaskan Luis Suarez terhadap kelabnya. Kelmarin penyerang Liverpool itu mendakwa Manchester United memainkan peranan utama disebalik hukuman gantung lapan perlawanan yang diterimanya selepas didapati bersalah menghamburkan kata-kata berbaur perkauman terhadap Patrice Evra, Oktober lalu. Suarez ketika diwawancara media di Uruguay mengatakan, United menggunakan kuasa yang ada pada mereka selaku kelab utama di England untuk mempengaruhi keputusan FA ketika menjatuhkan hukuman terhadapnya. Ferguson sebaliknya membalas kenyataan Suarez dengan mendakwa, pemecatan Kenny Dalglish sebagai pengurus berpunca dari cara lagenda Liverpool itu menangani kes perkauman Suarez. Semasa siasatan oleh FA terhadap Suarez dijalankan, Dalglish memilih untuk memberikan sokongan kuat terhadap penyerangnya itu daripada memohon maaf. Kontroversi enggan berjabat tangan pada perlawanan di Old Trafford memburukkan lagi keadaan hingga memaksa pemilik Liverpool, John Henry campur tangan. Ferguson ketika ditemuramah semasa jelajah pra-musim United di Afrika Selatan mengatakan, Suarez adalah punca utama mengapa Dalglish dipecat dan beliau (Ferguson) sendiri tidak terkejut dengan apa yang berlaku di Liverpool. Menurut Ferguson, (John) Henry melihat kes Suarez tidak ditangani dengan cara sepatutnya oleh Dalglish dan itu adalah punca utama yang menyumbang kepada pemecatannya. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

FERGIE YAKIN TANDATANGANI VAN PERSIE


Manchester United yakin bahawa mereka akan memenangi pemburuan ke atas Robin van Persie biarpun sedar berdepan saingan sengit dari Juventus dan Manchester City. Menurut media di England, Sir Alex Ferguson percaya impiannya untuk menggandingkan Wayne Rooney dan Van Persie bakal menjadi kenyataan dalam usaha merampas semula kejuaraan Liga Perdana yang terlepas musim lalu. Van Persie menjaringkan 30 gol dan membantu Arsenal menamatkan kempen liga mereka di tangga ketiga manakala Rooney pula menjaringkan 27 gol, bakal muncul gandingan penggempur digeruni jika Ferguson mampu merealisasikan impiannya membawa Van Persie ke Old Trafford. Melepaskan kaptennya kepada Ferguson pastinya satu `pukulan' yang menyakitkan buat Arsene Wenger, selepas beliau terpaksa melihat Cecs Fabregas berhijrah ke Barcelona dan Samir Nasri pula ke Manchester City musim lalu. Wenger dilihat tidak mempunyai pilihan lagi selain melepaskan penyerang antarabangsa Belanda itu musim panas ini atau melihatnya pergi secara percuma musim depan. Van Persie sudah menegaskan bahawa dia tidak akan menerima tawaran Arsenal untuk melanjutkan kontraknya yang masih berbaki setahun di Emirates. Peluang United untuk mendapatkan Van Persie lebih cerah berbanding City yang terpaksa menjual sebahagian pemain bintangnya terlebih bagi mematuhi peraturan `financial fair play' yang ditetapkan oleh UEFA. Meskipun City memiliki kekuatan kewangan, Ferguson yakin Van Persie akan memilih Old Trafford sebagai destinasinya berbanding Eastlands. Penyerang itu dilaporkan sudah kembali menjalani latihan bersama skuad The Gunners selepas tamat Kejohanan Euro 2012, dan pihak pengurusan Arsenal dijangka mengumumkan dalam masa terdekat tentang masa depan Van Persie sebelum mereka bertolak ke Asia untuk perlawanan pra-musim akhir minggu  ini. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

19 Julai 2012

PRA MUSIM: UNITED MENANG TIPIS PERLAWANAN PERTAMA


Manchester United memulakan kempen pra-musim mereka dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan 1-0 ke atas kelab Afrika Selatan, AmaZulu. Bermain di hadapan lebih 50,000 penonton di Stadium Moses Mabhida, jaringan tunggal Federico Macheda di pertengahan babak pertama kekal hingga tamat 90 minit permainan. Sir Alex Ferguson memberikan peluang buat beberapa pemain muda seperti Federick Veseli, Jesse Lingard, Robbie Brady, Scott Wootton, Ryan Tunnicliffe, Davide Petrucci, Tyler Blackett, Nick Powell dan Marnick Vermijl tampil dalam perlawanan ini yang turut disaksikan bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela. Bintang antarabangsa Jepun, Shinji Kagawa pula diletakkan di bangku simpanan sebelum dimasukkan di separuh masa kedua menggantikan Javier Hernandez. Perlawanan pra-musim United seterusnya Di Afrika Selatan ialah menentang Ajax Amsterdam pada 21 Julai di Stadium Cape Town. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

17 Julai 2012

10 JUTA POUND UNTUK BAINES


Manchester United diberitakan sudah bersedia membuat tawaran sebanyak 10 juta Pound bagi mendapatkan bintang Everton, Leighton Baines, meskipun kelab Merseyside itu dikatakan meletakkan tandaharga sebanyak 15 juta pound ke atas pemain itu. Jika Everton tidak berganjak dengan harga yang telah mereka letakkan ke atas Baines, United berkemungkinan besar membatalkan hasrat mereka dan mengalihkan sasaran kepada pemain lain. Sir Alex Ferguson dilihat agak terdesak mencari pengganti jangka panjang kepada Patrice Evra selepas prestasi pemain antarabangsa Perancis itu dilihat sedikit menurun musim lalu, manakala Fabio da Silva pula dipinjamkan ke Queens Park Rangers untuk jangkamasa panjang. Seorang lagi pemain muda yang diharapkan bakal mengisi kekosongan di sebelah kiri pertahanan, Ezekiel Fryers pula sudah menyertai Tottenham Hotspurs minggu lalu. Jika Ferguson benar-benar serius mahu mendapatkan tandatangan Baines, United dijangka akan mempercepatkan urusan penjualan bintang mereka yang semakin tersisih, Dimitar Berbatov. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

BERBA MAHU TINGGALKAN UNITED


Dimitar Berbatov mengatakan dia perlu meninggalkan Manchester United demi kebaikan semua pihak meskipun mengakui masih berminat untuk terus kekal di Old Trafford. Karier bekas penyerang antarabangsa Bulgaria itu di Old Trafford tampak semakin berada di penghujung selepas hanya membuat 12 penampilan dalam saingan liga dan menjaringkan tujuh gol sepanjang musim lalu. Setahun sebelumnya, Berbatov dijulang sebagai wira apabila muncul penjaring terbanyak Liga Perdana (musim 2010/11) dimana ketika itu United berjaya memadamkan rekod Liverpool dengan muncul juara liga buat kali ke-19. Berbatov yang dibawa dari Tottenham Hotspurs dengan nilai perpindahan sebanyak 30 juta Pound pada 2008, melihat ini adalah masih terbaik buatnya mencari pasukan lain memandangkan dia kini bukan lagi pilihan utama Sir Alex Ferguson di barisan hadapan. Kontrak Berbatov bersama United juga berbaki hanya setahun sahaja lagi dan pada usia 31 tahun, penyerang itu dilihat agak terdesak mencari kelab yang boleh memberikan jaminan tempat untuknya dalam kesebelasan utama. Terdapat juga laporan menyebut bahawa United sudah meletakkan tanda harga sebanyak 10 juta Pound kepada mana-mana kelab yang mahu mendapatkan khidmat Berbatov musim hadapan. Sepanjang kariernya di Old Trafford, Berbatov menjaringkan 48 gol dari 108 penampilan dan berjaya membantu United memang dua kejuaraan liga (musim 2008/09 dan 2010/11). Walau bagaimanapun masa depan Berbatov bersama United mula menjadi persoalan selepas dia diketepikan ketika aksi final Liga Juara-Juara 2011 menentang Barcelona di Wembley. Glory Glory Manchester United!!! -AJ

15 Julai 2012

AJAX TIDAK BERMINAT JUAL ERIKSEN


Sumber dari Belanda mengesahkan bahawa Ajax Amsterdam tidak berhajat menjual tonggak tengah mereka, Christian Eriksen kepada Manchester United. Laporan-laporan media sebelum ini hangat mengatakan bahawa Sir Alex Ferguson berminat membawa pemain antarabangsa Denmark berusia 20 tahun itu ke Old Trafford, namun jurulatih Ajax, Frank de Boer mahu terus mengekalkan pemain tengah dengan bakat teknikal itu di Amsterdam Arena. Juara Eredivisie itu nyata tidak mahu kehilangan seorang lagi tonggak utama mereka selepas Jan Vertonghen melengkapkan perpindahannya ke Tottenham Hotspurs minggu lalu. Spekulasi tentang masa depan Eriksen di Amsterdam Arena mencetuskan tandatanya selepas Ajax mendapatkan Lasse Schone minggu lalu. Schone bekas pemain NEC  yang juga rakan senegara Eriksen merupakan pemain tengah, namun Ajax menegaskan, tujuan mereka mendapatkan Schone bukanlah untuk menggantikan tempat Eriksen. Spekulasi tentang perpindahan dan minat United terhadap Eriksen bertiup kencang sejak Januari lalu terutamanya selepas pertemuan kedua-dua pasukan di pentas Liga Europa. Gergasi Belanda itu bagaimanapun diberitakan mahu Eriksen menghabiskan baki kontraknya di Amsterdam Arena sehingga 2014. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

TAWARAN UNTUK MOURA DITOLAK


Tawaran Manchester United untuk mendapatkan khidmat Lucas Moura ditolak kelab pemain itu, Sao Paulo. Menurut Globo Esporte, United telah membuat tawaran bernilai 27 juta Pound untuk Moura sebelum mengadakan perbincangan dengan ejen pemain itu, Wagner Ribeiro dan Sao Paulo sendiri. United meningkatkan tawaran kepada 27 juta Pound selepas tawaran pertama mereka bernilai 16 juta Pound ditolak Sao Paulo. Moura dikatakan mempunyai klausa belian dalam kontraknya bernilai 67 juta Pound dan dipercayai Sao Paulo akan hanya melepaskan pemain itu jika menerima tawaran bernilai 40 juta Pound dari mana-mana kelab. Media-media di Brazil meramalkan United tidak akan meningkatkan bidaan mereka selepas tawaran kali kedua ini ditolak memandangkan mereka sendiri tidak bersedia mengeluarkan `perbelanjaan tidak masuk akal' untuk pemain yang hanya berusia 19 tahun. Presiden Sao Paulo sendiri dalam kenyataannya mengatakan bahawa mereka sedia mengambil risiko mengekalkan Moura dan menolak tawaran United. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

13 Julai 2012

DUA MASUK, DUA LAGI BAKAL MENYUSUL


Selepas memperkenalkan dua pemain baru (Shinji Kagawa dan Nick Powell), Sir Alex Ferguson mendedahkan bahawa beliau akan memasuki pasaran perpindahan semula sebelum bermulanya musim baru. Menurut Ferguson, kelab akan mendapatkan sekurang-kurangnya dua lagi pemain baru, tetapi bos United itu pantas menepis spekulasi yang mengaitkan kelab dengan pemain-pemain tertentu sebelum ini. Kejohanan Euro 2012 yang berlangsung baru-baru ini melambatkan usaha United mendapatkan pemain baru dan sebaik kejohanan empat tahun sekali itu berakhir, Ferguson yakin kelab akan mendapatkan seorang dari dua pemain yang telah mereka sasarkan sebelum ini dalam masa terdekat. Dalam kes Kagawa, rundingan dengan bekas kelab pemain itu, Borussia Dortmund berjalan selama beberapa minggu bagi mencari kesepakatan namun usaha mendapatkan Powell agak mudah selepas United mendapat kerjasama baik dari Dario Gradi (Pengarah Crewe Alexandra). Gradi mahu melihat karier Powell terus berkembang maju dan baginya United adalah tempat yang baik buat pemain muda itu. Powell mempunyai bentuk fizikal seperti Darren Fletcher yang tidak bermain sejak November lalu kerana masalah usus yang kronik dan Fletcher juga sudah dipastikan tidak sempat pulih untuk memulakan musim barunya bersama United. Bagaimanapun masih ada berita positif selepas seorang lagi pemain yang tersisih untuk jangka masa panjang, Anderson sudah sedia menyertai semula pasukan untuk perlawanan pra-musim nanti. Tahun ini, Anderson hanya tampil tiga perlawanan untuk United sebelum kembali tersisih kerana kecederaan lutut. Selepas tersisih agak lama, Anderson begitu teruja menyertai semula skuad utama dan berharap dia tidak lagi dibelenggu kecederaan musim hadapan. - AJ

KAGAWA BOLEH MAINKAN PERANAN UTAMA


Sir Alex Ferguson mengakui beliau masih kecewa atas kegagalan Manchester United mempertahankan kejuaraan liga musim lalu, namun masih ada senyuman pada wajahnya ketika sesi memperkenalkan dua pemain baru United semalam. Nick Powell pada usia 18 tahun masih perlukan masa untuk menjadi pemain yang lebih matang, tetapi Shinji Kagawa diharapkan dapat menyumbang sesuatu seperti apa yang dilakukannya ketika bersama Borussia Dortmund. Bekas pemain tengah Borussia Dortmund berusia 23 tahun itu adalah kekuatan utama disebalik kejayaan kelab itu muncul juara Bundesliga dua musim berturut-turut. Prestasi cemerlang Kagawa sepanjang dua musim bersama Dortmund menyakinkan Ferguson untuk membelanjakan 15 juta Pound kepada warga Jepun yang beliau percaya akan memberikan nafas baru kepada pasukannya. Jika rekod jaringan Kagawa di Bundesliga berjaya diteruskan, pemain ini boleh memainkan peranan utama dalam usaha United merampas semula kejuaraan liga dari seteru setempat mereka, Manchester City. Perlawanan pertama  liga cukup penting untuk Kagawa dan pastinya dinantikan dengan penuh minat oleh penyokong-penyokong United. Dengan apa yang telah dicapainya bersama Dortmund dan skuad kebangsaan Jepun, Kagawa dijangka tidak berdepan masalah menyesuaikan diri dalam formasi yang akan digunakan Ferguson nanti. Tidak keterlaluan juga ramai yang menjangka Kagawa boleh memberikan perbezaan besar kepada skuad The Red Devils berbanding prestasi mereka musim lalu. Malah sudah ada suara-suara `nakal' dari penyokong-penyokong United yang meletakkan Kagawa sebagai pemain penting United yang akan menerajui usaha merampas semula kejuaraan liga, sekaligus menutup mulut `jiran yang bising' itu. Musim depan, Ferguson dijangka meletakkan Kagawa di belakang penyerang utama, fungsi yang sama dimainkan Andres Iniesta bersama Barcelona. Jurulatih kebangsaan Jepun Alberto Zaccheroni tanpa ragu-ragu percaya, Kagawa adalah permata baru buat United. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

12 Julai 2012

FERGIE PASANG IMPIAN LIHAT GANDINGAN ROONEY/VAN PERSIE


Sir Alex Ferguson masih berharap untuk menandatangani penyerang Arsenal, Robin van Persie selepas pemain antarabangsa Belanda itu enggan menandatangani lanjutan kontrak baru bersama skuad The Gunners. Spekulasi tentang masa depan dan kelab mana yang bakal disertai van Persie terus mencetuskan  tandatanya di kalangan pemerhati dan peminat bolasepak sejak seminggu lalu. Di sebalik ketidak tentuan yang menyelubungi masa depan pemain itu, Ferguson memasang impian mahu membentuk gandingan menggerunkan antara Wayne Rooney dan van Persie musim hadapan. Biarpun menyedari van Persie turut menjadi sasaran Manchester City yang sudahpun menyelesaikan perpindahan Emmanuel Adebayor ke Tottenham Hotspurs, Ferguson tetap berharap beliau mampu membawa penjaring terbanyak Liga Perdana England musim lalu itu ke Old Trafford. Ramai pemerhati menjangkakan dasar penggiliran penyerang yang diamalkan Roberto Mancini akan mempengaruhi keputusan van Persie memilih kelab mana yang sesuai untuk disertainya. Meskipun setinggi mana minat yang ditunjukkan Ferguson ke atas penyerang itu, beliau sepertimana yang diketahui tetap enggan membayar sehingga 30 juta Pound untuk seorang pemain yang sudahpun berusia 29 tahun. Glory Glory Manchester United - AJ

10 Julai 2012

VIDIC AKAN SERTAI UNITED DI JELAJAH SCANDINAVIA


Nemanja Vidic diberitakan akan kembali menyertai pasukan dalam jelajah pra-musim di Scandinavia Ogos ini. Vidic terlepas aksi bersama United sejak Disember lalu kerana kecederaan teruk ligamen lutut ketika perlawanan menentang FC Basel di Liga Juara-Juara. Kapten United berusia 30 tahun itu kini hampir pulih selepas menjalani rawatan intensif dan sudahpun mula menjalani latihan tetapi dia tidak akan menyertai skuad United ke jelajah pra-musim di Afrika dan Asia, Julai ini. Vidic sebaliknya akan meneruskan program pemulihan di kompleks latihan United, di Carrington. Vidic dijangka akan hanya menyertai jelajah pra-musim United di Norway dan Sweden pada awal Ogos, ketika United dijadualkan menentang kelab Norway, Valerenga pada   5 Ogos di Oslo dan juara empat kali Liga Juara-Juara, Barcelona di Gothenburg pada 8 Ogos. Berita ini tentunya menggembirakan penyokong-penyokong United selepas kehilangan pertahanan berpengaruh itu sejak Disember lalu, dan ketiadaannya dikatakan menjadi penyebab utama United gagal mempertahankan kejuaraan Liga Perdana England kepada Manchester City menerusi perbezaan gol. Jonny Evans yang menggantikan Vidic berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik namun gandingan (Vidic) bersama Ro Ferdinand di bahagian tengah pertahanan tetap dirindui dan dinanti penyokong-penyokong United pada permulaan musim baru. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

09 Julai 2012

GIGGS KETUAI SKUAD GREAT BRITAIN


Veteran Manchester United, Ryan Giggs dinamakan sebagai ketua pasukan skuad bolasepak Great Britain di Sukan Olimpik London 2012. Giggs adalah antara tiga pemain lebih umur dalam skuad kendalian Stuart Pearce, bersama seorang lagi pemain Wales, Craig Bellamy dan Micah Richards. Giggs dalam kenyataanya selepas pemilihan tersebut mengatakan pengalaman adalah faktor utama mengapa dia dipilih mengetuai skuad bola sepak Great Britain yang beraksi buat pertama kali di sukan Olimpik sebagai satu pasukan. Giggs mempunyai 64 caps bersama skuad Wales dalam berbagai kejohanan sebelum mengambil keputusan bersara dari peringkat antarabangsa pada tahun 2007. Selain itu Giggs juga diiktiraf sebagai lagenda hidup di Old Trafford selepas berjaya membantu United memenangi 12 gelaran Liga Perdana England, lima Piala FA, dua mahkota Liga Juara-Juara dan sudahpun bermain lebih 900 perlawanan bersama skuad The Red Devils. Giggs dijangka akan mengetuai skuad Great Britain buat pertama kali dalam perlawanan persahabatan menentang skuad Olimpik Brazil  di Stadium Riverside pada 20 Julai ini. Meskipun memiliki beberapa pemain berpengalaman dalam pasukannya seperti Micah Richards yang pernah mengetuai Manchester City, Aaron Ramsey (kapten Wales) dan Craig Bellamy, Stuart Pearce menganggap Giggs adalah pilihan tepat dan lebih menonjol berbanding yang lain sebagai pemimpin di tengah padang. Menurut Pearce, Giggs memang layak memimpin skuad Great Britain dalam temasya sukan terbesar di dunia itu dan dia sendiri sudah tidak sabar untuk bekerjasama dengan lagenda United itu. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

07 Julai 2012

MOUTINHO SESUAI UNTUK RED DEVILS?


Joao Moutinho menambah satu lagi nama dalam senarai pemain yang hangat diperkatakan media akan menyertai Manchester United musim panas ini. Jika benarlah apa yang digembar-gemburkan media dan perpindahan Moutinho dari FC Porto ke United menjadi kenyataan, pemain antarabangsa Portugal itu akan menambahkan lagi sejumlah besar bakat dan pengalaman di bahagian tengah The Red Devils musim hadapan. Media-media di England mencanangkan bahawa United dan Porto sudah mengadakan perbincangan untuk membawa pemain berusia 25 tahun itu ke Old Trafford dengan tawaran sebanyak 25 juta Pound. Mengambil kira umurnya, Moutinho bolehlah dianggap pemain yang agak muda tetapi sudahpun mengaut pengalaman luas di peringkat kelab dan juga antarabangsa bersama skuad kebangsaan. Moutinho memenangi kejuaraan Primiera Liga bersama Porto dua musim berturut-turut (2010/11 dan 2011/12) serta Liga Europa musim 2010/11. Jika perpindahannya ke Old Trafford menjadi kenyataan, dia diramalkan akan memainkan peranan penting bersama kesebelasan Sir Alex Ferguson dalam misi merampas semula mahkota kejuaraan Liga Perdana dari Manchester City. Moutinho mempamerkan prestasi baik di Euro 2012 hingga menyaksikan Portugal berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir. Prestasi baik Moutinho di Euro dikatakan menjadi punca mengapa Ferguson begitu berminat membawanya ke Old Trafford bagi memperkuatkan jentera tengahnya. Sepanjang kempen Euro 2012, Moutinho dilihat begitu serasi bergandingan dengan Nani, dan keserasian ini diharapkan akan dapat diteruskan jika dia menyertai United (dan Nani pula tidak berhijrah ke pasukan lain sepertimana yang digembar-gemburkan). Bukan sahaja dianggap perancang yang berkemahiran, Moutinho juga merupakan pemain yang bagus ketika menyerang sepertimana dibuktikannya ketika bersama Porto dan Portugal. Dengan kualiti menyerang yang turut dimiliki United menerusi Nani, Antonio Valencia, Wayne Rooney dan pemain yang baru dibeli, Shinji Kagawa, penyertaan Moutinho bakal menambah lagi sengat dan variasi The Red Devils ketika melancarkan serangan. Di Porto, Moutinho adalah antara pemain yang memainkan peranan penting di sebalik kejayaan kelab itu memenangi kejuaraan Primiera Liga dua kali berturut-turut serta Liga Europa, dan gandingannya bersama pemain Brazil (Hulk) juga diiktiraf sebagai yang terbaik di Primiera Liga. Moutinho memiliki pengalaman dan bakat untuk menjadikan dia pemain yang ideal buat The Red Devils, dia juga adalah seorang pemenang dan pemain yang mampu menjadikan United lebih digeruni musim hadapan. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

JI-SUNG BAKAL SERTAI QPR


Penyokong-penyokong Manchester United sudah boleh bersedia untuk menyaksikan pemergian pemain tengah Korea Selatan, Park Ji-Sung selepas Queens Park Rangers mengemukakan tawaran sebanyak 5 juta Pound untuk mendapatkan pemain itu. United dijangka menerima tawaran QPR itu sekaligus menyaksikan karier Ji-Sung selama 7 tahun di Old Trafford bakal berakhir. Sumber terkini juga mengesahkan, Ji-Sung sudah menyatakan persetujuannya untuk menyertai kelab dari Loftus Road itu tetapi dengan nilai perpindahan 2 juta Pound. Ji-Sung sepanjang kariernya di Old Trafford antara pemain utama yang menjadi sandaran Sir Alex Ferguson terutamanya ketika berdepan perlawanan-perlawanan penting. Walau bagaimanapun sejak 18 bulan terakhir, kelibat Ji-Sung dalam skuad utama United jarang kelihatan dan musim ini juga menyaksikan dia lebih banyak menghabiskan masa di bangku simpanan. Selepas kerap disisihkan dari skuad utama, menyertai QPR adalah jalan terbaik buat Ji-Sung meneruskan kariernya di England. United dan QPR dikatakan memiliki hubungan yang akrab terutamanya selepas Mark Hughes dilantik sebagai pengurus mereka, hingga menyaksikan kelab Barat London itu turut berjaya mendapatkan seorang lagi bintang United iaitu Fabio da Silva sebagai pemain pinjaman. Ji-Sung menyertai United pada musim panas 2005 dari PSV Eindhoven dan sepanjang kariernya di Old Trafford, Ji-Sung sudah bermain sebanyak 203 kali dan menjaringkan 27 gol untuk United. Sepanjang tempoh 7 tahun, Ji-Sung juga berjaya membantu United memenangi 4 trofi Liga Perdana dan 1 trofi Liga Juara-Juara. Terima kasih Ji-Sung atas sumbangan anda selama 7 tahun di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!!

06 Julai 2012

VAN PERSIE ATAU MOURA


Kejayaan disenaraikan dalam bursa saham New York dan beban hutang yang ditanggung disebabkan pengambilalihan oleh keluarga Glazer pada 2005 menjadi antara fokus utama sejak beberapa hari lalu. Hutang yang masih ditanggung sebanyak 423 juta Pound menyebabkan ramai penyokong-penyokong United bimbang tentang kemampuan kelab bersaing bagi mendapatkan pemain terbaik pada pasaran perpindahan pemain musim panas ini. United menerima tamparan awal apabila mereka terlepas Eden Hazard kepada Chelsea, senario hampir sama yang mereka alami musim lalu apabila Samir Nasri akhirnya memilih Manchester City, walaupun pada awalnya pemain antarabangsa Perancis itu dikaitkan akan berhijrah ke Old Trafford. Kekecewaan penyokong-penyokong selepas United gagal mendapatkan khidmat Hazard sedikit terubat apabila kelab berjaya membawa masuk bekas perancang berpengaruh Borussia Dortmund, Shinji Kagawa dan pemain muda yang dilabel sebagai bintang masa hadapan England dari Crewe Alexandra, Nick Powell. Selepas Kagawa dan Powell, Ferguson beberapa hari lalu mengumumkan akan membawa masuk beberapa pemain lagi sekaligus menjanjikan ini adalah musim panas yang sibuk buat United. Semalam, media-media di England hangat mengatakan bahawa United akan turut bersaing dengan jiran mereka Manchester City dalam usaha mendapatkan penyerang Arsenal yang juga merupakan penjaring terbanyak musim lalu, Robin van Persie. Sebelumnya van Persie telah mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak berminat menyambung kontrak baru di Emirates, sekaligus membuka peluang buat United dan City memancing khidmat kapten Arsenal itu. Diberitakan bahawa bos United, Sir Alex Ferguson kali ini bertekad tidak mahu kegagalan mendapatkan tandatangan Nasri musim lalu berulang lagi dan mahu menyingkirkan City dalam perlumbaan mengejar kelibat van Persie.

Walau bagaimanapun masih timbul beberapa keraguan tentang usaha mendapatkan van Persie memandangkan usia pemain itu yang sudah menjangkau 29 tahun. Selepas menandatangani Dimitar Berbatov dengan harga 30 juta Pound pada 2008, United mengeluarkan polisi untuk tidak menawarkan kontrak lumayan kepada pemain berumur lebih dari 26 tahun. Timbul juga kebimbangan kelab mewah seperti City akan menggunakan kekuatan wang yang mereka miliki untuk mengumpan van Persie, sekaligus mengagalkan usaha Ferguson mendapatkan  penyerang yang diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia ketika ini. Jadi, penyokong-penyokong United mungkin boleh melupakan impian menyaksikan kelibat van Persie bergandingan dengan Wayne Rooney jika diambilkira kedua-dua faktor di atas. Untuk lebih realistik, lupakan sahaja van Persie sebaliknya tumpukan kepada kelibat pemain muda Sao Paulo, Lucas Moura yang dikatakan turut menarik minat United. Terdapat berita di England mengatakan bahawa United sudah menghantar delegasi mereka ke Sao Paulo bagi mengadakan perbincangan untuk mendapatkan pemain muda berusia 19 tahun itu. Bukan itu sahaja, United juga dikhabarkan sedia membayar sebanyak 30 juta Pound kepada Sao Paulo bagi merealisasikan perpindahan Moura ke Old Trafford. Jika Liga Perdana England mempunyai Theo Walcott, Brazil pula mempunyai Moura yang dilihat pemerhati dianugerahkan dengan skil individu dan bakat semulajadi mengagumkan. Moura diramalkan bakal muncul pemain yang digeruni satu hari nanti kerana selain bakat dan skil individu yang dimilikinya, pemain itu juga mengagumkan penyokong dan pemerhati dengan segala tipu helah ketika bola berada dikakinya. Ferguson sepertimana diketahui memang sudah lama meminati bakat serta gaya permainan Moura dan pemain muda ini menambahkan lagi senarai pemain yang disebut-sebut akan menyertai United musim panas ini. Glory Glory Manchester United!!! - AJ 

04 Julai 2012

UNITED DAN CHELSEA BERSAING DAPATKAN WITSEL


Manchester United meneruskan persaingan mereka dengan Chelsea untuk mendapatkan pemain Belgium selepas tewas kepada kelab London itu dalam perebutan mendapatkan Eden Hazard. Kali ini giliran Axel Witsel pula menjadi sasaran dua gergasi England itu selepas kelab pemain itu, Benfica mengeluarkan kenyataan mereka sedia mendengar tawaran dari mana-mana kelab untuk khidmat pemain tengah itu. Witsel yang menyertai Benfica dari Standard Liege musim lalu mengharungi tempoh hebatnya di Portugal apabila berjaya membantu kelab itu layak ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara. Benfica bagaimanapun hanya sedia melepaskan Witsel dengan harga permulaan 20 juta Pound, tiga kali ganda dari harga yang dibayar mereka kepada Standard Liege. Chelsea mungkin boleh menewaskan United sekali lagi dalam perebutan ini kerana mereka sudahpun memiliki empat pemain Belgium dalam skuad (Eden Hazard, Thibaut Courtois, Romelu Lukaku dan Kevin Bruyne), faktor yang mungkin boleh mendorong Witsel memilih Stamford Bridge sebagai destinasi seterusnya. Bagaimanapun kesungguhan Sir Alex Ferguson memperkuatkan barisan tengahnya bagi menghadapi musim depan boleh menjadi faktor utama untuk United memenangi saingan mendapatkan tandatangan pemain berusia 23 tahun itu. Glory Glory Manchester United!!!! - AJ

BERITA-BERITA LAIN:


FERGUSON AKUI AKAN TAMBAH PEMAIN BARU

Bos Manchester United, Sir AlexFerguson mengesahkan bahawa beliau akan menambah seorang atau dua lagi pemain baru pada pasaran perpindahan musim panas ini untuk memperkuatkan pasukannya. Sebelum ini The Red Devils sudahpun menandatangani Nick Powell dari Crewe Alexandra dan Shinji Kagawa dari Borussia Dortmund. Kini beberapa pemain baru dikaitkan dengan naib juara Liga Perdana England itu, antaranya ialah Leighton Baines (Everton) dan Joao Moutinho (FC Porto). Ferguson pada dasarnya gembira dengan aktiviti kelabnya dalam pasaran perpindahan musim panas ini, namun menegaskan untuk mendapatkan pemain baru adalah proses yang cukup rumit dan memerlukan tempoh waktu yang panjang. United terpaksa menghabiskan masa yang banyak ketika mengadakan rundingan dengan Borussia Dortmund bagi mendapatkan mendapatkan Kagawa, manakala Powell pula setuju menyertai United sebelum berlangsungnya perlawanan play-off League One antara Crewe dan Cheltenham di Wembley.

FERGUSON BERANG CARA POGBA TINGGALKAN UNITED

Dia dilabelkan sebagai bintang masa hadapan Manchester United selepas berpindah ke Old Trafford dari kelab Perancis, Le Havre pada 2009. Bagaimanapun jodoh Paul Pogba bersama United hanya bertahan selama 3 tahun sahaja selepas dia secara rasmi menyertai Juventus, keputusan yang nyata menimbulkan kemarahan Sir Alex Ferguson. United sudahpun mengumumkan secara rasmi, pemain berusia 19 tahun ini akan menyertai juara Serie A, Juventus musim depan dan Ferguson tidak perlu mengambil masa yang lama untuk melepaskan kemarahannya melalui kenyataan yang dibuat di MUTV. Ferguson nyata kecewa dengan keputusan Pogba menyertai Juventus yang dianggapnya tidak menghormati kelab. Dengan nada sinis, Ferguson mengatakan bahawa beliau `gembira' melihat pemain muda itu keluar dari Old Trafford. Keputusan Pogba menyertai Juventus mungkin dipengaruhi rasa kecewa pemain itu kerana jarang diturunkan dalam skuad utama United. Sepanjang musim 2011/12, Pogba hanya membuat 7 penampilan dalam saingan Liga Perdana England.


NOMBOR 7 UNTUK VALENCIA


Selepas Michael Owen meninggalkan Manchester United, jersi keramat nombor 7 yang disarung lagenda-lagenda The Red Devils sebelum ini bakal diserahkan kepada Luis Antonio Valencia. Valencia yang sebelumnya mengenakan jersi nombor 25 disahkan akan menyarung jersi nombor 7 yang pernah digunakan George Best, Bryan Robson, Eric Cantona, David Beckham, Cristiano Ronaldo dan Owen musim depan. Sebelum itu pemain baru United, Shinji Kagawa telah ditawarkan menggunakan nombor tersebut namun bekas pemain Borussia Dortmund itu menolaknya. Akhirnya Valencia yang muncul antara watak penting dalam skuad United musim lalu sehingga dipilih Pemain Terbaik Tahunan United melalui undian yang dibuat oleh rakan-rakan sepasukan dan penyokong-penyokong United, diberikan amanah besar menyarung jersi keramat nombor 7 itu. Kagawa sendiri akan menggunakan jersi nombor 26 yang kali terakhir dipakai Gabriel Obertan sebelum berhijrah ke Newcastle United sementara Nick Powell pula akan menggunakan jersi nombor 25 yang pernah digunakan Valencia.