Sir Alex Ferguson membayangkan bahawa beliau akan terus memberi kesempatan buat Bebe membuktikan keupayaannya bersama Manchester United. Ferguson mengejutkan ramai pihak ketika beliau menandatangani pemain berasal dari Portugal itu dua tahun lalu ketika ada dakwaan mengatakan bos United itu tidak pernah menyaksikan permainan Bebe secara langsung. Kegagalan menempatkan diri dalam skuad utama menyaksikan Bebe dipinjamkan ke kelab Turki, Besiktas sepanjang musim lalu. Bekas pemain U-21 Portugal itu bagaimanapun diberikan kesempatan menyertai skuad dalam jelajah pra-musim United di Afrika Selatan, dan pemain itu membalas kepercyaan yang diberikan dengan menjaringkan gol penyamaan di penghujung pemainan untuk mengikat Ajax Cape Town 1-1. Ini merupakan perlawanan kedua United di Afrika Selatan selepas mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas AmaZulu FC pada perlawanan pertama 18 Jul lalu. Selepas tidak bermain hampir lapan bulan kerana mengalami kecederaan, Bebe memilih waktu yang tepat pada penampilan pertamanya untuk menjaringkan gol penyamaan sekaligus menafikan hajat tuan rumah untuk melakukan kejutan. Biarpun cuma perlawanan persahabatan, jaringan Bebe dianggap penting buat pemain itu mengembalikan semula keyakinannya selepas berehat panjang. Meskipun hampir tewas, Ferguson tetap berpuashati dengan penampilan pasukannya terutama pemain-pemain muda yang diturunkan dalam perlawanan itu. Menurut Ferguson, Ajax berjaya memberikan tekanan ke atas pasukannya sepanjang perlawanan dan menganggap ianya cukup bagus untuk pendedahan pemain-pemain muda. Perlawanan ini juga menyaksikan Shinji Kagawa diturunkan dalam kesebelasan utama selepas hanya bermain di separuh masa kedua pada perlawanan pertama menentang AmaZulu tempohari. Glory Glory Manchester United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan