29 Julai 2012

GAGAL DAPAT MOURA, SIAPA SASARAN SETERUSNYA?


Selepas menemui jalan buntu dalam usaha mendapatkan Lucas Moura, Manchester United sudah boleh menumpukan usaha mereka kepada sasaran lain untuk memperbaiki skuad bagi menghadapi saingan musim depan. Bagi kelab seperti Manchester United, memang selalunya akan ada pilihan lain dalam pasaran perpindahan pemain disebabkan sejarah dan tradisi kelab disamping kejayaan besar khususnya semasa era Sir Alex Ferguson sebagai pengurus. Jenama Manchester United sendiri sudah cukup terkenal di serata dunia dan ramai pemain sudah memahami bahawa adalah menjadi satu penghormatan buat mereka jika dapat menyertai kelab seperti United. Walau bagaimanapun dengan beban kewangan yang menimpa akibat hutang yang ditanggung pemilik (keluarga Glazer) semasa mengambilalih kelab tujuh tahun yang lalu, Manchester United mungkin tidak mampu bersaing dengan pencabar-pencabar lain seperti Chelsea dan Manchester City dalam pasaran perpindahan. Kebanyakan pemain mungkin lebih memilih Manchester City dan Chelsea atau kelab-kelab yang dimiliki jutawan minyak dari Timur Tengah seperti Paris Saint Germain atas faktor tawaran gaji yang lebih lumayan. Kelab seperti City dan Chelsea menjadikan pasaran perpindahan semakin gila dengan tawaran-tawaran tidak masuk akal terhadap pemain yang ingin mereka tandatangani, hingga menyebabkan yuran perpindahan pemain melambung setiap tahun. Bagi mengimbangi kekuatan kedua-dua seteru domestik mereka itu (City dan Chelsea), Sir Alex Ferguson meskipun dibelenggu kekangan kewangan tetap berjaya mendapatkan bekas bintang Borussia Dortmund, Shinji Kagawa selain cuba mengejar Lucas Moura dengan tawaran lumayan.

Yann M'Vila
Meskipun usaha mendapatkan Moura dilihat sudah berakhir, Ferguson diyakini akan mencari sasaran lain sebagai alternatif dan pilihan pertama untuk memastikan penyokong gembira ialah dengan menandatangani penyerang Arsenal, Robin Van Persie. Bagaimanapun Van Persie yang akan berusia 29 tahun beberapa hari lagi bukanlah perpindahan yang baik untuk tempoh jangka panjang buat United. Penyerang antarabangsa Belanda itu mungkin akan memberikan impak buat tempoh satu atau dua tahun sebelum prestasinya menurun kerana faktor usia. Sejarah kecederaan Van Persie juga patut diberi perhatian kerana sebahagian besar kariernya bersama Arsenal dihabiskan di dalam bilik rawatan. Kedatangan Van Persie tentunya akan menghadkan peluang pemain muda seperti Chicharito untuk lebih menyerlah dan yang lebih penting ialah mungkin menyebabkan Danny Welbeck berfikir dua kali sebelum menandatangani kontrak baru bersama United. Van Persie memang diakui pemain yang bagus serta bintang bertaraf dunia dan kehadiran pemain itu tentunya akan memantapkan lagi skuad terutamanya di bahagian hadapan, namun terdapat posisi yang lebih penting untuk diperkuatkan terutamanya di bahagian tengah. Krisis kesihatan Darren Fletcher membuatkan masa depannya kian menimbulkan persoalan, manakala prestasi tidak konsisten Anderson sentiasa menimbulkan keresahan dikalangan penyokong-penyokong hingga United terpaksa bergantung kepada veteran seperti Paul Scholes dan Michael Carrick menjana bahagian tengah musim lalu. Satu nama yang sering dikaitkan dengan United ialah Luka Modric, namun sehingga awal minggu ini pemain Tottenham Hotspurs itu kelihatan seolah-olah sudah semakin hampir menyertai Real Madrid bagi menggantikan Kaka yang diberitakan akan pulang semula ke pangkuan AC Milan. Sejak Roy Keane meninggalkan pasukan pada 2005, United kehilangan `pemusnah' di bahagian tengah dan pemain yang dilihat punya potensi menggantikan tempat Keane ialah Yann M'Vila. Dengan tawaran sebanyak 12 juta Pound, M'Vila mungkin sudah bersedia meninggalkan Stade Rennais. Pemain yang turut menjadi sasaran Arsene Wenger itu mempunyai corak permainan persis gaya lagenda Arsenal sendiri, Patrick Vieira atau Yaya Toure di Manchester City.

Leighton Baines
Satu lagi posisi yang sepatutnya diberikan perhatian oleh Ferguson ialah di sebelah kiri pertahanannya. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, posisi tersebut didominasi sepenuhnya oleh Patrice Evra namun prestasi Evra musim lalu dilihat sedikit menurun dan mula hilang kepantasan, mungkin disebabkan faktor umur. Dengan Fabio da Silva pula dipinjamkan ke QPR, Ferguson perlu mencari pelapis berpotensi bagi menggantikan Evra sekiranya pemain itu ditimpa kecederaan atau mengalami kemerosotan prestasi. Nama yang sering dikaitkan menjadi sasaran nombor satu Ferguson di posisi tersebut ialah bintang Everton, Leighton Baines. Walau bagaimanapun, Everton dikatakan mahu yuran perpindahan hingga mencecah 15 juta Pound jika United berhajat mendapatkan tandatangan Baines. Nilai itu sebenarnya bukanlah nilai setimpal untuk pemain seperti Baines, biarpun dia diakui tonggak utama Everton sejak beberapa tahun terakhir. Meskipun prestasi Evra sepanjang musim lalu menjadi pertikaian sesetengah pihak, namun pemain itu dilihat masih antara pemain pertahanan kiri terbaik di Liga Perdana dan Baines sendiri tentunya tidak mahu berhijrah ke Old Trafford sebagai pilihan kedua di belakang Evra. Dengan situasi yang disebutkan di atas, apakah ada kemunginan Ferguson sudah berpuashati dengan barisan yang dimilikinya ketika ini? Atau akan adakah lagi pemain baru yang akan dibawa masuk oleh bos United itu? Gagal mendapatkan pemain yang disasarkan seperti Lucas Moura kerana yuran perpindahan tidak masuk akal, tetapi beliau sudah memiliki Shinji Kagawa dan Nick Powell. Ada kebarangkalian pengendali berpengalaman itu terpaksa membulatkan tekad untuk berdepan cabaran Chelsea dan Manchester City yang berbelanja besar dengan barisan pemain sedia ada. Penyokong-penyokong United meskipun berharap Ferguson akan menandatangani beberapa pemain lain selepas Kagawa dan Powell perlu bersikap realistik, kelab tidak mampu bersaing dengan Manchester City dan Chelsea dari segi kekuatan kewangan. Penyokong mungkin berharap akan ada keajaiban dalam soal perpindahan Lucas Moura memandangkan Brazil akan bermain di Old Trafford dalam perlawanan bolasepak Sukan Olimpik bagi Kumpulan A. Mungkin kesempatan itu boleh digunakan pihak pengurusan United bagi mendekati Moura dan meneruskan perbincangan dengan ejen pemain itu. Namun, penyokong-penyokong United juga perlu bersedia jika ditakdirkan tiada pemain lain yang ditandatangani musim panas ini selepas Shinji Kagawa dan Nick Powell. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan