Ryan Giggs akan mengetuai skuad Great Britain (GB) malam ini dengan semangat Olimpik dan melihat ini adalah peluang terakhir untuk dirinya memenangi sesuatu dalam kejohanan besar. Selepas gagal membawa Wales ke kejohanan besar seperti Piala Dunia dan Kejohanan Eropah (Euro), lagenda hidup Manchester United itu mengintai peluang untuk membawa skuad GB memenangi pingat, tidak mengira apa warna sekalipun. Giggs memang diakui cukup berjaya di peringkat kelab bersama United dengan deretan pingat, trofi dan penghargaan individu yang diterimanya namun kemarau di peringkat antarabangsa, meskipun dia diiktiraf antara pemain bolasepak paling berbakat pernah dilahirkan. Ramai yang mengatakan adalah amat merugikan apabila bakat hebat seperti Giggs lahir di Wales dan bukannya di negara-negara kuasa besar bolasepak lain seperti Jerman, Sepanyol, Itali atau England sendiri. Namun, hari ini Giggs sudah bersedia untuk mengubah nasibnya di peringkat antarabangsa apabila GB dijadualkan berdepan Senegal dalam perlawanan pembukaan bolasepak sukan Olimpik bagi kumpulan A di Old Trafford. Ini merupakan langkah pertama Giggs dalam merealisasikan impiannya untuk memimpin GB ke perlawanan akhir merebut pingat emas Olimpik di Wembley pada 11 Ogos nanti. Penampilan pertama Giggs untuk Wales berlaku 21 tahun lalu dan dia mengakui seseorang pemain tidak boleh mengharapkan kerjaya mereka dimulakan dengan memenangi pingat emas Olimpik, tetapi sebaliknya mereka perlu memenangi kejuaraan liga, Piala FA dan Piala Eropah. Meskipun masih mengakui dia agak kecewa kerana gagal bermain di kejohanan-kejohanan utama antarabangsa yang lain, tetapi peluang beraksi di pentas Olimpik menyebabkannya begitu teruja. Melihat pada kualiti milik skuad GB, Giggs yakin pasukan yang diketuainya itu mampu melangkah jauh, dan misi melangkah ke perlawanan akhir adalah satu cabaran besar buat dirinya. Giggs mengetuai skuad GB dengan restu sifunya di Old Trafford, Sir Alex Ferguson yang ketika ini berada di China bersama-sama skuad United dalam siri jelajah pra-musim mereka di Asia selepas lawatan di Afrika Selatan minggu lalu. Semangat Olimpik nyata membuatkan Giggs berasa seperti pemain muda meskipun usianya sekali ganda dari rakan sepasukan GB iaitu penjaga gol Birmingham, Jack Butland yang baru berusia 19 tahun. Tanggung jawab sebagai kapten dan memberi bimbingan kepada pemain muda bukanlah sesuatu yang asing buat Giggs, kerana dia juga memainkan peranan yang sama ketika bersama United. Menurut Giggs, keluar bersiar-siar di perkampungan Olimpik sambil menyaksikan dan berkenalan dengan atlet-atlet dari sukan lain adalah satu pengalaman baru buatnya yang tidak diperolehinya ketika bersama skuad kebangsaan Wales dan United. Selain Giggs, pemain United yang turut berada dalam skuad Stuart Pearce ini ialah Tom Cleverley. Glory Glory Manchester United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan