25 Julai 2012

FERGIE NAMAKAN CHELSEA SEBAGAI PENCABAR UTAMA


Sir Alex Ferguson menamakan Chelsea sebagai pencabar utama dalam perebutan gelaran musim depan, namun menegaskan United sudah bersedia menangani sebarang cabaran dari mana-mana pasukan. Chelsea dijangka melepasi tahap 60 juta Pound dalam perbelanjaan mereka minggu ini selepas hampir mencapai kesepakatan dalam usaha  menandatangani pemain Brazil, Oscar. The Blues sebelumnya sudah berjaya mengikat Eden Hazard dan Marko Marin dalam usaha memperkuatkan skuad mereka musim depan. Ferguson yang sedang berusaha mengikat pemain muda Brazil, Lucas Moura dengan nilai 26 juta Pound tetap percaya dengan cabaran yang bakal dilontarkan United musim depan dan tidak akan berdiam diri dalam usaha mendapatkan pemain sasarannya untuk dibawa ke Old Trafford. Roman Abramovich dilihat begitu bersemangat selepas kejayaan Chelsea memenangi dua kejuaraan utama musim lalu (Liga Juara-Juara dan Piala FA), jadi tidak hairanlah jika jutawan Russia itu tampak bernafsu dalam pasaran perpindahan pemain musim panas ini. Bagi mengimbangi keghairahan Chelsea, Ferguson menegaskan bahawa United tidak akan hanya berpeluk tubuh dan sedang berusaha keras untuk mendapatkan pemain-pemain baru selepas kejayaan mereka mendapatkan Shinji Kagawa dan Nick Powell. Terkini, United diberitakan sudah meningkatkan tawaran mereka kepada 40 juta Pound bagi mendapatkan khidmat Moura sekaligus membuktikan betapa tingginya minat Ferguson terhadap pemain muda Brazil itu. Walau bagaimanapun ini adalah tawaran terakhir United ke atas Moura dan jika ditolak, kelab akan menghentikan usaha mereka dan mencari pemain lain sebagai alternatif. Glory Glory Manchester United - AJ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan