Jika penyokong-penyokong Chelsea berbangga
kerana memiliki The Special One
selaku pengendali kelab kesayangan mereka, penyokong-penyokong United pula apa
kurangnya kerana mereka ada The Chosen
One (David Moyes). Pada peringkat awal kedatangan The Chosen One di Old Trafford, segala-galanya saya lihat tampak
bagus dan berjalan lancar buat David Moyes. Siapa sangka dari deretan nama-nama
besar yang dikaitkan sebagai pengganti Sir Alex Ferguson, Moyes dari kelab
pertengahan Liga Perdana (Everton) akhirnya terpilih dan bertuah mengisi
kekosongan lagenda itu yang mengambil keputusan untuk bersara selepas 27 tahun
mengemudi kelab meraih berbagai trofi kejuaraan. Majoriti penyokong-penyokong
United menyambut baik ketika namanya diumumkan secara rasmi selaku pengurus baharu
United lantas memberikan gelaran The
Choosen One buat beliau. Bermula dengan kempen pra musim di Australia dan
Asia yang berjalan lancar, Moyes kemudiannya berjaya mengemudi The Red Devils menjulang trofi Perisai
Komuniti selepas mereka menewaskan juara Piala FA musim lalu, Wigan Athletic
2-0 di Wembley. United di bawah kendalian Moyes memulakan kempen liga musim ini
dengan begitu menyakinkan apabila membelasah Swansea City 4-1 di gelanggang
lawan sekaligus memberikan harapan kepada kita bahawa The Red Devils tidak hilang bisanya walaupun Sir Alex sudah
berundur. Walaupun berjaya memaksa Chelsea seri tanpa jaringan ketika skuad
kendalian Jose Mourinho itu bertandang ke Old Trafford pada perlawanan kedua
liga. kelemahan United mula didedahkan Liverpool selepas mereka tewas 0-1
kepada seteru tradisi itu di Anfield.
Aksi di Anfield pada 1 September tahun lalu
itu sedikit sebanyak mula menampakkan kelemahan United walaupun mereka kemudiannya
bangkit memenangi dua perlawanan selepas itu ketika menewaskan Crystal Palace
dan Bayern Leverkusen (Liga Juara-Juara). Teka teki tentang kemampuan sebenar
United untuk bersaing musim ini selepas ditinggalkan Sir Alex akhirnya terjawab
apabila mereka dibelasah 1-4 dalam aksi derby
Manchester di Stadium Etihad September lalu. Bukan sahaja tewas dengan jaringan
besar tetapi keseluruhan statistik selepas perlawanan jauh menyebelahi City
hingga menyebabkan United tampak seperti beberapa langkah di belakang jiran
sekota mereka itu. Enam bulan selepas itu, City di bawah kendalian Manuel
Pellegrini sekali lagi membuktikan bahawa mereka pasukan yang jauh lebih baik
berbanding United apabila muncul pasukan ketujuh musim ini yang berjaya mengutip
tiga mata penuh di Old Trafford. Kekalahan kepada City sekali lagi menerusi margin
jaringan yang besar menyebabkan tahap kesabaran penyokong-penyokong United
terhadap Moyes semakin tipis. Selepas mengharungi 31 perlawanan, United kini
terperosok di tangga ketujuh liga, 12 mata di belakang Arsenal yang menghuni
tangga keempat sekaligus menyebabkan peluang layak ke Liga Juara-Juara musim
depan semakin mustahil. Selama hampir lapan bulan mengemudi United, beberapa
rekod kelab sudah berjaya 'dipecahkan' Moyes dan saya percaya catatan buruk yang
saya senaraikan di bawah akan bertambah panjang sebaik musim 2013-14 melabuhkan
tirainya Mei ini.
Rekod Buruk United Di Bawah Moyes:
#1 United hampir pasti menamatkan saingan musim
ini dengan kutipan mata terendah di era Liga Perdana.
#2 Prestasi
United ketika beraksi di gelanggang sendiri musim ini adalah yang terburuk
dalam tempoh satu dekad.
#3 Buat pertama kalinya sejak 2001, United
mengalami tiga kali kekalahan berturut-turut (dalam semua kejohanan).
#4 Kalah kepada Swansea City di Old Trafford
buat pertama kali dalam sejarah pertemuan kedua-dua pasukan.
#5 Kalah kepada Newcastle United di Old
Trafford buat pertama kali sejak 1972.
#6 Kalah kepada West Bromwich Albion di Old
Trafford buat pertama kali sejak 1978.
#7 Kalah kepada Stoke City buat pertama kali dalam saingan liga sejak 1984.
#8 Pertama kali dalam sejarah Liga Perdana,
United kalah di gelanggang sendiri dan lawan ketika berdepan Manchester City.
#9 Edin Dzeko muncul pemain pertama membolosi
gawang United di minit pertama ketika bermain di Old Trafford sejak era Liga
Perdana.
Catatan buruk di atas mungkin hanya
sebahagian dari rekod-rekod yang berjaya 'dipecahkan' Moyes tetapi fakta bahawa
setakat ini United hanya mampu menang sekali dari 13 perlawanan menentang kelab-kelab
yang berada di kedudukan sembilan teratas cukup menggambarkan bahawa The Red Devils sudah terlalu jauh dari
prestasi yang membolehkan mereka menjulang kejuaraan liga buat kali ke-20 musim
lalu. Hanya Arsenal satu-satunya kelab dari kelompok sembilan teratas yang
berjaya ditewaskan United, itupun dengan jaringan 1-0 ketika beraksi di Old
Trafford pada 11 November lalu. Ketika ini kredibiliti Moyes memang teruk
dipertikaikan terutamanya dari kalangan penyokong-penyokong United sendiri
tetapi saya percaya apa yang dilakukannya selama 11 tahun di Goodison Park
antara faktor utama mengapa Sir Alex Ferguson memilih beliau sebagai
penggantinya. Saya tidak nafikan Moyes cukup berjaya ketika mengendalikan Everton,
ditambah pula dengan peruntukkan kewangan terhad yang diberikan kepadanya setiap
musim namun beliau masih mampu menjadikan The
Toffees antara kelab disegani di Liga Perdana. Bagaimanapun seperti yang
saya sebutkan dalam artikel-artikel (berkaitan prestasi United di bawah
kendalian Moyes) sebelum ini, United dan Everton adalah dua 'dunia' yang
terlalu jauh berbeza baik dari segi kewangan, kualiti pemain, prasarana dan
dokongan penyokong-penyokongnya. Ironinya, Everton yang ditinggalkan Moyes kini
berada dua anak tangga di hadapan United malah mereka masih berpeluang cerah
merebut salah satu slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan.
£64 juta yang sudah dibelanjakan untuk
mendapatkan Marouane Fellaini dan Juan Mata nampaknya masih belum mampu
mengubah nasib United, jadi tidak hairanlah mengapa Paul Scholes (selepas
berakhirnya perlawanan menentang Manchester City) melabelkan Moyes sebagai
individu yang tidak tahu bagaimana mahu memaksimakan potensi sebenar milik
pemain-pemainnya. Tambah melukakan apabila Gary Neville pula meletakkan standard Machester City sudah jauh
melangkaui bekas kelabnya itu sebaik melihat The Citizens menang bergaya di Old Trafford, Rabu lalu. Suka atau
tidak saya terpaksa mengakui kebenaran kata-kata Neville itu jika melihat
kepada aksi longgar yang dipamerkan anak-anak buah Moyes ketika berdepan City.
Moyes meletakkan Marouane Fellaini, Juan Mata, Tom Cleverley dan Michael
Carrick di bahagian tengah bagi mengimbangi kekuatan yang ada pada Yaya Toure,
Jesus Navas, David Silva dan Samir Nasri. Cleverley sungguh mengecewakan dan kelihatan
seperti tidak bermaya sepanjang babak pertama sebelum digantikan Shinji Kagawa,
manakala Fellaini pula seolah-olah kebingungan dalam memainkan peranannya di
bahagian tengah. Di bahagian hadapan pula, ketiadaan Robin Van Persie
menyebabkan Wayne Rooney terpaksa bergerak sendirian tanpa mendapat sokongan
secukupnya dari Danny Welbeck. Pengulas perlawanan United/City mengatakan bahawa
jarak kawalan antara pemain yang begitu longgar membolehkan City mudah
mengeksploitasi kelemahan itu hinggakan Samir Nasri kelihatan seolah-olah
sedang 'menari' di tengah padang.
Beraksi longgar tanpa koordinasi tepat dan berdepan
pula dengan pasukan punya kualiti seperti City, apa yang mampu anda lakukan sebagai
penyokong hanyalah berharap agar gawang United tidak dibolosi lebih banyak gol.
Jika persembahan sama dipamerkan anak-anak buah Moyes ketika berdepan Bayern
Munich Rabu nanti, percayalah bahawa kita tidak perlu menunggu hingga
perlawanan kedua di Allianz Arena kerana kempen suku akhir Liga Juara-Juara United
akan berakhir sebaik tamatnya perlawanan di Old Trafford. Dengan kontrak lima
tahun yang dimiliki Moyes dan perkhabaran terbaru bahawa beliau akan terus
diberikan kepercayaan selaku pengendali untuk musim hadapan, kumpulan yang
sering mengkritik beliau nampaknya terpaksalah melupakan hasrat mahu melihat sebarang
tindakan drastik dilakukan pihak pengurusan kelab dalam tempoh terdekat. Melihat
kepada sokongan yang masih diberikan oleh pihak pengurusan terhadap beliau dan pengalaman
yang dimiliki United ketika menangani Sir Alex semasa peringkat awal karier
pengurusannya di Old Trafford, saya percaya Moyes akan kekal di pejabatnya hingga
musim hadapan. Tepat atau tidak keputusan yang dilakukan pihak pengurusan (jika
benar mereka mahu mengekalkan Moyes hingga musim hadapan), bagi saya itu adalah persoalan
kedua. Persoalan paling besar yang sedang berlegar-legar di fikiran
saya ketika ini ialah adakah memang benar sosok bernama David Moyes itu The Chosen One ataupun Sir Alex
sebenarnya memilih individu yang salah (Wrong
One) ketika beliau menamakan penggantinya Mei lalu? Glory Glory Manchester
United!!! – A.J
Artikel Berkaitan: