Jamie Redknapp mengatakan Manchester United
berdepan tugas sukar selepas diundi berdepan juara bertahan Bayern Munich di
peringkat suku akhir Liga Juara-Juara kelmarin. Saya setuju dengan apa yang
dikatakan bekas pemain Liverpool itu malah saya juga menganggap bahawa Bayern
adalah kelab terbaik Eropah dan dunia ketika ini. Jadi tidak hairanlah mengapa
kelab Bavaria itu muncul lawan yang cuba dielak oleh mana-mana pasukan sebelum
undian peringkat suku akhir dilakukan. Bayern memang pasukan pilihan dan saya
masih lagi terbayang kejayaan mereka menyingkirkan Barcelona menerusi perbezaan
aggregat yang besar (7-0) di peringkat separuh akhir edisi musim lalu. Bagaimanapun
suka saya ingatkan di peringkat seperti ini, tiada lawan yang mudah buat United
dan tujuh lagi pasukan yang berada di peringkat suku akhir. Lapan pasukan yang
berada di peringkat ini adalah lapan yang terbaik di Eropah walaupun ramai yang
mengatakan United sekadar bernasib baik kerana berjaya lolos hingga sejauh ini.
Bayern pasukan pilihan yang sudahpun ditentukan menjadi lawan United di
peringkat suku akhir dan suka atau tidak kita sebagai penyokong terpaksa
menerima hakikat ini. Tiada bezanya jika United diundi berdepan Barcelona, Real
Madrid, Borussia Dortmund, Atletico Madrid, Chelsea atau Paris St Germain sekalipun
kerana dalam situasi sekarang pilihan semakin terhad. Bayern diletakkan sebagai
pilihan tetapi ada dua perlawanan yang memisahkan kedua-dua pasukan dari slot
separuh akhir.
Segala kemungkinan boleh berlaku di Old
Trafford dan Allianz Arena, jadi saya akan cuba bersikap optimis dan menganggap
bahawa peluang kedua-dua pasukan masih terbuka selagi wisel penamat perlawanan
kedua pada 10 April nanti belum ditiup pengadil perlawanan. Arjen Robben
mengatakan pertembungan pasukannya dengan United nanti pasti menarik, manakala
pihak pengurusan Bayern sendiri biarpun mengakui mereka adalah pasukan pilihan
tetap menganggap The Red Devils
pasukan yang berbahaya dengan adanya sosok pemain-pemain seperti Wayne Rooney
dan Robin Van Persie. Berbekalkan prestasi terumbang-ambing, ramai pihak
melihat undian menentang Bayern adalah malapetaka kepada barisan kendalian
David Moyes tetapi saya tetap percaya keajaiban dalam bolasepak boleh berlaku
pada bila-bila masa dan tanpa mengira tempat. Peluang menentang Bayern saya
anggap sebagai peluang paling baik untuk Moyes dan anak-anak buahnya memadamkan
segala catatan buruk mereka sepanjang tujuh bulan terakhir. Saya yakin segala
kecaman yang dilemparkan penyokong-penyokong terhadap Moyes selama ini akan
terpadam dengan sendirinya sekiranya United berjaya menyingkirkan Bayern
dari saingan Liga Juara-Juara. Tidak kiralah taktik apa sekalipun yang ingin
digunakan Moyes kerana dalam situasi sekarang, penyokong-penyokong hanya
mahukan keputusan postitif di akhir perlawanan bukannya statistik penguasaan
bola di tengah padang.
Bayern memang pasukan yang hebat tetapi
mereka bukanlah cukup sempurna untuk mustahil dikalahkan oleh mana-mana
pasukan. Dengan percaturan serta strategi yang tepat, juara dunia itu tidak
mustahil boleh dikalahkan jadi saya berharap sehingga 2 April nanti, Moyes
memiliki tempoh yang mencukupi bagi mengkaji sebarang kelemahan lawan untuk
dieksploitasikan. Bertahan dan kemudiannya melakukan serang balas pantas adalah
strategi biasa yang dilakukan oleh pasukan underdog
dan saya yakin taktik itulah yang akan digunakan Moyes di Old Trafford dan
Allianz Arena nanti. Melihat kepada persembahan baik yang dipamerkan Ryan Giggs
ketika berdepan Olympiacos tempohari, saya berpendapat bintang veteran itu
patut ada dalam senarai kesebelasan utama pada 2 April bersama Michael Carrick
dan Marouane Fellaini yang memiliki kualiti bertahan bagus jika Moyes memilih counter attack sebagai senjata utama
dalam strategi permainannya. Tidak bermain selama tujuh minggu langsung tidak
menyebabkan Giggs 'berkarat' malah beliau menggunakan segala pengalaman dan kreativitinya
untuk membantu United memadam defisit dua gol milik Olympiacos sekaligus layak
ke suku akhir. Dua hantaran yang dilakukannya menjadi punca kepada dua gol
United, jadi fahamlah saya mengapa Gary Neville mempersoalkan tindakan Moyes
yang lebih gemar 'menyimpan' Giggs berbanding meletakkannya di atas padang.
Fellaini pula hanya bermain selama empat
minit Khamis lalu dan saya kira agak merugikan jika beliau tidak digunakan
sepenuhnya dalam perlawanan penting seperti ini (berdepan Bayern) selepas kelab
melakukan pelaburan sebanyak £27 juta untuk membawanya keluar dari Goodison
Park musim panas lalu. Alternatif lain di bahagian tengah sudah tentu saya
memilih Phil Jones yang berjaya memainkan peranannya dengan berkesan dalam percaturan
taktikal Sir Alex Ferguson semasa berdepan Real Madrid musim lalu. Bayern di
bawah kendalian Pep Guardiola samalah seperti Barcelona ketika beliau bersama
kelab Catalan itu, jadi tidak sukar untuk meneka bahawa penguasaan bola akan
menjadi milik mutlak mereka pada kedua-dua perlawanan itu nanti. Apa yang
diperlukan bagi menangani pasukan yang bermain secara possession football ini ialah kesabaran dan dalam masa yang sama
tidak hilang fokus ketika bertahan, manakala selebihnya serahkan kepada takdir,
nasib dan juga tuah. Bayern akan menjadi ujian terbesar buat Moyes musim ini
dan andai ditakdirkan United berjaya melepasi halangan juara bertahan itu,
kredibiliti beliau yang teruk tercalar sebelum ini pastinya akan pulih biarpun
tidak 100%. Guardiola dan Bayern kelihatan cukup menakjubkan tetapi dengan
sedikit keberanian melakukan percaturan, pemilihan pemain yang tepat serta
sedikit tuah, tidak mustahil gergasi Bundesliga itu mampu dijinakkan. Pertemuan
menentang Bayern bukan sekadar menawarkan tempat separuh akhir sebagai ganjaran,
tetapi kemenangan ke atas juara dunia itu bakal memberikan motivasi, peransang
dan harapan baru menjelang bermulanya musim depan. Sebarang misi di peringkat
domestik sudah berakhir tetapi masih ada misi besar perlu dilaksanakan Moyes
dan barisan pemainnya di peringkat Eropah. Saya berharap undian menentang
Bayern bukan malapetaka tetapi rahmat buat Moyes. Glory Glory Manchester United!!!
– A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan