Sebelum perlawanan saya katakan bahawa
Manchester United perlukan keajaiban untuk memadam defisit dua gol milik
Olympiacos jika mahu menjejakkan kaki ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara.
Itulah yang berlaku awal pagi tadi apabila hatrik Robin Van Persie, tindakan
menyelamat fantastik David de Gea, usaha tidak kenal penat Wayne Rooney,
Antonio Valencia mengetepikan segala kesakitan selama 77 minit aksinya di atas padang dan aksi ibarat pemain
muda yang dipamerkan Ryan Giggs antara elemen menarik yang berjaya membantu
United menyingkirkan juara Greece itu. Terus terang saya katakan meskipun
menang selesa 3-0, ini bukanlah permainan terbaik United tetapi takdir dan keajaiban
akhirnya memilih The Red Devils untuk
membolehkan mereka terus bersaing di pentas tertinggi kelab-kelab Eropah itu. Okey
United sudahpun mara ke suku akhir dan sementara kita nantikan kelab mana bakal
ditemui The Red Devils nanti, saya
ingin kongsikan bersama anda fakta-fakta menarik di sebalik pertemuan
United/Olympiacos awal pagi tadi.
#1 Rekod
Buruk Olympiacos Di Gelanggang Lawan
Secara keseluruhannya selepas perlawanan awal
pagi tadi, Olympiacos sudah mengalami 19 kekalahan dari 21 perlawanan di
England, Jerman dan Sepanyol sementara dua perlawanan lagi berakhir dengan
keputusan seri. Kemenangan ini juga menyaksikan United mencatatkan rekod bersih
100% dalam kesemua enam perlawanan mereka ketika berdepan wakil Greece,
menjaringkan 20 gol dan hanya dibolosi dengan 1 jaringan.
#2 Jumlah
Jaringan Sepanjang Sejarah Liga Juara-Juara
Sebelum berlangsungnya perlawanan
United/Olympiacos awal pagi tadi, sejumlah 1111 jaringan sudah dihasilkan
sepanjang sejarah kejohanan Liga Juara-Juara. Gol pertama kejohanan ini
dihasilkan Basile Boli ketika beliau membantu Olympique Marseille menewaskan AC
Milan pada 1993.
#3 Korban
Kedua The Red Devils
Kemenangan 3-0 ke atas Olympiacos awal pagi
tadi merupakan kali kedua United menjaringkan lebih dari dua gol di pusingan
kalah mati 16 pasukan. AC Milan menjadi korban pertama United selepas mereka
menewaskan wakil Itali itu 4-0 pada 2010.
#4 Sumpahan
Tanah Inggeris
Wakil Greece bukan sahaja memiliki rekod
buruk setiap kali beraksi di England malah gawang mereka juga sering dibolosi
minima dua gol dalam setiap perlawanan di sini. Dari jumlah rekod 12 perlawanan
mereka di tanah Inggeris, gawang wakil Greece dibolosi lebih dari dua gol dalam
11 perlawanan.
#5 Satu
Lagi Rekod Dari Ryan Giggs
Perlawanan awal pagi tadi merupakan
penampilan ke-140 Ryan Giggs di pentas Liga Juara-Juara. Giggs kini hanya ketinggalan
dua perlawanan sahaja untuk menyamai rekod penampilan terbanyak milik Raul
Gonzalez. Pada usia 40 tahun 110 hari, Giggs juga muncul pemain tertua (bukan
penjaga gol) yang bermain di peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.
#6 Penalti
Keenam Robin Van Persie
Gol pertama United dalam perlawanan ini
menerusi penalti Robin Van Persie merupakan penalti keenam pemain itu di Liga
Juara-Juara. Berikut adalah penjaring penalti terbanyak dalam sejarah kejohanan
Liga Juara-Juara:
Luis Figo & Ruud Van Nistelrooy -
10
Lionel Messi -
8
Allesandro del Piero, Ronaldinho & RVP - 6
#7 Penalti
Ke-25
Penalti Robin Van Persie merupakan yang ke-25
diperolehi United sepanjang penyertaan mereka di Liga Juara-Juara. Berikut
adalah kelab paling banyak dihadiahkan sepakan penalti sepanjang sejarah
kejohanan ini:
Barcelona -
36
Real Madrid -
35
Bayern Munich -
28
Arsenal -
26
Manchester Utd - 25
AC Milan -
17
#8 Assist Pertama
Umpanan yang berjaya disudahkan Robin Van
Persie bagi gol kedua United merupakan assist
pertama dilakukan Wayne Rooney untuk rakan gandingan serangannya itu di
Liga Juara-Juara.
#9 Sepakan
Percuma RVP
Gol ketiga United hasil sepakan percuma Robin
Van Persie merupakan yang pertama dihasilkan United pada situasi tersebut dalam
tempoh lima tahun. Pemain United terakhir yang berjaya menjaringkan gol
menerusi sepakan percuma ialah Ryan Giggs. Beliau melakukannya ke gawang VfL
Wolfsburg pada September 2009.
#10 Keempat
dan Kelima
Kejayaan menghasilkan jaringan hatrik awal
pagi tadi membolehkan Robin Van Persie muncul pemain Belanda keempat
menghasilkannya di Liga Juara-Juara selepas Ruud Van Nistelrooy, Roy Maakay (2
kali) dan Marco Van Basten. Selain dari itu, kejayaan ini juga menyaksikan Van
Persie muncul pemain kelima United yang menghasilkan hatrik di Liga Juara-Juara
selepas Andy Cole (2 kali), Ruud Van Nistelrooy, Wayne Rooney dan Michael Owen.
#11 Yang
Pertama
Kejayaan menjaringkan hatrik awal pagi tadi
menyaksikan Robin Van Persie muncul pemain United pertama melakukannya di
peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.
#12 Kedua
Selepas Barca
Kejayaan menewaskan Olympiacos menyaksikan
United muncul pasukan kedua di Liga Juara-Juara yang berjaya lolos ke peringkat
seterusnya selepas tewas 0-2 pada perlawanan pertama di gelanggang lawan. Barca
muncul pasukan pertama melakukannya selepas menyingkirkan AC Milan musim lalu.
#13 Rekod
Suku Akhir
Kejayaan melayakkan diri ke peringkat suku
akhir menyaksikan United sudah 13 kali lolos ke peringkat tersebut, sekaligus
berkongsi jumlah terbanyak bersama Bayern Munich.
#14 Sejarah
Liga Juara-Juara
Buat pertama kalinya dalam sejarah kejohanan
Liga Juara-Juara, kesemua kelab yang muncul juara kumpulan berjaya meloloskan
diri ke peringkat suku akhir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan