Biar apapun status dua kelab ini, saya tidak
pernah meragui untuk mengatakan bahawa pertemuan Manchester United dan
Liverpool adalah antara 'acara besar' dalam kalendar bolasepak England setiap
tahun. Liverpool bukan lagi yang dulu kerana mereka kini sedang bersaing untuk
merebut kejuaraan liga dan siapa sangka United pula berada pada kedudukan
sekarang selepas bertahun-tahun meletakkan diri mereka sebagai pasukan yang
perlu dikalahkan. Sejarah, tradisi dan permusuhan United/Liverpool sejak sekian
lama menyebabkan pertembungan North-West
Derby sentiasa ditunggu peminat-peminat bolasepak seluruh dunia khasnya
penyokong kedua-dua kelab. David Moyes mengakui beliau masih memasang impian
untuk membawa pasukannya beraksi di pentas Liga Juara-Juara musim depan, jadi
sudah tentu perlawanan malam nanti bukan sahaja berkisar tentang maruah dan
perseteruan dua musuh tradisi itu tetapi juga penting dalam misi meletakkan
United di kedudukan tangga empat teratas sebaik musim ini berakhir. United pada
pandangan saya berada pada kedudukan cukup bersedia menjelang pertemuan ini
berikutan kembalinya beberapa pemain yang sebelumnya berdepan masalah
kecederaan. Phil Jones dan Rafael da Silva beraksi dengan baik di The Hawthorns minggu lalu selepas pulih
dari kecederaan sekaligus memberikan kita harapan bahawa Liverpool akan
berdepan cabaran getir pada kunjungan ke-81 mereka di Old Trafford. Jika kita
gembira melihat kembalinya Jones dan Rafa di atas padang, Brendan Rodgers pula dijangka
memperolehi semula khidmat Mamadou Sakho dan Lucas Leiva yang diberitakan sudah
pulih dari kecederaan dan beraksi untuk skuad simpanan mereka minggu lalu.
Jika dilihat pada kedudukan liga, Liverpool
diakui jauh lebih unggul berbanding United tambahan pula mereka boleh meletakkan
segenap fokus mereka pada perlawanan ini kerana tidak terikat dengan aksi di
pentas Eropah. Dengan skuad Olympiacos yang akan bertandang hanya empat hari
selepas itu, Moyes perlu bijak memilih kesebelasan terbaiknya dalam perlawanan
malam nanti tanpa menjejaskan misi mereka untuk memadamkan kelebihan dua gol
milik juara Greece itu. Selepas mencatat kemenangan selesa ke atas West
Bromwich dalam saingan liga minggu lalu, saya yakin Moyes akan terus
menggunakan formasi 4-2-3-1 bertunjangkan kepada kekuatan Michael Carrick,
Marouane Fellaini, Wayne Rooney, Juan Mata dan Adnan Januzaj manakala Robin Van
Persie bertindak selaku penggempur utama. Tiada sebab untuk Moyes kembali
menggunakan dua pemain sayap bagi menggerakkan serangan pasukannya selepas
United mempamerkan aksi cukup menyakinkan di The Hawthorns (dalam formasi 4-2-3-1) dan saya berharap beliau
sudahpun menemui formula berkesan dalam usahanya membawa United beraksi di Liga
Juara-Juara musim depan. Salah satu faktor menarik menjelang pertembungan ini,
ialah bahawa United hanya tewas sekali dari 9 pertemuan terakhir menentang
Liverpool (dalam semua kejohanan) di Old Trafford. Kali terakhir Liverpool
menang di Old Trafford ialah pada 14 Mac 2009 dan selepas itu empat kunjungan
mereka di sini berakhir dengan kekalahan. Saya berharap rekod baik (ketika
berdepan Liverpool di Old Trafford) sejak 2009 akan berterusan malam nanti
kerana kekalahan akan hanya menyebabkan peluang beraksi di Liga Juara-Juara musim
depan semakin terjejas.
Menyaksikan betapa cemerlangnya Liverpool
musim ini di mana gandingan Luis Suarez dan Daniel Sturridge sudah menghasilkan
42 gol (dalam saingan liga), saya terpaksa mengakui bahawa tugas United malam
nanti cukup berat, apatah lagi anak-anak buah Moyes sudah empat kali tewas di
Old Trafford dalam saingan liga setakat ini. Gandingan Suarez dan Sturridge
akan memberikan masalah besar kepada benteng pertahanan United berdasarkan
prestasi semasa mereka, jadi saya berharap agar Jones, Smalling, Rafa dan Evra (jika
diturunkan) ada jawapan bagaimana mahu menangani ancaman dua penyerang ini. Selepas
mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Southampton di gelanggang lawan 2 Mac
lalu, Liverpool saya kira dalam situasi cukup bersedia menjelang North-West Derby ke 162 ini sambil
Rodgers sendiri berharap pasukannya akan muncul kelab ke lima menewaskan United
di Old Trafford dalam saingan liga musim ini. Jika Liverpool hadir berbekalkan
keyakinan cukup tinggi, saya pula berasakan inilah waktunya untuk United memberikan
'pukulan' terbaik kepada seteru tradisi itu ketika The Reds sudah mula membayangkan bahawa inilah musimnya untuk mereka
menamatkan kemarau 24 tahun kejuaraan liga. Kita terpaksa mengakui bahawa
status United ketika ini ialah sebagai 'pengacau' bukan lagi pemburu kejuaraan
liga seperti musim-musim sebelumnya. Jadi inilah waktu paling tepat untuk
anak-anak buah Moyes merosakkan misi besar seteru mereka sambil membuktikan kepada
pemain dan penyokong-penyokong Liverpool bahawa The Red Devils tetap lawan yang perlu dihormati biar di manapun
kedudukan mereka dalam carta liga. Tiga mata yang dipertaruhkan untuk North-West Derby kali ini penting buat
kedua-dua pasukan kerana United memerlukannya bagi menghidupkan peluang beraksi
di Liga Juara-Juara manakala Liverpool pula mahukannya kerana mereka dalam misi
menamatkan kemarau 24 tahun kejuaraan liga. Glory Glory Manchester United!!! –
A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan