17 Mac 2014

MUSIM UNITED BERAKHIR LEBIH AWAL

Masih ada baki 9 perlawanan (liga) lagi yang perlu diharungi Manchester United tetapi saya menganggap bahawa musim bagi anak-anak buah David Moyes sudahpun berakhir lebih awal selepas mereka tewas buat kali ketujuh (dalam semua kejohanan) di gelanggang sendiri semalam. Kekalahan kepada musuh tradisi seperti Liverpool memang memedihkan apatah lagi jika melibatkan margin jaringan yang besar. Apa lagi yang mampu saya katakan selain The Red Devils seolah-olah sudah kehilangan fear factor hinggakan mana-mana pasukan lawan mampu mencatat kemenangan ke atas mereka biarpun beraksi di Old Trafford. Selama lebih 20 tahun, perlawanan menentang Liverpool biasanya akan menentukan halatuju United dalam misi mengejar kejuaraan liga tetapi apa yang berlaku semalam adalah sebaliknya. Seperti yang saya sebutkan semalam, status United dan Liverpool sudah berubah musim ini. Ketika United bergelut untuk cuba menamatkan musim di kedudukan empat teratas, Liverpool pula sebaliknya berada di laluan tepat menjulang kejuaraan liga buat pertama kali dalam tempoh 24 tahun. Melihat kepada barisan yang diturunkan Moyes, saya pada awalnya optimis bahawa rentak baik ketika anak-anak buah beliau menewaskan West Bromwich mampu diteruskan tetapi segala statistik perlawanan di atas padang akhir memihak kepada The Reds. Apa lagi yang tidak kena dengan penampilan United semalam hingga Liverpool berjaya membawa pulang tiga mata penuh selain memaksa David de Gea tiga kali mengutip bola ke gawang sendiri. Pada pandangan saya, permainan United secara keseluruhannya tidaklah terlalu buruk manakala tiga gol yang diperolehi Liverpool bukanlah ukuran bahawa mereka jauh lebih bagus berbanding barisan kendalian Moyes.

Dengan adanya pemain-pemain seperti Wayne Rooney, Juan Mata, Adnan Januzaj dan Robin Van Persie di barisan hadapan, United sepatutnya tidak bermasalah untuk menjaringkan gol setiap minggu tetapi itu nampaknya tidak berlaku. Semalam, dua kesilapan yang dilakukan pertahanan menyebabkan lawan dihadiahkan dua sepakan penalti manakala tiada apa yang mampu dilakukan untuk menghalang Luis Suarez dari menjaringkan gol ketiga ketika United terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain selepas Nemanja Vidic diperintah keluar padang. Tidak perlu meletakkan jari telunjuk terhadap Mark Clattenburg (pengadil perlawanan) di sebalik kekalahan semalam terutamanya atas tindakan beliau melayangkan kad kuning kedua kepada Vidic walaupun ulang tayang jelas menunjukkan Daniel Sturridge sengaja merebahkan badan. Sepakan penalti di awal babak kedua sebenarnya 'membunuh' permainan United dan selepas melihat Steven Gerrard menyempurnakan penalti kedua itu, saya sudah melupakan sebarang harapan untuk melihat anak-anak buah Moyes melakukan kebangkitan. Pola gerakan United sepanjang 90 minit permainan lebih banyak tertumpu dari sebelah kiri dengan Mata dan Januzaj kerap bertukar-tukar posisi manakala barisan serangan khasnya Van Persie pula sering terjerat dengan perangkap offside lawan. Berbanding United, Liverpool pula lebih selesa melakukan gerakan dari tengah bertunjangkan kepada kekuatan milik Gerrard sambil dibantu Joe Allen dan Jordan Henderson selain gemar melakukan hantaran-hantaran pendek. Sudah kerap kali Rodgers mengatakan bahawa pasukannya tidak memiliki peluang besar menjulang kejuaraan liga musim ini berbanding Manchester City, Chelsea dan Arsenal tetapi keputusan yang dicapai mereka semalam sepatutnya menjadikan Liverpool antara calon pilihan membawa pulang trofi itu ke Anfield.

Saya seboleh mungkin berharap agar Rodgers gagal dalam misinya menamatkan kemarau kejuaraan liga 24 tahun Liverpool tetapi selepas melihat barisan kendaliannya meraih tiga mata penuh di Old Trafford semalam, saya terpaksa mengakui bahawa mereka adalah calon hangat untuk muncul juara musim ini. Biarpun sukar saya terpaksa memuji Rodgers kerana bijak menggunakan kelebihan yang ada pada pemain-pemainnya dalam perlawanan semalam. Ketika penyokong-penyokong Liverpool sendiri pada awalnya mempersoalkan tindakan beliau yang tidak menggunakan Phillipe Coutinho, trio Gerrard, Henderson dan Allen berjaya menguasai bahagian tengah manakala kepantasan Luis Suarez, Daniel Sturridge dan Raheem Sterling menyebabkan benteng pertahanan United terpaksa bekerja keras sepanjang 90 minit perlawanan. Gerrard menjaringkan dua gol tetapi tiada keraguan bahawa Henderson adalah pemain terbaik mereka sepanjang perlawanan semalam. Statistik menunjukkan bahawa Henderson muncul pemain yang melakukan sentuhan bola terbanyak, berada di hampir semua posisi untuk mengekalkan dominasi Liverpool selain kreatif menjana jentera tengah menerusi tiga key passes yang dihasilkannya. Di pihak United pula, Michael Carrick hampir tenggelam sepanjang babak pertama menyebabkan bahagian tengah tidak berfungsi sepenuhnya, jadi tidak hairanlah jika anda melihat gerakan-gerakan serangan lebih tertumpu dari sebelah tepi. Ketika di serang, benteng pertahanan kadangkala bertindak terlalu agresif serta kurang berhati-hati dan saya fikir United agak bernasib baik tidak dihukum selepas melihat Suarez dijatuhkan dalam petak penalti di babak pertama.

Mungkin kebanyakkan dari anda menyalahkan Vidic kerana layangan kad merah yang diterimanya selain menjadi punca Clattenburg menghadiahkan sepakan penalti ketiga buat Liverpool tetapi saya melihat Rafael da Silva adalah pemain United paling flop semalam. Saya tidak pasti sama ada Rafa sengaja menyentuh bola dengan tangan atau tidak, tetapi penalti yang disempurnakan Gerrard hasil kesilapannya saya anggap kunci kepada kejayaan Liverpool semalam. Rafa juga saya kira beruntung tidak dilayangkan kad kuning kedua kerana tindakannya itu yang mungkin boleh menyebabkan United mengalami kekalahan lebih besar. Moyes hilang kata-kata selepas tamat perlawanan ketika penyokong-penyokong semakin berang dengan prestasi kelab sejak beliau mengambilalih teraju dari Sir Alex Ferguson. Saya agak bersimpati dengan nasib beliau tetapi selaku pengendali dan sebelum bersetuju menerima tanggungjawab memimpin kelab besar seperti United, Moyes sepatutnya sudah mengetahui apa yang bakal menanti beliau. Kekalahan semalam menyebabkan peluang United beraksi di Liga Juara-Juara musim depan semakin mustahil dan seperti yang saya katakan tadi saingan musim ini sebenarnya sudahpun berakhir lebih awal buat United walaupun masih memiliki baki 9 perlawanan liga selain belum terkeluar dari saingan Liga Juara-Juara. Perlawanan menentang Olympiacos Khamis ini akan menjadi pertaruhan besar buat Moyes dan skuad kendaliannya. Hanya Liga Juara-Juara satu-satunya peluang yang tinggal buat Moyes membuktikan kredibilitinya selain menggembirakan penyokong-penyokong United selepas kegagalan demi kegagalan dihidangkan kepada kita musim ini. Persoalan paling besar jika United disingkir Olympiacos nanti bukan sahaja berkisar kepada kegagalan Moyes tetapi turut menimbulkan pertanyaan sama beliau benar-benar pilihan tepat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Sir Alex. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan