Tiada apa yang diperlukan Manchester United
untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara selain
keajaiban. Agak mengejutkan selepas mengharungi saingan peringkat kumpulan
dengan begitu bergaya berbekalkan rekod tanpa kalah, anak-anak buah David Moyes
sebaliknya memilih jalan sukar apabila membiarkan Olympiacos muncul kelab
pertama Greece menewaskan mereka dalam sejarah penyertaan di Liga Juara-Juara.
Pada 26 Februari lalu, jaringan Alejandro Dominguez dan Joel Campbell di Stadio
Karaiskakis memberikan juara Greece itu bekal yang saya kira agak selesa
sebelum mereka bertandang ke Old Trafford. Tewas 0-3 kepada Liverpool dalam
saingan liga di gelanggang sendiri Ahad lalu bukanlah cara terbaik untuk United
menyambut kedatangan barisan kendalian Jose Manuel Gonzalez (Michel) yang baru
sahaja mengesahkan kejuaraan Super League Greece ke-41 mereka. Prestasi United
ketika tewas kepada Liverpool sudah tentu menimbulkan persoalan tentang peluang
The Red Devils mara lebih jauh dalam
edisi Liga Juara-Juara kali ini. Misi untuk mara ke peringkat suku akhir memang
sukar jika diambilkira prestasi semasa
United, tetapi rekod lampau setiap kali berdepan kelab Greece di Old Trafford
di pentas Liga Juara-Juara mungkin memberikan kita sedikit harapan. Untuk
rekod, United tidak pernah tewas kepada mana-mana kelab Greece setiap kali
beraksi di gelanggang sendiri manakala Olympiacos pula memiliki rekod buruk setiap
kali bermain di tanah Inggeris. Dari 11 kunjungan mereka di England, Olympiacos
tidak pernah menang sebarang perlawanan di sini dan saya berharap sumpahan itu
akan terus menimpa mereka awal pagi nanti.
Selain rekod buruk Olympiacos di England,
fakta bahawa United menang kesemua empat perlawanan mereka di gelanggang
sendiri ketika berdepan kelab dari Greece, menjaringkan 15 gol dan hanya
dibolosi satu jaringan mungkin boleh menghilangkan resah di hati kita buat
sementara waktu. Tidak cukup dengan itu, saya tambahkan lagi fakta bahawa tujuh
kekalahan yang dialami Olympiacos di bumi England ialah dengan margin lebih
dari 2 gol. Selain itu mereka juga tidak pernah menjaringkan lebih dari 1 gol
ke gawang kelab Inggeris ketika bertandang ke England. Pertemuan terakhir
kedua-dua kelab di Old Trafford pula berlaku pada 1 Okt 2002 di mana United
menang 4-0 hasil jaringan Ryan Giggs, Juan Sebastian Veron, jaringan sendiri
Georgios Anatolakis dan Ole Gunnar Solskjaer. Jika anda lega dengan rekod
lampau bahawa kelab Greece sering berdepan masalah setiap kali bermain di
England, statistik yang akan saya sebutkan nanti sepatutnya membuatkan anda
kembali bimbang. Untuk rekod di pentas Eropah, 532 (atau 82%) dari 645 kelab
yang mencatatkan kemenangan 2-0 di gelanggang sendiri pada perlawanan pertama
berjaya lolos ke babak seterusnya. Jadi saya berharap United berjaya mengelak
dari tergolong dalam kelompok 18% kelab yang gagal ke pusingan berikutnya
selepas tewas 0-2 di gelanggang lawan pada perlawanan pertama. Dalam situasi
sukar yang dialami United sekarang, defisit dua gol saya anggap jurang yang
agak besar untuk dipadamkan. Bagi bekas pemain dan juga lagenda United Lou
Macari, tiada cara lain selain melancarkan serangan sebaik wisel permulaan
ditiup pengadil perlawanan. Menurut Macari, jika beliau berada di tempat Moyes,
beliau akan menurunkan Danny Welbeck, Adnan Januzaj, Robin Van Persie dan Wayne
Rooney serentak bagi mencari gol awal. “Saya akan menurunkan Welbeck, Januzaj,
Van Persie dan Rooney kerana naluri menyerang yang dimiliki mereka. Kami harus
menyamakan aggregat dan kemudiannya menjaringkan gol lagi untuk lolos. Ini
bukan perjudian”, kata Macari.
Untuk mara ke suku akhir, mengharapkan rekod
buruk lawan tidak memadai andainya anak-anak buah Moyes sendiri hilang punca
ketika di atas padang. Jika kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukan benteng
pertahanan sepertimana ketika menentang Liverpool Ahad lalu diulangi,
percayalah rekod buruk Olympiacos ketika bermain di England bakal berakhir.
Perkara pertama yang perlu dilakukan Moyes sebelum memikirkan sebarang strategi
yang bakal digunakan beliau dalam perlawanan ini ialah meningkatkan kembali
moral pemain-pemainnya. Bukan mudah untuk bangkit dari kekalahan terutamanya
kepada musuh tradisi domestik seperti Liverpool, namun tempoh empat hari yang
ada sepatutnya mencukupi bagi Moyes meniupkan kembali semangat juang kepada
anak-anak buahnya. Misi dalam saingan domestik saya anggap sudah berakhir buat
anak-anak buah Moyes, cuma apa yang perlu mereka lakukan ialah mengharungi baki
9 perlawanan yang ada dan memastikan tidak tergelincir di kedudukan lebih
bawah. Jika berjaya memintas Everton ataupun Tottenham Hotspurs untuk tangga
kelima liga itu saya anggap bonus kepada penyokong-penyokong di akhir musim.
Kini hanya saingan Liga Juara-Juara satu-satunya harapan yang tinggal dan saya
berharap perlawanan menentang Olympiacos awal pagi nanti bukanlah aksi terakhir
United di pentas tertinggi kelab-kelab Eropah itu musim ini. Biarpun sukar
tetapi tidak mustahil defisit dua gol itu boleh dipadamkan sekaligus
memanjangkan lagi rekod buruk kelab-kelab Greece ketika beraksi di England dan
bukan mustahil juga jika United mampu mengulangi kemenangan yang dilakar mereka
ke atas Olympiacos pada 2002. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan