29 Mac 2014

THE CHOSEN ONE ATAU WRONG ONE?

Jika penyokong-penyokong Chelsea berbangga kerana memiliki The Special One selaku pengendali kelab kesayangan mereka, penyokong-penyokong United pula apa kurangnya kerana mereka ada The Chosen One (David Moyes). Pada peringkat awal kedatangan The Chosen One di Old Trafford, segala-galanya saya lihat tampak bagus dan berjalan lancar buat David Moyes. Siapa sangka dari deretan nama-nama besar yang dikaitkan sebagai pengganti Sir Alex Ferguson, Moyes dari kelab pertengahan Liga Perdana (Everton) akhirnya terpilih dan bertuah mengisi kekosongan lagenda itu yang mengambil keputusan untuk bersara selepas 27 tahun mengemudi kelab meraih berbagai trofi kejuaraan. Majoriti penyokong-penyokong United menyambut baik ketika namanya diumumkan secara rasmi selaku pengurus baharu United lantas memberikan gelaran The Choosen One buat beliau. Bermula dengan kempen pra musim di Australia dan Asia yang berjalan lancar, Moyes kemudiannya berjaya mengemudi The Red Devils menjulang trofi Perisai Komuniti selepas mereka menewaskan juara Piala FA musim lalu, Wigan Athletic 2-0 di Wembley. United di bawah kendalian Moyes memulakan kempen liga musim ini dengan begitu menyakinkan apabila membelasah Swansea City 4-1 di gelanggang lawan sekaligus memberikan harapan kepada kita bahawa The Red Devils tidak hilang bisanya walaupun Sir Alex sudah berundur. Walaupun berjaya memaksa Chelsea seri tanpa jaringan ketika skuad kendalian Jose Mourinho itu bertandang ke Old Trafford pada perlawanan kedua liga. kelemahan United mula didedahkan Liverpool selepas mereka tewas 0-1 kepada seteru tradisi itu di Anfield.

Aksi di Anfield pada 1 September tahun lalu itu sedikit sebanyak mula menampakkan kelemahan United walaupun mereka kemudiannya bangkit memenangi dua perlawanan selepas itu ketika menewaskan Crystal Palace dan Bayern Leverkusen (Liga Juara-Juara). Teka teki tentang kemampuan sebenar United untuk bersaing musim ini selepas ditinggalkan Sir Alex akhirnya terjawab apabila mereka dibelasah 1-4 dalam aksi derby Manchester di Stadium Etihad September lalu. Bukan sahaja tewas dengan jaringan besar tetapi keseluruhan statistik selepas perlawanan jauh menyebelahi City hingga menyebabkan United tampak seperti beberapa langkah di belakang jiran sekota mereka itu. Enam bulan selepas itu, City di bawah kendalian Manuel Pellegrini sekali lagi membuktikan bahawa mereka pasukan yang jauh lebih baik berbanding United apabila muncul pasukan ketujuh musim ini yang berjaya mengutip tiga mata penuh di Old Trafford. Kekalahan kepada City sekali lagi menerusi margin jaringan yang besar menyebabkan tahap kesabaran penyokong-penyokong United terhadap Moyes semakin tipis. Selepas mengharungi 31 perlawanan, United kini terperosok di tangga ketujuh liga, 12 mata di belakang Arsenal yang menghuni tangga keempat sekaligus menyebabkan peluang layak ke Liga Juara-Juara musim depan semakin mustahil. Selama hampir lapan bulan mengemudi United, beberapa rekod kelab sudah berjaya 'dipecahkan' Moyes dan saya percaya catatan buruk yang saya senaraikan di bawah akan bertambah panjang sebaik musim 2013-14 melabuhkan tirainya Mei ini.

Rekod Buruk United Di Bawah Moyes:

#1 United hampir pasti menamatkan saingan musim ini dengan kutipan mata terendah di era Liga Perdana.

#2  Prestasi United ketika beraksi di gelanggang sendiri musim ini adalah yang terburuk dalam tempoh satu dekad.

#3 Buat pertama kalinya sejak 2001, United mengalami tiga kali kekalahan berturut-turut (dalam semua kejohanan).

#4 Kalah kepada Swansea City di Old Trafford buat pertama kali dalam sejarah pertemuan kedua-dua pasukan.

#5 Kalah kepada Newcastle United di Old Trafford buat pertama kali sejak 1972.

#6 Kalah kepada West Bromwich Albion di Old Trafford buat pertama kali sejak 1978.

#7 Kalah kepada Stoke City buat pertama kali dalam saingan liga sejak 1984.

#8 Pertama kali dalam sejarah Liga Perdana, United kalah di gelanggang sendiri dan lawan ketika berdepan Manchester City.

#9 Edin Dzeko muncul pemain pertama membolosi gawang United di minit pertama ketika bermain di Old Trafford sejak era Liga Perdana.

Catatan buruk di atas mungkin hanya sebahagian dari rekod-rekod yang berjaya 'dipecahkan' Moyes tetapi fakta bahawa setakat ini United hanya mampu menang sekali dari 13 perlawanan menentang kelab-kelab yang berada di kedudukan sembilan teratas cukup menggambarkan bahawa The Red Devils sudah terlalu jauh dari prestasi yang membolehkan mereka menjulang kejuaraan liga buat kali ke-20 musim lalu. Hanya Arsenal satu-satunya kelab dari kelompok sembilan teratas yang berjaya ditewaskan United, itupun dengan jaringan 1-0 ketika beraksi di Old Trafford pada 11 November lalu. Ketika ini kredibiliti Moyes memang teruk dipertikaikan terutamanya dari kalangan penyokong-penyokong United sendiri tetapi saya percaya apa yang dilakukannya selama 11 tahun di Goodison Park antara faktor utama mengapa Sir Alex Ferguson memilih beliau sebagai penggantinya. Saya tidak nafikan Moyes cukup berjaya ketika mengendalikan Everton, ditambah pula dengan peruntukkan kewangan terhad yang diberikan kepadanya setiap musim namun beliau masih mampu menjadikan The Toffees antara kelab disegani di Liga Perdana. Bagaimanapun seperti yang saya sebutkan dalam artikel-artikel (berkaitan prestasi United di bawah kendalian Moyes) sebelum ini, United dan Everton adalah dua 'dunia' yang terlalu jauh berbeza baik dari segi kewangan, kualiti pemain, prasarana dan dokongan penyokong-penyokongnya. Ironinya, Everton yang ditinggalkan Moyes kini berada dua anak tangga di hadapan United malah mereka masih berpeluang cerah merebut salah satu slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

£64 juta yang sudah dibelanjakan untuk mendapatkan Marouane Fellaini dan Juan Mata nampaknya masih belum mampu mengubah nasib United, jadi tidak hairanlah mengapa Paul Scholes (selepas berakhirnya perlawanan menentang Manchester City) melabelkan Moyes sebagai individu yang tidak tahu bagaimana mahu memaksimakan potensi sebenar milik pemain-pemainnya. Tambah melukakan apabila Gary Neville pula meletakkan standard Machester City sudah jauh melangkaui bekas kelabnya itu sebaik melihat The Citizens menang bergaya di Old Trafford, Rabu lalu. Suka atau tidak saya terpaksa mengakui kebenaran kata-kata Neville itu jika melihat kepada aksi longgar yang dipamerkan anak-anak buah Moyes ketika berdepan City. Moyes meletakkan Marouane Fellaini, Juan Mata, Tom Cleverley dan Michael Carrick di bahagian tengah bagi mengimbangi kekuatan yang ada pada Yaya Toure, Jesus Navas, David Silva dan Samir Nasri. Cleverley sungguh mengecewakan dan kelihatan seperti tidak bermaya sepanjang babak pertama sebelum digantikan Shinji Kagawa, manakala Fellaini pula seolah-olah kebingungan dalam memainkan peranannya di bahagian tengah. Di bahagian hadapan pula, ketiadaan Robin Van Persie menyebabkan Wayne Rooney terpaksa bergerak sendirian tanpa mendapat sokongan secukupnya dari Danny Welbeck. Pengulas perlawanan United/City mengatakan bahawa jarak kawalan antara pemain yang begitu longgar membolehkan City mudah mengeksploitasi kelemahan itu hinggakan Samir Nasri kelihatan seolah-olah sedang 'menari' di tengah padang.

Beraksi longgar tanpa koordinasi tepat dan berdepan pula dengan pasukan punya kualiti seperti City, apa yang mampu anda lakukan sebagai penyokong hanyalah berharap agar gawang United tidak dibolosi lebih banyak gol. Jika persembahan sama dipamerkan anak-anak buah Moyes ketika berdepan Bayern Munich Rabu nanti, percayalah bahawa kita tidak perlu menunggu hingga perlawanan kedua di Allianz Arena kerana kempen suku akhir Liga Juara-Juara United akan berakhir sebaik tamatnya perlawanan di Old Trafford. Dengan kontrak lima tahun yang dimiliki Moyes dan perkhabaran terbaru bahawa beliau akan terus diberikan kepercayaan selaku pengendali untuk musim hadapan, kumpulan yang sering mengkritik beliau nampaknya terpaksalah melupakan hasrat mahu melihat sebarang tindakan drastik dilakukan pihak pengurusan kelab dalam tempoh terdekat. Melihat kepada sokongan yang masih diberikan oleh pihak pengurusan terhadap beliau dan pengalaman yang dimiliki United ketika menangani Sir Alex semasa peringkat awal karier pengurusannya di Old Trafford, saya percaya Moyes akan kekal di pejabatnya hingga musim hadapan. Tepat atau tidak keputusan yang dilakukan pihak pengurusan (jika benar mereka mahu mengekalkan Moyes hingga musim hadapan), bagi saya itu adalah persoalan kedua. Persoalan paling besar yang sedang berlegar-legar di fikiran saya ketika ini ialah adakah memang benar sosok bernama David Moyes itu The Chosen One ataupun Sir Alex sebenarnya memilih individu yang salah (Wrong One) ketika beliau menamakan penggantinya Mei lalu? Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Artikel Berkaitan:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan