Kejayaan menghadiahkan trofi kejuaraan
kompetitif pertama sangat penting pada musim pertama untuk seorang pengurus di
kelab baharu. Dan kejayaan menjulang trofi Piala Liga di Wembley saya harap
hanyalah satu permulaan kepada lebih banyak kejuaraan yang bakal dihadiahkan
Jose Mourinho selaku pengurus ketiga Manchester United pasca persaraan Sir Alex
Ferguson hampir empat tahun lalu.
Sepertimana yang anda tahu, ini merupakan
kali keempat Mourinho memenangi medal kejuaraan Piala Liga (tiga kali ketika
bersama Chelsea), sekaligus membolehkan beliau meletakkan dirinya sebaris
dengan Brian Clough dan Sir Alex Ferguson selaku pengurus paling banyak
memenangi trofi tersebut.
Mengingatkan bahawa United masih dalam
persaingan merebut baki tiga lagi kejuaraan yang ditawarkan musim ini (Piala
FA, Liga Perdana dan Liga Europa), kejayaan menjulang trofi Piala Liga di
pertengahan musim diharap mampu menjadi pencetus kepada api perjuangan dalam
diri pemain-pemain untuk memburu kejuaraan yang lebih besar pada baki saingan selepas
ini.
Southampton
Tetap Lawan Yang Sukar...
Status sebagai pasukan pilihan bukanlah tiket
untuk United menjulang trofi ini dengan mudah. Southampton membuktikan bahawa
di pentas akhir, kejutan boleh sahaja berlaku dan mereka hampir sahaja
melakukannya. United mengatasi The Saints
kerana mereka menjaringkan lebih banyak gol tetapi dalam masa yang sama kita
perlu mengakui bahawa anak-anak buah Claude Puel adalah pasukan yang lebih baik
di Wembley.
Statistik sepanjang aksi 90 minit menunjukkan
The Saints menguasai 55% penguasaan
bola selain melakukan lebih banyak percubaan tepat (enam shot on target) berbanding tiga yang dilakukan United. Hal ini juga
diakui Jose Mourinho yang mengatakan bahawa lawan bermain lebih bagus
berbanding skuadnya dan layak mengheret United bermain di masa tambahan jika
tidak kerana jaringan Ibra.
Memainkan
Lingard Satu Keputusan Tepat...
Percaturan Mourinho yang menurunkan Jesse
Lingard sejak minit pertama di Wembley membuahkan hasil apabila pemain itu
menyumbang gol kedua United di minit ke-38. Kecederaan yang dialami Henrikh
Mkhitaryan memaksa Mourinho memilih pemain yang beliau rasakan punya karakter permainan
hampir sama dengan pemain antarabangsa Armenia itu dan Lingard ialah pengganti
yang sesuai.
Mourinho memerlukan seorang pemain yang boleh
berdepan satu lawan satu dengan mana-mana pemain lawan, mampu membawa bola jauh
ke dalam kawasan lawan selain punya pergerakan bagus dan aspek itulah yang
mampu ditawarkan Lingard. Akhirnya kepercayaan yang diberikan Mourinho dibayar
Lingard menerusi prestasi terpuji yang dipamerkan beliau sepanjang 77 minit
aksinya di atas padang selain satu gol yang berjaya disumbangkannya.
Amaran
Keown Menjadi Kenyataan...
Menjelang final, legenda Arsenal, Martin
Keown sudah melontarkan amaran kepada benteng pertahanan United supaya
mengawasi pergerakan penyerang baharu The
Saints, Manolo Gabbiadini. Gabbiadini yang ditandatangani Puel dari Napoli Januari
lalu sudah menunjukkan petanda bahawa kelibatnya perlu diawasi oleh mana-mana benteng
pertahanan lawan menerusi gol pertama pada penampilan pertamanya untuk The Saints ketika berdepan West Ham 4
Februari lalu.
Seminggu kemudian, penyerang berusia 25 tahun
itu kembali meletakkan namanya dalam senarai penjaring Southampton menerusi dua
gol yang dihasilkannya ketika mereka menundukkan Sunderland (4-0) dalam saingan
liga. Tiga gol dalam dua penampilan merupakan satu catatan yang cukup fantastis
buat seorang pemain di kelab baharu, dan di Wembley Gabbadiani sekali lagi
membuktikan betapa bagusnya penyudah beliau ketika berada di dalam petak penalti
lawan.
Sama ada bergerak dengan bola atau tanpa
bola, Gabbiadini sentiasa sahaja mampu menghadirkan masalah kepada Chris
Smalling dan Eric Bailly, jadi tidak hairanlah mengapa Keown melabelkan pemain
ini sebagai `pemain istimewa’ untuk Southampton. Smalling dan Bailly sudah
melakukan apa yang terdaya tetapi mereka tetap gagal menghalang Gabbiadini dari
menembusi pintu gol David De Gea, bukan sekali tetapi dua kali.
Zlatan
Time...
Entah berapa kali musim ini Ibra muncul
penyelamat United, dan di Wembley beliau sekali lagi melakukannya. Ibra bertanggungjawab
membuatkan The Saints gigit jari
meskipun mereka bermain lebih baik berbanding barisan Mourinho sepanjang 90
minit aksi final itu. Gol kemenangan Ibra ke gawang Southampton, hanya tiga
minit sebelum masa sebenar permainan tamat membuktikan sekali lagi
kebergantungan United kepada penyudah tajam beliau.
Buat masa ini ketepikan sementara spekulasi
masa depan beliau di Old Trafford kerana sebagai pemain, Ibra tahu kejayaan menjulang
trofi Piala Liga hanyalah permulaan kepada misi memenangi kejuaraan lebih besar
selepas ini. Dua gol yang dijaringkan Ibra di Wembley menyaksikan Ibra sudah
menjaringkan 26 gol untuk United dalam semua peringkat kejohanan setakat ini...satu
catatan mengagumkan buat seorang penyerang yang sudah berusia 35 tahun seperti
beliau.
Jika Puel memiliki `pemain istimewa’ seperti
Gabbiadini, Mourinho pula lebih beruntung kerana beliau ada Ibra...pemain yang
memberikan perbezaan antara juara dan yang kecundang di pentas final. Ketika
kedudukan terikat 2-2, ketika The Saints
sentiasa memberikan tekanan demi tekanan, Ibra akhirnya sekali lagi memilih
waktu dan posisi yang tepat untuk menghukum lawan. Kali ini gol kemenangan yang
dijaringkan Ibra memberikan United trofi kompetitif pertama mereka di era
Mourinho.
Amat indah bila menyaksikan bagaimana gol itu
dijaringkan, bagaimana jaringan itu diraikan terutamanya bila ia dihasilkan di penghujung
perlawanan dan ketika kita mendapati lawan bermain lebih baik. Gol di minit ke-87
itu memang gol yang istimewa kerana ia dijaringkan oleh pemain yang istimewa
dan lebih istimewa Ibra memilih waktu yang sangat tepat untuk menyakiti
lawan....kesakitan yang bakal mereka ingati buat tempoh yang panjang. Glory
Glory Manchester United!!!