29 Mac 2017

DE GEA SAGA (BAHAGIAN AKHIR): AMBILLAH DE GEA...TAPI KAMI MAHUKAN DUA DARI EMPAT PEMAIN INI SEBAGAI PERTUKARAN


Masa depan David De Gea terus menjadi perdebatan berikutan minat tinggi yang ditunjukkan Real Madrid terhadap penjaga gol kebangsaan Sepanyol itu. Seperti yang saya sebutkan dalam artikel De Gea Saga (Bahagian 1) sebelum ini, spekulasi perpindahan beliau ke Bernabeu bukanlah cerita baharu.

Mengimbau sejarah lampau, gawang Real pernah dikawal `tangan-tangan emas’ dari kalangan warga Sepanyol...dari era Ricardo Zamora, Antonio Betancort, Miguel Angel Gonzalez, Francisco Buyo hinggalah ke era Iker Casillas.

Jadi meletakkan De Gea sebagai penerus legasi warga Sepanyol terdahulu selaku pegawal gawang mereka tentulah sesuatu yang sangat-sangat sentimental buat Real selain prestasi cemerlang yang dipamerkan penjaga gol skuad kebangsaan Matador itu baik di peringkat kelab mahu pun kebangsaan.

Perkiraan Mourinho...

Jose Mourinho beberapa hari lalu diberitakan sudah muak dengan spekulasi demi spekulasi membabitkan masa depan De Gea di Old Trafford hinggakan beliau sudah bersedia berdepan sebarang kemungkinan melepaskan penjaga gol utamanya itu kembali ke Sepanyol.

Bagaimanapun `kepasrahan’ Mourinho tidak bermakna beliau akan memberikan laluan mudah kepada Real dalam misi mereka mendapatkan tandatangan De Gea musim panas nanti. Ketika Florentino Perez menawarkan Isco dan James Rodriguez sebagai pilihan pertukaran, Mourinho pula sebaliknya mahukan lebih dari apa yang ditawarkan Perez.

Mourinho mahu pemain yang memiliki `nilai lebih tinggi’, bukan pemain yang sekadar memainkan watak pengganti atau sering memanaskan bangku simpanan. Musim ini Isco hanya bermain tiga perlawanan penuh dari 22 penampilan liga untuk Real, manakala nasib Rodriguez pula lebih malang apabila pemain antarabangsa Colombia ini hanya bermain 90 minit dalam dua perlawanan dari 14 penampilan.

Ketika Mourinho seperti sudah bersedia melepaskan salah seorang pemain utamanya musim ini kepada Real, beliau juga mahukan pemain setaraf sebagai pertukaran, bukan pemain yang semakin terpinggir dan tampak seperti sudah terkeluar dari perancangan Zidane musim panas nanti. Jadi siapakah pemain Real yang dimahukan Mourinho?

Karim Benzema

Benzema dan United bukan cerita baru kerana lapan tahun lalu pemain ini pernah diminati Sir Alex Ferguson sebelum akhirnya beliau memutuskan menyertai Real dari Olympique Lyon. Ejekan demi ejekan yang diterimanya dari kelompok penyokong Real musim ini menyebabkan Benzema menimbang kemungkinan meninggalkan Bernabeu musim panas nanti.

Benzema ialah tipikal penyerang yang mampu menjaringkan 20 gol semusim, memiliki penyudah yang sangat klinikal ketika berada di hadapan gawang lawan selain kemampuan dalam mencipta peluang gol secara berterusan. Musim lalu boleh dianggap musim paling berjaya buat Benzema sepanjang beliau berada di Bernabeu menerusi 24 gol dalam saingan liga yang dihasilkannya dan 42 peluang jaringan gol yang diciptanya.

Diletakkan dalam senarai 10 penyerang terbaik Eropah, tugas Benzema bukan sekadar menjaringkan gol tetapi juga memainkan peranan penting dalam mencipta ruang buat Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo ketika mereka menyerang menerusi pergerakan-pergerakan bijaknya. Jika bercakap tentang pemain yang cukup bagus dalam hal kerjasama berpasukan, Benzema adalah antara contoh terbaik.

Toni Kroos

Inilah pemain yang dikatakan sangat diidam-idamkan Mourinho sebagai pengganti posisi Michael Carrick selaku maestro di bahagian tengah United. Memandangkan Carrick kian berada di penghujung karier, penting bagi Mourinho mencari pengganti setaraf, tepat dan sesuai sebagai rakan gandingan Paul Pogba.

Memiliki karakter permainan hampir sama dengan Carrick, pakar melakukan hantaran-hantaran tepat jarak jauh dan dekat, visi permainan yang tinggi, tahu meletakkan diri di posisi tepat ketika bertahan mahupun ketika menyerang dan bijak mengawal tempo permainan menjadikan Kroos pemain tengah `hampir sempurna’.

Dari 22 penampilan La Liga-nya musim ini, Kroos berjaya mencipta 61 peluang jaringan gol di mana sepuluh dari jumlah tersebut merupakan assist. Peratus ketepatan hantaran yang dilakukan Kroos pula mencapai 92% dengan purata jarak hantaran yang dilakukannya ialah 20 meter.

Meskipun ada beberapa calon lain yang difikirkan sesuai menggantikan posisi Carrick, saya sangat berharap agar impian menyaksikan bintang antarabangsa Jerman ini `mendarat’ di Old Traffod musim panas nanti menjadi kenyataan. Paul Scholes dan Rio Ferdinand mahukan beliau bermain untuk United, begitu juga saya.

Raphael Varane

Beberapa siri kesilapan mudah yang dilakukan Chris Smalling menjadi alasan kuat kenapa Mourinho perlu menyuntik nafas baharu di benteng pertahanan United musim depan. Siapakah pemain pertahanan yang difikirkan sesuai sebagai pengganti Smalling?

Di Bernabeu sudah tentu Mourinho mahukan Varane...pertahanan yang masih boleh dianggap muda di mana musim ini beliau secara perlahan-lahan mula menyingkirkan Pepe sebagai pendamping Sergio Ramos di posisi pertahanan tengah Real.

Memiliki ketinggian 1.91m dan fizikal yang kuat, Varane tipikal pertahanan tengah yang boleh menyebabkan lawan ragu-ragu ketika berdepan dengannya dalam situasi perebutan bola 50/50 selain punya kekuatan ketika mencabar lawan dalam pertarungan bola tinggi.

Jangan lupakan juga fakta bahawa Mourinho merupakan individu yang membawa Varane ke Bernabeu pada 2011, semusim selepas beliau menggantikan posisi Manuel Pellegrini. Jadi faktor ini mungkin boleh mempengaruhi Varane untuk datang ke Old Trafford dan kembali bekerjasama dengan Mourinho.

Casemiro

Masih ingat lagi aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara musim lalu yang menemukan Real dan Wolfsburg? Ronaldo menjaringkan hatrik dalam perlawanan tersebut sekaligus memadam defisit dua gol yang dicipta wakil Jerman itu di Volskwagen Arena pada perlawanan pertama.

Itu merupakan kali pertama Real berjaya bangkit memadam kelebihan dua gol lawan di pentas Eropah sejak kejayaan mereka menyingkirkan Red Star Belgrade pada 1987. Ronaldo menjadi sorotan menerusi hatrik yang dihasilkannya tetapi wira sebenar dan kunci kepada kejayaan Real menyingkirkan Wolsfburg ialah Casemiro.

Peranan yang dimainkannya dalam perlawanan itu menyebabkan Real lebih seimbang sama ada ketika mereka bertahan mahupun menyerang dan hakikat itu turut diakui Zinedine Zidane. Sejak itu jugalah Zizou mula mengakui kualiti yang ada dalam diri Casemiro selaku pemegang watak pemain tengah bertahan dalam skuadnya.

Gara-gara kecederaan di awal musim, Casemiro cuma melakukan 15 penampilan untuk Real dari 27 aksi liga setakat ini. Bagaimanapun ketika beliau cergas sepenuhnya, gandingan Casemiro, Kroos dan Modric sentiasa menjadi pilihan Zizou di bahagian tengah.

Dalam skuad Zizou, Casemiro sebenarnya melakukan kerja-kerja yang sangat `sederhana’ berbanding Kroos dan Modric iaitu mengawal bahagian tengah dari sebarang kemungkinan lawan melakukan `counter attack’ ketika dua pemain ini mara lebih jauh ke hadapan.

Meskipun kerja-kerja yang dilakukannya dianggap `sederhana’, Zizou pernah melabelkan Casemiro sebagai `otak’ bagi pasukannya...merujuk kepada peranan pernah dimainkan Claude Makelele yang juga merupakan rakan sepasukan beliau di Bernabeu dari 2001 hingga 2003.

Mesej Untuk Perez....

Selepas memecah rekod perpindahan dunia ketika menandatangani Paul Pogba Ogos lalu, United nampaknya tidak teragak-agak untuk melakukan perkara yang sama sekali lagi musim panas nanti.

Mourinho pernah mengingatkan bahawa harga Pogba akan kelihatan `murah’ dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi sekaligus membayangkan bahawa beliau akan terus berbelanja besar dalam usaha memperkasakan skuadnya.

Ketika ini pun sudah ada beberapa nama besar yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford. Bermula dari Kroos, Griezmann hinggalah ke Neymar, United nampaknya tidak henti-henti dikaitkan dengan beberapa perpindahan besar yang khabarnya bakal mereka lakukan musim panas nanti.

Jika dahulunya Real cukup terkenal kerana kejayaan menghimpunkan pemain-pemain ternama di Bernabeu hinggakan gelaran `Galacticos’ cukup akrab dengan mereka, kini United juga sedang mengorak langkah yang sama.

Perez perlu diingatkan bahawa masa sudah jauh berubah dan United juga bukan lagi kelab yang sama ketika mereka melepaskan David Beckham, Ruud Van Nistelrooy dan Cristiano Ronaldo ke Bernabeu.

Perez kini mendapati misi memancing De Gea keluar dari Old Trafford tidak lagi semudah ketika beliau menandatangani Beckham dan Van Nistelrooy atau ketika beliau menjadikan Ronaldo pemain termahal dunia pada 2009.

Jika Perez sangat kemaruk dengan potensi De Gea selaku pengawal gawang Real, beliau juga nampaknya perlu bersedia melepaskan beberapa pemain terbaiknya ke Old Trafford sebagai pertukaran.

Beberapa hari lalu, Mourinho sudah melontarkan mesej yang sangat jelas kepada Perez berkaitan saga perpindahan De Gea...”Jika anda mahukan De Gea, anda juga perlu melepaskan pemain terbaik anda kepada kami”...Glory Glory Manchester United!!!

27 Mac 2017

DE GEA SAGA (BAHAGIAN 1): MAMPUKAH UNITED MELINDUNGI DE GEA DARI GODAAN REAL MADRID?


David De Gea tiba di Old Trafford pada 2011 dengan memikul beban besar di bahu selaku pengganti Edwin Van der Sar dan pada usia beliau yang baru mencecah 20 tahun ketika itu, ramai yang mempertikaikan kewajaran Sir Alex Ferguson meletakkan seorang remaja `kurus kering’ sebagai pengawal pintu gol pasukannya.

Enam tahun yang lalu, De Gea adalah prospek penjaga gol terbaik dunia tetapi meninggalkan kehidupan di Sepanyol demi karier dan diamanahkan pula untuk mengisi kekosongan posisi yang ditinggalkan si legenda Van der Sar bukanlah sesuatu yang mudah buat seorang remaja seperti beliau.

Ketika itu, beliau bukan sahaja perlu menyesuaikan dirinya dengan kehidupan luar padang di England tetapi dalam masa yang sama juga perlu menyesuaikan diri dengan corak permainan di Liga Perdana yang pastinya sangat berbeza berbanding La Liga.

Gugup...

Jika anda masih ingat, De Gea ketika peringkat awal kariernya di Old Trafford kerap melakukan kesilapan-kesilapan mudah hinggakan ramai pihak meragui kemampuan penjaga gol Sepanyol ini sebagai pengganti jangka panjang di pintu gol United. Apa sebenarnya masalah utama yang dihadapi De Gea ketika itu?

Gagal berkomunikasi dengan baik bersama rakan sepasukan di benteng pertahanan dan gugup antara faktor mengapa beliau berdepan kesukaran pada peringkat awal kariernya bersama United.

Di saat benteng pertahanan United dibarisi pemain-pemain hebat seperti Nemanja Vidic, Rio Ferdinand dan Patrice Evra, bayangkanlah betapa sukarnya untuk seorang penjaga gol muda seperti beliau untuk berkomunikasi, menjerit dan memberikan arahan kepada rakan yang jauh lebih berpengalaman.

Menurut Eric Steele (jurulatih penjaga gol United ketika itu), selain kekurangan pengalaman, punca utama mengapa De Gea berdepan kesukaran pada peringkat awal kehadirannya di Old Trafford ialah kerana faktor fizikal beliau yang `rapuh’ saat ditekan lawan.

Dengan fizikal seorang remaja yang baru berusia 20 tahun, tentu sukar buat De Gea berdepan asakan-asakan keras penyerang-penyerang lawan di Liga Perdana terutamanya dalam situasi perebutan bola tinggi. Untuk itu tugas membentuk De Gea tentunya menjadi tanggungjawab penting yang terpaksa dipikul Steele.

Dalam satu wawancara dengan Daily Mail pada 2014, Steele mendedahkan fokus utamanya setiap minggu ialah membentuk ketahanan fizikal De Gea menerusi latihan berjam-jam di gimnasium. Manakala tempoh 48 jam sebelum perlawanan pula barulah beliau memberikan tumpuan kepada aspek kemahiran, teknik dan kepantasan.

Transformasi De Gea...

Ketika tahap fizikal, konsentrasi serta keyakinan dirinya semakin baik, manakala tindakbalas pantasnya semakin tajam dan dibantu fleksibiliti ketika melakukan penyelamatan, De Gea akhirnya membuktikan bahawa posisi sebagai penjaga gol nombor satu United yang diwarisinya dari Van der Sar tidak lagi mampu digugat oleh sesiapa hatta selepas kedatangan Victor Valdes atau Sergio Romero sekalipun.

Jika dahulunya beliau kelihatan `malu-malu’ dalam memberikan arahan kepada rakan di benteng ketika lawan mengasak, kini De Gea semakin yakin dan semakin lantang bersuara.

Semasa musim terakhir Fergie sebagai pengurus di Old Trafford, De Gea muncul antara watak penting di sebalik kejayaan kelab menjulang trofi liga. Ketajaman jentera serangan yang dibarisi Robin Van Persie dan Wayne Rooney diimbangi juga menerusi kekentalan benteng pertahanan dan ketangkasan De Gea selaku pengawal gawang United.

Sasaran Real Madrid...

Pasca persaraan Fergie, United berubah dari pasukan yang saban musim muncul calon utama menjulang kejuaraan liga kepada pasukan yang selama tiga musim terakhir cuma mensasarkan kelompok empat teratas sebagai misi utama.

Bagaimanapun satu-satunya fakta yang tidak pernah berubah ialah bahawa ketangkasan De Gea di gawang sentiasa menjadi penyelamat kepada musim-musim suram United.

Tidak keterlaluan jika saya katakan ketangkasan De Gea menerusi gerakan refleks pantasnya ketika melakukan penyelamat-penyelamatan hebat sebenarnya menyelamatkan Louis Van Gaal dari dipecat lebih awal.

Atas sebab itu jugalah mengapa pada 2015, Real Madrid melakukan usaha yang agak agresif bagi membawa De Gea ke Santiago Bernabeu sebagai pengganti jangka panjang Iker Casillas.

Pada musim panas 2015, De Gea dikatakan hampir sahaja berpindah ke Santiago Bernabeu namun kegagalan urusan dokumentasi saat akhir menggagalkan usaha Real.

Saya tidak pasti tentang kebenaran dakwaan bahawa Ed Woodward menjadi `dalang’ di sebalik kegagalan perpindahan De Gea ke Santiago Bernabeu. Tetapi jika dakwaan itu benar, anda sepatutnya berterima kasih kepada Woodward atas `kejayaan’ beliau mengekalkan De Gea di Old Trafford.

De Gea selepas itu bukan sahaja mengambil keputusan kekal bersama kelab malah bersetuju menyambung kontraknya selama empat tahun lagi. Kini selepas hampir dua tahun, khabar angin tentang keinginan Real mendapatkan De Gea kembali bertiup kencang.

Semuanya gara-gara prestasi cemerlang yang dipamerkan beliau musim ini di bawah kendalian Jose Mourinho. Musim ini, dari 27 penampilan yang dilakukannya setakat ini, beliau mencatatkan 10 clean sheet, melakukan 55 penyelamatan dengan purata penyelamatan yang dilakukannya ialah 1.59 per perlawanan.

Mourinho tentunya sedar bahawa De Gea antara pemain penting dalam skuadnya dan tentunya juga beliau sedar penting untuknya terus mengekalkan penjaga gol ini bersama kelab walaupun Real dikatakan sekali lagi datang mengintai khidmatnya.

United pernah menjual beberapa pemain terbaik mereka kepada Real sepanjang sejarah hubungan antara kedua-dua kelab tetapi dalam situasi De Gea saya berharap mereka akan bertegas.

Sukar buat mana-mana pemain Sepanyol menepis godaan yang datang dari kelab seperti Real atau Barcelona dan saya percaya De Gea juga tidak terkecuali. Jika di penghujung musim nanti Real meletakkan tawaran mereka untuk De Gea, United bakal berdepan tugas getir untuk mempertahankan penjaga gol utama mereka itu.

Buat masa ini De Gea enggan bercakap tentang masa depannya di Old Trafford kerana fokus utamanya ialah membantu kelab mengejar sasaran kelompok empat teratas carta liga selain prospek memenangi trofi kejuaraan Liga Europa buat pertama kali dalam sejarah kelab.

Donnarumma Pengganti De Gea?...

Meskipun sedar bahawa De Gea antara pemain penting dalam skuadnya, Mourinho juga dikhabarkan semakin bosan dengan spekulasi demi spekulasi yang mengaitkan perpindahan penjaga golnya itu ke Santiago Bernabeu.

Atas sebab itu jugalah kini timbul perkhabaran bahawa kelab sedang mengintai peluang untuk mendapatkan khidmat Gianluigi Donnarumma sebagai pengganti De Gea di gawang.

Dengan kontrak Donnarumma yang bakal tamat pada musim panas 2018 dan tuntutan gaji lebih lumayan yang dimahukan agen beliau, AC Milan juga nampaknya sedang bergelut dalam usaha mereka mengekalkan pemain ini di San Siro.

Jika memang benar perkhabaran bahawa kelab meletakkan Donnarumma sebagai sasaran mereka sebagai pengganti De Gea, Mino Raiola selaku agen penjaga gol berusia 18 tahun ini yang juga pernah terlibat dalam `dua perpindahan besar’ ke Old Trafford musim panas lalu boleh memainkan peranan penting sekali lagi.

Akhirnya...

Buat masa ini De Gea masih lagi penjaga gol Manchester United, jadi sementara itu biarkan sahaja khabar angin tentang minat Real terhadap beliau bertiup kencang. Bagaimanapun jika beliau gagal menahan godaan untuk berpindah ke Bernabeu, saya yakin kelab sudah memiliki calon lain sebagai pengganti.

Sementara De Gea masih berada di pintu gawang United, saksikan sahaja aksi-aksi penyelamatan fantastis dari sepasang tangan `emasnya’, aksi yang membuatkan lawan hanya mampu memuji manakala kita pula akan terus mengagumi beliau. Adakah #DaveSaves akan terus menjadi penyelamat United di musim-musim akan datang...? Ya, saya harap begitu. Glory Glory Manchester United!!!

25 Mac 2017

SERING MEMBOCORI GAWANG ARSENAL....APA RAHSIA PEMILIK `TIGA PARU-PARU’ INI?

Sepanjang tempoh tujuh musim beliau di Old Trafford, Park Ji-Sung antara pemain kepercayaan dan kesayangan Sir Alex setiap kali beliau memilih kesebelasan utamanya. Bagaimanapun semasa peringkat awal kedatangan beliau di Old Trafford, timbul persepsi yang mengatakan bahawa pembelian Ji-Sung sebenarnya lebih bersifat pemasaran jenama Manchester United di Asia.

Bagaimanapun akhirnya Ji-Sung membuktikan bahawa pemain Asia seperti beliau juga boleh berjaya di kelab besar seperti United sekaligus menepis persepsi negatif pengkritiknya yang melabelkan beliau sebagai `Dong Fangzhuo Kedua’. Ji-Sung cukup terkenal dengan komitmen jitu di atas padang menerusi kemampuan menjelajah di setiap pelusuk padang sepanjang 90 minit permainan.

Komitmen jitu Ji-Sung menerusi mobiliti tingginya di atas padang sebenarnya lahir dari stamina tidak terbatas yang dianugerahkan Tuhan kepadanya hinggakan gelaran `Three Lungs Park’ cukup sinonim dengan dirinya. Jadi tidak hairanlah mengapa beliau sangat disayangi penyokong-penyokong United sepanjang kariernya di Old Trafford dari 2005 hingga 2012.

Selain kejayaan memenangi empat medal kejuaraan Liga Perdana sepanjang tujuh musim di Old Trafford, Ji-Sung juga cukup dikenali penyokong-penyokong United kerana kemampuan beliau membocori gawang Arsenal setiap kali kedua-dua kelab bertemu. Untuk rekod, dari 2005 hingga musim terakhirnya bersama kelab, beliau berjaya menjaringkan empat gol ke gawang Arsenal.

Jumlah tersebut juga menyaksikan Ji-Sung berkongsi kedudukan bersama Teddy Sheringham dan Cristiano Ronaldo selaku pemain paling kerap membolosi gawang skuad kendalian Arsene Wenger itu. Apa rahsia Ji-Sung hinggakan kelibatnya sering sahaja menghantui barisan pertahanan Arsenal?

Jawapannya ialah gaya permainan Arsenal. Fakta itulah yang menyebabkan Ji-Sung kelihatan sangat selesa di atas padang setiap kali kedua-dua kelab ini bertembung. Sepertimana yang anda tahu, Arsenal merupakan pasukan yang gemar mengamalkan taktik `passing game’ dalam permainan mereka hinggakan pada satu ketika The Gunners pernah dilabel kelab kedua yang memiliki corak permainan menarik di Eropah selepas Barcelona.

Kecenderungan Arsenal bermain secara terbuka dan menyerang menyebabkan mereka juga sangat terdedah kepada serang balas pantas lawan ketika mereka kehilangan bola. Itulah gaya bolasepak yang sebenarnya sangat cocok dengan Ji-Sung dan mungkin faktor itu jugalah yang menyebabkan mengapa beliau kelihatan sangat bagus setiap Sir Alex menurunkannya ketika berdepan Arsenal.

Bermula dari era Kolo Toure, Sol Campbell dan Lauren selaku tembok pertahanan tengah Arsenal hinggalah ke era Laurent Kocielny, Per Mertesacker dan Thomas Vermaelen...kelibat pemilik `Tiga Paru-paru’ ini sentiasa sahaja menghantui barisan belakang skuad Meriam London itu hinggalah akhirnya Ji-Sung meninggalkan kelab pada 2012.

Selain fakta bahawa beliau antara pemain United yang kerap membolosi pintu gol Arsenal, saya juga tidak akan pernah melupakan peranan Ji-Sung ketika beliau ditugaskan Sir Alex mengunci pergerakan Andrea Pirlo saat United dan AC Milan dipertemukan di pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Juara-Juara musim 2009/10.

United menyingkirkan Milan menerusi aggregat 7-2 untuk layak ke pusingan suku akhir tetapi keberkesanan Ji-Sung dalam meneutralkan peranan Pirlo selaku maestro di bahagian tengah diakui legenda Itali itu dalam autobiografinya. Mengimbas kembali detik tersebut, Pirlo menyifatkan Ji-Sung umpama `anjing pengawal’ yang merantai setiap pergerakannya di San Siro dan juga di Old Trafford...Glory Glory Manchester United!!!

22 Mac 2017

BILA MOURINHO PUN MENGAKUI PENTINGNYA PERANAN KEANO....

Manchester United merupakan salah satu kelab besar Inggeris, punya sejarah gemilang yang panjang, dikendalikan oleh individu-individu hebat seperti Sir Matt Busby dan Sir Alex Ferguson, juga pernah dibarisi pemain-pemain ternama dari dulu hingga sekarang.

Dari saat Ernest Mangnail dan barisan pemainnya memenangi kejuaraan liga utama buat pertama kali hinggalah yang terakhir ketika Sir Alex Ferguson menjulang trofi tersebut buat kali ke-20 dalam sejarah kelab, fakta paling nyata ialah United merupakah kelab paling berjaya dan paling dicemburui di tanah Inggeris.

Dalam tempoh itu juga bukan sedikit pemain-pemain ternama yang pernah bermain dan masih bermain untuk United, pernah membantu kelab memenangi pelbagai kejuaraan dan kekal dalam ingatan sebagai legenda hebat yang pernah menabur bakti sepanjang era mereka menyarung jersi keramat The Red Devils.

Salah seorang pemain yang namanya masih kekal disebut dan masih segar diingati penyokong-penyokong United hingga sekarang walaupun beliau sudah meninggalkan kelab hampir 12 tahun lalu ialah si Captain Marvel...Roy Keane.

Hilangnya `Suara Lantang’ Di Bilik Persalinan...

Kita boleh berbangga kerana kelab ketika ini memiliki Paul Pogba selaku pemain termahal dunia, tetapi wang yang dibayar mereka untuk membawa Pogba kembali ke Old Trafford sebenarnya tetap tidak mampu menggantikan peranan Keano selaku pemimpin di bilik persalinan juga ketika di atas padang.

Jose Mourinho mengakui United memang memerlukan seorang pemimpin lantang seperti Keano kerana itulah faktor yang sudah lama hilang dalam bilik persalinan United. Keano memang seorang individu yang sangat kontroversial tetapi Sir Alex sebenarnya sangat bertuah kerana pernah bekerjasama dengan `Sang Pemberontak’ ini.

Anda boleh katakan apa sahaja tentang Keano, dari seorang pemimpin sejati di atas padang, sikap panas barannya, keinginan untuk menang yang sentiasa beliau letakkan di tempat tertinggi atau corak permainan kerasnya, tetapi satu fakta yang nyata ialah betapa lidahnya juga mampu melunturkan ego mana-mana individu, tidak kira sama ada kawan mahupun lawan.

Sir Alex pernah mengakui selepas pemergian Keano, suasana bilik persalinan lebih `santai dan damai’ namun dalam masa yang sama beliau juga terpaksa menelan hakikat bahawa United kehilangan seorang pemimpin yang mampu mendorong rakan-rakan sepasukannya memberikan komitmen 200% setiap kali berada di atas padang.

Keano Yang Tidak Ternilai...

Selaku pengurus, Mourinho boleh berbangga kerana beliau mencipta sejarah kelab ketika memecahkan rekod dunia dengan menandatangani Pogba, tetapi sosok seperti Keano sebenarnya tidak ternilai walau dalam jumlah apa sekalipun yang ditulis di atas sekeping cek.

Jadi memang wajarlah Mourinho berasa sedikit cemburu kepada Fergie, kerana meskipun kelab memberikan dana tanpa had untuk beliau berbelanja, Mourinho tetap `tidak mampu’ membeli seorang pemain dan pemimpin sehebat Keano untuk diletakkan dalam kesebelasan utama skuadnya.

Kata-kata keramat “Winning is everything” sering disebut beliau dan sangat sinonim dalam diri Keano. Beliau bukanlah pemain tengah paling berbakat di dunia yang pernah kita saksikan selain tidak dianugerahkan Tuhan skill kawalan bola memukau seperti Zinedine Zidane atau Ronaldinho, tetapi semangat meluap-luap Keano ketika memimpin rakan-rakan sepasukannya di atas padang sangat-sangat menakjubkan.

Romantisme Di Turin...

Saya masih terbayang gol tandukan Keano yang menewaskan Angelo Peruzzi pada aksi kedua peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara di Turin meskipun momen itu sudah 18 tahun berlalu. Gol itulah sebenarnya yang membangkitkan semangat pemain-pemain United selepas Juventus mendahului menerusi dua jaringan pantas Fillipo Inzaghi.

Ketika mendapati United kian tertekan sebaik Juve melebarkan aggregat kepada 3-1, Keano selaku pemimpin tidak henti-henti berlari, menjerit kepada rakan sepasukan agar tidak hilang fokus, berjuang merebut bola dari kaki lawan dan cuba mencipta peluang untuk disudahkan rakan di barisan serangan.

Akhirnya selepas 13 minit Inzaghi menjaringkan gol kedua Juve, Keano melompat tinggi mengatasi Zidane untuk menanduk masuk bola dari sepakan sudut David Beckham. Peruzzi tertewas dan bermula dari detik itulah secara perlahan-lahan ego barisan kendalian Carlo Ancelotti terhakis sedikit demi sedikit.

Jaringan Keano itu hadir tepat pada waktunya dalam meredakan kegugupan United yang jelas ketara terutamanya di babak awal perlawanan. Adakah anda pernah terfikir bahawa barisan `Treble 99’ akan berada di Nou Camp dan menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali kedua di sana tanpa gol semangat Keano yang mencetuskan kebangkitan United di Turin?

Secara peribadi saya berpendapat tanpa jaringan Keano itu, sukar untuk United bangkit memadam kelebihan dua gol Juve. Dibarisi pemain-pemain hebat seperti Zidane, Antonio Conte, Mark Iuliano, Didier Deschamps, Edgar Davids, Ciro Ferrara dan Inzaghi sendiri, Juve adalah barisan pilihan berbanding United.

Sebagai penyokong United, tentunya kebangkitan di Turin antara momen paling `romantis’ bila kita bercakap tentang Keano selain `Keajaiban Nou Camp’ yang menyebabkan Samuel Kuffour menangis seperti anak kecil bila gol penghujung perlawanan Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solskjaer memadam kelebihan awal Bayern di final.

Masih Wujudkah DNA Keano Dalam Skuad United?....

Seperti yang saya katakan tadi, Keano tidak dianugerahi dengan skill kawalan bola memukau tetapi semangat meluap-luapnya dalam meniup api perjuangan rakan-rakan sepasukan sungguh mengagumkan. Sikap panas baran Keano sebenarnya turut didorong oleh naluri beliau yang sangat obses dengan kemenangan.

Menjawab kepada persoalan di atas, DNA yang ditinggalkan Keano sepanjang 12 tahun beliau menyarung jersi United sebenarnya kian beransur-ansur pupus dalam diri mana-mana pemain United. Jika ada pun mungkin sedikit masih terdapat dalam diri Zlatan Ibrahimovic dan Wayne Rooney selaku `orang lama’ dalam dunia bolasepak.

Entah bila saya akan dapat menyaksikan semula pemain versi baharu seperti Keano menyarung jersi United. Pemain yang meletakkan kemenangan mengatasi segala yang ada di atas padang sebagai motivasi utamanya, pemain yang tanpa pernah rasa kesal melihat lawan diusung keluar akibat terjahan kerasnya dan pemain yang sentiasa meletakkan dirinya di hadapan bagi melindungi rakan sepasukan dari provokasi lawan.

Waktu kian berganti dan suasana bilik persalinan United juga pastinya tidak lagi sama seperti dahulu. Namun satu perkara yang masih tetap sama sejak dari hari pertama `Sang Pemberontak’ ini meninggalkan kelab hinggalah sekarang ialah betapa kelibat Keano amat dirindui penyokong-penyokong United.

Masih wujudkah lagi `spesis’ pemain seperti Keano ini di Old Trafford? `Spesis’ pemain yang menyebabkan bintang seperti Gerard Pique kegentaran bila menyaksikan kelibatnya di tepi padang walaupun ketika itu Keano cuma bertugas sebagai pengulas perlawanan...Glory Glory Manchester United!!!

20 Mac 2017

ANTARA REKOD, TANGGA KELIMA DAN `BLUNDER’ SMALLING...

Selepas tertunda beberapa minggu kerana jadual padat yang terpaksa dihadapi United di Liga Europa dan saingan Piala FA, mereka akhirnya mencatatkan rekod sebagai pasukan pertama di Liga Perdana yang berjaya merakamkan 600 kemenangan dalam perlawanan liga.

Aksi menentang Middlesbrough di Riverside merupakan perlawanan ke-951 The Red Devils dalam saingan Liga Perdana dan tiga mata penuh yang berjaya di raih di sana melonjakkan kedudukan kelab di tangga kelima liga.

184 Hari Diperlukan Untuk Kembali Ke Kelompok Lima Teratas...

United memerlukan 184 hari dalam usaha mereka kembali ke kelompok lima teratas liga sejak kali terakhir mereka berada di kedudukan tersebut pada 16 September 2016.

Kekalahan Arsenal kepada West Bromwich Albion sehari sebelumnya akhirnya membuka peluang buat barisan Jose Mourinho menamatkan `badi tangga keenam’ untuk melonjak ke tangga kelima liga.

Jalan Ke Kelompok Empat Teratas Kini Terbuka...

Kemenangan semalam cukup besar ertinya untuk United dalam menghidupkan peluang mereka menamatkan saingan musim ini di kelompok empat teratas.

Meskipun sudah berada di peringkat suku akhir Liga Europa, Mourinho nampaknya masih melihat posisi empat teratas sebagai misi yang perlu disempurnakan bagi memastikan United beraksi di Liga Juara-Juara musim hadapan.

Tangga kelima mungkin posisi `sementara’ untuk United memandangkan mereka masih memiliki kelebihan dua perlawanan dalam tangan berbanding Liverpool yang kini berada di tangga keempat liga.

United kini hanya ketinggalan empat mata berbanding Liverpool (56 mata) dan jika berjaya memanfaatkan kelebihan dua perlawanan dalam tangan yang dimiliki, mereka bakal memintas The Reds dengan kelebihan dua mata.

Alasan Mourinho Menggunakan Empat Pertahanan Tengah...

Ada kelainan dalam line up United di Riverside semalam dan kelainan yang saya maksudkan ialah Mourinho menggunakan empat pemain pertahanan tengah di benteng skuadnya.

Pada permulaan perlawanan, Mourinho menggunakan tiga pertahanan tengah (Eric Bailly, Phil Jones dan Chris Smalling) di barisan belakang manakala Marcos Rojo pula dimasukkan ketika tempoh perlawanan sebenar berbaki 21 minit sebelum ditamatkan.

Ketika Boro semakin hebat memberikan tekanan terutamanya selepas kemasukan Rudy Gestede dan Adama Traore, Mourinho sebenarnya tiada pilihan lain selain meletakkan seorang lagi pertahanan tengah (Rojo) untuk memberikan kekuatan tambahan di benteng pertahanannya.

Boro Yang Menguasai Bola...

Boro memang menguasai bola di Riverside semalam tetapi kelajuan yang dimiliki Marcus Rashford, Jesse Lingard dan Antonio Valencia di barisan hadapan sebenarnya banyak memberikan masalah kepada benteng pertahanan mereka.

Statistik selepas tamat perlawanan semalam menyaksikan tuan rumah menguasai 59% penguasaan bola tetapi United lebih unggul dalam hal melakukan percubaan ke arah pintu gol lawan.

Gol kedua United jaringan Lingard bukti bagaimana kepantasan di barisan hadapan digunakan mereka untuk menghukum lawan. Lingard memanfaatkan kelajuan yang dimilikinya untuk menghasilkan gol tersebut ketika dalam masa yang sama fokus pertahanan lawan diganggu oleh larian Juan Mata dan Rashford di tengah dan sisi kanan.

Kesilapan Smalling Membayangi Kemenangan United...

Sukar untuk saya percaya inilah pemain yang beberapa musim lalu antara pemain paling konsisten dalam skuad United. Musim ini penampilan Smalling sebagai tonggak pertahanan tengah sangat-sangat meragukan saya.

Setiap kali melihat nama Smalling ada dalam senarai kesebelasan utama United, pasti timbul keraguan yang bukan sedikit atas kemampuan beliau ketika bertahan. Dan Riverside menjadi saksi terbaru bagaimana goyahnya beliau ketika lawan mula memberikan tekanan demi tekanan.

Penampilannya seringkali kelihatan kurang menyakinkan, ragu-ragu ketika mengambil keputusan dan gagal membaca gerakan penyerang lawan dengan baik menyebabkan beliau sering melakukan kesilapan mudah dan goyah di atas padang.

Semalam kesilapan mudah yang dilakukan Smalling menyebabkan Boro berjaya merapatkan kedudukan dan selepas itu mereka tampak semakin yakin untuk sekurang-kurangnya memaksa United berkongsi mata.

Blunder Smalling memang menyesakkan nafas tetapi mujurlah kesilapan Victor Valdes menamatkan segala harapan lawan untuk bangkit sekaligus mengesahkan kemenangan ke-600 United di Liga Perdana.

Pemain Terbaik Pilihan Saya...

Antonio Valencia akhirnya menikmati kembali posisinya sebagai sayap kanan di Riverside. Sebagai pemain yang dahulunya menghabiskan bertahun-tahun di posisi tersebut, beliau berjaya menghidupkan permainan United menerusi larian-larian pantasnya dari sebelah tepi ketika menyerang dan cepat turun ke bawah membantu rakan di benteng ketika bertahan.

Valencia antara pemain United paling konsisten musim ini jadi tidak hairanlah mengapa Mourinho sering meletakkan beliau dalam kesebelasan utamanya. Gol ketiga United yang dijaringkan beliau memang berpunca dari kesilapan Victor Valdes, tetapi kredit juga wajar diberikan kepada Valencia atas sikap optimisnya hingga gol itu terhasil.


Gol itulah sebenarnya melenyapkan sebarang peluang untuk Boro melakukan kebangkitan selepas kesilapan mudah dilakukan Smalling dan gol itu jugalah yang mengesahkan kemenangan ke-600 United di Liga Perdana. Sehingga 1 April nanti, berehatlah, lupakan sejenak Liga Perdana dan berharaplah agar United kembali sebagai pasukan yang lebih kuat untuk mencabar kelompok empat teratas...Glory Glory Manchester United!!!

18 Mac 2017

ANDERLECHT....SI UNGU YANG MENANTI SI MERAH DI SUKU AKHIR

Jose Mourinho pernah berkata bahawa aroma kejuaraan Liga Europa hanya dapat dihidu jika Manchester United berjaya melepasi halangan FC Rostov dalam perebutan slot ke peringkat suku akhir. Kini United sudahpun berada di suku akhir dan kini kita juga sudah mengetahui siapa lawan yang bakal dihadapi dalam aksi yang bakal dilangsungkan pada 14 April dan 21 April nanti.

Selepas Rostov, kini giliran RSC Anderlecht pula menanti United di suku akhir. Berbanding United, mereka merupakan pendahulu Liga Divisyen 1 Belgium dan jika bercakap tentang mereka pastinya nama Youri Tielemans akan terbit di bibir penyokong-penyokong United. Semuanya kerana pemain tengah berusia 19 tahun itu antara yang disebut-sebut bakal menjadi sasaran Mourinho musim panas nanti.

Rekod Pertemuan...

Kali pertama kedua-dua kelab bertemu ialah pada 12 September 1956 dalam saingan pusingan kelayakan Piala Eropah (sekarang Liga Juara-Juara). Dalam aksi pertama timbal balik yang dilangsungkan di Stade Emile Verse itu, United menang (2-0), manakala kunjungan Anderlecht pada perlawanan kedua di Maine Road pula berakhir dengan kekalahan besar (0-10), di mana tujuh gol United disumbangkan Tommy Taylor dan Dennis Viollet.

12 tahun kemudian, United dan Anderlecht sekali lagi dipertemukan dalam saingan Piala Eropah, kali ini di pusingan kedua pula. Walaupun tewas (1-3) pada perlawanan kedua di gelanggang lawan, United menyingkirkan Anderlecht untuk mara ke pusingan suku akhir menerusi kelebihan aggregat (4-3).

Dalam era bolasepak moden pula, kali terakhir United dan Anderlecht bertemu ialah di peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara 17 tahun lalu. United menang besar 5-1 di gelanggang sendiri menerusi hatrik Andy Cole, manakala dua gol lagi dijaringkan Teddy Sheringham dan Dennis Irwin (menerusi sepakan penalti). Kunjungan ke Constant Vanden Stock pada 24 Oktober 2000 pula menyaksikan United tewas (1-2) hasil ledakan dua gol Tomasz Radzinski.

Prestasi Anderlecht Di Liga Europa...

Mereka menyingkirkan cabaran Slavia Prague di pusingan playoff menerusi kelebihan aggregate 6-0 untuk layak ke saingan peringkat kumpulan. Sepertimana United, Anderlecht juga menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga kedua selepas mengumpul 11 mata (di belakang St Etienne selaku juara kumpulan).

Dari enam aksi di peringkat kumpulan, mereka menang tiga perlawanan, seri dua dan tewas sekali. Gol kemenangan jaringan Kevin Monnet-Paquet menyaksikan Anderlecht tewas 2-3 ketika mereka berdepan St Etienne di gelanggang sendiri dalam aksi yang dilangsungkan pada  9 Disember 2016.

Di peringkat kalah mati 16 pasukan pula, mereka diundi bertemu Apoel FC dan sepertimana di jangka mereka tidak berdepan masalah mara ke suku akhir selepas berjaya menyingkirkan wakil Cyprus itu menerusi kelebihan aggregate 2-0. Sepanjang kempen Liga Europa mereka setakat ini, Anderlecht menjaringkan 24 gol manakala gawang mereka pula dibolosi sebanyak lapan kali (bermula dari perlawanan play off).

Pemain Tumpuan...

Selaku penjaring terbanyak Anderlecht baik dalam saingan domestik mahupun di Liga Europa, kelibat Lukasz Teodorczyk memang wajar diberikan perhatian serius oleh benteng pertahanan United. Pemain berusia 25 tahun ini bukan sahaja memiliki ketajaman menerusi penyudah kaki kiri dan kanannya tetapi juga memiliki kekuatan dalam situasi perebutan bola tinggi.

Dalam saingan Liga Europa, bermula dari peringkat playoff hinggalah ke pusingan kalah mati 16 pasukan, penyerang Poland ini sudah menjaringkan sembilan gol di mana tujuh daripadanya dihasilkan beliau menerusi gol padang manakala dua gol lagi dijaringkan dari sepakan penalti.

Selain Teodorczyk, tumpuan pastinya terarah kepada kelibat Youri Tielemans selaku penggerak jentera tengah skuad `Purple and White’. Pemain muda yang dilahirkan dari program Purple Talents sedekad lalu ini sudah menjaringkan tiga gol untuk Anderlecht dari sembilan penampilan di Liga Europa.

Kemampuan beliau membaca permainan dan melepaskan umpanan-umpanan tepat menjadikan Tielemans boleh memainkan peranan dengan sangat berkesan sebagai deep lying midfielder atau pun jika Rene Weller mahukan beliau bermain lebih jauh ke hadapan sebagai pemain tengah menyerang.

Peluang United Layak Ke Separuh Akhir...

Jika diambilkira rekod pertemuan silam dan prestasi semasa, saya memiliki keyakinan cukup tinggi untuk melihat United melepasi halangan Anderlecht dan mara ke peringkat separuh akhir kejohanan ini.

Selepas diuji dengan perjalanan jauh ke Russia dan kemudiannya terpaksa pula bermain di atas padang yang dianggap tidak sesuai untuk kejohanan berprofil tinggi seperti Liga Europa, barisan Mourinho pada pandangan saya memiliki mental cukup kuat untuk berdepan mana-mana pasukan dalam laluan mereka ke Friends Arena 25 Mei nanti.

Bagaimanapun, sebelum itu United perlu melepasi halangan Anderlecht di suku akhir dan jika berjaya mereka berdepan pula prospek menentang Celta Vigo, Genk, Ajax Amsterdam, Schalke, Besiktas atau Lyon di separuh akhir.

Melihat kepada senarai tujuh lagi pasukan yang berada di peringkat suku akhir ini, saya menganggap United memiliki peluang cukup cerah untuk menjulang trofi Liga Europa buat pertama kali dalam sejarah kelab.

Menjulang trofi Liga Europa buat pertama kali dan kemudiannya layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan kesempatan yang sewajarnya tidak dilepaskan begitu sahaja oleh barisan kendalian Mourinho.

Bagaimanapun dalam masa yang sama misi pada baki saingan di liga domestik juga tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Berada di kedudukan empat teratas Liga Perdana tetap cara yang `bermaruah’ untuk kelab beraksi di Liga Juara-Juara musim hadapan sambil dalam masa yang sama trofi Liga Europa tersimpan kemas dalam kabinet kejuaraan di Old Trafford...Glory Glory Manchester United!!!