22 Mac 2017

BILA MOURINHO PUN MENGAKUI PENTINGNYA PERANAN KEANO....

Manchester United merupakan salah satu kelab besar Inggeris, punya sejarah gemilang yang panjang, dikendalikan oleh individu-individu hebat seperti Sir Matt Busby dan Sir Alex Ferguson, juga pernah dibarisi pemain-pemain ternama dari dulu hingga sekarang.

Dari saat Ernest Mangnail dan barisan pemainnya memenangi kejuaraan liga utama buat pertama kali hinggalah yang terakhir ketika Sir Alex Ferguson menjulang trofi tersebut buat kali ke-20 dalam sejarah kelab, fakta paling nyata ialah United merupakah kelab paling berjaya dan paling dicemburui di tanah Inggeris.

Dalam tempoh itu juga bukan sedikit pemain-pemain ternama yang pernah bermain dan masih bermain untuk United, pernah membantu kelab memenangi pelbagai kejuaraan dan kekal dalam ingatan sebagai legenda hebat yang pernah menabur bakti sepanjang era mereka menyarung jersi keramat The Red Devils.

Salah seorang pemain yang namanya masih kekal disebut dan masih segar diingati penyokong-penyokong United hingga sekarang walaupun beliau sudah meninggalkan kelab hampir 12 tahun lalu ialah si Captain Marvel...Roy Keane.

Hilangnya `Suara Lantang’ Di Bilik Persalinan...

Kita boleh berbangga kerana kelab ketika ini memiliki Paul Pogba selaku pemain termahal dunia, tetapi wang yang dibayar mereka untuk membawa Pogba kembali ke Old Trafford sebenarnya tetap tidak mampu menggantikan peranan Keano selaku pemimpin di bilik persalinan juga ketika di atas padang.

Jose Mourinho mengakui United memang memerlukan seorang pemimpin lantang seperti Keano kerana itulah faktor yang sudah lama hilang dalam bilik persalinan United. Keano memang seorang individu yang sangat kontroversial tetapi Sir Alex sebenarnya sangat bertuah kerana pernah bekerjasama dengan `Sang Pemberontak’ ini.

Anda boleh katakan apa sahaja tentang Keano, dari seorang pemimpin sejati di atas padang, sikap panas barannya, keinginan untuk menang yang sentiasa beliau letakkan di tempat tertinggi atau corak permainan kerasnya, tetapi satu fakta yang nyata ialah betapa lidahnya juga mampu melunturkan ego mana-mana individu, tidak kira sama ada kawan mahupun lawan.

Sir Alex pernah mengakui selepas pemergian Keano, suasana bilik persalinan lebih `santai dan damai’ namun dalam masa yang sama beliau juga terpaksa menelan hakikat bahawa United kehilangan seorang pemimpin yang mampu mendorong rakan-rakan sepasukannya memberikan komitmen 200% setiap kali berada di atas padang.

Keano Yang Tidak Ternilai...

Selaku pengurus, Mourinho boleh berbangga kerana beliau mencipta sejarah kelab ketika memecahkan rekod dunia dengan menandatangani Pogba, tetapi sosok seperti Keano sebenarnya tidak ternilai walau dalam jumlah apa sekalipun yang ditulis di atas sekeping cek.

Jadi memang wajarlah Mourinho berasa sedikit cemburu kepada Fergie, kerana meskipun kelab memberikan dana tanpa had untuk beliau berbelanja, Mourinho tetap `tidak mampu’ membeli seorang pemain dan pemimpin sehebat Keano untuk diletakkan dalam kesebelasan utama skuadnya.

Kata-kata keramat “Winning is everything” sering disebut beliau dan sangat sinonim dalam diri Keano. Beliau bukanlah pemain tengah paling berbakat di dunia yang pernah kita saksikan selain tidak dianugerahkan Tuhan skill kawalan bola memukau seperti Zinedine Zidane atau Ronaldinho, tetapi semangat meluap-luap Keano ketika memimpin rakan-rakan sepasukannya di atas padang sangat-sangat menakjubkan.

Romantisme Di Turin...

Saya masih terbayang gol tandukan Keano yang menewaskan Angelo Peruzzi pada aksi kedua peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara di Turin meskipun momen itu sudah 18 tahun berlalu. Gol itulah sebenarnya yang membangkitkan semangat pemain-pemain United selepas Juventus mendahului menerusi dua jaringan pantas Fillipo Inzaghi.

Ketika mendapati United kian tertekan sebaik Juve melebarkan aggregat kepada 3-1, Keano selaku pemimpin tidak henti-henti berlari, menjerit kepada rakan sepasukan agar tidak hilang fokus, berjuang merebut bola dari kaki lawan dan cuba mencipta peluang untuk disudahkan rakan di barisan serangan.

Akhirnya selepas 13 minit Inzaghi menjaringkan gol kedua Juve, Keano melompat tinggi mengatasi Zidane untuk menanduk masuk bola dari sepakan sudut David Beckham. Peruzzi tertewas dan bermula dari detik itulah secara perlahan-lahan ego barisan kendalian Carlo Ancelotti terhakis sedikit demi sedikit.

Jaringan Keano itu hadir tepat pada waktunya dalam meredakan kegugupan United yang jelas ketara terutamanya di babak awal perlawanan. Adakah anda pernah terfikir bahawa barisan `Treble 99’ akan berada di Nou Camp dan menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali kedua di sana tanpa gol semangat Keano yang mencetuskan kebangkitan United di Turin?

Secara peribadi saya berpendapat tanpa jaringan Keano itu, sukar untuk United bangkit memadam kelebihan dua gol Juve. Dibarisi pemain-pemain hebat seperti Zidane, Antonio Conte, Mark Iuliano, Didier Deschamps, Edgar Davids, Ciro Ferrara dan Inzaghi sendiri, Juve adalah barisan pilihan berbanding United.

Sebagai penyokong United, tentunya kebangkitan di Turin antara momen paling `romantis’ bila kita bercakap tentang Keano selain `Keajaiban Nou Camp’ yang menyebabkan Samuel Kuffour menangis seperti anak kecil bila gol penghujung perlawanan Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solskjaer memadam kelebihan awal Bayern di final.

Masih Wujudkah DNA Keano Dalam Skuad United?....

Seperti yang saya katakan tadi, Keano tidak dianugerahi dengan skill kawalan bola memukau tetapi semangat meluap-luapnya dalam meniup api perjuangan rakan-rakan sepasukan sungguh mengagumkan. Sikap panas baran Keano sebenarnya turut didorong oleh naluri beliau yang sangat obses dengan kemenangan.

Menjawab kepada persoalan di atas, DNA yang ditinggalkan Keano sepanjang 12 tahun beliau menyarung jersi United sebenarnya kian beransur-ansur pupus dalam diri mana-mana pemain United. Jika ada pun mungkin sedikit masih terdapat dalam diri Zlatan Ibrahimovic dan Wayne Rooney selaku `orang lama’ dalam dunia bolasepak.

Entah bila saya akan dapat menyaksikan semula pemain versi baharu seperti Keano menyarung jersi United. Pemain yang meletakkan kemenangan mengatasi segala yang ada di atas padang sebagai motivasi utamanya, pemain yang tanpa pernah rasa kesal melihat lawan diusung keluar akibat terjahan kerasnya dan pemain yang sentiasa meletakkan dirinya di hadapan bagi melindungi rakan sepasukan dari provokasi lawan.

Waktu kian berganti dan suasana bilik persalinan United juga pastinya tidak lagi sama seperti dahulu. Namun satu perkara yang masih tetap sama sejak dari hari pertama `Sang Pemberontak’ ini meninggalkan kelab hinggalah sekarang ialah betapa kelibat Keano amat dirindui penyokong-penyokong United.

Masih wujudkah lagi `spesis’ pemain seperti Keano ini di Old Trafford? `Spesis’ pemain yang menyebabkan bintang seperti Gerard Pique kegentaran bila menyaksikan kelibatnya di tepi padang walaupun ketika itu Keano cuma bertugas sebagai pengulas perlawanan...Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan