Selepas tertunda beberapa minggu kerana
jadual padat yang terpaksa dihadapi United di Liga Europa dan saingan Piala FA,
mereka akhirnya mencatatkan rekod sebagai pasukan pertama di Liga Perdana yang
berjaya merakamkan 600 kemenangan dalam perlawanan liga.
Aksi menentang Middlesbrough di Riverside
merupakan perlawanan ke-951 The Red Devils dalam saingan Liga Perdana dan tiga
mata penuh yang berjaya di raih di sana melonjakkan kedudukan kelab di tangga
kelima liga.
184
Hari Diperlukan Untuk Kembali Ke Kelompok Lima Teratas...
United memerlukan 184 hari dalam usaha mereka
kembali ke kelompok lima teratas liga sejak kali terakhir mereka berada di
kedudukan tersebut pada 16 September 2016.
Kekalahan Arsenal kepada West Bromwich Albion
sehari sebelumnya akhirnya membuka peluang buat barisan Jose Mourinho
menamatkan `badi tangga keenam’ untuk melonjak ke tangga kelima liga.
Jalan
Ke Kelompok Empat Teratas Kini Terbuka...
Kemenangan semalam cukup besar ertinya untuk
United dalam menghidupkan peluang mereka menamatkan saingan musim ini di
kelompok empat teratas.
Meskipun sudah berada di peringkat suku akhir
Liga Europa, Mourinho nampaknya masih melihat posisi empat teratas sebagai misi
yang perlu disempurnakan bagi memastikan United beraksi di Liga Juara-Juara
musim hadapan.
Tangga kelima mungkin posisi `sementara’
untuk United memandangkan mereka masih memiliki kelebihan dua perlawanan dalam
tangan berbanding Liverpool yang kini berada di tangga keempat liga.
United kini hanya ketinggalan empat mata
berbanding Liverpool (56 mata) dan jika berjaya memanfaatkan kelebihan dua
perlawanan dalam tangan yang dimiliki, mereka bakal memintas The Reds dengan
kelebihan dua mata.
Alasan
Mourinho Menggunakan Empat Pertahanan Tengah...
Ada kelainan dalam line up United di
Riverside semalam dan kelainan yang saya maksudkan ialah Mourinho menggunakan
empat pemain pertahanan tengah di benteng skuadnya.
Pada permulaan perlawanan, Mourinho
menggunakan tiga pertahanan tengah (Eric Bailly, Phil Jones dan Chris Smalling)
di barisan belakang manakala Marcos Rojo pula dimasukkan ketika tempoh
perlawanan sebenar berbaki 21 minit sebelum ditamatkan.
Ketika Boro semakin hebat memberikan tekanan
terutamanya selepas kemasukan Rudy Gestede dan Adama Traore, Mourinho
sebenarnya tiada pilihan lain selain meletakkan seorang lagi pertahanan tengah
(Rojo) untuk memberikan kekuatan tambahan di benteng pertahanannya.
Boro
Yang Menguasai Bola...
Boro memang menguasai bola di Riverside
semalam tetapi kelajuan yang dimiliki Marcus Rashford, Jesse Lingard dan Antonio
Valencia di barisan hadapan sebenarnya banyak memberikan masalah kepada benteng
pertahanan mereka.
Statistik selepas tamat perlawanan semalam
menyaksikan tuan rumah menguasai 59% penguasaan bola tetapi United lebih unggul
dalam hal melakukan percubaan ke arah pintu gol lawan.
Gol kedua United jaringan Lingard bukti
bagaimana kepantasan di barisan hadapan digunakan mereka untuk menghukum lawan.
Lingard memanfaatkan kelajuan yang dimilikinya untuk menghasilkan gol tersebut
ketika dalam masa yang sama fokus pertahanan lawan diganggu oleh larian Juan
Mata dan Rashford di tengah dan sisi kanan.
Kesilapan
Smalling Membayangi Kemenangan United...
Sukar untuk saya percaya inilah pemain yang
beberapa musim lalu antara pemain paling konsisten dalam skuad United. Musim
ini penampilan Smalling sebagai tonggak pertahanan tengah sangat-sangat
meragukan saya.
Setiap kali melihat nama Smalling ada dalam
senarai kesebelasan utama United, pasti timbul keraguan yang bukan sedikit atas
kemampuan beliau ketika bertahan. Dan Riverside menjadi saksi terbaru bagaimana
goyahnya beliau ketika lawan mula memberikan tekanan demi tekanan.
Penampilannya seringkali kelihatan kurang
menyakinkan, ragu-ragu ketika mengambil keputusan dan gagal membaca gerakan
penyerang lawan dengan baik menyebabkan beliau sering melakukan kesilapan mudah
dan goyah di atas padang.
Semalam kesilapan mudah yang dilakukan
Smalling menyebabkan Boro berjaya merapatkan kedudukan dan selepas itu mereka
tampak semakin yakin untuk sekurang-kurangnya memaksa United berkongsi mata.
Blunder Smalling memang menyesakkan nafas
tetapi mujurlah kesilapan Victor Valdes menamatkan segala harapan lawan untuk
bangkit sekaligus mengesahkan kemenangan ke-600 United di Liga Perdana.
Pemain
Terbaik Pilihan Saya...
Antonio Valencia akhirnya menikmati kembali
posisinya sebagai sayap kanan di Riverside. Sebagai pemain yang dahulunya
menghabiskan bertahun-tahun di posisi tersebut, beliau berjaya menghidupkan
permainan United menerusi larian-larian pantasnya dari sebelah tepi ketika
menyerang dan cepat turun ke bawah membantu rakan di benteng ketika bertahan.
Valencia antara pemain United paling
konsisten musim ini jadi tidak hairanlah mengapa Mourinho sering meletakkan
beliau dalam kesebelasan utamanya. Gol ketiga United yang dijaringkan beliau
memang berpunca dari kesilapan Victor Valdes, tetapi kredit juga wajar
diberikan kepada Valencia atas sikap optimisnya hingga gol itu terhasil.
Gol itulah sebenarnya melenyapkan sebarang
peluang untuk Boro melakukan kebangkitan selepas kesilapan mudah dilakukan
Smalling dan gol itu jugalah yang mengesahkan kemenangan ke-600 United di Liga
Perdana. Sehingga 1 April nanti, berehatlah, lupakan sejenak Liga Perdana dan
berharaplah agar United kembali sebagai pasukan yang lebih kuat untuk mencabar
kelompok empat teratas...Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan