Masa depan David De Gea terus menjadi
perdebatan berikutan minat tinggi yang ditunjukkan Real Madrid terhadap penjaga
gol kebangsaan Sepanyol itu. Seperti yang saya sebutkan dalam artikel De Gea
Saga (Bahagian 1) sebelum ini, spekulasi perpindahan beliau ke Bernabeu
bukanlah cerita baharu.
Mengimbau sejarah lampau, gawang Real pernah
dikawal `tangan-tangan emas’ dari kalangan warga Sepanyol...dari era Ricardo
Zamora, Antonio Betancort, Miguel Angel Gonzalez, Francisco Buyo hinggalah ke
era Iker Casillas.
Jadi meletakkan De Gea sebagai penerus legasi
warga Sepanyol terdahulu selaku pegawal gawang mereka tentulah sesuatu yang
sangat-sangat sentimental buat Real selain prestasi cemerlang yang dipamerkan
penjaga gol skuad kebangsaan Matador itu baik di peringkat kelab mahu pun
kebangsaan.
Perkiraan
Mourinho...
Jose Mourinho beberapa hari lalu diberitakan
sudah muak dengan spekulasi demi spekulasi membabitkan masa depan De Gea di Old
Trafford hinggakan beliau sudah bersedia berdepan sebarang kemungkinan
melepaskan penjaga gol utamanya itu kembali ke Sepanyol.
Bagaimanapun `kepasrahan’ Mourinho tidak
bermakna beliau akan memberikan laluan mudah kepada Real dalam misi mereka
mendapatkan tandatangan De Gea musim panas nanti. Ketika Florentino Perez
menawarkan Isco dan James Rodriguez sebagai pilihan pertukaran, Mourinho pula
sebaliknya mahukan lebih dari apa yang ditawarkan Perez.
Mourinho mahu pemain yang memiliki `nilai
lebih tinggi’, bukan pemain yang sekadar memainkan watak pengganti atau sering
memanaskan bangku simpanan. Musim ini Isco hanya bermain tiga perlawanan penuh
dari 22 penampilan liga untuk Real, manakala nasib Rodriguez pula lebih malang
apabila pemain antarabangsa Colombia ini hanya bermain 90 minit dalam dua
perlawanan dari 14 penampilan.
Ketika Mourinho seperti sudah bersedia
melepaskan salah seorang pemain utamanya musim ini kepada Real, beliau juga
mahukan pemain setaraf sebagai pertukaran, bukan pemain yang semakin terpinggir
dan tampak seperti sudah terkeluar dari perancangan Zidane musim panas nanti. Jadi
siapakah pemain Real yang dimahukan Mourinho?
Karim
Benzema
Benzema dan United bukan cerita baru kerana
lapan tahun lalu pemain ini pernah diminati Sir Alex Ferguson sebelum akhirnya
beliau memutuskan menyertai Real dari Olympique Lyon. Ejekan demi ejekan yang
diterimanya dari kelompok penyokong Real musim ini menyebabkan Benzema
menimbang kemungkinan meninggalkan Bernabeu musim panas nanti.
Benzema ialah tipikal penyerang yang mampu
menjaringkan 20 gol semusim, memiliki penyudah yang sangat klinikal ketika
berada di hadapan gawang lawan selain kemampuan dalam mencipta peluang gol
secara berterusan. Musim lalu boleh dianggap musim paling berjaya buat Benzema
sepanjang beliau berada di Bernabeu menerusi 24 gol dalam saingan liga yang dihasilkannya
dan 42 peluang jaringan gol yang diciptanya.
Diletakkan dalam senarai 10 penyerang terbaik
Eropah, tugas Benzema bukan sekadar menjaringkan gol tetapi juga memainkan
peranan penting dalam mencipta ruang buat Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo
ketika mereka menyerang menerusi pergerakan-pergerakan bijaknya. Jika bercakap
tentang pemain yang cukup bagus dalam hal kerjasama berpasukan, Benzema adalah
antara contoh terbaik.
Toni
Kroos
Inilah pemain yang dikatakan sangat
diidam-idamkan Mourinho sebagai pengganti posisi Michael Carrick selaku maestro
di bahagian tengah United. Memandangkan Carrick kian berada di penghujung
karier, penting bagi Mourinho mencari pengganti setaraf, tepat dan sesuai
sebagai rakan gandingan Paul Pogba.
Memiliki karakter permainan hampir sama
dengan Carrick, pakar melakukan hantaran-hantaran tepat jarak jauh dan dekat,
visi permainan yang tinggi, tahu meletakkan diri di posisi tepat ketika
bertahan mahupun ketika menyerang dan bijak mengawal tempo permainan menjadikan
Kroos pemain tengah `hampir sempurna’.
Dari 22 penampilan La Liga-nya musim ini,
Kroos berjaya mencipta 61 peluang jaringan gol di mana sepuluh dari jumlah
tersebut merupakan assist. Peratus
ketepatan hantaran yang dilakukan Kroos pula mencapai 92% dengan purata jarak
hantaran yang dilakukannya ialah 20 meter.
Meskipun ada beberapa calon lain yang
difikirkan sesuai menggantikan posisi Carrick, saya sangat berharap agar impian
menyaksikan bintang antarabangsa Jerman ini `mendarat’ di Old Traffod musim
panas nanti menjadi kenyataan. Paul Scholes dan Rio Ferdinand mahukan beliau
bermain untuk United, begitu juga saya.
Raphael
Varane
Beberapa siri kesilapan mudah yang dilakukan
Chris Smalling menjadi alasan kuat kenapa Mourinho perlu menyuntik nafas baharu
di benteng pertahanan United musim depan. Siapakah pemain pertahanan yang
difikirkan sesuai sebagai pengganti Smalling?
Di Bernabeu sudah tentu Mourinho mahukan Varane...pertahanan
yang masih boleh dianggap muda di mana musim ini beliau secara perlahan-lahan
mula menyingkirkan Pepe sebagai pendamping Sergio Ramos di posisi pertahanan
tengah Real.
Memiliki ketinggian 1.91m dan fizikal yang
kuat, Varane tipikal pertahanan tengah yang boleh menyebabkan lawan ragu-ragu
ketika berdepan dengannya dalam situasi perebutan bola 50/50 selain punya
kekuatan ketika mencabar lawan dalam pertarungan bola tinggi.
Jangan lupakan juga fakta bahawa Mourinho
merupakan individu yang membawa Varane ke Bernabeu pada 2011, semusim selepas
beliau menggantikan posisi Manuel Pellegrini. Jadi faktor ini mungkin boleh
mempengaruhi Varane untuk datang ke Old Trafford dan kembali bekerjasama dengan
Mourinho.
Casemiro
Masih ingat lagi aksi suku akhir kedua Liga
Juara-Juara musim lalu yang menemukan Real dan Wolfsburg? Ronaldo menjaringkan
hatrik dalam perlawanan tersebut sekaligus memadam defisit dua gol yang dicipta
wakil Jerman itu di Volskwagen Arena pada perlawanan pertama.
Itu merupakan kali pertama Real berjaya
bangkit memadam kelebihan dua gol lawan di pentas Eropah sejak kejayaan mereka
menyingkirkan Red Star Belgrade pada 1987. Ronaldo menjadi sorotan menerusi
hatrik yang dihasilkannya tetapi wira sebenar dan kunci kepada kejayaan Real
menyingkirkan Wolsfburg ialah Casemiro.
Peranan yang dimainkannya dalam perlawanan itu
menyebabkan Real lebih seimbang sama ada ketika mereka bertahan mahupun
menyerang dan hakikat itu turut diakui Zinedine Zidane. Sejak itu jugalah Zizou
mula mengakui kualiti yang ada dalam diri Casemiro selaku pemegang watak pemain
tengah bertahan dalam skuadnya.
Gara-gara kecederaan di awal musim, Casemiro
cuma melakukan 15 penampilan untuk Real dari 27 aksi liga setakat ini.
Bagaimanapun ketika beliau cergas sepenuhnya, gandingan Casemiro, Kroos dan
Modric sentiasa menjadi pilihan Zizou di bahagian tengah.
Dalam skuad Zizou, Casemiro sebenarnya
melakukan kerja-kerja yang sangat `sederhana’ berbanding Kroos dan Modric iaitu
mengawal bahagian tengah dari sebarang kemungkinan lawan melakukan `counter attack’ ketika dua pemain ini
mara lebih jauh ke hadapan.
Meskipun kerja-kerja yang dilakukannya
dianggap `sederhana’, Zizou pernah melabelkan Casemiro sebagai `otak’ bagi pasukannya...merujuk
kepada peranan pernah dimainkan Claude Makelele yang juga merupakan rakan
sepasukan beliau di Bernabeu dari 2001 hingga 2003.
Mesej
Untuk Perez....
Selepas memecah rekod perpindahan dunia
ketika menandatangani Paul Pogba Ogos lalu, United nampaknya tidak teragak-agak
untuk melakukan perkara yang sama sekali lagi musim panas nanti.
Mourinho pernah mengingatkan bahawa harga
Pogba akan kelihatan `murah’ dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi sekaligus
membayangkan bahawa beliau akan terus berbelanja besar dalam usaha
memperkasakan skuadnya.
Ketika ini pun sudah ada beberapa nama besar
yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford. Bermula dari Kroos,
Griezmann hinggalah ke Neymar, United nampaknya tidak henti-henti dikaitkan
dengan beberapa perpindahan besar yang khabarnya bakal mereka lakukan musim
panas nanti.
Jika dahulunya Real cukup terkenal kerana kejayaan
menghimpunkan pemain-pemain ternama di Bernabeu hinggakan gelaran `Galacticos’
cukup akrab dengan mereka, kini United juga sedang mengorak langkah yang sama.
Perez perlu diingatkan bahawa masa sudah jauh
berubah dan United juga bukan lagi kelab yang sama ketika mereka melepaskan
David Beckham, Ruud Van Nistelrooy dan Cristiano Ronaldo ke Bernabeu.
Perez kini mendapati misi memancing De Gea
keluar dari Old Trafford tidak lagi semudah ketika beliau menandatangani
Beckham dan Van Nistelrooy atau ketika beliau menjadikan Ronaldo pemain
termahal dunia pada 2009.
Jika Perez sangat kemaruk dengan potensi De
Gea selaku pengawal gawang Real, beliau juga nampaknya perlu bersedia
melepaskan beberapa pemain terbaiknya ke Old Trafford sebagai pertukaran.
Beberapa hari lalu, Mourinho sudah
melontarkan mesej yang sangat jelas kepada Perez berkaitan saga perpindahan De
Gea...”Jika anda mahukan De Gea, anda juga perlu melepaskan pemain terbaik anda
kepada kami”...Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan