14 Mac 2017

TERKANDAS DI STAMFORD BRIDGE....BERMULANYA PERJALANAN KE SOLNA

Tahniah kepada Chelsea atas kejayaan layak ke peringkat separuh akhir saingan Piala FA dan kepada penyokong-penyokong Manchester United, saya berharap usahlah terlalu meratapi kegagalan kelab mempertahankan trofi yang mereka menangi musim lalu itu.

Chelsea sepertimana yang anda tahu merupakan pasukan yang jauh lebih konsisten musim ini di bawah kendalian Antonio Conte, malah rekod mereka ketika beraksi di Stamford Bridge juga begitu `menakutkan’.

Di pihak United pula, kunjungan ke Stamford Bridge buat kali kedua musim ini berlaku pada waktu yang kurang tepat.

Bermula dari kes penggantungan tiga perlawanan Zlatan Ibrahimovic, perjalanan jauh ke Russia yang terpaksa ditempuhi pemain demi kelangsungan perjuangan mereka di Liga Europa hinggalah krisis kecederaan penyerang yang dihadapi Mourinho.

Menyedari bahawa United datang ke Stamford Bridge dengan skuad tempang selain jadual padat yang terpaksa dihadapi pemain, tidak banyak harapan diletakkan untuk anak-anak buah Mourinho melakukan kejutan tambahan pula bila mengingatkan fakta bahawa Chelsea tidak tewas di laman sendiri selama enam bulan.

Meskipun tersingkir, pujian wajar diberikan kepada barisan pemain kerana semangat juang yang mereka pamerkan, apatah lagi mereka terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain lebih separuh tempoh perlawanan selepas Ander Herrera di layangkan kad kuning kedua di minit ke-35.

Michael Oliver Musuh Nombor Satu Penyokong United...

Keputusan-keputusan kontroversi yang sering diberikan Oliver membabitkan perlawanan-perlawanan United menyebabkan beliau diletakkan sebagai musuh nombor satu oleh penyokong-penyokong The Red Devils.

Awal pagi tadi, mutu pengadilan Oliver sekali lagi dipertikaikan atas layangan kad merah yang beliau berikan kepada Ander Herrera di penghujung babak pertama aksi di Stamford Bridge.

Mungkin terdapat pelbagai perspektif berbeza tentang kad merah yang dilayangkan Oliver terhadap Herrera, namun keputusan itu sebenarnya memberikan pengaruh besar kepada angka di scoreboard sebaik sahaja beliau meniupkan wisel penamatnya.

Untuk rekod Oliver pernah mencetuskan kemarahan di kalangan penyokong-penyokong United berikutan kad merah kontroversi yang dilayangkan beliau kepada Chris Smalling dalam aksi Manchester Derby pada musim 2014-15 dan Angel Di Maria di kejohanan Piala FA dalam musim yang sama ketika berdepan Arsenal.

Rojo Yang Membuatkan Diego Costa Frustasi....

Tidak dapat dinafikan betapa pentingnya peranan Marcos Rojo di benteng pertahanan United musim ini. Walaupun pada awalnya sempat digembar-gemburkan bakal meninggalkan Old Trafford pasca kehadiran Jose Mourinho, Rojo sebaliknya bertukar dari pemain yang pernah dilabel `tiada dalam perancangan Mourinho’ kepada pemain `yang perlu ada dalam kesebelasan utama’ United.

Ketika berdepan FC Rostov tempohari, Rojo satu-satunya pemain pertahanan yang pada pandangan saya `sangat faham’ dengan sistem tiga pemain pertahanan digunakan Mourinho berbanding rakan-rakan yang lain di bahagian belakang.

Awal pagi tadi di Stamford Bridge, Mourinho sekali lagi menggunakan sistem tiga pertahanan menerusi formasi 3-4-3 beliau dan Rojo membuktikan beliau mampu beradaptasi dengan baik sama ada Mourinho menggunakan tiga atau empat pertahanan di benteng skuadnya.

Sepanjang aksi 90 minit, anda boleh saksikan banyak pertembungan-pertembungan fizikal yang membabitkan beliau dengan Diego Costa hinggakan pada satu ketika penggempur Chelsea itu kelihatan agak emosional dan frustasi dengan corak permainan tanpa kompromi Rojo.

Stamford Bridge Bukan Lagi `Rumah’ Mourinho...

Meskipun pernah berjasa kerana berjaya mengemudi Chelsea meraih tiga kejuaraan Liga Perdana, itu bukanlah tiket untuk Mourinho merasa nyaman setiap kali beliau pulang semula ke Stamford Bridge.

Jika dahulu namanya sering dilaungkan penyokong-penyokong Chelsea sebagai legenda kelab kerana pelbagai trofi yang berjaya beliau bawa ke Stamford Bridge, kini situasi sudah berubah sepenuhnya.

Perpindahan Mourinho ke Old Trafford mengubah dari rasa cinta kepada kebencian penyokong-penyokong Chelsea terhadap beliau. Awal pagi tadi, Stamford Bridge menjadi bukti betapa rasa hormat mereka terhadap individu yang pernah membawa The Blues menang tiga kejuaraan Liga Perdana ini kian luntur.

Terdapat kelompok penyokong Chelsea yang melaungkan perkataan “Judas” dan “F**k off Mourinho” kepada individu yang satu ketika dahulu cukup mereka sanjungi dan hormati.

Mengulas insiden tersebut, Mourinho hanya berkata...”Sebagai seorang profesional saya akan mempertahankan kelab saya manakala mereka pula boleh panggil saya dengan apa sahaja panggilan. Selagi mereka tidak memiliki pengurus yang boleh memberikan mereka empat kejuaraan liga, `pengkhianat’ ini masih nombor satu”.

Fokus Ke Europa League....

Individu paling lega dengan keputusan di Stamford Bridge tentunya bekas pemain dan legenda hidup kelab iaitu Gary Neville. Beberapa jam sebelum sepak mula, bekas kapten United itu berharap supaya barisan Mourinho tewas demi memastikan fokus mereka di Liga Europa tidak terganggu.

Terkeluarnya United dari saingan Piala FA membolehkan mereka lebih fokus untuk mara sejauh mungkin di pentas Eropah. Selepas kejayaan menjulang Piala Liga, Liga Europa satu-satunya kejuaraan paling realistik yang tinggal untuk Mourinho dan barisan pemainnya menangi.

Saya percaya kekalahan di Stamford Bridge akan menjadikan United lebih bernafsu untuk sekurang-kurang menamatkan musim ini dengan dua kejuaraan. Dan saya percaya sorakan penyokong-penyokong Chelsea terhadap Mourinho akan menjadikan beliau jauh lebih kuat dalam misi mengetuai barisan pemainnya ke Friends Arena, Solna 25 Mei nanti...Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan