Sepanjang tempoh tujuh musim beliau di Old
Trafford, Park Ji-Sung antara pemain kepercayaan dan kesayangan Sir Alex setiap
kali beliau memilih kesebelasan utamanya. Bagaimanapun semasa peringkat awal kedatangan
beliau di Old Trafford, timbul persepsi yang mengatakan bahawa pembelian Ji-Sung
sebenarnya lebih bersifat pemasaran jenama Manchester United di Asia.
Bagaimanapun akhirnya Ji-Sung membuktikan
bahawa pemain Asia seperti beliau juga boleh berjaya di kelab besar seperti
United sekaligus menepis persepsi negatif pengkritiknya yang melabelkan beliau
sebagai `Dong Fangzhuo Kedua’. Ji-Sung cukup terkenal dengan komitmen jitu di
atas padang menerusi kemampuan menjelajah di setiap pelusuk padang sepanjang 90
minit permainan.
Komitmen jitu Ji-Sung menerusi mobiliti tingginya
di atas padang sebenarnya lahir dari stamina tidak terbatas yang dianugerahkan
Tuhan kepadanya hinggakan gelaran `Three
Lungs Park’ cukup sinonim dengan dirinya. Jadi tidak hairanlah mengapa beliau
sangat disayangi penyokong-penyokong United sepanjang kariernya di Old Trafford
dari 2005 hingga 2012.
Selain kejayaan memenangi empat medal
kejuaraan Liga Perdana sepanjang tujuh musim di Old Trafford, Ji-Sung juga
cukup dikenali penyokong-penyokong United kerana kemampuan beliau membocori
gawang Arsenal setiap kali kedua-dua kelab bertemu. Untuk rekod, dari 2005
hingga musim terakhirnya bersama kelab, beliau berjaya menjaringkan empat gol
ke gawang Arsenal.
Jumlah tersebut juga menyaksikan Ji-Sung berkongsi
kedudukan bersama Teddy Sheringham dan Cristiano Ronaldo selaku pemain paling kerap
membolosi gawang skuad kendalian Arsene Wenger itu. Apa rahsia Ji-Sung hinggakan
kelibatnya sering sahaja menghantui barisan pertahanan Arsenal?
Jawapannya ialah gaya permainan Arsenal. Fakta
itulah yang menyebabkan Ji-Sung kelihatan sangat selesa di atas padang setiap
kali kedua-dua kelab ini bertembung. Sepertimana yang anda tahu, Arsenal
merupakan pasukan yang gemar mengamalkan taktik `passing game’ dalam permainan mereka hinggakan pada satu ketika The Gunners pernah dilabel kelab kedua
yang memiliki corak permainan menarik di Eropah selepas Barcelona.
Kecenderungan Arsenal bermain secara terbuka
dan menyerang menyebabkan mereka juga sangat terdedah kepada serang balas
pantas lawan ketika mereka kehilangan bola. Itulah gaya bolasepak yang
sebenarnya sangat cocok dengan Ji-Sung dan mungkin faktor itu jugalah yang
menyebabkan mengapa beliau kelihatan sangat bagus setiap Sir Alex menurunkannya
ketika berdepan Arsenal.
Bermula dari era Kolo Toure, Sol Campbell dan
Lauren selaku tembok pertahanan tengah Arsenal hinggalah ke era Laurent
Kocielny, Per Mertesacker dan Thomas Vermaelen...kelibat pemilik `Tiga Paru-paru’
ini sentiasa sahaja menghantui barisan belakang skuad Meriam London itu
hinggalah akhirnya Ji-Sung meninggalkan kelab pada 2012.
Selain fakta bahawa beliau antara pemain
United yang kerap membolosi pintu gol Arsenal, saya juga tidak akan pernah
melupakan peranan Ji-Sung ketika beliau ditugaskan Sir Alex mengunci pergerakan
Andrea Pirlo saat United dan AC Milan dipertemukan di pusingan kalah mati 16
pasukan Liga Juara-Juara musim 2009/10.
United menyingkirkan Milan menerusi aggregat
7-2 untuk layak ke pusingan suku akhir tetapi keberkesanan Ji-Sung dalam meneutralkan
peranan Pirlo selaku maestro di bahagian tengah diakui legenda Itali itu dalam
autobiografinya. Mengimbas kembali detik tersebut, Pirlo menyifatkan Ji-Sung
umpama `anjing pengawal’ yang merantai setiap pergerakannya di San Siro dan
juga di Old Trafford...Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan