27 Mac 2017

DE GEA SAGA (BAHAGIAN 1): MAMPUKAH UNITED MELINDUNGI DE GEA DARI GODAAN REAL MADRID?


David De Gea tiba di Old Trafford pada 2011 dengan memikul beban besar di bahu selaku pengganti Edwin Van der Sar dan pada usia beliau yang baru mencecah 20 tahun ketika itu, ramai yang mempertikaikan kewajaran Sir Alex Ferguson meletakkan seorang remaja `kurus kering’ sebagai pengawal pintu gol pasukannya.

Enam tahun yang lalu, De Gea adalah prospek penjaga gol terbaik dunia tetapi meninggalkan kehidupan di Sepanyol demi karier dan diamanahkan pula untuk mengisi kekosongan posisi yang ditinggalkan si legenda Van der Sar bukanlah sesuatu yang mudah buat seorang remaja seperti beliau.

Ketika itu, beliau bukan sahaja perlu menyesuaikan dirinya dengan kehidupan luar padang di England tetapi dalam masa yang sama juga perlu menyesuaikan diri dengan corak permainan di Liga Perdana yang pastinya sangat berbeza berbanding La Liga.

Gugup...

Jika anda masih ingat, De Gea ketika peringkat awal kariernya di Old Trafford kerap melakukan kesilapan-kesilapan mudah hinggakan ramai pihak meragui kemampuan penjaga gol Sepanyol ini sebagai pengganti jangka panjang di pintu gol United. Apa sebenarnya masalah utama yang dihadapi De Gea ketika itu?

Gagal berkomunikasi dengan baik bersama rakan sepasukan di benteng pertahanan dan gugup antara faktor mengapa beliau berdepan kesukaran pada peringkat awal kariernya bersama United.

Di saat benteng pertahanan United dibarisi pemain-pemain hebat seperti Nemanja Vidic, Rio Ferdinand dan Patrice Evra, bayangkanlah betapa sukarnya untuk seorang penjaga gol muda seperti beliau untuk berkomunikasi, menjerit dan memberikan arahan kepada rakan yang jauh lebih berpengalaman.

Menurut Eric Steele (jurulatih penjaga gol United ketika itu), selain kekurangan pengalaman, punca utama mengapa De Gea berdepan kesukaran pada peringkat awal kehadirannya di Old Trafford ialah kerana faktor fizikal beliau yang `rapuh’ saat ditekan lawan.

Dengan fizikal seorang remaja yang baru berusia 20 tahun, tentu sukar buat De Gea berdepan asakan-asakan keras penyerang-penyerang lawan di Liga Perdana terutamanya dalam situasi perebutan bola tinggi. Untuk itu tugas membentuk De Gea tentunya menjadi tanggungjawab penting yang terpaksa dipikul Steele.

Dalam satu wawancara dengan Daily Mail pada 2014, Steele mendedahkan fokus utamanya setiap minggu ialah membentuk ketahanan fizikal De Gea menerusi latihan berjam-jam di gimnasium. Manakala tempoh 48 jam sebelum perlawanan pula barulah beliau memberikan tumpuan kepada aspek kemahiran, teknik dan kepantasan.

Transformasi De Gea...

Ketika tahap fizikal, konsentrasi serta keyakinan dirinya semakin baik, manakala tindakbalas pantasnya semakin tajam dan dibantu fleksibiliti ketika melakukan penyelamatan, De Gea akhirnya membuktikan bahawa posisi sebagai penjaga gol nombor satu United yang diwarisinya dari Van der Sar tidak lagi mampu digugat oleh sesiapa hatta selepas kedatangan Victor Valdes atau Sergio Romero sekalipun.

Jika dahulunya beliau kelihatan `malu-malu’ dalam memberikan arahan kepada rakan di benteng ketika lawan mengasak, kini De Gea semakin yakin dan semakin lantang bersuara.

Semasa musim terakhir Fergie sebagai pengurus di Old Trafford, De Gea muncul antara watak penting di sebalik kejayaan kelab menjulang trofi liga. Ketajaman jentera serangan yang dibarisi Robin Van Persie dan Wayne Rooney diimbangi juga menerusi kekentalan benteng pertahanan dan ketangkasan De Gea selaku pengawal gawang United.

Sasaran Real Madrid...

Pasca persaraan Fergie, United berubah dari pasukan yang saban musim muncul calon utama menjulang kejuaraan liga kepada pasukan yang selama tiga musim terakhir cuma mensasarkan kelompok empat teratas sebagai misi utama.

Bagaimanapun satu-satunya fakta yang tidak pernah berubah ialah bahawa ketangkasan De Gea di gawang sentiasa menjadi penyelamat kepada musim-musim suram United.

Tidak keterlaluan jika saya katakan ketangkasan De Gea menerusi gerakan refleks pantasnya ketika melakukan penyelamat-penyelamatan hebat sebenarnya menyelamatkan Louis Van Gaal dari dipecat lebih awal.

Atas sebab itu jugalah mengapa pada 2015, Real Madrid melakukan usaha yang agak agresif bagi membawa De Gea ke Santiago Bernabeu sebagai pengganti jangka panjang Iker Casillas.

Pada musim panas 2015, De Gea dikatakan hampir sahaja berpindah ke Santiago Bernabeu namun kegagalan urusan dokumentasi saat akhir menggagalkan usaha Real.

Saya tidak pasti tentang kebenaran dakwaan bahawa Ed Woodward menjadi `dalang’ di sebalik kegagalan perpindahan De Gea ke Santiago Bernabeu. Tetapi jika dakwaan itu benar, anda sepatutnya berterima kasih kepada Woodward atas `kejayaan’ beliau mengekalkan De Gea di Old Trafford.

De Gea selepas itu bukan sahaja mengambil keputusan kekal bersama kelab malah bersetuju menyambung kontraknya selama empat tahun lagi. Kini selepas hampir dua tahun, khabar angin tentang keinginan Real mendapatkan De Gea kembali bertiup kencang.

Semuanya gara-gara prestasi cemerlang yang dipamerkan beliau musim ini di bawah kendalian Jose Mourinho. Musim ini, dari 27 penampilan yang dilakukannya setakat ini, beliau mencatatkan 10 clean sheet, melakukan 55 penyelamatan dengan purata penyelamatan yang dilakukannya ialah 1.59 per perlawanan.

Mourinho tentunya sedar bahawa De Gea antara pemain penting dalam skuadnya dan tentunya juga beliau sedar penting untuknya terus mengekalkan penjaga gol ini bersama kelab walaupun Real dikatakan sekali lagi datang mengintai khidmatnya.

United pernah menjual beberapa pemain terbaik mereka kepada Real sepanjang sejarah hubungan antara kedua-dua kelab tetapi dalam situasi De Gea saya berharap mereka akan bertegas.

Sukar buat mana-mana pemain Sepanyol menepis godaan yang datang dari kelab seperti Real atau Barcelona dan saya percaya De Gea juga tidak terkecuali. Jika di penghujung musim nanti Real meletakkan tawaran mereka untuk De Gea, United bakal berdepan tugas getir untuk mempertahankan penjaga gol utama mereka itu.

Buat masa ini De Gea enggan bercakap tentang masa depannya di Old Trafford kerana fokus utamanya ialah membantu kelab mengejar sasaran kelompok empat teratas carta liga selain prospek memenangi trofi kejuaraan Liga Europa buat pertama kali dalam sejarah kelab.

Donnarumma Pengganti De Gea?...

Meskipun sedar bahawa De Gea antara pemain penting dalam skuadnya, Mourinho juga dikhabarkan semakin bosan dengan spekulasi demi spekulasi yang mengaitkan perpindahan penjaga golnya itu ke Santiago Bernabeu.

Atas sebab itu jugalah kini timbul perkhabaran bahawa kelab sedang mengintai peluang untuk mendapatkan khidmat Gianluigi Donnarumma sebagai pengganti De Gea di gawang.

Dengan kontrak Donnarumma yang bakal tamat pada musim panas 2018 dan tuntutan gaji lebih lumayan yang dimahukan agen beliau, AC Milan juga nampaknya sedang bergelut dalam usaha mereka mengekalkan pemain ini di San Siro.

Jika memang benar perkhabaran bahawa kelab meletakkan Donnarumma sebagai sasaran mereka sebagai pengganti De Gea, Mino Raiola selaku agen penjaga gol berusia 18 tahun ini yang juga pernah terlibat dalam `dua perpindahan besar’ ke Old Trafford musim panas lalu boleh memainkan peranan penting sekali lagi.

Akhirnya...

Buat masa ini De Gea masih lagi penjaga gol Manchester United, jadi sementara itu biarkan sahaja khabar angin tentang minat Real terhadap beliau bertiup kencang. Bagaimanapun jika beliau gagal menahan godaan untuk berpindah ke Bernabeu, saya yakin kelab sudah memiliki calon lain sebagai pengganti.

Sementara De Gea masih berada di pintu gawang United, saksikan sahaja aksi-aksi penyelamatan fantastis dari sepasang tangan `emasnya’, aksi yang membuatkan lawan hanya mampu memuji manakala kita pula akan terus mengagumi beliau. Adakah #DaveSaves akan terus menjadi penyelamat United di musim-musim akan datang...? Ya, saya harap begitu. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan