Selasa lalu (8 Oktober 2019),
seorang lagi antara bakat hebat dalam arena bolasepak dunia mengumumkan
persaraan. Ya....kali ini tiba pula giliran Bastian Schweinsteiger mengucapkan
selamat tinggal selepas 18 tahun bertarung di arena rumput hijau. Pengumuman
persaraan yang dilakukan Basti ini juga menandakan berakhir sudah era Fußballgott, `jeneral’ yang pernah
menakluk Maracana, antara produk terbaik pernah dilahirkan Jerman dan antara
yang terbaik ketika era kemuncaknya sebagai pemain.
Sebagai pemain, Basti sudah
memenangi hampir semua medal kejuaraan yang ditawarkan. Bersama Bayern Munich,
beliau sudah menyapu bersih semua trofi domestik selain medal kejuaraan Liga
Juara-Juara. Di Old Trafford beliau ada medal kejuaraan Piala FA dan bersama
skuad kebangsaan pula, Basti mengecap kejayaan paling agung dalam kariernya
iaitu menjulang kejuaraan Piala Dunia 2014 di tanah Brazil, negara yang
penduduknya meletakkan bolasepak sebagai `agama’ kedua terbesar selepas
Katholik.
Sebenarnya tiada apa yang
perlu diratapi dan disesalkan Basti sebaik beliau mengumumkan persaraannya,
kerana seperti yang saya sebutkan tadi, beliau sudah memenangi hampir semua
kejuaraan utama ketika eranya sebagai pemain. Siapa sangka, beliau yang pada
mulanya meletakkan sukan luncur salji sebagai keutamaan berbanding bolasepak
akhirnya muncul antara pemain paling sukses dalam sejarah bolasepak Jerman.
Terima kasih atas tawaran yang diberikan Bayern Munich pada 2001, yang akhirnya
mengubah haluan karier beliau.
Hidup
Baru
Keputusan Basti memperjudikan
nasibnya dengan meninggalkan sukan luncur salji dan terjun ke dunia bolasepak
akhirnya membuahkan hasil. Meskipun Felix Neureuther yang juga merupakan rakan
sepelatih beliau dalam sukan luncur salji berjaya memenangi pingat perak dalam
Kejohanan Dunia pada 2013, Basti pula muncul idola di Allianz Arena apabila
berjaya membantu Bayern Munich menjulang trofi Liga Juara-Juara.
Tanda-tanda kesuksesan Basti
dalam karier baharunya sudah mula terlihat ketika beliau berjaya membantu skuad
U17 dan U19 Bayern menjulang kejuaraan Bundesliga pada 2001 dan 2002. Pada
Julai 2002, Basti dinaikkan pangkat ke skuad simpanan Bayern. Empat bulan
kemudian Ottmar Hitzfeld memberikan penampilan pertama buat Basti dalam skuad
senior ketika Bayern berdepan RC Lens dalam saingan Liga Juara-Juara pada usia
18 tahun.
Walaupun cuma dimasukkan
selaku pemain gantian di penghujung perlawanan, Basti berjaya memikat perhatian
Hitzfeld apabila beliau berjaya menyumbangkan assist yang disempurnakan Markus Feulner. Potensi besar yang
dimiliki Basti akhirnya menyaksikan beliau menandatangani kontrak profesional
bersama Bayern pada November 2002. Sepanjang musim 2001/02, Basti sempat
melakukan empat penampilan bersama Bayern dalam saingan Bundesliga.
Serba
Boleh Dan Liga Juara-Juara
Basti merupakan pemain serba
boleh kerana ketika peringkat awal kariernya bersama Bayern, beliau pernah
beraksi sebagai full back, pemain
sayap dan juga pemain tengah. Di era Hitzfeld, beliau menggunakan Basti sebagai
full back, sebelum Felix Magath pula
kemudiannya mengubah posisi beliau ke bahagian sayap. Kehadiran Louis Van Gaal
sekali lagi menyaksikan perubahan posisi Basti dan kali ini pengendali Belanda
itu meletakkan beliau di bahagian tengah.
Dan sebagai midfielder lah, Basti akhirnya menemui
potensi terbaik beliau sebagai pemain yang akhirnya meletakkan namanya selaku
tonggak Bayern dan juga skuad kebangsaan Jerman. Ketika beliau meraih
kesuksesan di pentas domestik dari 2002 hingga 2010 menerusi lima kejuaraan
Bundesliga, lima kejuaraan DFB Pokal, DFB Ligapokal dan DFL Supercup,
satu-satunya kejuaraan yang masih belum mampu beliau menangi bersama Bayern
ialah trofi Liga Juara-Juara.
Pada 2010, Bayern tewas di pentas
final kepada Inter Milan, manakala dua tahun kemudian Basti sekali lagi sekadar
berpuas hati dengan status selaku runner
up apabila Bayern dikejutkan Chelsea pada aksi final yang dilangsungkan di
Allianz Arena. Akhirnya penantian Basti berakhir kerana pada final edisi 2013,
Bayern akhirnya berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara buat pertama kali
dalam tempoh 12 tahun selepas mereka menewaskan Borussia Dortmund di Wembley.
Piala
Dunia 2014
Ketika tekanan dan penantian
untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara berakhir, cabaran lebih besar menanti
Basti tatkala Jerman muncul antara pasukan pilihan dalam Kejohanan Piala Dunia
2014. Rombongan yang dibawa Joachim Loew ke Brazil kali ini boleh dianggap
barisan paling berbakat yang dimiliki Jerman sejak kejayaan mereka mara ke
final Piala Dunia edisi 2002 yang dilangsungkan di Jepun dan Korea Selatan.
Meskipun begitu, tugas Basti
bukanlah mudah kerana tiada mana-mana negara dari luar benua Amerika Selatan
yang berjaya menjulang Piala Dunia setiap kali kejohanan empat tahun sekali itu
dilangsungkan di benua tersebut. Bermula di Uruguay pada 1930 hinggalah
Argentina menjadi host pada 1978,
empat edisi Piala Dunia yang dilangsungkan di benua Amerika Selatan dimonopoli
oleh Uruguay (2 kali), Brazil (sekali) dan Argentina (sekali).
Tambahan pula skuad `serba
sempurna’ Brazil yang beraksi di tanah air mereka sendiri adalah halangan
paling besar yang perlu dilepasi oleh mana-mana pasukan jika mereka berhasrat
mahu mencipta sejarah selaku negara pertama dari luar Amerika Selatan yang
menjulang Piala Dunia di benua tersebut. Pada usia 30 tahun ketika itu dan
potensi besar yang dimiliki skuad Jerman, ini adalah peluang terakhir Basti
untuk mengecap nikmat selaku pemenang medal Piala Dunia.
Di bumi Brazil, Jerman
akhirnya berjaya memecahkan mitos dengan muncul negara non Amerika Latin pertama yang berjaya menjulang kejuaraan Piala
Dunia di benua Amerika Selatan selepas mereka menewaskan Argentina di final.
Lebih manis di peringkat separuh akhir, barisan Die Mannschaft tanpa belas kasihan membantai `skuad serba sempurna’
Brazil menerusi kemenangan besar (7-1) yang dilakar mereka pada malam yang akan
sentiasa dikenang sebagai `malam tragedi bolasepak Brazil’.
Pada malam 13 Julai 2014 di
Stadium Maracana, Phillip Lahm adalah kapten pasukan tetapi pemimpin sebenar di
atas padang yang menjadi inspirasi di sebalik kejayaan Jerman menjulang Piala
Dunia ialah Basti. Hanya lima hari selepas segerombolan lelaki Jerman
meranapkan sama sekali ego Brazil menerusi pembantaian yang dilakukan mereka di
Belo Horizonte, Basti membuktikan bahawa
Die Mannschaft ketika itu
memang sukar dihentikan hatta oleh pemain terbaik dunia seperti Lionel Messi
sekalipun.
Peranan besar yang dimainkan
Basti turut diakui pengendali Jerman, Joachim Loew. Loew melabelkan Basti
sebagai `otak’ di sebalik penampilan cemerlang Jerman sepanjang kejohanan di
Brazil. Lebih daripada itu, beliau juga sumber inspirasi bukan sahaja di atas
padang, tetapi juga di bilik persalinan Jerman yang ketika itu didominasi oleh
pemain-pemain muda. Aksi heroic beliau
di pentas final dengan wajah berlumuran darah akan kekal terpahat sebagai
antara imej paling ikonik jika mahu berbicara tentang `sang penakluk Maracana’
ini.
Selamat
Tinggal Munich
Pada 2015, Basti akhirnya
mengambil keputusan menamatkan ikatan selama 14 tahun dengan Bayern Munich.
Meninggalkan Bayern adalah antara keputusan paling besar yang pernah beliau
lakukan dalam hidupnya. Sama sepertimana ketika beliau mengambil keputusan untuk
beralih ke dunia bolasepak meskipun Basti turut memiliki bakat hebat dalam
sukan luncur salji ketika zaman remajanya. Menurut Basti, kejayaan membantu
Bayern menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2013 adalah sebab utama mengapa
beliau memutuskan untuk mencari cabaran baharu.
“Perpindahan saya dari Bayern
ke Manchester United adalah keputusan yang tepat. Di Bayern, saya memiliki
sasaran untuk memenangi Liga Juara-Juara bersama mereka. Atas sebab itulah saya
bertahan di sana dan tidak pernah cuba untuk bermain di luar Jerman. Kemudian
pada 2013, saya mencapai sasaran itu dan selepas memenangi Piala Dunia, saya
berkata inilah waktu yang tepat untuk saya pergi”, kata Basti. Meninggalkan
Bayern adalah keputusan yang sangat sukar, tetapi Basti mahu membuktikan bahawa
beliau juga mampu `hidup’ di luar Jerman.
Tidak
Seindah Disangka
Berbanding era penuh gemilang
beliau dengan jersi Bayern Munich, Old Trafford pula rupa-rupanya tidaklah seindah
yang disangka. Datang sebagai juara dunia, Basti akhirnya terpaksa bergelut
merebut tempat dalam kesebelasan utama United meskipun setahun sebelumnya beliau
berjaya menakluk Maracana. Beliau cuma tampil 18 perlawanan untuk United dalam
saingan liga tetapi menutup musim pertamanya di Old Trafford dengan medal
kejuaraan Piala FA.
Isu kecederaan adalah masalah
besar yang terpaksa dihadapi Basti bersama United hingga membataskan
sumbangannya di atas padang. Lebih malang, kehadiran Jose Mourinho pada 2016 yang
menggantikan posisi Van Gaal menyaksikan kelibat Basti tidak lagi dapat kita
lihat di atas padang. Kecederaan menjadi alasan utama mengapa Mourinho
menyisihkan Basti dari skuad utama. Meskipun dipencilkan Mourinho, Basti
menerima hal tersebut dengan cukup terbuka.
Dalam proses pemulihan,
beliau juga berlatih secara bersendirian bagi memastikan kecergasannya sebagai
pemain sentiasa terjaga sambil berharap ada peluang kedua untuknya diberikan
Mourinho. Old Trafford, terutamanya Mourinho benar-benar menguji
profesionalisme Basti sebagai pemain. “Saya tidak mahu sentuh apa yang Mourinho
katakan terhadap saya. Saya tidak pernah meragui kualiti saya dan apa yang dia
(Mourinho) lakukan adalah ujian kepada karakter saya. Saya tetap gembira
walaupun terpaksa berlatih sendirian”, kata Basti.
Kesabaran Basti akhirnya
terbayar apabila beliau disenaraikan Mourinho dalam kesebelasan utama ketika
United berdepan West Ham dalam saingan Piala Liga. Dua bulan selepas aksi
menentang West Ham, Basti disenaraikan Mourinho sekali lagi dalam kesebelasan
utama ketika United berdepan Wigan Athletic dalam saingan Piala FA. Dalam
perlawanan itu, beliau menjaringkan satu gol dan menyumbang satu bantuan gol
hingga dinobatkan pemain terbaik perlawanan versi penyokong United.
Haluan
Baharu
Old Trafford nyata bukanlah
tempat untuk Basti, dan menyedari akan hal tersebut beliau akhirnya memutuskan
untuk mencari haluan baharu bagi meneruskan sisa-sisa kariernya. Pada Mac 2017,
beliau menerima tawaran Chicago Fire dan bermulalah perjalanan baharu karier
beliau di bumi Amerika Syarikat. Berbanding LA Galaxy, DC United atau San Jose
Earthquakes, Chicago Fire bukanlah kelab yang memiliki rekod hebat di MLS.
Tetapi di sana, Basti kembali dihargai dan menjadi tonggak penting kepada skuad
Man in Red itu.
Selama tiga musim berkelana di
Soldier Field, Basti melakukan 85 penampilan liga dan menjaringkan lapan gol
selain menyumbang sembilan bantuan gol untuk Chicago Fire. Statistik ini
sebenarnya boleh dianggap mengagumkan untuk seorang pemain yang sedang melalui
fasa akhir karier mereka. Bukan itu sahaja, penampilan cemerlang Basti turut
membolehkan beliau disenaraikan dalam skuad MLS All Stars bagi musim 2017 dan
2019. Dan pada 8 Oktober lalu, Basti akhirnya menemui titik nokhtah dalam
kariernya dengan Chicago Fire muncul kelab terakhir yang diwakilinya.
Terima
Kasih Basti
Jika anda mahu bercakap
tentang seorang profesional tulen, Basti adalah antara contoh terbaik. Di akhir
karier beliau bersama United, Basti pergi sebagai seorang lelaki sejati. Tiada
dendam yang tersimpan di dalam hatinya meskipun perlakuan yang dilakukan
Mourinho terhadap dirinya boleh dianggap sesuatu yang kurang wajar. Pada
akhirnya Basti menegaskan bahawa beliau tidak pernah menyesal menyertai United,
manakala Mourinho pula mengakui kesilapan yang dilakukannya dengan membiarkan
Basti berlatih bersama skuad remaja.
“Dia adalah pemain yang boleh
membuatkan saya menyesal. Sebelum dia pergi saya berkata kepadanya, `Saya
pernah memperlakukan kamu dengan cara yang kurang baik. Jadi sebelum kamu pergi
saya ingin berbaik dengan kamu’. Saya benar-benar menyesal, dan sekarang saya
akan merindui seorang lelaki yang baik, profesional dan punya pengaruh besar
seperti dia”, kata Mourinho. Fußballgott
adalah legenda di Munich, disayangi di Old Trafford dan sangat dihormati di
Chicago. Dan untuk segala yang anda berikan selama ini, terima kasih
Basti...`Sang Penakluk Maracana’ yang pernah singgah sebentar di Old Trafford.
Glory Glory Manchester United – Azhar
Johar