Menamatkan saingan liga di
tangga ketiga bukanlah kejayaan yang terlalu besar untuk kelab seperti
Manchester United, tetapi kejayaan kembali beraksi di saingan Liga Juara-Juara
tetap satu pencapaian yang boleh dianggap `fantastis’ jika diambilkira prestasi
kelab pada fasa pertama saingan liga berlangsung. Sudah tentu salah seorang
`key player’ yang sering disebut-sebut menjadi punca kebangkitan United pada
fasa kedua saingan liga ialah Bruno Fernandes.
Jika dihitung mata yang berjaya
dikumpul United dalam saingan liga bermula dari 1 Februari hingga 26 Julai,
mereka memungut 34 mata dari 14 perlawanan. Jumlah ini meletakkan United selaku
pasukan yang memungut mata paling banyak dalam tempoh tersebut, dua mata di
hadapan Manchester City di tangga kedua. 1 Februari hingga 26 Julai juga adalah
tempoh dimana Bruno Fernandes melakukan penampilan untuk United selepas
berpindah dari Sporting Lisbon pada hujung Januari lalu.
United mengeluarkan dana
sebanyak £46.6 juta ketika mereka merekrut Bruno dari Sporting Lisbon.
Bagaimanapun selepas melihat prestasi cemerlangnya hingga berjaya membantu
United meraih slot ke saingan Liga Juara-Juara, nilai Bruno dalam pasaran
perpindahan pemain kini dianggarkan mencapai £68 juta. Catatan lapan gol dan
tujuh bantuan gol yang dilakukan Bruno adalah indikasi jelas impak segera yang
dibawa pemain antarabangsa Portugal itu sejak ketibaannya di Old Trafford.
Jika mahu dibuat perbandingan
catatan yang dilakukan Bruno berbanding pemain-pemain dari lima liga utama Eropah,
apa yang dilakukan beliau sepanjang 14 perlawanan untuk United adalah statistik
yang cukup mengagumkan. Hanya Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo sahaja yang
memiliki catatan penglibatan gol lebih baik dari Bruno sepanjang tempoh 1
Februari hingga 26 Julai 2020.
Untuk rekod, Messi terlibat
dalam 26 gol (11 gol dan 16 bantuan gol) untuk Barcelona, manakala di Serie A
pula, Ronaldo terlibat dalam penghasilan 17 gol untuk Juventus (14 gol dan 3
bantuan gol). Meskipun di penghujung musim prestasi Bruno sedikit menurun kesan
dari jadual yang padat, namun United sudah menerima pulangan setimpal dengan
layak ke saingan Liga Juara-Juara hasil dari pelaburan yang mereka lakukan ke
atas pemain berusia 25 tahun itu.
Rehat selama dua minggu sebelum
barisan The Red Devils kembali bertarung di atas padang diharap cukup
untuk membuatkan mereka kembali segar dan bernafsu semula. Saingan liga sudah
berakhir tetapi misi United dalam kempen kompetitif mereka musim ini bakal
diteruskan pada 8 Ogos nanti. Misi Bruno untuk membantu United layak ke saingan
Liga Juara-Juara sudah tercapai kini fokus beliau beralih pula kepada kempen
Liga Europa.
Percayalah dengan adanya pemain
yang memiliki kualiti seperti Bruno serta beberapa pemain yang bakal direkrut
Solskjaer nanti, United mampu memanaskan lagi suhu persaingan dalam perebutan
kejuaraan liga musim depan. Tiada reaksi berlebihan yang dilakukan Solskjaer
selepas berakhirnya aksi menentang Leicester City tempohari. Mungkin kerana
beliau sedar bahawa “Kita adalah Manchester United”, dan kita cukup akrab
dengan posisi sebagai juara, bukan berada di belakang juara. Glory Glory
Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan