11 Februari 2010

UNITED KIAN HIMPIT CHELSEA

Ryan Giggs of Manchester United races for the ball with Fabian Delph of Aston Villa
Manchester United meraih satu mata di Villa Park selepas diikat dengan keputusan seri 1-1 oleh Aston Villa dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi. Seperti yang dijangkakan tuan rumah berjaya memaksa United bekerja keras sepanjang perlawanan dan keputusan itu dilihat adil buat kedua-dua pasukan. Pada permulaan babak pertama, United dilihat lebih menguasai perlawanan dengan terlebih dahulu menguji kemampuan Brad Friedel melalui percubaan Michael Carrick dan Nani. Bagaimanapun tuan rumah mengejutkan barisan pelawat apabila mendahului melalui tandukan Carlos Cuellar diminit ke 19. Walau bagaimanapun kelebihan Villa hanya mampu bertahan selama tiga minit sahaja selepas rembatan deras Ryan Giggs yang menerima hantaran Nani dari sebelah kanan tertampan ke gawang sendiri oleh James Collins. Diminit ke 29 keadaan tampak sukar buat United apabila Nani dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan Peter Walton kerana terjahan kerasnya ke atas Stiliyan Petrov. Dengan memiliki kelebihan seorang pemain, tuan rumah mula melakukan asakan demi asakan ke kubu United namun pelawat masih mampu bertahan hingga wisel separuh masa pertama ditiup. Dibabak kedua, Sir Alex Ferguson memasukkan Luis Antonio Valencia menggantikan Paul Scholes dan strategi itu tampak berhasil apabila Valencia sering mencemaskan benteng lawan melalui gerakan-gerakannya dari sebelah kanan.

Walau kekurangan seorang pemain, United masih mampu memberi ancaman kepada anak-anak buah Martin O'Niell dengan beberapa kali memperolehi peluang untuk menjaringkan gol. Diminit ke 75 misalnya, Rooney hampir meletakkan United di hadapan tetapi rembatan derasnya berjaya ditepis keluar Friedel. Keputusan akhirnya kekal sehingga tamat permainan dan Ferguson tampak berpuashati dengan keputusan perlawanan memandangkan pasukannya beraksi dengan sepuluh pemain sepanjang 60 minit permainan. "Kami pasukan yang lebih baik dan sepatutnya memenangi perlawanan ini biarpun beraksi dengan sepuluh pemain untuk tempoh yang lama. Para pemain sangat bijak menangani situasi ini," puji Ferguson. Mengenai layangan kad merah yang diberikan ke atas Nani, Ferguson berkata, "Memang dia harus dilayangkan kad merah kerana melakukan terjahan dengan kedua-dua kakinya. Bagaimanapun saya percaya terjahan itu tidak disengajakan kerana dia bukanlah pemain yang ganas. Apa yang dilakukannya membuatkan pengadil tidak mempunyai pilihan lain selain melayangkan kad merah". Dengan keputusan itu, United berjaya meneruskan tekanan ke atas Chelsea selaku pendahulu liga dengan perbezaan hanya satu mata. Kekalahan 1-2 anak-anak buah Carlo Ancelotti kepada Everton di Goodison Park merupakan bonus buat United dalam usaha mereka merampas kedudukan teratas liga dari skuad The Blues itu.

Lain-Lain Keputusan Perlawanan:

Everton (2) lwn Chelsea (1)
Arsenal (1) lwn Liverpool (0)
West Ham (2) lwn Birmingham City (0)
Wolverhampton (1) lwn Tottenham (0)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan