29 Mac 2010

BAYERN CEMAS HADAPI UNITED

LIGA JUARA-JUARA EROPAH
(SUKU AKHIR, PUSINGAN PERTAMA)
Allianz Arena, Munich - 31 Mac 2010

BAYERN MUNICH lwn MANCHESTER UNITED

http://www.kicknrush.com/Kicknrush/IMG/manutd1999.jpg
Pertembungan klasik Manchester United dan Bayern Munich dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah edisi 1999 masih lagi diperkatakan hingga ke hari ini. Dalam perlawanan akhir penuh dramatik di Nou Camp, sebelas tahun lalu, United yang ketinggalan hampir keseluruhan tempoh permainan bangkit disaat-saat akhir untuk merangkul kejuaraan tertinggi kelab Eropah buat kali kedua menerusi jaringan Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solskjaer. Selepas kekalahan itu, Bayern bangkit mengimbangi penguasaan United di pentas Eropah dan sepanjang era 2000 kedua-dua kelab telah bertemu sebanyak lima kali. Gergasi Jerman itu mencatat dua kemenangan ke atas United dalam kempen peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim 2000/2001. Musim berikutnya keputusan lebih seimbang selepas kedua-dua kelab terikat dengan keputusan seri pada perlawanan timbal balik peringkat kumpulan. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada kejohanan pemanas badan pra musim merebut Piala Audi di Allianz Arena Julai tahun lalu yang juga berakhir dengan keputusan seri. Menjelang pertembungan peringkat suku akhir pusingan pertama Liga Juara-Juara di Allianz Arena, Rabu ini, kelebihan tampak berpihak kepada skuad Red Devils yang berada dalam prestasi terbaik mereka. United hanya tewas sekali dalam 14 perlawanan terakhir mereka di peringkat domestik manakala Bayern pula seolah-olah hilang cengkaman selepas tewas tiga daripada lima perlawanan terakhir mereka di Bundesliga. Minggu lalu anak-anak buah Louis Van Gaal tewas ditangan Vfb Stuttgart, sesuatu yang pastinya meresahkan mereka menjelang kunjungan United Rabu ini, apatah lagi jika diambil kira rekod baik United ketika berkunjung ke gelanggang lawan di peringkat Eropah.
http://manutd.diyanazman.com/wp-content/uploads/2009/07/audicupfinal04.jpg
Sir Alex Feruson turut mengatakan bahawa pasukannya tidak akan bermain secara bertahan walaupun beraksi di gelanggang lawan sebaliknya United akan mengamalkan taktik yang sama ketika mereka menyingkirkan AC Milan. "Sejarah Bayern dan perlawanan kami menentang mereka di pentas Eropah menyedarkan kami bahawa perlawanan ini pastinya sukar. Mereka adalah pasukan yang berpengalaman. Kami akan bermain sepertimana ketika kami menyingkirkan AC Milan. Jika kami memperolehi keputusan yang sama seperti di San Siro, kami akan memperolehi kelebihan ketika pusingan kedua di Old Trafford nanti", ujar Ferguson. Sementara itu, Ferguson mengesahkan bahawa Wayne Rooney dan Rio Ferdinand akan kembali ke dalam kesebelasan utama selepas direhatkan ketika United menentang Bolton Wanderers Sabtu lalu. Rooney mengalami kecederaan lutut manakala Ferdinand mengalami masalah pada pangkal peha tetapi kini kedua-duanya telah disahkan cergas. Kelibat Rooney pastinya menjadi igauan buat barisan pertahanan lawan dan kapten Bayern, Mark Van Bommel mengakui hakikat itu. "Adalah sesuatu yang begitu sukar untuk menghentikan Rooney kerana dia sangat bagus. Kami mungkin akan meletakkan seorang pemain untuk mengawal pergerakannya tetapi kami tidak yakin apakah itu akan membuahkan hasil", kata Van Bommel. Van Bommel buntu bagaimana caranya untuk mematikan pergerakan Rooney kerana baginya penyerang England itu pemain serba lengkap dan berada dalam prestasi terbaiknya. Walaupun cemas dengan ancaman Rooney, Bayern menerima khabar gembira selepas Franck Ribery disahkan cergas dan akan diturunkan dalam perlawanan ini.

Barisan Kemungkinan United:

Edwin Van der Sar, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Gary Neville, Luis Antonio Valencia, Nani, Park Ji-Sung, Darren Fletcher, Michael Carrick, Wayne Rooney

Tiada ulasan:

Catat Ulasan